بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.
oleh Zulkifli
Yahaya
Basyar yang zalim
Mata masyarakat dunia
kini tertumpu pada Syria. Perkara besar yang berlaku di Syria ialah keganasan
regim Basyar Al-Assad membunuh ribuan rakyatnya sendiri. Ada sumber melaporkan
jumlah kini melepasi 200 ribu.
Basyar berjaya memecahkan rekod keganasan
bapanya Hafiz Al-Assad. Dalam konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang
berlaku selama 27 hari regim Hafiz mengorbankan hampir 46 ribu penduduk.
Pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat
sendiri itulah sebenarnya peristiwa besar. Peristiwa yang melatari dan
menghiliri kemelut itu seperti Hezbullah, Iran, Syiah, Amerika, Israel
hakikatnya bukan perkara untuk difokuskan di kala nyawa rakyat sendiri tidak
dapat dipertahankan oleh kerajaan yang sepatutnya melindungi rakyat.
Mengapa sanggup membunuh rakyat sendiri untuk
mempertahankan kuasa?Tanpa rakyat tiada ertinya kuasa. Itu persoalan yang
ditimbulkan oleh golongan rasional dan berakal. Namun orang yang tamakkan kuasa
seringkali hilang akal. Regim Pol Pot di Kemboja membunuh lebih sejuta
rakyatnya, sebahagian besarnya terdiri dari bijak pandai lantaran Pol Pot tidak
mahu golongan yang lebih pandai darinya akan menguasai kerajaan.
Zaman Firaun, bayi yang baru dilahirkan
mestilah jangan lelaki. Kerana ada Ahlulnujum diraja beritahu, orang yang akan
mencabar kuasa Fiaraun adalah seorang lelaki. Maka Firaun mengarahkan mana-mana
bayi lelaki yang muncul hendaklah dibunuh. Jika semua bayi lelaki dibunuh, yang
tinggal hanya perempuan, mana nak bersambung zuriat selepas itu? Peraturan
Firaun adalah gila namun orang yang terdesak pertahankan kuasa akan buat apa
saja kerja gila.
Kezaliman terhadap rakyat di Syria disemarakkan
apabila sekumpulan kanak-kanak menjadikan dinding sekolah mereka tempat mengutuk
kerajaan Basyar Al-Assad. Apabila sampai ke pengetahuan regim Basyar, 28
kanak-kanak ditangkap tentera regim Basyar dan didera sedahsyatnya sehingga ada
yang mati. Kemarahan rakyat marak dengan pantas. Mereka hanya mampu marah tanpa
senjata, dijadikan pula mangsa keganasan Basyar. Keganasan terhadap rakyat
semakin merebak dengan meluas ke seluruh negara. Peristiwa itu bukanlah
permulaan keganasan tentera Syria. Sejak regim Asad lagi mereka sudah mengganas
terhadap rakyat.
Bezanya dahulu mereka mengganas kerana
keangkuhan tetapi kini mengganas kerana ketakutan. Semua tahu bahawa dunia Arab
diledakkan oleh kebangkitan rakyat sehingga kerajaan yang dilihat gagah perkasa
jatuh satu demi satu. Basyar ketakutan, tak mahu senasib dengan Zein El-Abidin
Hosni Mubarak dan Muammar Ghadafi. Kebangkitan rakyat mesti dikekang dengan apa
cara sekalipun.
Senario yang sama dapat dilihat pada semua
kerajaan yang berkuasa terlalu lama. Mereka akan lakukan apa saja, di luar
kerasionalan manusia, asal dapat pertahankan kuasa. Macam BN di Malaysia
juga!
Kepincangan demokrasi di negara ini bukan
perkara baru. Sudah lebih separuh abad. Semasa Almarhum Ustaz Fadzil Noor
menjadi Presiden PAS, beliau pernah diajukan cadangan supaya parti-parti
pembangkang memboikot saja pilihanraya. Biar dunia tahu kepincangan demokrasi di
Malaysia.
Jawab Ustaz Fadzil, kalau di negara demokrasi
lain pemulauan pilihanraya oleh pembangkang akan memberi pukulan hebat untuk
parti yang memerintah kerana ia melibatkan maruah kerajaan. Soalnya, kata Ustaz
Fadzil, BN mana ada maruah. Pemboikotan pilihanraya tidak akan beri apa-apa
kesan. Malah BN mungkin akan lebih gembira kerana dapat menang percuma.
Adakah Basyar Al-Asad merasa tertekan dengan
kutukan dunia terhadap keganasan yang mereka lakukan terhadap rakyat sendiri?
Jawapannya, sama macam BN, regim Basyar tidak akan rasa apa-apa kerana yang
penting ialah akibatnya mereka dapat pertahankan kuasa.
Laporan perihal demokrasi Malaysia yang pincang
menjadi sebab BN berjaya mengekalkan kuasa untuk kali ke 13 tersiar seantero
dunia. Dunia tahu bahawa BN menang dengan undi pos, media berat sebelah, BN
salahguna jentera kerajaan, BN beli undi guna duit rakyat dan BN menang dengan
sokongan 47 peratus berbanding Pakatan 51 peratus - namun mereka hanya perlu
buat pekak badak dan menebalkan kulit muka kepada masyarakat dunia.
Sekarang, selepas menang tipis secara kotor
dalam PRU13 BN mengambil beberapa langkah untuk menyempitkan lagi ruang
demokrasi. Akhbar Harakah, Suara KeADILan dan Roket dihadkan penyebaran.
Khabarnya media maya akan turut alami sekatan kerajaan. Pejuang jalanraya
menuntut demokrasi adil mula terima tekanan. Malaysia mungkin kembali ke era
Mahathir di zaman 'diktator'nya. Adakah BN tidak rasa bersalah untuk melakukan
itu semua terhadap rakyat? Jawapan yang sama kalau soalan itu diajukan pada
regim Basyar Al-Asad.
Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan