Ahad, 10 November 2013

2328. Suami.


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.


Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Meja www.peceq.blogspot.com . 

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (انّا للہ و انّا الیہ راجعون) ..... 
Minda Muslim. Mengelak berfikir dengan kadar ikut akal bukan ikut hukum Islam. GETUS CETUS HATI SEORANG MUSLIMAH. "Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku." (QS. Yusuf: 86) . 

Renungan untuk suami... 
Kepada para suami, sebelum anda berniat untuk 'pasang' dua dan seterusnya, fahamilah artikel dibawah dengan sebaik mungkin. 
Suami ibarat sebagai pemimpin kecil dan sebagaimana yang kita maklum, pemimpin adalah satu tanggungjawab berat didunia dan berat juga pengadilan di akhirat. 
Jangan kerana tertipu dengan kecantikan palsu seorang wanita, para suami ini menjeruskan diri ke lembah kehinaan. 
Walaupun setiap kejayaan lelaki berdirinya seorang wanita di belakang, tetapi tersilap memilih wanita akan menukarkan kejayaan tersebut kepada sebuah penghancuran. 
Wallahualam. 
MENCARI PENYELESAIAN DENGAN MAKSIAT

“Peritnya masalah rumahtangga kami ini,” keluh seorang suami.

“Kamu sudah minta bantuan Allah?” soalan untuk beliau.

“Puas saya berdoa, solat hajat…!” katanya.

“Kamu tahu mengapa doa dan solat hajat kamu tidak dipedulikan Allah?”, soalan seterusnya.

“Mengapa?”, soal beliau.

“Tatkala kamu berdepan dengan masalah, kamu berhubungan dengan perempuan itu di belakang isteri kamu! Pedulikah Allah kepada doa pelaku maksiat?” soalan terakhir buatnya.

Ketika seorang suami tidak berpuas hati dengan keadaan isteri dan perkahwinannya, peringkat ini sering juga menyaksikan suami berhubungan dengan perempuan lain. Sama ada hubungan itu di pejabat, di internet, di lokasi program, atau di mana sahaja, apakah definisi Islam kepada perhubungan itu?

Ia adalah maksiat!

Lebih buruk lagi, maksiat itu merangkumi keingkarannya terhadap Allah, dan kezaliman ke atas manusia (isteri dan anak-anak).

Biar pun hubungan itu nanti mungkin berkesudahan dengan perkahwinan, sama ada secara poligami atau dengan menceraikan isteri pertama terlebih dahulu, hubungan sebelum berkahwin itu tetap suatu maksiat yang tidak terhapus dengan perkahwinan tersebut. 

Perkahwinan bukan penghapus dosa. Hubungan sulit sang suami dengan perempuan berkenaan adalah dosa, manakala perkahwinan adalah subjek yang berasingan. Dosa dan maksiat hanya terubat dengan taubat!

Justeru kita ingin tahu, berapa ramai suami yang berjaya mengendalikan kes poligami tanpa pendahuluan ‘hubungan sulit’ berupa maksiat ini? Jika anak teruna dan dara dibantu oleh keluarga dan saudara mara dalam mengatur risik, pinang, tunang dan akad nikah sebagai jalan beradat lagi bersyariat dalam berumahtangga, bagaimana pula dengan perkahwinan golongan ‘bijak pandai lagi berpengalaman’ ini? Ketika bertemu dua insan ini, siapakah yang ketiga di antara mereka?

Maksiat kepada Allah, dan zalim ke atas isteri dan anak-anak, dosa ini tidak terhapus dengan kejayaan berkahwin yang didambakan itu. Ia wajib dengan taubat.

Syarat taubat, harus dengan penyesalan, juga koreksi atas kesan perlakuannya di dalam maksiat itu.
Itu seperkara.

TERTIPU OLEH PERASAAN

Tatkala seorang suami berkenalan dengan cinta kedua, isteri yang sedia ada sering kelihatan buruk celanya. Serba serbi tidak kena. Cinta kedua itulah ‘penemuan sejati’ yang terlewat tapi belum terlambat.

Suami terlupa bahawa hubungannya dengan isteri pertama banyak dibelenggu oleh tekanan dan bebanan. Ia datang dari tanggungjawab yang sudah terpikul di atas bahu mereka berdua. 

Anak-anak, harta benda, kewangan dan pelbagai lagi. Semua itu menjadi sumber tekanan, dan mustahil hubungan nampak indah dalam keadaan masing-masing tertekan dan terbeban.

Akan tetapi segalanya nampak indah pada cinta kedua, kerana di situlah ditemui ketenangan.
Bergaduh dengan isteri di rumah, lari kepada cinta sejati yang setia.

Luahkan segalanya kepada dia.

Dia sungguh memahami.

Tetapi suami itu terlupa bahawa hubungan cinta kedua itu indah kerana ia belum datang dengan tanggungjawab. Belum ada komitmen. Hanya cinta dan perasaan yang cantik-cantik belaka. 

Justeru tidak rasional untuk sang suami membandingkan cinta keduanya dengan isteri pertama di dalam rumah. 

Amat salah alasan suami bahawa beliau yakin kekasihnya bakal membahagiakan, tanpa meneliti akan perihal tanggungjawab yang bakal mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA (kali berikutnya).

Berkahwin kerana perasaan tanpa mempedulikan tanggungjawab dan bebanan, adalah kebudak-budakan yang mengundang kehinaan. Kematangan usia gagal mematangkan pertimbangan.

SI MANIPULATIF ITU

Pertimbangan ketiga pula harus dilihat kepada ‘pihak ketiga’ itu. Jika hubungannya dengan lelaki itu, tanpa pengetahuan bahawa kekasihnya adalah suami orang, maka itu suatu kecuaian yang besar. Salahnya adalah atas kecuaian tersebut.

Akan tetapi jika beliau muncul untuk memanipulasi masalah yang sedang membelenggu seorang suami dan isteri, maka besarlah dosa dan celanya atas perbuatan itu. Malah lebih menghairankan kita, bagaimanakah seorang lelaki boleh memandang perempuan seperti ini sebagai pasangan ganti kepada isteri yang halal di rumah itu? Baikkah perempuan yang mengambil peluang dari mehnah yang sedang membelenggu suami dan isteri itu?

Tatkala mereka berdua sedang berjuang untuk menyelamatkan sebuah bahtera dengan anak-anak yang antara timbul dan karam itu, bagaimanakah rupa hati seorang perempuan yang datang menawarkan perahu ‘penyelamat’ untuk si lelaki dengan memejamkan mata terhadap nasib perempuan dan anak-anak di dalam kapal yang terumbang ambing itu? Apakah nilai iman dalam dirinya?

Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan kamu saling berdengki, saling memuji barang untuk melariskannya, saling membenci, memulau dan jangan antara kamu yang membeli atas pembelian orang lain, hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak menzaliminya, tidak menghinanya. Taqwa itu di sini-baginda mengisyaratkan kepada dadanya sebanyak tiga kali-. Cukuplah seseorang itu melakukan kejahatan dengan menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim darahnya, hartanya dan maruahnya haram ke atas muslim yang lain. (Muslim)

Apakah rasional seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang tiada belas terhadap seorang perempuan lain yang memiliki hati dan diri sepertinya? Bagaimana pula dengan anak-anak itu? Sungguh, tiada justifikasi terhadap perbuatan sakit menyakiti seperti ini kecuali kerana masing-masing saling memandang dengan pandangan nafsu.

Seperkara yang harus disedari oleh para suami, talak dan poligami bukannya HAK milik mereka, tetapi TANGGUNGJAWAB untuk ia diuruskan sebaik mungkin. Memikirkan bahawa talak serta poligami itu sebagai HAK akan secara sedar atau tidak sedar menjadikan suami tidak memberi sepenuh diri ke arah menyelesaikan krisis rumahtangga yang sedang dihadapinya.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [Al-Room 30: 21]

Mawaddah itu adalah cinta yang terhasil, kesan dari usaha menyemainya di dalam jiwa antara suami dan isteri. Cinta tambah, bagai yang digelarkan oleh M. Quraish Shihab dalam risalah ‘Cabaran Kehidupan Rumah Tangga‘ karangannya. Mawaddah hanya ada antara suami dan isteri, sebagai cinta yang diperjuangkan dalam sebuah rumahtangga. 

Segala susah payah yang diharungi dengan jiwa memberi oleh suami dan isteri menyuburkan mawaddah ini… sesuatu yang seharusnya mekar dalam sebuah perkahwinan lewat usia.

Namun mawaddah yang mengosongkan diri dari kecenderungan mengungkit kekurangan di antara suami dan isteri, terlalu ideal untuk berdiri sendiri. Manusia kaya dengan kelemahan, sebagaimana kaya juga dengan keinginan dan kemahuan. Justeru di antara tanda kebesaran Allah SWT yang diterbitkan dalam sebuah perkahwinan, adalah mawaddah yang diiringi rahmah. Sifat rahmah ini menghiasi jiwa seorang suami secara khusus, terhadap kecenderungan dirinya kepada keinginan dan keperluan.

Suami yang beristerikan seorang perempuan yang mandul, atau hilang upaya seksual kerana menopause sebagai misal, mungkin boleh mengambil pilihan poligami untuk memenuhi naluri kebapaan dan kelelakiannya yang diingini. Tetapi dia sedar, bahawa pilihan itu pedih buat sang isteri. 

Justeru sifat rahmah itulah yang membendung keinginan tersebut. Sifat belas ihsan yang tidak sampai kepada hatinya untuk menyakiti isteri atas kekurangan yang berlaku. Demi mawaddah antara mereka, rahmah menjadi bekal pengorbanan seorang suami.

Dan isteri yang terhias jiwanya dengan sifat yang rahmah itu jua, membangunkan kesediaan yang sama untuk belas ihsan terhadap suami yang juga punya hati dan perasaan. Di sinilah ujian kepada mawaddah dan rahmah antara suami dan isteri.

Suami yang awal-awal lagi membelakangkan isteri dan mendampingi wanita lain di luar daerah Halal, tiada mawaddah dan tiadalah rahmah antara mereka. Hanya murka Allah yang menjadi duri siang dan malam saban ketika.”

Sumber: (renungan-untuk-suami) .-. 

In Syaa Allah Bermanfaat.

Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 
urv.
_._ 

Tiada ulasan: