Rabu, 25 Disember 2013

2927. Al-Fatihah sebagai Surah merawat.

بسم الله الرحمن الرحيم

Kisah sahabat Nabi SAW merawat dengan Surah Al-Fatihah
Dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia menjelaskan adanya satu kumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. yang keluar pergi musafir. Di tengah perjalanan mereka telah singgah di sebuah perkampungan Badwi. Mereka telah meminta makanan, tetapi penduduk kampung tersebut enggan memberinya. 

Dengan takdir Allah s.w.t., tidak lama setelah itu, ketua kampung berkenaan telah disengat binatang. Mereka telah berusaha untuk mengubatinya tetapi gagal. Sesetengah daripada mereka mencadangkan agar mereka meminta pertolongan daripada kumpulan orang Islam yang singgah di kampung tadi. Mungkin mereka boleh membuat sesuatu untuk merawat. 

Mendengarkan harapan yang begitu tinggi terhadap mereka, sebahagian daripada orang Islam tadi memberitahu bahawa mereka boleh menolongnya, tetapi oleh kerana penduduk tersebut pernah menolak permintaan mereka sebelum itu, mereka tidak akan menolongnya kecuali setelah berjanji memberi upah. 

Rombongan itu bersetuju atas permintaan tadi untuk memberi beberapa ekor kambing. Orang Islam yang berkenaan datang menemui ketua kaum yang sedang sakit, lalu dihembusnya dengan air ludah pada tempat yang sakit tadi sambil membaca: “AlhamdulilLah”. Dalam satu riwayat lain disebutkan bahawa doa yang dibaca ialah Surah al-Fatihah lalu perawat tadi mengumpulkan air ludahnya dan dihembuskan, menyebabkan pesakit beransur sembuh. Dalam satu riwayat lain, dijelaskan bahawa upah yang diberi ialah tiga puluh ekor kambing.  

Keterangan hadis ini memperlihatkan bahawa Surah al-Fatihah itu amat besar fadilatnya, di antaranya ialah untuk merawat pesakit akibat terkena racun, seperti disengat kala jengking, lipan dan sebagainya. 

Dijelaskan juga dalam keterangan hadis ini bahawa perawat, dengan izin Allah berjaya melakukan rawatan dengan membaca Ummu al-Qur’an (Surah al-Fatihah). Kalau difikiri dari segi logiknya, terlalu sukar untuk menerima hakikat, bahawa pesakit boleh sembuh hanya dengan bacaan Surah al-Fatihah dan sedikit hembusan air ludah. 

Setiap orang Islam boleh dikatakan tahu membaca Surah al-Fatihah, tetapi untuk meyakinkan bahawa bacaan yang dituturkan membolehkan seorang pesakit, seperti sakit terkena gigit kala jengking ataupun lipan boleh sembuh, sering dirasakan seupama sesuatu yang sukar diterima. Malah kita sendiri mungkin tidak yakin bahawa usaha seperti ini boleh berjaya. Tetapi, kesembuhan seperti ini bukan sesuatu yang mustahil, kerana Allah s.w.t. itu Maha Berkuasa, Tidak Digagahi oleh sesuatu, apabila Ia Menghendaki sesuatu, Ia berkata: jadilah maka jadilah (Surah Yasin : 82).

Sumber dari Darussyifa’
Sumber:
Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 
vmct7.

7tcmv.

Tiada ulasan: