Jumaat, 30 Ogos 2013

1403. Nikmat ALLAH SWT kepada wanita.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.


Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Meja www.peceq.blogspot.com

Nikmat ALLAH SWT kepada wanita - SYAHIDATUL AKMAL DUNYA -30 Ogos 2013.

WANITA adalah makhluk ciptaan ALLAH SWT yang istimewa, banyak nikmat dan kelebihan dianugerahkan kepada golongan Hawa ini dalam kehidupan mereka, yang tidak ada dalam kehidupan seorang lelaki, antara anugerah ALLAH kepada kaum wanita adalah haid.

Haid tergolong dalam kategori hadas besar yang memerlukan kepada bersuci  dengan cara mandi. Dari segi bahasa hadas bermaksud satu perkara yang berlaku, manakala mengikut syarak diertikan keadaan yang memerlukan kepada bersuci. Hadas terbahagi kepada dua iaitu kecil dan besar. Perbezaan antara keduanya dilihat daripada sudut sebab berlakunya hadas, cara bersuci daripada hadas dan perkara-perkara yang tidak benarkan ketika berhadas.

Hukum hadas ialah ia menghalang perkara-perkara yang mana bersuci itu menjadi syaratnya, dan sekiranya perkara-perkara ini dilakukan dalam keadaan berhadas maka ia tidak dikira sah dan berdosa. Perkara-perkara yang menyebabkan hadas besar ialah keluar air mani, berjimak, haid dan nifas.

Wanita dalam berhadas boleh berzikir.

Dua daripada empat perkara yang menyebabkan hadas besar ini adalah khusus untuk wanita, iaitu haid dan nifas. Menurut pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),  Dr Mustafa Mat Jubri @ Shamsuddin menjelaskan, seorang wanita seharusnya perlu mengetahui, apakah perkara yang boleh dilakukan atau tidak semasa berada dalam keadaan haid atau nifas antaranya:

“Mereka tidak dibenarkan bersuci dari hadas kecil atau besar, seperti seorang wanita yang dalam keadaan haid tidak dibenarkan mandi junub bagi yang sudah berkahwin, dan jika dia melakukannya maka mandi tersebut tidak sah mengikut pendapat mazhab Hanafi, Maliki dan Syafii.

“Solat, seorang wanita yang haid tidak dibenarkan melakukan solat, dan jika dia melakukannya maka tidak sah solat tersebut, dan mengikut pendapat mazhab Hanafi, Syafii dan Hambali sujud Tilawah dan sujud Syukur juga tidak dibenarkan.  Berpuasa, seorang wanita yang haid juga tidak dibenarkan berpuasa, akan tetapi dia perlu menggantikannya ketika sudah habis haid, ” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, tidak dibenarkan bagi seorang wanita yang berhaid untuk melakukan tawaf, dan dibenarkan untuknya melakukan perkara-perkara haji atau umrah yang lain. Tidak dibenarkan bagi seorang wanita yang berhaid untuk membaca al-Quran mengikut pendapat mazhab Hanafi, Syafii dan Hambali.

Memegang atau membawa mushaf al-Quran juga termasuk dalam hukum ini, akan tetapi mengikut pendapat mazhab Maliki pengajar dan pelajar al-Quran dibenarkan membaca, memegang dan membawa mushaf al-Quran sekalipun dalam keadaan berhadas.

Akan tetapi, wanita yang sedang haid boleh berzikir, bertasbih (membaca Subhanalah), bertahmid (membaca alhamdulillah), membaca Bismillah ketika makan dan sebagainya. Boleh juga membaca buku-buku hadis, fiqh (buku agama), berdoa, mengaminkan doa dan mendengar bacaan al-Quran.

Diterangkan dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim serta kitab-kitab hadis yang lain bahawa Rasulullah SAW bersandar di riba Aisyah sambil membaca al-Quran padahal di saat itu Aisyah  dalam keadaan haid.

Beliau yang senang disapa   Ustaz Mustafa menegaskan, seorang wanita yang berhaid tidak dibenarkan melakukan persetubuhan mengikut ijmak ulama, begitu juga tidak dibenarkan melakukan jimak dengan wanita yang sudah habis haidnya melainkan selepas dia mandi hadas. Secara umumnya, hukum wanita yang dalam nifas adalah seperti hukum wanita yang dalam keadaan haid.

Melalui masjid untuk tujuan tertentu.

Secara umumnya, para fuqaha (ulama dalam ilmu fiqh) tidak membenarkan wanita yang haid berada dalam masjid bersandarkan kepada larangan Rasulullah SAW terhadap wanita-wanita yang berhaid dari mendekati kawasan solat hari raya (Riwayat Bukhari dan Muslim). ALLAH berfirman: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub,  terkecuali sekadar berlalu sahaja, hingga kamu mandi.

Dan jika kamu sakit atau dalam musafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya ALLAH Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun”. (Surah an-Nisa’a:43).

0Dibenarkan bagi wanita-wanita ini untuk melalui atau melewati masjid untuk tujuan-tujuan yang diharuskan seperti lari menyelamatkan diri dari bahaya mengikut fuqaha, dengan syarat tidak mengotorkan masjid dengan kotoran hadas.

Ustaz Mustafa berkata, kawasan yang mana dilakukan atasnya solat tahiyyatul masjid dan tempat berdirinya orang dalam saf-saf solat jemaah dan tempat dibolehkan iktikaf maka tempat itu tidak boleh diduduki wanita yang haid mengikut hukum larangan ini.

“Sebab larangan memasuki dan menduduki masjid bagi wanita yang haid mengikut fuqaha adalah kemungkinan mengotorinya dengan hadas, di samping keadaan dirinya yang tidak dibenarkan melakukan ibadah seperti solat, maka tiada keperluan baginya untuk berada di masjid, tambahan pula perkara yg afdal bagi wanita adalah untuk solat di rumahnya (Riwayat Ahmad).

“Ada sebahagian fuqaha (seperti al-Muzani dan Ibn Hazm) yang melihat larangan ini tidak mutlak, mereka membenarkan wanita yang haid untuk berada dalam masjid jika ada keperluan seperti menuntut ilmu,” katanya.

Potong kuku, rambut.

Menyentuh persoalan seperti memotong kuku dan rambut, ia dibolehkan dalam keadaan berhadas dan tidak perlu sisa kuku dan rambut itu dimandikan semasa mandi wajib.

Beliau berkata, fuqaha dari semua mazhab menyebut  perkara-perkara yang dilarang ketika berhadas besar, tetapi tidak pula memasukkan larangan memotong kuku atau rambut kerana  tidak ada dalil yang jelas dan khusus untuk perkara ini.

Diriwayatkan ketika Aishah melakukan haji bersama Rasulullah SAW semasa Hajjatul Wada’, Aisyah ketika itu dalam keadaan haid, Baginda SAW menyuruh beliau menyikat rambutnya (Riwayat Bukhari dan Muslim). Ini menunjukkan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid boleh memotong rambutnya kerana perbuatan Aishah  yang menyikat rambut pada kebiasaannya membawa kepada gugur atau tercabutnya rambut.

Ibn Hajar al-Haytami turut menyebut dalam kitabnya bertajuk  Tuhfat al-Muhtaj: “Mengikut nas Mazhab (al-Syafii), perempuan yang haid itu dibenarkan memotong kuku dan rambut”.


"..KEHIDUPAN DUNIA HANYALAH Kesenangan YANG MEMPERDAYA" [QS. AL 'IMRAN (3):185]. 

Firman Allah S.W.T., yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan daripada kalangan kamu (seperti Yahudi, Nasrani, dan Munafiq) menjadi teman karib (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan kesusahan kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulut mereka, dan apa yang tersembunyi oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya Kami telah jelaskan kepada kamu ayat ayat (Kami), jika kamu memahaminya (memikirkannya).” - [Al Quran Surah Al Imran ayat 118-120].  
Baca Juga:
Firman Allah S.W.T., yang bermaksud: “Perkataan yang baik dan pemberian maaf, lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (Al Baqarah: 263).  

Tiada ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah

Firman Allah S.W.T., yang bermaksud: “Mereka yang berjuang di jalan Kami nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69).

"Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku." (QS. Yusuf: 86). 


Semasa hidup sederhanakanlah kegembiraan. Supaya wujud keseimbangan jiwa dan roh, bila menerima kesedihan yang pasti ditemui juga. Mengingatkan diri sendiri menjadi keutamaaan sebelum mengingatkan orang lain . In Syaa Allah ''palis'' sekali dari sifat-sifat sombong dan keji. Semuanya kerana Allah S.W.T.. Amin Ya Rob.  (Peceq Admin). 


Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 

KLIK UNTUK KE MENU UTAMA. eaho™. >>> ... ENTRY SETERUSNYA <<< .  eaho™.   ('_') Google Translate ('_') . 

Tiada ulasan: