Rabu, 26 Ogos 2015

5807. Jadi sepatutnya jiwa lelaki dalam sebuah rumah tangga Islam.

#
Perkahwinan itu indah ,
Biarpun dalam perkahwinan ada pelbagai ranjau duri, 
ada liku-liku dan ada pasang surutnya, 
Namun dalam perkahwinanlah kita mampu membina pelbagai perasaan.

Di dalamnya tersimpan rasa bahagia,
Cemburu, sedih, gembira, tangisan dan senyuman.
Perkahwinan ada sejuta wajah.

Di dalamnyalah kita mengumpul dosa dan pahala.
Bersamanya kita belayar dalam lautan madu dan
mengharungi ombak menderu.

Kebahagiaan dalam perkahwinan bergantung
Sebanyak mana kita menghargai
erti perkahwinan itu sendiri.

Kalauuuu lahhh difahamkan betul2...


Sumber: <SINI>


Dosa Dalam Perkahwinan
by ADMIN on NOVEMBER 10, 2011


Sedarkah kita bahawa perkahwinan itu merupakan satu tanggungjawab dan amanah?
Perkahwinan itu bukan hanya berlangsung sehari di hari pernikahan dan walimatulurus yang memerlukan belanja puluh-puluh ribu namun perkahwinan itu adalah selepas hari pengantin dirai bagai raja sehari. Jika sebelum ini kita hanya hidup bujang tetapi tiba-tiba ada manusia asing yang masuk kedalam hidup kita.  Jika sebelum ini kita hanya hidup dalam kelompok keluarga kita, namun setelah berkahwin kita perlu hidup dalam kelompok keluarga lain yang mungkin budayanya amat jauh berbeza dengan budaya hidup kita sebelum ini. Jika sebelum ini kita masak untuk seorang makan, selepas berkahwin kita perlu masak untuk dua orang makan.
Entah berapa banyak “jika” untuk kita senaraikan.
Pendek kata perkahwinan itu suatu perkara yang memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Jika boleh biarlah perkahwinan yang kita bina itu berkekalan hingga ke taman-taman syurga kelak. Tetapi mengapa dikatakan dosa dalam perkahwinan?

Kita memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru. Oleh sebab itu, kita perlu benar-benar bersedia. Jika tersilap langkah pasti akan mengundang dosa walaupun hakikatnya perkahwinan itu adalah salah satu cara untuk mendapatkan pahala.


Memandang wajah suami atau isteri pun sudah dapat pahala apatah lagi jika senyum. Bab dosa dan pahala memang urusan Allah S.W.T, kita yang makhluk ini haruslah beringat dan berjaga-jaga.
Jika perempuan yang tidak menjaga dirinya dari segi aurat dan sebagainya, si suami yang terpaksa menanggung dosa. Jika si isteri meninggikan suara pada suaminya, itu juga satu dosa.Oleh itu, jika kita masih belum benar-benar bersedia, jangan cuba dekati perkahwinan. Memang ada yang berkata:
“Kalau nak tunggu betul-betul sedia memang tak kahwinlah sampai ke tua.”
Ada juga yang berkata:
“Sedia itu datang seiring dengan niat kita untuk berkahwin.”
Sedia itu merujuk kepada apa?
Ilmu rumahtangga?
Ilmu Agama?
Persediaan mental dan fizikal?
Semua aspek kita perlu bersedia. Paling penting adalah ilmu bagaimana kita mahu melayarkan bahtera rumahtangga. Rumahtangga dan keluarga bagaimana yang kita mahukan? Adakah keluarga yang bercirikan Islam pada dasarnya atau keluarga yang hanya Islam pada nama? Itu perlu ditanya pada diri sendiri. Rumahtangga yang bagaimana kita mahukan? Cuba renungkan dan fikirkan dalam-dalam.
Orang-orang yang enggan menikah kerana hendak menghindari beban tanggungjawab adalah orang-orang yang tersesat. Sebab perasaan takut memberi nafkah menjadikan iman seseorang itu cacat.” – (Imam Hasan al-Banna)
Firman Allah S.W.T:
” Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat yang baik itu adalah bagi orang-orang yg bertaqwa.” – (Surah Thaha: Ayat 132)
Tetapi jangan pula kita takut untuk menikah kerana pernikahan itu adalah sunnah Rasulullah S.A.W. Menyempurnakan perkahwinan ibarat menyempurnakan sebahagian daripada agama. Dengan berkahwin juga dapat melahirkan zuriat yang halal yang mudah-mudahan menjadi khalifah di muka bumi ini. Ramai yang berkongsi kata-kata ini di Laman Facebook.
Aku nikahkan Dikau ……  dengan anak ku ….. 
Aku terima nikahnya si fulanah binti si fulan dengan mas kahwinnya RM….”
Itu adalah tersurat. Apa yang tersirat? Yang tersirat ialah:
“Aku tanggung dosa-dosa si fulanah ini dari ibu bapanya, apa saja dosa yang dia buat, aku tanggung dan bukan lagi ibu bapanya tanggung dan aku tanggung dosa bakal anak-anak aku. Akulah orang yang bertanggung jawab dalam memberinya nafkah zahir dan batin, memberinya ilmu dunia Akhirat dan juga bertanggung jawab memegang tanganya bersama-sama berlari bertemu-Mu Tuhan. Aku juga sedar, sekiranya aku gagal dan aku lepas tangan dalam menunaikan tanggung jawab, maka aku fasik, suami yang dayus dan aku tahu bahawa nerakalah tempatku akhirnya dan malaikat Malik akan melibas aku hingga pecah hancur badanku. Akad nikah ini bukan sahaja perjanjian aku dengan si isteri dan si ibu bapa isteri, tetapi ini adalah perjanjian terus kepada Tuhan.”
Berat bukan tanggungjawab seorang suami? Berkahwin bukan semata-mata bagi nafkah zahir dan batin sahaja namun juga ilmu. Jika isteri tersalah, tegurlah jangan biarkan sampai ia menjadi barah dalam keluarga.
Jika usia sudah mencecah 20-an buatlah persediaan dari sekarang.  Persediaan dari ilmu rumahtangga, ilmu agama, ilmu hendak mendidik anak-anak, ilmu segala jenis ilmu yang berkaitan supaya rumahtangga yang dibina dalam redha Allah S.W.T. Material juga perlu sedia juga baik lelaki mahupun perempuan. Paling penting restu ibu bapa. Kerana redha Allah S.W.T terletak pada redha Ibu bapa. Wallahualam.
Mari kita ikuti sedutan video dibawah oleh Ustaz Azhar Idrus tentang “do’s and don’ts” dalam perkahwinan mengikut Islam.




Sumber: 
<SINI>
Perempuan. Walau bagaimana sibuk dan aktif dalam society, kental bawa diri tak ada pakwe, bersemangat dalam dakwah atau bijak melangit dalam pelajaran, tetap takkan lari daripada bicara soal hati.

Andai hati itu asalnya lembut maka selamanya jua lembut.

Suka orang itu. Suka orang ini.
Nak jaga hati.
Tak nak lagha.
Tak nak fikir yang sia-sia.
Kadang-kadang rasa rindu sangat sampai nak kahwin sahaja lagi mudah.
Tengok orang couple, rasa nak couple juga, bila fikir balik, tak nak couple sebab tak nak buat perkara menghala dosa, tetapi jiwa terseksa.
Tengok orang kahwin, nak kahwin juga, tak tahu kenapa rasa nak kahwin datang tetapi yang tahu hanya mahu kahwin bila seronok tengok orang kahwin.

Pelbagai rasa didengari.
Bercampur-baur dalam hati.

Itu lumrah, sayang.
Apatah lagi dalam umur yang makin meningkat dewasa.
Soal hati dan fitrah rasa untuk disayangi dan menyayangi itu biasa.

Cuma terkadang diri perlu tahu, fokus kehidupannya di mana.
Suka itu tidak salah namun usah sehingga tidak lalu makan nasi goreng ayam paprik tiga hari hanya kerana sakit menahan rindu.

Wake up. Hidup dalam dunia sebenar.
Perjalanan dalam hidup ini jauh.
Bukan sekadar soal saya-suka-awak dan awak-suka-saya, tiada-apa-lagi-yang-menjadi-penghalang-antara-kita dan jom-kahwin semata.

Itu salah satu cabang daripada banyak cabang dalam kehidupan.
Salah satu cabang yang penting.
Dan ada banyak lagi cabang penting lain juga yang perlu diberi fokus.

Rasa yang datang tiada siapa yang sengaja mengundang.
Usah dipadam perasaan fitrah itu tetapi bijaklah dalam mengawal rasa suka.

Itu yang dikata.
Bila suka jangan terlalu suka.
Bila benci usah terlalu benci.
Selalulah untuk berada di tengah-tengah.
Kerana selama tiada ikatan halal yang termeterai, dia bukan sesiapa lagi untuk dicintai sepenuh rasa.
Genggam kemas hati itu baik-baik.
Usah mudah lemah.
Bina semangat yang kental.

Cari di mana jiwa yang benar menangis rindukan Rabbi seperti Rabi'ah el-Adawiyah.
Cari di mana jiwa yang selalu bermunajat dan hanya berharap pada Tuhannya seperti puteri kesayangan Rasulullah SAW, Fatimah Azzahra.
Cari di mana jiwa yang tertanam akidah yang unggul di dalam hatinya seperti Masyitah yang tegar terjun ke dalam minyak yang panas semata-mata untuk mempertahankan keimanan.
Cari di mana jiwa seorang Sumayyah yang rela diseksa dengan pelbagai dugaan yang menyakitkan hanya untuk mempertahankan kalimah Ahad.
Cari di mana jiwa seorang Zinnirah yang rela dijemur di tengah padang pasir bersama cahaya yang terik dan dibutakan mata hanya semata teguh mempertahankan keyakinan akidah.

Belajarlah menjadi seorang wanita.
Belajar untuk menjadi seorang wanita berjiwa hebat seperti srikandi-srikandi Islam.

Jangan biar diri gatal hanya mahu kahwin sahaja sedang persiapan diri layu.

Waktu mahu kahwin sememangnya mahu kahwin kerana yang ada di hadapan segalanya terlihat indah.
Tempoh selepas kahwin bukan sehari dua, tetapi biar mahu sampai ke syurga.
Mahu kahwin bukan hidup berdua sahaja, nantinya keluarga sudah makin bertambah besar.

Kahwin bukan soal cinta dan suka sahaja.
Perkahwinan penuh dengan tanggungjawab yang menanti.

Kalau kita yang seorang perempuan sekarang malas mahu menimba ilmu, maka dengan apa lagi mahu dididik anak-anak yang sedang membesar.
Kalau kita yang seorang perempuan lemah dalam mujahadah diri untuk buat amal maka contoh kebaikan apa lagi yang mahu ditunjukkan kepada anak-anak.
Kalau kita yang seorang perempuan hanya tahu untuk duduk bersenang-lenang dan lemah jiwanya maka siapa lagi yang mahu berada di belakang menguatkan perjalanan dakwah seorang suami.
Kalau kita yang seorang perempuan lemah dalam menjaga kehormatan diri maka kecintaan dan kesetiaan apa yang akan tinggal buat seorang suami yang teguh menanti kelak.
Kalau kita yang seorang perempuan lemah dalam mengendalikan emosi maka siapa lagi yang akan membantu suami untuk mengemudi bahtera keluarga yang bahagia.
Kalau kita seorang perempuan yang tiada matlamat tinggi dalam hidup maka siapa lagi yang akan bersedia membina jiwa besar dalam diri mujahid-mujahid kecil.

Ilmu sekarang bukan untuk skor Dean's List dan belajar jurusan di universiti sahaja.
Ilmu sekarang perlu dicari dan sekurangnya diri punya asas dalam pelbagai cabang ilmu.

Saat tiada terikat dengan tanggungjawab rumah tangga inilah waktunya untuk menimba ilmu dengan sebenarnya.
Setidaknya mahu untuk belajar hukum-hukum fiqh.
Setidaknya belajar bagaimana mahu untuk melayan dan mengerti rentak isi hati dan jiwa si kecil.
Setidaknya belajar bagaimana untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat yang pelbagai.
Setidaknya mahu belajar bagaimana untuk memperbaiki solat dan memperbaiki kefahaman dalam Al-Quran.
Setidaknya belajar tentang ilmu rumah tangga.

Belajarlah memasak. Biarlah potong bawang 3 hiris juga sudah menangis sebaldi. Asal sahaja mahu untuk belajar.
Jadi anak dara harus belajar untuk bangun dan perkemaskan diri awal pagi.
Bukan pula untuk tidur melangit hingga ke tengah hari.
Belajar bagaimana mahu jadi seorang wanita yang produktif.

Ya. Kita bukan sempurna untuk tahu dan buat banyak perkara.
Dan kerana tidak tahu banyak perkara itulah kita perlu belajar banyak perkara.
Hidup ini satu medan yang penuh hikmah untuk kita ambil dan pelajari sesuatu tiap saat.
Tak ada orang yang secara semulajadi tahu banyak perkara.
Melainkan dia cuba untuk ambil tahu dan mahu belajar.

Ini bukan untuk mendesak diri menjadi seorang perempuan yang sempurna tanpa cela tiap segi dan hebat sehingga bisa untuk terbang merentasi langit ke-7 mengalahkan Wonder Woman.
Bukan.
Ini mahu memberi sejentik kesedaran bagaimana seorang perempuan harus berperanan terutama dalam dunia moden zaman kini.

Kerana kematangan bukan diukur sejauh mana kemahiran dalam berselfie baik tudung labuh, berniqab atau melilit-lilit.
Kerana kematangan itu ada pada ilmu dalam diri dan nilai dalam memandang kehidupan.
Dan kerana kematangan itu ada pada hati yang selalu membawa jiwa seorang hamba dalam dirinya.

Usah terlalu risau akan soal jodoh.
Usahalah setakat mana yang mampu.
Asal sahaja diri tahu untuk menjaga kehormatan diri maka dia yang begitu jualah yang bakal dihadirkan Allah.
Asal sahaja hati terus teguh pada jalan dakwah dan kebenaran maka dia yang begitu jualah yang akan datang melengkapkan kehidupan.

Hidup ini cukup mudah.
Buat apa yang Allah suka dan reda.
Dan suka serta reda dengan tiap apa yang diberi Allah.
Kerana tiada apa yang tidak baik datang daripada Allah melainkan segalanya baik-baik belaka.

Berbahagialah duhai muslimah.
 —
Sumber: <SINI>
Pada suatu hari seorang lelaki datang ke rumah Umar bin Khattab ra. hendak mengadu keburukan isterinya. Namun setiba di samping rumahnya, ia mendengar isteri Umar bin Khattab mengeluarkan kata-kata yang keras dan kasar kepada suaminya, sementara Umar tidak menjawab sepatah kata pun. 

Akhirnya orang itu berfikir, sebaiknya ia membatalkan saja niatnya. Ketika orang itu hendak berbalik pulang, Umar baru saja keluar dari pintu rumahnya. 

Umar segera berteriak memanggil orang itu. Umar langsung berkata kepadanya, "Engkau datang kepadaku tentu hendak membawa satu berita penting!" Orang itu lalu berkata terus terang , "Ya sahabat Umar bin Khattab, aku datang kepadamu hendak mengadu keburukkan isteriku terhadapku. Akan tetapi setelah aku mendengar kelancangan isterimu tadi terhadapmu, dan sikap diammu terhadap perbuatannya, aku jadi mengurungkan niatku untk melaporkan hal itu." 

Mendengar perkataan yang jujur itu, Umar tersenyum kecil seraya berkata, "Wahai saudaraku, isteriku telah memasakkan makanan untukku. Dia juga telah mencuci pakaianku, mengurus urusan rumahku, dan mengasuh anak-anakku sehingga tiada hentinya. Maka apabila ia berbuat satu dua kesalahan, tidaklah layak kita mengenangnya, sedang kebaikan-kebaikannya kita lupakan. Ketahuilah, wahai saudaraku, antara kami dan dia hanya ada dua hari. Kalau kami tidak meninggalkannya dan terbebas dari perangainya, maka dia akan meninggalkan kami dan terbebas dari perangai kami pula." 

Setelah mendengar penuturan yang amat bijak dan penuh hikmah itu, orang itu pergi meninggalkan Umar bin Khattab dengan hati gembira dan puas. Pengajaran dari cerita di atas Setiap lelaki di bekali dengan sikap kesabaran dan kematangan dalam menghadapi setiap situasi yang sukar. Lelaki lebih berjaya dalam membuat keputusan-keputusan untuk keluar dari masalah yang dihadapi. Lelaki yang bijak adalah lelaki yang faham akan situasi isterinya dan tahu cara mengurus isterinya. Sebab itulah lelaki merupakan ketua keluarga. 

Suami perlu bersikap sabar apabila dimarahi dan dileter oleh isterinya, kerana suami yang sabar akan tingkah laku isterinya yang suka bercakap atau beleter, akan dihapuskan segala dosa-dosa masa lalunya. Hal ini berlaku kepada Nabi Allah Ilyas yang berdoa supaya dianugerahkan kepadanya isteri yang kuat beleter, kerana ia mengetahui inilah cara beliau menghapuskan dosa dan cara mudah untuk masuk kedalam syurga Allah. 

Setiap suami kena bijak menghadapi isterinya, kadang-kadang isteri buat perangai atau marah tak tentu pasal mesti ada sebabnya, ada pepatah mengatakan bahawa wanita ini makhluk emosi dan angin tak tentu pasal. Jadi suami kena bijak menghadapinya, tindakan yang lebih baik adalah diam apabila mendengar isteri beleter atau sedang marah-marah, kerana isteri ini akan diam dan terasa perbuatannya itu salah dan dia akan segera memohon maaf kepada suaminya, waktu itulah kita kaunselingkan dia dengan nasihat-nasihat yang lembut dan kata-kata hati ke hati. 

Selalunya isteri lebih terbuka ketika mana ia minta maaf kepada suaminya atas perbuatannya. Sering-seringlah menghargai diri isteri kita yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaganya untuk suaminya, seperti memasak, membasuh pakaian, menjaga anak, mengemas rumah, mengurus rumah dan sebagainya. Cara penghargaannya ialah setiap kali gaji, bawa isteri pergi makan di mana-mana restoran yang berkongsepkan romentik, kalau cara ini tidak mampu, maka keluarkan kata-kata penghargaan kepada isteri disebabkan tugas-tugas yang telah dilaksanakan. 

Selalunya suami payah untuk mengeluarkan kata-kata pujian dan penghargaan, kerana suami bersifat ego atau menganggap kata-kata tersebut sebagai buang masa. Hadiahkan isteri apa-apa barang yang berpatutan pada setiap saat-saat hari bahagianya seperti hari lahirnya, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya. Sebenarnya dari sudut psikologi isteri akan rasa lebih dihargai dan lebih disayangi ketika mana suami tahu menghargai dirinya. Malah setiap perkara yang kita suruh mesti akan dibuat oleh isteri kita dengan hati yang penuh taat dan tidak membantah. 

Ada pepatah yang mengatakan bahawa wanita ini diibaratkan seperti kulit bawang yang sangat halus, kalau nak menanggalkan kulit bawang tersebut perlu berhati-hati dan lembut kerana kulitnya mudah terkoyak. Kesimpulan dari falsafah ini, wanita itu sangat lembut dan mudah terasa dan berfikiran sensetif setiap kali ia diabaikan. Waktu yang paling bahaya ialah waktu ia dalam keadaan haid atau tidak suci, selalunya wanita ini seringkali berkeadaan tidak menentu emosinya, kadang-kadang tak pasal-pasal dimarahi oleh isteri. 

Jadi waktu sebegini suami kena faham dan kena bersikap berdiamkan diri, berdiamkan diri ini adalah lebih baik, atau keluar dari rumah pergi mengeteh dan sebagainya. Waktu seperti ini kebiasaan wanita ia akan reda sendiri kemarahannya, dan dia sendiri tidak sedar akan kelakuannya. Bagi suami janganlah terlalu garang dengan isteri dan terlalu kasar atau keras suara dengan isteri. 

Perbuatan ini akan menyebabkan isteri merasa dirinya tidak dihargai dan tidak berguna untuk suami dan paling bahaya apabila isteri mengatakan suaminya hanya baik ketika ingin bersama dengannya sahaja. Semua perbuatan ini akan menyebabkan kerenganggan dan keberontokan rumahtangga. Isteri takut menegur suami kerana takut dimarahi, suami pula anggap isteri tidak memberikan layanan yang sepatutnya. Kalau masakan isteri tawar atau terlebih garam, jangan terus melenting dan memarahi isteri. Gunakan cara yang hikmah untuk menegur isteri. 

Pernah ketika isteri Rasulullah menghidangkan kepadanya air yang tawar tanpa gula disebabkan isterinya terlupa masukkan gula dalam minuman Rasulullah. Apabila Baginda minum minuman tersebut sehingga berkedut kening Baginda, isterinya perasan disebabkan ternampak kening Rasulullah. Lantas isterinya bertanya, bagaimana rasa air tersebut, Baginda mengatakan ok sahaja, dan isterinya merasa sedikit air yang dibancuhnya dan tersenyum kerana airnya sangat tawar. Baginda tidak berkata apa-apa dan mendiamkan diri sahaja. 

Setiap kali ada pertelingkahan, pergaduhan dan selisih faham, lebih baik suami yang dahulu memohon maaf atas kejadian tersebut dan menceritakan perkara yang sebenarnya tercetus pergaduhan tersebut. Kalau boleh cuba fahamkan isteri tentang situasi yang dihadapi oleh suami. Contoh situasi tersebut seperti dimarahi bos, banyak kerja yang belum siap, kesesakkan lalu lintas, bebanan hutang dan sebagainya. 

Kalau boleh peluk manja kepada isteri ada setiap sesi penjelasan dan memohon maaf, ini membantu untuk menurunkan kemarahan isteri dan membantu untuk memberikan kefahaman kepada isteri atas sebab-sebab berlakunya pertengkaran. Yang penting di sini, setiap perkara yang dihadapi oleh suami, jadikanlah isteri itu sebagai teman bercerita dan meluahkan segala kepayahan yang dialami. Situasi seperti ini akan memberikan motivasi dan dorongan kepada suami untuk keluar dari masalah tersebut dengan disokong oleh isteri. 

Jangan sesekali ada konsep seperti “isteri perlu diajar dengan secukupnya, pukul isteri, pulau isteri” ini semua akan mendatangkan masalah lagi dalam rumahtangga, ingatlah kepada anak-anak ketika timbul masalah rumahtangga, ia juga dapat menenangkan diri kita dan sekaligus menurunkan kemarahan kita. Islam sangat melarang suami memukul isteri dan menengking isteri, kecuali nasihat suami atas perkara-perkara yang wajib tidak dilakukan oleh isteri barulah boleh dimarahi dan seterusnya dipukul isteri tanpa mencederakan isteri. 

Sebab pukulan itu adalah untuk mengajar isteri bahawa perbuatannya itu adalah salah. Penutup Jadikan isteri sebagai teman yang paling rapat dan disayangi, jadilah isteri kita sebagai tempat penyejuk hati dan penunjuk jalan jika kita menghadapi kesukaran. Suami juga perlu bijak mengurus rumahtangganya, kerana suami yang bijak dapat mengurus rumahtangganya dengan baik. 

Suami yang bijak juga adalah suami yang mempunyai akhlak yang baik dan tidak melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah dan sentiasa melakukan perkara yang disuruh oleh Allah. Keluarga yang baik adalah keluarga mawardah warahmat dan menganggap rumahnya seperti rumahku syurgaku.

Sumber: <SINI>


#

Tiada ulasan: