Selasa, 5 Mac 2013

204. Berkenalan dengan Dunia.


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.


Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

22 RabiulAkhir 1434 Bersamaan 05 Mac 2013.

Ikan dan batu karang menjadi teman jurufoto profesional dasar lautan, Imran Ahmad. HARYANI ISMAIL menyelami kisah kembara beliau menjelajah khazanah alam berharga di beberapa negara.
KEMBARA

Lensa Lautan

Bagaimana minat merakam foto bermula?

Menjadi seorang jurufoto adalah impian saya sejak kecil. Saya suka menonton dokumentari National Geographic.

Biasalah...apa yang ibu bapa larang, itulah yang selalunya ingin si anak lakukan. Saya menentang tanggapan ibu saya bahawa tugas ini merbahaya. Bapa saya minat merakam foto dan akan menunjukkan hasil petikannya kepada saya.

Saya suka menggodek kamera dan kemudian belajar menyelam. Saya membelek majalah yang orang lain buang dan terfikir, alangkah indahnya kalau saya boleh memetik foto seperti dalam majalah itu!

Apabila dewasa, saya menggabungkan kededua minat fotografi dan menyelam menjadi satu. Maka, saya bergelar jurufoto dasar lautan.

Anda adalah jurufoto yang tidak mengikuti sebarang kursus formal dan belajar sendiri. Bagaimana bakat anda dikesan?

Saya tidak mampu menghadiri kursus fotografi yang menelan belanja banyak. Saya belajar daripada pengalaman melihat foto-foto orang lain dan bereksperimen sendiri dengan kamera.

Saya kini memberitahu pelajar saya, pengalaman akan mendewasakan anda dan akan memberikan anda
khazanah berharga. Anda akan banyak belajar dengan terus mencuba. Sukar untuk saya menembusi dunia fotografi profesional. Saya perlu bina portfolio saya dengan menyumbang kepada pelbagai majalah. Saya sedari ramai jurufoto mahir dalam foto yang dipetik di darat.

Namun, di Asia, tidak ramai jurufoto berani terjun ke dalam laut dan merakam foto di dasar lautan. Saya cintakan lautan walaupun ramai yang menegur dan mempersenda saya, tugas sebagai jurufoto dasar lautan takkan bawa keuntungan. Mereka anggap saya gila dan bodoh.

Saya pula ingin membuktikan tanggapan ibu saya juga silap. Alhamdulillah, Tuhan membuka rezeki saya dan digerakkan pihak Nikon untuk menemui hasil karya foto saya di majalah. Mereka hubungi saya ketika saya sedang mengajar di Institut SAE.

Saya minta mereka hubungi saya 15 minit kemudian tetapi mereka hanya sempat menelefon saya setahun selepas itu! Sangka saya mereka dah lupakan saya. Sejak itu, Nikon yang memenuhi impian saya dan menyediakan peralatan fotografi yang lengkap dan canggih.

Saya berpeluang menjadi jurufoto rasmi Sukan Olimpik Belia (YOG) dan Larian Standard Chartered.

Anda adalah antara jurufoto dasar lautan handalan di rantau ini.  Apakah yang menjadi tumpuan anda bagi setiap tugasan?

Saya mempunyai pengikut di Facebook. Mereka terdiri daripada pengamat fotografi dasar lautan. Saya selalu beritahu mereka, dalam setiap  kembara, tetapkan matlamat anda.

Saya pastikan saya laksanakan projek dengan tema berbeza saban tahun. Projek foto The Pure Series  merupakan satu kejayaan besar buat saya sehinggakan ke hari ini, masih ada yang bertanya tentangnya.

Saya mencontohi dan mengadaptasikan kaedah fotografi seorang rakan baik saya, David Doubilet, jurufoto dasar lautan National Geographic. Kesemua hidupan di dasar lautan yang saya temui dirakam fotonya dengan latar putih dan bukannya latar marin atau semula jadi mereka.

Mereka seperti peragawan dan peragawati yang melintasi pentas catwalk di dasar lautan.Tiba-tiba, saya terasa bagaikan merakam pertunjukan fesyen di kedinginan lautan dalam! Bagi projek buku Hidden Sanctuary tentang ekopelancongan dan pemuliharaan batu karang di Pulau Mabul, Sabah pula, saya tumpukan pada mesej pendidikan dan kesedaran agar lautan yang kaya dengan khazanah alam ini diselamatkan.

Dalam buku saya, Ocean Tapestry, yang bakal dilancarkan Julai 2012 pula, saya mengumpulkan koleksi foto dasar lautan di serata dunia yang jauh beza daripada The Pure Series. Jika dahulu fotografi nya  ampak putih dan agak minimal, kali ini ia huru-hara dengan warna! Artistik dan memaparkan cahaya ultralembayung.

Apakah cabaran mengembara sambil  merakam foto di dasar lautan?

Cabaran utamanya adalah untuk kekal hidup dan bernyawa! Adakalanya, dalam keghairahan anda terpukau dek hidupan laut yang indah-indah belaka, anda lupa untuk bernafas seperti biasa.

Anda juga harus tahu keterbatasan anda. Usah terlampau memaksa diri untuk melakukan lebih daripada yang termampu. Akhir sekali, anda harus pastikan peralatan anda berada dalam keadaan baik dan cukup.

Kalau anda kehabisan filem atau ketandusan bateri di kala segala-galanya berlaku di depan mata anda, minta untuk dirakam, bagaimana? ‘Melepaslah’ namanya! Di saat itu, anda terasa macam nak ‘bunuh’ seseorang!

Mengapakah tugas anda ini menyeronokkan bagi anda?

Saya sukakan dunia yang sunyi sepi di dasar lautan biru, di mana saya bebas terapung-apungkan diri saya....bagaikan relaks ‘berterbangan’ dalam lautan tanpa sebarang gangguan.

Saya suka menikmati warna-warni dan keajaiban lautan. Ia jauh lebih baik daripada duduk di pejabat dan meneguk secawan kopi! Foto-foto saya adalah hasil panorama pemidang tilik (viewfinder) saya. Ia adalah cetusan ilham apa yang saya nampak!

Tidak pernahkah anda menempuh bahaya?

Ramai orang kata, arus yang mengganas adalah musuh utama di lautan. Namun, saya tidak pernah menyalahkan alam semula jadi sebab saya tahu, ada sesuatu proses yang harus dilaksanakan dengan sendiri.

Pesan saya kepada mereka yang ingin menceburi bidang fotografi dasar lautan, usah takutkan alam semula jadi dan hormatinya. Anda harus memahami sistem dan pelaksanaan proses alam semula jadi ini. Segalanya, akan tenang-tenang sahaja, selepas itu.

Bagaimana dengan jerung? Tak pernah ketemu dengannya?

Ini satu lagi soalan yang sering orang tanya kepada saya. Tentunya banyak jerung yang saya temui. Tak takutkah saya? Tidak! Alahai...kalau difikirkan secara logik, manusia kemungkinan besar disambar petir atau dilanggar kereta daripada dimakan jerung!

Sebab, kalau kita amati betul-betul, manusia bukanlah sebahagian pemakanan jerung...anda tidak kelihatan seperti makanan buat si jerung. Justeru, daripada membuat andaian setiap jerung yang anda temui akan makan anda, hormatilah sang jerung ini. Katakan tidak pada sup sirip yu.

Antara manusia dan jerung,

siapa pemangsa laut lebih merbahaya? Saya tetap katakan manusia kerana memupuskan banyak spesis hidupan laut seperti jerung atau yu.

Sumber: Cyberita
Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 
urv.

Tiada ulasan: