·
Rasa
kehambaan kepada Allah SWT.
·
Rasa
berTuhankan Allah SWT.
·
Memahami
maksud Takdir Allah SWT.
·
Mendapat
hikmah di sebalik ujian Allah SWT.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita,
agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati
kita.
Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak
kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di Dunia ini dan
di Akhirat nanti.
Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk
menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang
dilarang oleh Allah SWT.
Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga
kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai Kebahagiaan Dunia dan
Akhirat.
·
Rasa
kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati
seorang hamba Allah SWT terhadap Tuhan-Nya.
Antara rasa itu ialah rasa miskin,
jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan,
kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak
segala-galanya itu datang daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
“Katakanlah (wahai Muhammad):
"Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah
ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan
(dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang
beriman bertawakal.” At Taubah: 51
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar
diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak
mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain?
Ini samalah
dengan mempersoalkan Allah SWT yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa
kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak”
hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah
seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia
menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu
yang tidak disukainya.
Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara
teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak
mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi
rutin hidupnya.
Ungkapan “Mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang” adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila
diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan Kalimah Istirja’ – Innalillah wa inna ilaihi rajiun.
Firman Allah SAT:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya
kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.” Al Baqarah 156
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan Istirja’?
Kalimah
ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa
kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita
layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam
hidup ini.
·
Rasa
bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil
itu mesti diimbangi oleh rasa berTuhan. Bila kita rasa lemah timbul
pergantungan kepada yang Maha Kuat.
Bila kita rasa kurang timbul pengharapan
kepada yang Maha Sempurna.
Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang
Maha Kaya.
Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati
sifat-sifat Allah SWT yang Maha Sempurna itulah yang dikatakan rasa berTuhan.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu
adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap
kebergantungan kita kepada Allah SWT di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan
masalah itu.
Ungkapan yang terkenal: “We can’t direct the wind but we can adjust
our sail” – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu
mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang
bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita
berIman kepada Allah SWT – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat
pemurah-Nya.
Dalam apa jua Takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah
bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif pada pandangan manusia.
Baik dan buruk hanya pada pandangan
kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang
ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa
(bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak
juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah SWT berdasarkan firman-Nya:
“Kamu diwajibkan berperang (untuk
menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci;
dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh
jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah
jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Al Baqarah : 216
Seorang Ahli Hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya,
“Bbarang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah SWT terpisah dalam
takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati
seseorang.”
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut
mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga,
bersangka baiklah dengan Allah SWT… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala
sabar.
Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah
untuk belajar, kerana itulah maksud Allah SWT mentakdirkan begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah SWT inginkan kita melaksanakan
keadilan.
Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah
jalan untuk kita memberi ketaatan.
Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan.
Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan.
Ya, dalam apa jua takdir
Allah SWT, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah SWT di sebalik Takdir
itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan
ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah SWT-lah
yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah SWT itu akan
memberikan yang terbaik.” Ahli Hikmat Ibnu Atoillah.
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah Takdir Allah SWT sentiasa mengatasi tadbir insan.
Jangan cuba mengambil alih “kerja
Allah SWT” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah
kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari
semasa ke semasa.
Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s
what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”
·
Mendapat
hikmah bila diuji.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang
tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian.
Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah SWT melalui ujian-ujian-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perumpamaan orang yang
beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu
hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar,
syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Allah SWT?
Maka dengan ujian bentuk inilah
ada di kalangan Rara Rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka
yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.
Ringkasnya, hikmah
adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan Para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah:
“Adakah patut kamu menyangka bahawa
kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)
seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?
Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit,
serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan
orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan
Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu
bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah Al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana
Allah SWT sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya.
Malah dalam
keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan.
Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering Para Muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah SWT) tentang
hikmah ujian dengan berkata: “Allah SWT melapangkan bagimu supaya engkau tidak
selalu dalam kesempitan dan Allah SWT menyempitkan bagimu supaya engkau tidak
hanyut dalam kelapangan, dan Allah SWT melepaskan engkau dari keduanya, supaya
engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah SWT.”
Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa
riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan.
Sentiasa
melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap
benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak Zikrullah.
Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di Dunia dan di
Akhirat nanti. Manusia perlukan Zikir umpama ikan perlukan air.
Tanpa Zikir,
hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat
yang tinggi tetapi Zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
In Syaa Allah, dengan Zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok
yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas.
Inilah bukti
keadilan Allah SWT kerana meletakkan kebahagiaan pada Zikrullah – sesuatu yang
dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau
rakyat jelata, hodoh atau jelita.
Dengan itu semua orang layak untuk bahagia
asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya.
Rupa-rupanya
yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!.
Alhamdulillah.
Edit dari Sumber: (Mencari ketenangan hati).
“Seringkali kamu menginginkan sesuatu, namun Tuhan
memalingkannya darimu. Akibatnya, kamu merasa sedih dan terus menginginkannya.
Namun, ketika akhir dan akibat daripada apa yang kamu hasratkan itu tersingkap,
barulah kamu menyedari bahawa..”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan