Jumaat, 26 April 2013

406. Baik.

Perkataan "baik" bila menunggal sudah ketara maksudnya. Apa lagi jika dicantumkan dengan perkataan-perkataan lain.

"Baik mak"., jawapan sepontan seorang anak kepada nasihat atau permintaan membantu emak terhadap anaknya. Pada kebiasaan orang yang mendengar ungkapan jawapan anak tadi, akan menyatakan baiknya anak dia. Anak yang baik berpegang kepada antaranya, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali.


Anak yang baik, apabila bersekolah akan ketara kemenjadiannya, sebagai anak murid yang baik. Anak murid yang bagus, anak murid yang cerdik, anak murid yang cemerlang. Hal ini tidak termasuk kepada anak murid yang di darjah enam mirip ke arah "dahjahanam". Orang akan bertanya, anak siapa tu, bagusnya, pandainya?. Jikalau anak yang baik selesa dan bersyukur kepada Allah S.W.T., emak dan bapa mendengar. Kalau sebaliknya, mungkin Polis datang bertanya, "Ini anak encik?".

Anak murid yang baik seterusnya apabila bersekolah di sekolah menengah pula akan mengenengahkan ciri-ciri pelajar yang baik, boleh menjadi pemimpin pelajar dan semakin bertambah-tambah sikap semula jadinya baik sejak di rumah dan semasa di sekolah rendah.

Kalangan anak-anak inilah yang akan memenuhi ruang internet. Seperti pelayar Facebook, Blogger dan sebagainya peralatan sembang siar alam maya. Kenapa sesetengah blogger dan sesetengah pelayar facebook  menjadi tidak tentu hala bahasanya. Caci maki, menghina, mengutuk dan suka memporak perandakan orang lain dengan gejala penyebaran berita bohong atau berita yang belum tentu benar atau palsu isi kandungannya.

Agaknya mereka inilah kalangannya semasa di darjah enam telah menampakkan ciri-ciri dahjahanam dan berlarutan sehingga usianya melangkaui layak mengundi pilihan raya beberapa kali. Jika tidak pun mereka terlupa mendaftarkan diri sebagai pengundi pilihan raya Malaysia yang sah. Gempar semasa berkempen sahaja.


Anak yang baik biasanya mendengar kata nasihat, teguran dan sandaran-sandaran kata emak dan bapanya. Anak emak dan anak bapa yang sedemikian rupa, apabila bersama adik-beradik, sanak saudara dan anggota masyarakat akan lebih bijak menjaga maruah diri. Menjaga maruah keluarga, menjaga imannya supaya Islam menjadi nadi dalam hidupnya.

Anak yang di darjah enam sudah menampakkan ciri-ciri dahjahanam, rasanya untuk menjaga diri sendiri pun belum tentu pandai. Umpamanya untuk menghilangkan bau ketiak sendiri. Ketika mencangkung, gosokkanlah kepala lutut yang beralaskan basahan tadi ke bahagian ketiak. In Sya Allah usaha ini dapat melunturkan bau ketiak. Membersihkan ketiak dengan belakang bahagian tangan juga dapat menghindari ketiak berbau. Jangan gunakan tapak tangan untuk membersihkan ketiak.

Mandi dengan memakai basahan dan bukannya berbogel, rasanya diluar pengetahuan mereka. Bila memakai basahan semasa mandi dapat mengelak dari pengkhianatan manusia. Eh!, ada sahaja jawabnya. Rumah batu bro!, mana ada lubang intai. Rupa-rupanya mereka tidak ingat atau langsung tidak tahu ada mahluk yang Allah S.W.T., jadikan bernama jin laknatullah menggemari perlakuan manusia mandi tanpa pakaian basahan.

Anak yang baik akan menjadi pemimpin yang cemerlang. Bukan pemimpin yang korup dan pemimpin yang sanggup mengupah penyokongnya membuat onar dan menyemai sikap hasad dengki kedalam jiwa  penyokongnya dengan bermodalkan duit yang belum tentu halal puncanya.

Anak yang baik juga akan tahu batas-batas sosialnya. Tahu batas-batas kemasyarakatannya. Anak yang baik tidak akan melakukan perkara-perkara mengadu dumba, talam dua muka, musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam, harapkan pagar, pagar makan padi dan jauh sekali dari berperwatakan pengkhianat seperti si kitul dan mamak mandeliar.

Iman dan Islam tersemai di jiwa anak yang baik. Apabila berbahasa, berhati-hati dia berbahasa, molek anak ini menyantuni orang lain. Sopan dan santun serta sikap hurmat menghurmati cukup sebati dalam hidupnya sejak dari kecil kerana kesungguhan peranan emak dan bapanya memikul tanggung-jawab dan amanah Allah S.W.T..

Anak-anak yang baik, apabila dewasa kelak akan menjadi emak dan bapa generasi yang berpangkat cucu kepada emak dan bapanya. Tidaklah di waktu senjakala membawa isteri dan bayi yang belum habis pantang, ke gedung-gedung atas alasan membeli barang keperluan bayi tersebut.

Paling tidak pun anak yang baik tidak akan menghidupkan enjen kereta atau motosikalnya dan meninggalkan rumah kediamannya, sewaktu Azan Maghrib dari Surau atau Masjid sedang berkumandang. Sama-samalah kita menjadikan Iman dalam Islam itu sebati dalam roh kita. In Sya Allah.

Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..

Tiada ulasan: