Sabtu, 16 Disember 2017

6697. Hizbut Tahrir difatwakan sesat.

Hizbut Tahrir difatwakan sesat, kata Mufti Selangor. 

Majlis Fatwa Selangor memfatwakan bahawa ajaran Hizbut Tahrir sebagai sesat, kata pengerusinya yang juga Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Menurut lidah rasmi kerajaan negeri Selangor, Selangorku, orang Islam sama ada individu atau berkumpulan dilarang untuk berpegang kepada fahaman serta ajaran itu. Katanya, Hizbut Tahrir adalah menyelewengan dan bertentangan dengan ajaran ahli sunnah wal jamaah.

“Mereka mendakwa pemerintah, ahli parlimen dan ulama Islam adalah kafir yang harus diperangi kerana menerima sistem kufur, bahkan negara Islam juga semuanya kafir kerana berhukum dengan sistem itu selain haram menyertai sistem kerajaan sekarang.

“Hizbut Tahrir juga menafikan istilah  ‘al-qadha’ wal al-Qadar’, berpegang kepada fahaman qadariyah dan menganggap aqidah siyasiyyah lebih penting daripada ruhiyyah.

“Mereka menolak sumber aqidah melalui hadis ahad dan mendakwa Nabi dan Rasul tidak maksum sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul,” kata Tamyes dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Selangorku.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta mana-mana umat Islam yang berbaiah atau mengamalkan fahaman dan ajaran itu harus segera bertaubat serta memohon keampunan dari Allah SWT.

Orang Islam yang terlibat dengan kumpulan ini juga boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa di Selangor, katanya.

Pada hari Jumaat 4 Disember 2015, lebih kurang jam 3.50 petang, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyerbu ke pejabat Hizbut Tahrir Malaysia di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Ketika serbuan dilakukan, Hizbut Tahrir/Malaysia sedang mengadakan sebuah sidang media khas dengan dihadiri oleh sejumlah wakil media tempatan, bertujuan menjelaskan fitnah dan kekeliruan dalam fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Selangor bertarikh 17 September 2015 ke atas Hizbut Tahrir.

Fatwa tersebut telah mengharamkan fahaman dan segala aktiviti Hizbut Tahrir di Selangor.

Dalam serbuan tersebut, empat orang anggota Hizbut Tahrir telah ditahan di bawah Seksyen 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Abdul Hakim Othman Mereka terdiri daripada Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Abdul Hakim Othman dan tiga lagi aktivis Hizbut Tahrir iaitu Sopian Jahir (dikenali sebagai Umar Hussein), Wan Hisham Wan Salleh dan Hishamuddin Ibrahim.

Dalam serbuan tersebut, JAIS telah bertindak menggeledah dan merampas barang-barang yang ada di pejabat HTM, antaranya termasuklah komputer riba milik Abdul Hakim, sejumlah al-liwa’ dan al-rayah (bendera) dan kesemua gambar yang ada di dinding dan papan kenyataan pejabat.

Turut dirampas ialah mafela yang tertulis kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah yang sedang dipakai oleh mereka berempat semasa sidang media tersebut.

Kesemua anggota Hizbut Tahrir yang ditahan itu kemudian dibawa ke Kompleks Islam Daerah Hulu Langat untuk siasatan lanjut dan dibebaskan dengan ikat jamin tidak lama selepas itu.

Mereka dipanggil semula untuk memberi keterangan pada 7 dan 8 Disember.

Sehubungan itu, jurucakap mereka, Abdul Hakim Othman berkata, mereka kesal yang amat sangat dengan tangkapan yang dibuat oleh JAIS yang ternyata bertindak atas dasar fitnah yang terkandung di dalam fatwa tersebut.

“Kami membantah sekeras-kerasnya tangkapan ini serta rampasan barangan milik kami yang dilakukan semasa serbuan tersebut,” kata Abdul Hakim.   Bagi beliau, tindakan JAIS ini yang telah dilakukan dengan tergopoh-gapah dan tanpa usul periksa terhadap kesahihan kandungan fatwa tersebut.

Sehubungan itu mereka menasihati dan menggesa Jabatan Mufti Selangor agar menarik balik fatwa tersebut kerana ia sarat dengan fitnah dan kekeliruan.

“Selain akan memalukan Jabatan Mufti Selangor dan juga JAIS selaku badan penguatkuasa kerana bertindak secara menyalahi syarak, ke atas Hizbut Tahrir sebagai sebuah gerakan yang memperjuangkan Islam,” katanya. 

Sumber: https://malaysiadateline.com/hizbut-tahrir-difatwakan-sesat-kata-mufti-selangor/

.

Tiada ulasan: