Isnin, 4 Mac 2013

197. Kereta Di Singapura.

Meja PECEQ (sumber)

21 RabiulAkhir 2013 Bersamaan 04 Mac 2013.




Terpaksa turunkan harga kereta terpakai

PENIAGA dan jurujual kereta terpakai telah mengurangkan harga kereta terpakai antara 10 hingga 20 peratus sejak Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memperketat pinjaman kereta namun ia masih gagal memikat pembeli.

Pusat kereta terpakai seperti di Grandstand Car Mall di Bukit Timah dan Commonwealth Car Mart terus lengang dan tidak bermaya walaupun peniaga di sana menawarkan servis kereta percuma atau hadiah percuma bagi menarik pembeli.

Encik Eddy Zulkarnin, 34 tahun, pengurus di Win Way Trading Pte Ltd di Grandstand Car Mall di Bukit Timah berkata secara purata, syarikatnya menjual 10 kereta terpakai dalam sebulan tetapi tidak sebuah pun kereta terjual sejak MAS memperketatkan pinjaman.

"Perniagaan saya telah merosot lebih 90 peratus.

"Ini kerana kebanyakan pembeli sedang menunggu harga Sijil Hak Memiliki (COE) Kenderaan jatuh dalam satu atau dua taruhan.

"Walaupun kita telah kurangkan harga kereta terpakai antara 10 hingga 20 peratus, ia masih gagal memikat pembeli," jelasnya lagi.

Beliau memberi contoh harga kereta BMW X5 yang dahulunya berharga $159,000, kini dijual pada harga $153,000. Kereta itu didaftarkan pada Februari 2008.

Kereta Honda Civic yang dahulu dijual pada harga $66,000 pula kini ditawarkan pada harga $60,800. Kereta Honda Civic itu didaftarkan pada April 2008.

Kereta Toyota Vios OPC yang dahulu dijual pada harga $23,800 pula kini ditawarkan pada harga $19,800 (pendaftaran Oktober 2006).

Menurut Encik Eddy, antara masalah yang kini dihadapi pembeli Melayu/Islam ialah kebanyakan mereka hanya bersedia membayar wang pendahuluan sebanyak 10 hingga 20 peratus.

"Maksimum wang yang mampu dikeluarkan ialah 30 peratus. Awak tengok sendiri. Sekarang ramai kakitangan jualan lebih banyak termenung, berbual kosong atau mundar-mandir daripada melayan pelanggan," jelasnya lagi.

Encik Abdul Bari, pemilik syarikat kereta ST Carmart, juga di Turf City berkata walaupun beliau mengurangkan harga kereta, kebanyakan pemilik kereta masih tetap tidak mampu membelinya.

"Walaupun saya potong harga kereta dari $60,000 kepada $50,000, pembeli masih dapati sukar keluarkan wang pendahuluan antara $20,000 hingga $25,000 dan sekitar $3,000 lagi bagi insurans, cukai jalan raya, bayaran pemindahan milik kereta dan kos lain," jelasnya lagi.

Sejak pengumuman MAS, beliau belum menjual walau sebuah kereta pun.

"Tolonglah Encik, kalau Encik nak tukar atau beli kereta, Encik jumpa saya. Gerenti saya beri special price," rayunya kepada saya.

Sementara itu, beberapa peniaga kereta baru telah mula memotong harga kereta baru setelah harga COE merudum dalam taruhan terbaru.

Pemotongan harga kereta baru itu adalah antara $1,000 hingga setinggi $30,000.

Harga COE bagi Kategori A (kurang 1,600 cc) susut kepada $74,689, harga COE bagi Kategori B (lebih 1,600 cc) pula menjunam kepada $58,090 dalam taruhan terbaru.

Harga COE bagi Kategori terbuka yang sering digunakan untuk mendaftar kereta dengan kapisiti tinggi juga menjunam kepada $65,001.




Tiada ulasan: