Isnin, 17 Mac 2014

3822. Bagaimanakah wahai aku dengan persediaan - Tentang ada waktunya terjadi serangan akidah dan pemikiran diserang.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.


Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Meja www.peceq.blogspot.com 

SERANGAN AKIDAH DAN PERANG PEMIKIRAN
oleh: Dr. Riduan Mohamad Nor.

PAS sebagai harakatul ummah yang menjadi pembenteng agama Allah wajib terus berjuang untuk memastikan akidah umat Islam negara ini selamat daripada sebarang bentuk pencemaran. 

Terjahan terhadap akidah dan pelbagai cabaran sedang menyelimuti umat Islam, antaranya menularnya neo muktazilah, syiah, neo khawarij, Islam liberal, pluralisme agama, mewabaknya pelbagai ajaran sesat serta menggebunya amalan khurafat dan syirik dalam masyarakat Islam negara ini. 

Masyarakat wajib disedarkan serta dicerahkan akal nurani mereka tentang serangan pemikiran yang dipicu oleh musuh -musuh Islam dan PAS wajib terus memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan sekular pragmatis BN yang turut memainkan peranan menyuburkan kebobrokan akidah ini dalam masyarakat Islam. Lujnah Dakwah akan terus memainkan peranan yang aktif untuk menjadi motor utama dalam pemurnian dan pelestarian aqidah ini, selain gerakerja dakwah dilapangan yang sentiasa berjalan, lujnah dakwah akan terus menyuburkan wacana-wacana pemantapan aqidah yang akan bergerak ke seluruh tanahair. 

Wacana pemantapan akidah bertujuan mendedahkan isu tentang pemalsuan akidah yang sedang menerobos dan merosakkan akidah ummah. Serangan pemikiran ini berbeza dengan apa yang difahami dan dipelajari dalam kitab-kitab kuning yang diajar oleh tuan-tuan guru, pondok, surau, asjid-masjid seperti fahaman Muktazilah, Qadariah, Syiah, Isma`iliah, Batiniah, Jabariah, Zaidiah, dan pelbagai penyelewengan akidah yang berlaku di zaman pertengahan. 

Wacana pemantapan aqidah siri satu telah berjaya memancing pesona lebih dua ribu penyertaan, juga pembentangan dan sesi soal jawab efekif yang dijayakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Prof. Madya Dr Abdul Aziz Hanafi, Prof. Madya Dr Fauzi Deraman. Wacanaa membenah akal umbi sejarah perbedaan mazhab sehinggalah dengan pembongkaran aliran anti hadith yang sangat sesat dan memualkan. 

Insyaallah , wacana pemantapan akidah siri kedua akan menyusul dengan membedah aliran neo muktazilah yang kini mula mewabak dalam pemikiran umat Islam. Aliran ini , dikosmetik dengan jenama Islam liberal dijaja dengan penuh nafsu, kononnya menolak jumud dan konservatisme agama. 

Islam Liberal merupakan penyamaran bentuk baru fahaman Muktazilah yang dikembangkan melalui penulisan dan wacana ilmu serta mendapat dokongan daripada musuh-musuh Islam seperti Ford Foundation dan Conrad, ditunjang pula oleh rejim umat Islam yang berselimut dan senafas dengan musuh Islam. Plural agama pula semakin menampakkan wajah hodohnya di negara ini. 

Dengan menggunakan alasan masyarakat majmuk, merapatkan jurang integrasi antara kaum dan agama, memaut perpaduan antara etnik. Kita tidak mahu ummat Islam di negara ini mengulangi kesilapan ummat Islam di Indonesia yang telah diterjah dengan isu murtad, Islam Liberal dan pluralisme agama semenjak dekad 1970an. 

Kesannya kepada ummat Islam Indonesia cukup bobrok dan memualkan kerana umat Islam dan negara Indonesia hari ini diserang dengan usaha pemurtadan yang hebat, dihempap dengan duka dan bencana bertindan-tindih seolah menerima kutukan dari langit. Indonesia hari ini telah menjadi begitu liberal kefahaman dan amalan agamanya. 

Tanah perkuburan yang dikongsi pelbagai agama, berbilang agama dalam keluarga, perkongsian perayaan telah diterima sebagai satu norma yang standard dengan semangat pancasila. 

Di negara kita sendiri gejala murtad, Islam Liberal dan pluralisme agama semakin merebak. Malah disuburkan melalui NGO-NGO yang menyamar sebagai pembela hak asasi manusia dan memperjuangkan pencerahan agama. Kelompok ini juga berjaya menduduki pos strategik di negara ini seperti menguasai media dan sering berlegar di serambi kuasa. 

Masyarakat Islam di negara ini semakin tidak kisah dengan budaya melampau, penyakit sosial semakin membarah, industri maksiat dan dosa yang semakin membuncah, malah masyarakat Melayu juga telah dicandui dengan budaya seronok melampau akibat asuhan yang salah daripada regim penguasa pragmatisme negara ini. 

Antara bentuk pemikiran Islam liberal dan cirinya ialah: 

1. Mereka menganut fahaman Pluralisme.

2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia.

3. Ayat-ayat Al-quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman.

4. Mempertikai syariat Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah rasional.

5. Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama.

6. Mendukung gerakan pembebasan wanita dan feminisme.

7. Meragui kesahihan sebahagian teks al-Quran dan penyusunannya.

8. Menolak dan mempertikai hadis Nabi SAW dengan mendakwa ianya bercanggah dengan al-Quran.

9. Meragui peribadi Rasulullah SAW, sehingga mengheret penolakan terhadap al hadith .

Penulis ialah Setiausaha Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Blogger Home. 
s3v3n

s3v3n
copyright©

Tiada ulasan: