Google+ Badge

Rabu, 9 September 2015

5949. Mengelak tubuh dari kelihatan berbentuk.

#
June 16, 2015 - Kisah Akhir Zaman : Apa Yang Lebih Tebal Berbanding Malu Dalam Diri Perempuan Akhir Zaman? Make-Up.

Pak Atan memegang tangan cucunya Atina dengan erat walaupun tangannya hampir lencun meredah bahang panas dan berjalan sejauh hampir satu kilometer.

Punggungnya dilabuh atas kerusi plastik keras berwarna merah yang tidak banyak kosong. Lega rasanya dapat meneguk air sejuk membasahi tekaknya.

Orang ramai duduk memenuhi mini stadium tertutup kampung tersebut.

"Kau ada nampak mak kau mana?" tanya Pak Atan. "Entahlah Atuk, orang ramai sangat la!" Atina, cucunya yang baru darjah dua petah menjawab. "Takpolah, biarkan lah, nanti jumpo lah kito eh.." Pak Atan mengomel.
Pembesar suara berbunyi, "Tuan-tuan dan puan-puan, kini tiba giliran peserta keempat kita. Dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tong Shin, Mei Mei Zhao!" Bunyi lagu klasik Cina dimainkan dan Mei Mei Zhao berlari ke luar sambil tangannya memegang riben panjang.

"Apo dia nak buek tu Na?" tanya Pak Atan. "Menari Tuk!" jawab cucunya. Peserta berbangsa Cina itu pun memulakan gerakannya lalu melompat-lompatlah dia. Terbuka luas mata Pak Atan apabila melihat gadis berumur 13 tahun itu terkangkang sambil melayangkan badannya mengikut irama, sambil tangannya kemas memutarkan riben ditangan.

"Sukan apo jenis ni Na?" tanya Pak Atan. Suaranya tenggelam dalam bingit lagu yang semakin rancak.  
"Astaghfirullahhalazim...astaghfirullahhalazim....Ya Allah Ya Allah Ya Allahh....." kata Pak Atan sambil matanya tekap memandang lantai. "Astaghfirullah...ya Tuhan.."

DUM! Persembahan bertenaga peserta Mei Mei Zhao itu berakhir. Dia tersenyum lalu melambaikan tangan dan lantas berlari memeluk jurulatihnya. Pengadil mengangkat papan markah dan markah yang terpapar boleh dikatakan mampu membuatkan beliau mendapat pingat.

"Dari Sekolah Menengah Jalan Bukit, terimalah adik Nur Amalina Rosli. Adik Amalina juga adalah juara bertahan acara ini tahun lepas." Adik Amalina Rosli pun melangkah keluar dengan pakaian seragam berwarna merah terang.

"Ya Allah! Astaghfirullahhalazim!" "Masya Allah...." Orang ramai mula memandang Pak Atan. Amalina pun sama. Dia memandang Pak Atan yang kebingungan. Seorang penonton menepuk bahu Pak Atan," pakcik, minta maaf pakcik. Peserta tu tak boleh fokus kalau pakcik terjerit-jerit ni pakcik."

Pak Atan memohon maaf. Matanya terpaku pada lantai sambil tangannya mengeluarkan tasbih yang tersimpan di kocek. "Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. Astaghfirullah..." katanya berulang kali.

Amalina berdiri tegak. Lagunya mula muncul perlahan-lahan. Tapi diselang-selikan dengan suara Pak Atan yang jelas kedengaran. "Astaghfirullah...Astaghfirullah..." Lagu Amalina mula rancak. Amalina mula meloncat mengikut alunan lagu. Pak Atan pun sama nada suaranya naik turun melihat aksi Amalina itu.

Terganggun Amalina. Rutinnya berubah tempo. Nampak gerakannya mula tidak kemas. Belum habis lagu, dia berhenti. Lalu dia berlari memeluk seorang perempuan yang mungkin ibunya sambil menangis. Seorang pegawai pengelola berlari ke arah Amalina. Amalina menangis sambil menjelaskan sesuatu. Matanya menunjuk-nunjuk ke arah Pak Atan.

Pegawai tersebut lalu berjalan ke arah Pak Atan. "Pakcik, saya minta maaf pakcik, tapi saya perlu minta pakcik hentikan apa yang pakcik buat tu, peserta kita terganggu," bisik beliau lembut.

"Terganggu?" tanya Pak Atan balik ikhlas.

"Ya pakcik, mereka rasa insecure sebab duk dengar ada orang berzikir masa mempersembahkan rutin. Tak boleh fokus," terang beliau.

"Saya datang ni nak tengok cucu saya aje, minta maaflah. Saya pergi duduk dekat luar dululah sementara nak tunggu giliran dia," Pak Atan mula bangun. "Atina nak ikut atuk atau nak duduk sini?" Atina memberi isyarat beliau mahu duduk di situ. Pak Atan berjalan keluar sambil Amalina kembali mengambil posisi mula beliau.

Muzik tersebut dimulakan kembali.

Pak Atan termenung duduk keseorangan. Selang 10 minit, muncul pengumuman kuat di pembesar suara. "Peserta ke tujuh kita hari ini, Alina Hashima binti Mohd Zuki dari Sekolah Menengah Jalan Kebun."

Bunyi penonton bertepuk tangan menggegar mini stadium itu. Pak Atan tersenyum mendengar nama cucunya disebut. Dia lalu melangkah kembali masuk ke dalam.

Matanya terbuntang luas melihat cucunya separa bogel berdiri di hadapan ratusan manusia. "Ya Allah Alina!" Pak Atan berlari sambil membuka baju kemeja lengan pendeknya lalu dia masuk ke dalam gelanggang. Bajunya dibalut menutup badan Alina.

"ATUK!!! JANGAN ATUKK!! MALU SAYA!" Alina menjerit malu. "Ya Allah, Astaghfirullah Alina...sukan apo ekau masuk ni. Masya Allah!" jerkah Atuknya.

Pegawai pengelola berlari menangkap Pak Atan. Pak Atan meronta-ronta. "Ayah! Ayah! Ayah buat apa ni?" Zainab berlari mendapatkan ayahnya yang dipegang erat dua orang lelaki. "Maaf Puan, kami terpaksa bawa ayah puan keluar, zikir yang dia bacakan tu membuatkan peserta Melayu tak dapat fokus," kata penganjur. Zainab berlari mendapatkan anaknya yang kini sudah menyorokkan diri.

"Alina, are you okay?" tanya Zainab. "Atuk ni......habis rosak mood nak perform. Malulah dapat atuk camni," kata Alina sambil membetulkan sedikit seluar dalamnya yang terselit, membuatkan dia rasa tidak selesa.

"Still want to perform?" tanya ibunya.

Alina mengangguk.

Foto Rizuwan Wan.
#

Tiada ulasan: