Ahad, 24 Februari 2013

097. Banyak Ketawa Buat Hati Mati.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.

Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه  

Meja: www.peceq.blogspot.com
13 RABIULAKHIR 1434 (24 FEBRUARI 2013)

Banyak Ketawa Buat Hati Mati.

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu.

Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, maka syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan.

Menyingkap sirah Rasulullah S.A.W., ketika Baginda
S.A.W., hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah, Allah S.W.T., menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama-sama Rasulullah S.A.W., di medan peperangan.Tetapi membatalkan janji dan persetujuan mereka pada saat-saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah
S.W.T., berfirman yang bermaksud : "Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak." (Surah at-Taubah, Ayat 82). Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah S.W.T., mengungkapkan sifat lazim kaum munafik yang selalunya suka mengamalkan tabiat ketawa berlebihan. Justeru, jika begitulah sikap mereka, maka sebagai umat Islam, kita harus segera membuang sikap sedemikian.

Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap menghadkannya untuk mengelaknya berlaku dalam keadaan melampau.

Lantaran itulah, walaupun berada dalam apa juga keadaan hidup yang akhirnya menuntut diri seseorang secara spontan berada dalam keadaan yang sesuai dengan apa yang dialami dan dirasai, Islam menyediakan pilihan lain yang boleh diguna pakai bagi mengelak daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.

Rasulullah
S.A.W., bersabda yang bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).

Jika dihayati maksud hadis ini, sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara untuk menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Hati adalah ejen penggerak utama sahsiah dan keperibadian seseorang. Justeru, jika hati sudah tidak lagi berfungsi dalam erti kata menjadi petunjuk dan pemandu arah manusia untuk meneruskan kembara hidup ini, maka sudah tentu tidak ada sedikit pun manfaat dan ganjaran yang diperoleh kerana pergerakan fizikal tidak lagi berpandukan arahan hati yang murni.

Hati adalah pemerintah dalam diri setiap manusia. Jika baik dan bersih hati seseorang, maka akan baiklah seluruh anggota zahir seseorang dalam melakukan apa juga tindakan dalam hidup seharian.

Sebaliknya, jika buruk dan rosak sebuku hati itu, maka akan rosaklah segala anggota asas dan pancaindera manusia apabila melakukan tindakan tertentu dalam hidup ini.

Apabila hati sudah mati, maka akan mudahlah syaitan hakiki dan syaitan nafsu merajai diri dan akhirnya akan membawa diri ke lembah hina dan menyeleweng daripada landasan kebenaran.

Begitu juga, akan terbentuklah kelompok manusia yang alpa dengan fungsi dan tanggungjawab asal manusia sebagai khalifah di bumi Allah
S.W.T..

Sesungguhnya, hati berperanan besar menjadi penghubung kepada jiwa dan perasaan manusia untuk mentazkiah (menyucikan) diri melalui bisikan zikir dan doa, yang mana dengan cara itulah, manusia boleh mendekatkan diri dengan yang maha pencipta dan menyemai rasa takut untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan suruhan agama.

Jika hati sudah mati, maka akan runtuhlah keperibadian manusia secara keseluruhannya. Hal ini kerana, pada ketika itu, keunggulan ciri-ciri manusia sejati yang lahir dengan kedudukan dan tanggungjawab di alam fana ini akan terabai.

Perlu juga disedari, bahawa pada ketika hati itu sudah rosak, maka sesuatu yang akan binasa ialah maruah diri.

Individu itu tidak mampu lagi memandu dan membela maruah hidupnya iaitu kehormatan diri kerana proses untuk memantap dan menghidupkan darjat diri sudah tidak berfungsi lagi.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah
S.W.T.. Apabila rasa takutnya sudah berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Suatu ketika, Rasulullah S.A.W., berjalan di depan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu Baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa." (Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah).

Dalam hadis lain, Rasulullah
S.A.W., mengingatkan kita banyak ketawa dengan sabda Baginda S.A.W., yang bermaksud: "Terlalu banyak ketawa itu boleh menghilangkan cahaya daripada wajah kita."

Ketawa yang sudah sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif daripada yang positif.

Orang banyak ketawa akan lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Bukan itu saja, kadang-kadang, banyak ketawa boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

Apabila lupa kepada mati, manusia akan lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.

Orang banyak ketawa akan banyak membawa kepada kelalaian memikirkan tugasan dan amanah yang perlu dilaksanakan sebagai khalifah, ketua, ayah dan pemimpin dalam dunia.

Abdullah bin Abi Yu'la pernah berkata: "Adakah kamu masih bergelak ketawa sedangkan kain kafanmu sudah pun dikeluarkan dari istana Allah
S.W.T.."

Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik dilakukan sepanjang masa agar tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.

Ini kerana, ia adalah suatu dugaan daripada Allah
S.W.T., kepada hambanya beriman. Di samping itu, kita digesa supaya menilai keperibadian sendiri pada setiap waktu agar dapat mengenal pasti setiap kelemahan dan kesalahan sama ada sengaja atau tidak.

Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri, dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.

Benarlah ada kata-kata yang menyebut bahawa orang yang banyak ketawa akan banyak menangis kemudian. Hal ini kerana, manusia celaka di dunia yang banyak ketawa bukan saja tidak akan mampu ketawa dalam azab Allah
S.W.T., bahkan tidak akan mempunyai masa untuk mengukir senyum.

Sebaliknya, akan dihiasi dengan jeritan dan tangisan yang menghibakan. Abdullah Ibn Abbas pernah berkata, sesiapa melakukan perbuatan dosa dan kemudian ketawa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka dengan tangisan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Hal iIni kerana, kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

Semoga kita akan sama-sama berusaha mengawal diri daripada menyebabkan hati mati kerana apabila ia berlaku. Maka akan hilanglah kenikmatan hidup untuk menjadi mukmin yang beriman kepada Allah
S.W.T..  

Kredit: Penulis asal. 


Hamba Allah SWT Umat Rasulullah SAW - 7 PENYAKIT HATI:
1-Suka dipuji = SUM'AH.
2-Suka berbangga diri = TAKBUR
3-Suka pandang rendah kpd org lain = SOMBONG.
4- Suka puji seseorang di hadapan tetapi kutuk di belakang = MUNAFIQ.
5- Suka menunjuk-nunjuk = BERLAGAK.
6- Suka sakit hati terhadap nikmat org lain = BUSUK HATI / DENGKI.
7- Suka berfikiran negatif terhadap org lain = BURUK SANGKA.

(Ustaz Mohd Izhar Ariff) :: Ya Allah, aku berlidung kepada Mu, dari kemunafikan, perangai buruk dan rezeki yang sempit. Aamiin. ::






Zulfarizan Zakaria "FABI AYYI AALA IRABBIKUMA TUKAZZHIBAN" = Nikmat Tuhan Manakah Yang Engkau Hendak Dustakan?........muhasabah buat diri kite ni belake kerana Allah S.W.T..... 

Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 


Tiada ulasan: