Isnin, 13 Mei 2013

497. Jambatan Ilmu (13.MEI.2013).



Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T., Malaysia terus aman damai dan tenteram. Pasti ramai rakyat Malaysia inginkan tempat tinggalnya aman damai, tenteram dan makmur. 

Mereka yang berada di luar negara sama ada sebagai pekerja, sebagai kaki tangan Kerajaan Malaysia dan mereka yang sedang melanjutkan pelajaran., pastinya inginkan Malaysia tanah air yang mereka tinggalkan buat sementara waktu, kerana tugas dan tanggung-jawab, terus aman damai dan makmur di bawah perlindungan Allah S.W.T., keberkatanNya, kerahmatanNya dan keredhaanNya.
Kita sebagai hambaNya wajar berusaha dan berdoa supaya Malaysia terus bahagia, sentosa, jaya dan makmur. Apalah gunanya kepada sebahagian mereka yang meramal, perkara bukan-bukan akan terjadi kepada Malaysia, seperti ramalan mereka yang belum lahir pada 13 Mei 1969 atau pun telah berusia di waktu itu. Tidak kiralah apa jua andaian buruk sangka mereka yang waktu itu berusia dibawah 12 tahun, 15 tahun, 17 tahun, 21 tahun atau 22 tahun ke atas. Allah S.W.T., sentiasa mengingatkan hambaNya supaya bersangka baik keranaNya.

Sayu hati aku bila mengenangkan peristiwa tersebut. Lebih malang lagi orang yang tidak bersalah, tidak berdosa dan langsung tidak tahu menahu turut terkorban. Malangnya sehingga ke saat ini, kita semua keliru dengan siapakah petualang dan pencetus yang menjahanamkan erti kedamaian Malaysia yang waktu itu begitu muda usianya. Tuduh menuduh tanpa tangkapan dan seterusnya penghakiman, apalah gunanya. Itu bukan jalan penyelesaian orang dewasa dan berotak.

Waktu itu dan sampai saat ini, apakah perasaan mereka yang kehilangan anak, kehilangan isteri, kehilangan suami, kehilangan ahli keluarga, kehilangan sahabat dan kehilangan rakan baik, dalam pertembungan yang sia-sia. Banggakah kamu sebagai rakyat Malaysia tuduh menuduh mencari siapa punca sebenar malapetaka 13 Mei 1969.

Sudah berpuluh-puluh tahun peristiwa itu berlaku, tiba-tiba perkara itu diingat-ingatkan kembali dengan tuduhan-tuduhan yang tiada kesudahan. Niat apa sebenarnya kalangan mereka yang menggembar-gemburkan kembali peristiwa tersebut dengan cara yang cukup "kebayi-bayian", walau pun sangka kita mereka cukup berusia dan dewasa untuk bertindak dan berfikiran lebih bijak.

Dalam Islam "Nawaitu" itu penting. Niat orang Islam pada kebiasaannya adalah kerana Allah S.W.T..
Nawaitu kerana Allah S.W.T., mengyelamatkan orang Islam dari berburuk sangka, dari melakukan tipu daya, dari melakukan penciptaan dan penyebaran berita bohong. Mereka antaranya berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

Tidak salah kalau aku hujahkan gembar-gembur tersebut adalah satu "budaya memperdaya" atas dasar kepentingan peribadi, kepentingan kumpulan dan kepentingan anutan politik masing-masing. Siapa hendak mengaku dia perompak, pencuri dan pesalah. Kecuali ada dilakukan laporan ke pihak berwajib. Di tangkap dan disoal siasat dan seterusnya di bawa ke muka pengadilan. Silap gaya yang pencuri dan perompak itu yang beria-ia benar menuduh orang lain pencuri dan perompak kerana ingin "menyelamatkan diri" dari perbuatan yang melanggar perentah dan larangan Allah S.W.T..

Percayalah kepada mereka yang menjadi puncanya kalau pun sudah meninggal dunia, mereka sedang di adili Allah S.W.T., di alam barzah. Kepada yang masih hidup tentu sekali sedang merasai perasaan tidak bahagia kerana tekanan perasaan bersalah dan tentu sekali tidak terlepas dari azab seksa kubur, bila meninggal dunia kelak. Kecuali mereka berani memperakui kesalahan, memohon ampun kepada Allah S.W.T., dan meminta ampun kepada mereka yang terlibat. Menipulah selagi mereka terdaya, kerana terjerumus dengan hasutan jin laknatullah. Nauzubillah.

Tiada yang lebih indah hidup ini kecuali bagi mereka yang benar-benar berIman kepada Allah S.W.T.. Patuh kepada perentah dan laranganNya. Kepada mereka yang bersekutu dengan amalan jin laknatullah, berikhtiarlah kembali ke jalan yang benar.

Menjadi amalan umat Islam yang sentiasa berdoa untuk dirinya sendiri turut mendoakan kalian supaya Allah membuka pintu hati hambaNya dengan cahaya keinsaf dan terbukanya pintu taubat, sebelum menjadi waktu yang telah terlambat, sebab waktu kamu dicabut nyawa oleh Allah S.W.T., telah tiba.

Allah adalah sebenar-benar Pengusa kerana antaranya sifat Maha Adil, Maha Bijaksana, Maha Pengampun, Maha Berkuasa, Pencipta dan Pemilik alam dan sekelian isinya, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Amin Ya Rob.


*Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..







Tiada ulasan: