BEBERAPA hari lepas, saya duduk berborak dengan mereka yang sudah
melimpah ruah pengalamannya mengenai hal ehwal wanita. Walaupun sudah
masuk umur 43 dan sudah hampir 20 tahun berumahtangga tetapi bercampur
dengan mereka, saya berasa diri seperti anak muda mentah.
Rupanya masih banyak yang saya tidak tahu mengenai wanita. Betullah
seperti apa yang dikata oleh seorang kawan, wanita adalah makhluk yang
dijadikan ALLAH dengan seribu satu misteri. Dan meneroka misteri wanita
adalah pengembaraan hidup yang sangat menarik. Namun pengembaraan ini
tidak ada destinasi muktamadnya sebagaimana misterinya wanita yang tidak
pernah ada jawapan tuntas bagi setiap persoalan membabitkan mereka.
Dalam perbualan itu, berkatalah seorang daripada bijak pandai ini bahawa
lelaki jangan berasa diri mereka sudah cukup pandai untuk
menyembunyikan rahsia daripada isteri, terutama suami yang daripada
spesis patin buah iaitu mereka yang mengamalkan cara hidup liar, bebas
seperti patin yang di luar sangkar.
"Orang perempuan ni kita tak tau, instinct depa kuat. Apa yang kita buat
di luar rumah, depa boleh rasa. Tinggal lagi sama ada depa nak bising
atau tidak saja," katanya.
Menyusul selepas, macam-macam pandangan dikemukakan. Ada yang mengatakan
dalam pada suami yang jenis patin buah itu berasa mereka sudah cukup
bijak menyembunyikan kegiatan kokurikulum daripada pengetahuan isteri,
keharmonian rumah tangga sebaliknya berjaya dikekalkan hanya bersebab
kesabaran isteri.
"Isteri ni... depa saja tak mau buat kecoh. Selagi mana dirasa apa yang
dibuat suami di luar rumah tak menjejaskan depa, selagi itulah depa
bertahan. Ada juga yang fikir, kalau depa bising, keadaan akan jadi
lebih haru biru. Anak-anak macam mana?
"Bagi mak-mak ni, anak-anak lebih utama. Sebab itu depa diam. Walaupun
makan hati, depa tak bising sebab depa tau, kalau depa bising, akibatnya
mungkin lebih buruk untuk depa." Demikian salah satu pendapat yang
dikemukakan.
Menariknya, untuk mengiyakan lagi tajuk itu, seorang daripada rakan saya
itu buat pengakuan. Katanya, pernah suatu ketika bekerja di luar
kawasan, dia terserempak dengan kekasih lamanya sewaktu universiti
dahulu.
"Nak jadi cerita, ex-girlfriend aku tu tak kahwin lagi. Bila dah
terjumpa dan aku pun tengok dia masih lawa, semangat lama pun datang
balik. Kami pergi makan dan berborak agak lama. Kiranya dalam hati aku
memang ada niat nak sambung balik apa yang sudah terputus."
Namun dengan tidak semena-mena kata kawan saya itu, keasyikannya menganyam impian tiba-tiba tersentap apabila isterinya telefon.
"Sebelum tu, tak pernah sekalipun dia call waktu kerja. Biasanya bila
kerja outstation, malam aku yang call dia untuk tanya khabar, tahu-tahu
hari tu, entah macam mana dia teringat nak call aku pulak. Dan lagi yang
paling tak sedap, dia tanya aku ok ke tak? Tiba-tiba saja. Bila aku
tanya dia sebab apa tanya macam tu, dia kata, entah, tiba-tiba saja rasa
tak sedap hati," katanya.
Sejak itu, kata si rakan, jangankan impian jangka panjang, impian jangka
pendeknya pun terus terhenti di situ juga. Taubat nasuha terus dia.
Kawan saya itu bukan spesies patin buah tetapi patin sangkar!
Saya teringat satu cerita yang lain. Ini berkaitan hipnosis. Hipnosis
biasanya dikaitkan dengan keadaan seseorang yang kelihatan seperti tidur
tetapi tidak tidur. Adapun apa yang berlaku kepada seorang kawan
seperti yang dia sendiri akui, bagi saya adalah paling 'membahayakan'
Katanya, pernah terjadi dalam keadaan tidak sedar, dia sendiri bercerita
habis apa yang dilakukan di luar rumah kepada isterinya.
"Esoknya dia bercerita balik pada aku apa yang aku ceritakan pada dia,
walhal masa itu aku tidur. Rupa-rupanya time aku tak sedar (tidur) tu,
dia interview aku dan aku pun ceritakan semuanya. Sejak itu, nak tidur
malam pun aku takut, takut kena interview lagi." katanya disambut gelak
ketawa kami semua.
Kepada suami-suami patin buah, berhati-hatilah ataupun kembalilah ke sangkar menjadi patin sangkar.
My Dashboard.
s3v3n
Tiada ulasan:
Catat Ulasan