Selasa, 19 Disember 2017

6723. Iman - kukuh ketika berjuang di jalan Allah.

ﺑِﺴْــــــــــــــــﻢِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺍﻟﺮَّﺣْﻤَﻦِ ﺍﻟﺮَّﺣِﻴْـــﻢ

"..KEHIDUPAN DUNIA HANYALAH KESENANGAN YANG MEMPERDAYA" [QS. AL 'IMRAN (3):185]
Sumbangan: Tokoh pejuang menentang komunis di Batu Pahat dan Muar, Johor. 

Komunis terkejut tubuh tak lut peluru. 

SELAIN semangat cintakan Islam, bangsa dan tanah air yang begitu membara, kehebatan Panglima Salleh dipercayai terletak pada kekuatan ilmu batin yang dikuasainya, sehingga menyebabkan ramai komunis takut untuk berhadapan dengan tokoh itu. 

Pengkaji yang juga penulis novel sejarah, Zaharah Nawawi, berkata berdasarkan kajiannya mengenai sejarah hidup dan perjuangan Panglima Salleh, ramai kenalan atau pihak yang mengenali tokoh itu menceritakan bahawa kekuatan ilmu batinnya menyebabkan beliau mampu melakukan beberapa perkara luar biasa. 

“Mengikut cerita, beliau boleh menjelma seperti kucing, menyelinap masuk ke dalam rumah daripada celah lubang yang kecil, malah boleh mengghaibkan dirinya. 

“Bagaimanapun, beliau menggunakan ilmu batin yang dikuasainya ke arah kebaikan iaitu dengan memerangi komunis,” katanya yang mengabadikan kisah perjuangan Panglima Salleh dalam novelnya ‘Panglima Salleh Selempang Merah’ yang diterbitkan pada 1988. 

Zaharah berkata, kehebatan ilmu batin Panglima Salleh juga menyebabkan berlaku beberapa kejadian aneh sehingga menyebabkan komunis berasa gerun tatkala berhadapan dengan tokoh itu ketika pertempuran. 

“Bayangkan, peluru komunis macam hujan tetapi tidak kena pada jasadnya, yang kena hanya batang pokok. Ketika itu komunis melihat tubuh Panglima Salleh menjadi gergasi dan mereka menembak ke atas jadi kena pokok saja. 

“Ketika Panglima Salleh pergi ke Batu Pahat pula, seluruh bandar sunyi sepi kerana musuhnya melihat di langit tertera kelibat gergasi hitam menyebabkan mereka takut dan melarikan diri,” katanya. 

Katanya, antara kehebatan Panglima Salleh yang menjadi buah mulut ramai pihak adalah cerita mengenai komunis yang melihat parang milik Tentera Selempang Merah terbang mencari kepala mereka untuk dicantas ketika pertempuran. 

Pasukan Panglima Salleh juga dikatakan menggempur komunis dengan menggunakan senjata tradisional seperti parang dan tombak walaupun pengganas itu menggunakan senjata api. 

Panglima Salleh sendiri memiliki sebilah pedang luar biasa yang diperoleh beliau di Kampung Tebing Tinggi. 

Pedang istimewa warisan pusaka Raja Riau itu diberikan seorang lelaki bernama Taib sebagai bayaran tukaran kepada segantang beras yang ingin dibeli Taib daripada Salleh. Pedang itu dikatakan mampu memberi tujuh kesan cantas dengan sekali libasan. 

Zaharah berkata, tubuh fizikal Panglima Salleh hanyalah kecil tetapi semangat dan keberaniannya menyebabkan beliau tidak gentar menentang komunis malah turut sama menyertai pertempuran. Panglima Salleh juga dikatakan memiliki kebolehan melentur besi. 

Sebelum turun untuk memerangi komunis, Panglima Salleh akan melakukan amal ibadat tertentu antaranya berpuasa, berzikir serta mengamalkan bacaan wirid tertentu, malah kaedah persediaan serupa turut dilakukan pengikutnya. 

“Sebelum bertempur, Panglima Salleh akan memilih pengikut berasingan mengikut kampung, beliau akan memilih pengikut yang tidak terlalu tua atau terlalu muda dan akan menepuk bahu bagi menguji tahap keberanian pengikut yang ingin menyertainya berperang. 

“Selepas itu beliau akan menyuruh pengikut terbabit berkumpul di rumahnya untuk melakukan persediaan dengan beramal ibadat, solat hajat dan menikmati jamuan,” katanya. 

Seterusnya semua pengikut terbabit akan meminum air dari tempayan yang dijampi Panglima Salleh malah beliau akan memberi secebis kain merah kepada setiap daripada mereka. 

“Ramai beranggapan yang Panglima Salleh dan anak muridnya yang menerima cebisan kain itu kebal tetapi mengikut seorang daripada pengikutnya, mereka semua tidak kebal. 

Ada juga diceritakan beliau sendiri turut tercedera dibahu terkena tikaman tombak semasa berperang, ini menunjukan beliau tidaklah kebal sebagaimana yang diwar-warkan, perlu diingat bahawa perkara yang mencarik adat biasa terjadi kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa, jika seseorang itu kejap dan kukuh tauhidnya tulus tawakkalnya kepada Allah memang harus bagi Allah mengurniakan keramat atau maunah kepada hambaNya yang dikehendaki, para pendekar dan hulubalang Islam berjuang untuk menegakkan Addin atau mati di jalan Allah, syahid matlamat kita dan mereka, bagaimana mungkin pejuang Islam menuntut ilmu kebal untuk mengelak diri dari mati, terlebih lagi dari mati syahid di jalan Allah..bagi saya kebalnya dari peluru, tak lut senjata berasal dari kebalnya hati dan iman dari panahan syaitan, itulah kekebalan para pejuang Islam. Terkadang Allah mengurniakan kemuliaan atau menzahirkan keramat untuk mengejapkan iman hambaNya, inilah rahsia kurniaan ilahi kepada hambaNya yang bertakwa.. kebalnya hati sanubari terzahir di jasad kebal dari senjata. wallahuaklam. (muhibmahbub) 

“Panglima Salleh memberi cebisan kain merah dan menjampi air tempayan untuk diminum pengikutnya sebagai permainan psikologi, supaya pengikutnya lebih bersemangat dan yakin ketika bertempur. 

Mungkin kain merah itu diberi supaya beliau dapat membezakan pengikutnya dengan komunis apabila terkorban,” katanya. 


PROFIL: Kiyai Salleh Abdul Karim. 

* Gelaran lain: Panglima Salleh, Kiyai Salleh, Cikgu Salleh, Penghulu Salleh, Salleh Hitam, Salleh Keling. 

* Tahun lahir: 1916. 

* Tempat lahir: Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, Johor. 

* Tarikh Meninggal Dunia: 21 April 1959. 

* Sumbangan: Tokoh pejuang menentang komunis di Batu Pahat dan Muar, Johor. 

Artikel tulisan Nasron Sira Rahim dalam Berita Harian. 

.

Tiada ulasan: