Isnin, 30 April 2018

Alhamdulillah. Masih ada lagi rasa hormat lagi denganmu. 7412.

Balada Nik Omar mengheret kontroversi melinangkan air mata. 
SESUDAH SUBUH
Nik Omar tenang untuk bergerak ke pusat penamaan calon.

PUTERA sulung yang juga anak kedua bekas Mursyid Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar Nik Abdul Aziz, 53, jadi isu bermula sejak awal lagi. Sebaik Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan apabila beliau menunjukkan minat kepada wadah pembaharu itu, ia sudah menjadi isu.

Bahkan beliau sudah pun diumumkan telah menyertai parti itu siap memegang jawatan dengan menggunakan nama samaran sebagai Muhammad Marwan. Di situlah kontroversi terpacak.

Hal ini diumumkan oleh Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dalam satu majlis makan malam di Petaling Jaya. Pengumuman Nik Omar dengan nama "Muhammad Marwan" itu sedikit menganggu penyertaan Nik Omar kerana beliau mahu begerak secara diam-diam sehingga sampai waktunya kerana demi maslahat keluarganya.
Post bersama Nik Omar. 
Post bersama Nik Abduh.

Di situlah pertama kali saya mendengar "Nik Omar" berbadankan nama "Marwan" diistyharkan sebagai anggota Amanah.

Katanya telah dibuat janji untuk tidak mendedahkan nama sebenarnya (Nik Omar) kerana maslahat kelauarga, kerana penyertaannya ke dalam Amanah kurang disenangi keluarganya dan dianggap sebagai mendurhaka kepada perjuangan ayahnya.

Pendedahan itu kurang menyenangkan Nik Omar sendiri. Tetapi tidaklah sampai beliau undur ke belakang daripada meneruskan niatnya. Dalam kaca matanya, Amanah adalah perjuangan atau wadah yang menyambungkan prinsip dan dasar siasah ayahnya, Islam. Apa yang berlaku dalam Pas "perompakan" kuasa dalam muktamar Pas di Kuala Selangor sangat mengecewakannya. Tentulah juga penghalangan adiknya Nik Abduh untuk memasuki ke Pengkalan Chepa ikut mengilankannya.

Saya sendiri tidak berpuas hati dan kurang percaya, apakah benar Nik Omar bersama Amanah? Selama ini saya tidak nampak dia berminat dengan politik berbanding adiknya Nik Abduh. Nik Abduh memang berminat dan serius dalam politik. Bahkan Allahyarham Tok guru sendiri bercerita fasal anak-anaknya dan politik.

Berjumpa Nik Omar

Sehinggalah saya berjumpa dengan beliau sendiri di Gombak, saya bertanyakan dan merisik hatinya, dan jelas dari nada percakapannya beliau mirit kepada Amanah dan mula menaruh perhatian mendalam kepada politik. Ini barang kali berlaku selepas ketiadaan ayahnya dimana beliau sudah berasakan tanggungjawab meneruskan perjuangan dipusakainya terletak dibahunya.

Saya tidak bercakap lebih daripada apa yang patut dengannya saat itu, melainkan cuba memberi ingatan agar menjaga keharmonian keluarganya dan jangan berbalah adik beradik. Saya memesan supaya beliau sebagai anak lelaki sulung menjaga hati dan perasaan ibunya serta keharmonian keluarganya. Paling utama saya tegaskan jangan bertegang perasaan dengan Nik Abduh adiknya.

Saya sedar saya tidak berhak untuk berkata demikian tetapi kerana kasih dan sayang saya kepada Tok guru Nik Aziz, serta janji saya kepada Tok guru untuk "menjaga" anaknya (Nik Abduh) dalam politik, saya memberanikan untuk berkata demikian biarpun tidak dihargai.

Saya mengingatkan perkara ini kerana nafsu politik terlalu besar dan buas hingga kadang kala manusia tenggelam dalam lautannya, dan ledakannya menyebabkan manusia sanggup melakukan apa sahaja. Bukan sahaja sedia memutuskan tali silaturrahim, berantakkan anak beranak, kawan putus kawan tetapi sampai sanggup berbunuhan. Ini kuasa dan syaitan politik yang sangat saya takuti dan perbuatan ini sangat sia-sia.

Selepas pendedahan penyertaan ke dalam Amanah di Shah Alam itu , Nik Omar mendiamkan diri dan tidak ada lagi cerita mengenai dirinya. Nik Omar seakan bersuluk dan terus tawaqus dengan sikapnya. Hinggalah ia bermula semula, apabila diambang pembubaran parlimen nama beliau disebut-sebut dan bermain di bibir umum akan ikut sama menyertai pilihan raya.

Nama Nik Omar menjadi isu panas apabila Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim membuka cerita, kononnya Nik Omar akan bertanding dalam pilihan raya dan proses rundingan (dengan keluarga) sedang berjalan.

Sekali lagi Wan Abdul Rahim membuka cerita dan mencipta isu politik di Kelantan. Selepas Wan Abdul Rahim memberi gambaran malahan menyebut nama Nik Omar akan menyertai pilihan raya dan bertanding atas tikit Amanah, suhu politik di Kelantan terus menggelegak dan pansnya sampai ke Pulau Melaka. Orang ramai ternanti-nanti dan mula membuat perhitungan apakah kenyataan Wan Rahim kali ini meleset lagi. Ramai yang tunggu untuk "keronyok" Wan Rahim.

Ia makin menjadi tanda tanya, apabila Nik Omar pula menafikan pengumuman dibuat Wan Rahim itu. Penafiannya secara bersimbolik dengan menegaskan yang beliau masih ahli Pas. Ia dikukuhkan pula dengan kenyataan (respons) oleh Nik Abduh yang menegaskan abangnya tidak akan menyertai Amanah apa lagi bertanding dalam pilihan raya.

Alasan diberikan Nik Abduh berkaitan diri Nik Omar itu kerana keluarga tidak merestui, dan tidak yakin yang Nik Omar akan langgar piagam keluarga.

"Tidak akan berlaku (Nik Omar) menyertai Amanah, tiada rundingan, keluarga kami nafi, ini propaganda nak pecah belahkan rakyat Kelantan," demikian nafi Nik Abduh seperti mana dipetik. Maknawi yang cuba diangkat oleh Nik Abduh bahawa usaha meletakan mereka berdua berkubang dalam satu lubang sebagai usaha jahat untuk mengkhianati rakyat Kelantan yang telah aman dibawah panji-panji pemerintah ayahnya selama 28 tahun.

Manakala Nik Omar juga turut menafikan dengan berkata; "Semua bergantung kepada bonda, selagi bonda tidak izin, bonda minta tidak terlibat, kita kena terima. Bonda melihat mungkin kerana berlaku pertembungan."

Penjelasan Nik Omar dan Nik Abduh itu meredakan keadaan, khasnya bagi saya sangat meyenangkan kerana ia tidak memungkinkan berlaku apa ditakuti saya pertembungan dua beradik dalam satu kubang siasah duniawi.

Kenyataan melegakan.

Barang kali selepas Tuan Sabariah Tuan Ishak, sayalah yang amat berdukacita kalau apa digembar gemburkan itu menjadi kenyataan; Nik Omar dan Nik Abduh akan bertembung sesama sendiri. Jika kejadian ini berlaku maka saya gagal untuk melaksanakan janji dan menjalankan amanah saya seperti saya lafazkan kepada Tok guru Nik Aziz. Tetapi penafian dan penjelasan oleh kedua beradik itu melegakan saya, terutamanya daripada Nik Omar yang sangat menitik beratkan kepada restu ibunya.

Justeru semasa berjumpa dengan Nik Abduh semasa kenduri di rumah bapak mertuanya Abdul Fatah Haron, di Pasir Mas, saya bertanya mengenai desas desus kemungkinan akan berlaku perlawanan di antara kedua beradik itu. Memang orang politik khususnya daripada Amanah dan penonton yang membencikan Pas, suka serta mahu melihat Nik Omar ber boxing dengan Nik Abduh tanpa memakai glove.

Di pertemuan itu saya bertanya dari hati ke hati kepada Nik Abduh disamping mengharap dengan harapan yang tinggi. "Duh.. harap tidak akan berlaku pertandingan adik beradik di Chempaka seperti didesas desuskan, jangan...kalau boleh, malahan wajib dielakkan," begitu kata saya sambil bersalaman dengannya.

"Insya-Allah... Insya-Allah ia tidak akan berlaku pertembungan," kata Nik Abduh sambil menggengam salam saya dengan mata kami saling bertentangan. Penjelasan itu serius dan ikhlas ia melegakan perasaan saya. Saya berdoa semoga harapan saya termakbul dan tidak akan berlaku pertandingan dua beradik itu yang dinantikan oleh umum untuk menepuk tangan dan menyoraknya.

Memang khalayak politik yang tidak ada "peripolitik" suka kalau kedua beradik bergocoh sesama sendiri hatta sampai terkorban, suka kalau suami isteri hingga memisahkan ranjang asmara. Kecam.

Terus tidak percaya.

Sehinggalah 12 jam menjelang hari penamaan calon saya masih tidak percaya dengan apa yang akan berlaku, Nik Omar akan turun ke gelanggang membawa panji Amanah. Setiausaha Amanah Kelantan, Rushdan Mustapa memberi hintkepada saya mengenai apa yang akan berlaku esok, dengan mengatakan Nik Omar akan bertanding. Saya membuang begitu sahaja hint itu kerana menyakini Nik Omar tidak akan melakukan itu.

Walaupun saya sudah mengetahui yang Nik Abduh ditolak ke parlimen Bachok oleh Pas, tetapi masih tetap tidak percaya Nik Omar sedia menyingsing tangan turun ke gelanggang meskipun tidak akan berdepan dengan daging darah sendiri. Pengesahan Nik Abduh bertanding di Bachok setidak-tidaknya sudah menghuraikan sebahagian kebimbangan saya, walaupun pengiriman beliau ke Bachok itu mengilankan.

Berita-berita yang Nik Omar akan turun terus bergentayangan, ia menjadi tular dalam media sosial, namun saya tetap juga tidak yakin. Walaupun di majlis pengumuman calon Pakatan Harapan di Kadok, nama "Mohamad Omar" diumumkan bertanding di Chempaka dan sosoknya tidak hadir, saya masih tidak percaya bahawa nama itu mewakili Nik Omar.

Apa yang membuat saya tidak yakin berpandukan kepada kenyataan dan pengakuan Nik Omar, yang restu keluarga dan ibu penting. Saya tidak mengira beliau mendapat permit atau lesen itu dengan mudah. Dan apabila beliau bertanding bermakna beliau sudah mendapat titikan doa daripada ibunya.

Kerana tidak yakin Nik Omar akan turun, saya sudah pun bersiap sedia untuk ke pusat penamaan calon membabitkan dua sahabat saya, Husam Musa dan Takiyuddin Hassan di Dewan MPKB Kota Bharu. Bagi saya pertandingan kedua ini merebut kerusi parlimen Kota Bharu juga adalah pertandingan dua beradik yang menghiriskan perasaan.

Sejarah mengetahui bagaimana kedua mereka ini adalah orang-orang kesayangan dan harapan saya dalam Pas Kelantan sebagai penerus kerajaan Tok guru. Saya membuang "tungku" Tiga Abdul kerana ingin meletakkan mereka sebagai "tungku" baru, tetapi gagal. Kerana itu saya mahu melihat sendiri proses penamaan calon mereka.

Selepas Subuh masuk satu maklumat dalam Whatsaap saya, sekeping gambar menunjukkan Nik Omar sedang menanda-tangani sesuatu (borang) dengan dikeliling beberapa orang. Saya menatap beberapa kali orang berkopiah putih membongkok sedang menulis itu apakah ianya Nik Omar. Walaupun ada keterangan disertakan, ia mengatakan Nik Omar saya masih sangsi.

Sekitar jam 7:00 pagi, Rushdan menelefon saya bertanya apakah saya sudah siap sedia. "Abeti sudah siapa ke,  kita dalam perjalanan ke tempat Abeti, kita ke Pengkalan Chepa...," begitu kata Rushdan seakan mengarah tegas.

"Untuk apa ke Pengkalan Chepa ana nak ke tempat Husam?" jelas saya menyatakan tujuan yang sudah ditanam dalam diri.

"Tempat Nik Omar serah borang, Abeti perlu ke sana, penting...," katanya tegas.

Kata-kata Rushdan itu mungkin tidak sebagai gurauan lagi, apa lagi dipadankan dengan gambar yang saya terima, Nik Omar sedang menanda tangani borang pencalonan, bahawa sudah sah Nik Omar akan bertanding. Namun sebagai seorang yang bersikap negatif minded saya masih belum percaya selagi tidak melihatnya dengan mata sendiri.

Menjadi prinsip saya sesuatu itu harus dilihat dengan mata kepala sendiri dan akan melapurkan walaupun ia tidak disenangi hatta ke atas kawan sendiri.

Dalam perjalanan saya menghitung sendiri menyemak permainan politik. Dalam politik apa jua boleh berlaku. Yang menggaru kepala saya, apakah benar Nik Omar akan hadir atau pun borangnya akan diserahkan oleh pencadang dan penyokongnya sahaja?

Dalam perjalanan ke Pengkalan Chepa itu terfikir juga apakah "Mohamad Omar" yang diumumkan di Kadok itu sebenarnya Rushdan Mustafa. Maklumlah Rushdan Setiausaha Amanah yang gigih tetapi tidak diberikan kerusi, namun redha apakah mungkin Chempaka kerusinya? Terfikir.

Jam 8:45 pagi, Rushdan mulai mendapat gambar di tempat perarakan calon Amanah. Salah satu gambar ditunjukkan kepada saya, memaparkan wajah Nik Omar. Saya masih tidak percaya dengan gambar itu. Gambar boleh menipu sesiapa sahaja, apa lagi dalam dunia manusia menjadi kian gila kreatif, membuat superimpose.


Saya menatapnya berkali-kali dan berjuru-jurus. Gambar yang sedikit kabur meragukan keyakinan saya. Kereta dipecut laju menuju ke kawasan penamaan calon untuk melihat sendiri apa yang berlaku.

Sewaktu saya dan Rushdan tiba di tempat perarakan, Nik Omar sedang berarak untuk memasuki ke pusat penamaan calon. Saya berlari melupa keuzuran diri dan melintas di hadapannya. Berdegup kencang jantung saya, apabila melihat yang segak, berkopiah putih dan siap bersamping, benar dia adalah NIK OMAR NIK ABDUL AZIZ. Begitu melihat saya, dia sedikit tertegun sambil melepaskan senyuman "Nik Aziznya" mengorak ke arah saya dan kami berpelukan.
Gambar awal yang saya terima tetapi tidak menyakinkan. 

"Alhamdulilah, Insya-Allah selamat.." kata saya.

Beberapa saat dunia saya seperti berputar ligat dan berada di luar luar realiti. Wajah Nik Omar saya menatap sedalam-dalamnya penuh cermat.  Mata saya mungkin berpintar, saya nampak wajah itu bertukar bersilih ganti, sekali menjadi wajah Nik Abduh, sekali menjadi wajah arwah Tok guru, dan sedetik kemudian menjadi wajah Nik Omar. Dan beberapa saat saya seakan melihat ketiga-tiga wajah wajah itu bergumpal menjadi satu wajah besar yang hebat.

Orang ramai yang mengiringi pengarakan calon-calon Amanah itu, Nik Omar (Chempaka), Hazmi Hassan (Panchor) dan Mejar Mat (parlimen Pengkalan Chepa) tidak menyedari apa yang berlaku kepada saya.
Hazmi diapit Rushdan.

Selepas merakam gambar dan membuat live facebook, sehingga Nik Omar masuk ke kawasan pusat pencalonan, saya meninggalkan perarakan dan mencari ruang tersudut untuk mencatat status dalam facebook.

Saat saya menghantar status air mata bercucuran. Hati menjadi sebak dan hiba sekali. Apa yang mengusik minda saya, ialah Tok guru...sambil mencatat status dengan mata berkaca, diam-diam dalam hati saya berkata, "ah Tok guru dua puteramu bersiap sedia pagi ini turun ke gelanggang untuk meneruskan legasi mu. Tentu kau bahagia menyaksikannya."

Seorang di Chempaka dan satu di Bachok. Dengan air mata yang jatuh dengan sangat "anjul" (perlahan) saya mendoakan dan berharap biarlah kerusi Chempaka yang diduduki Tok guru akan diduduki pula oleh Nik Omar. Dan kerusi parlimen Bachok akan diduduki oleh Nik Abduh.

Alangkah lebih indah lagi kalau selepas 9 Mei nanti, Nik Abduh akan megah membawa suara rakyat dan Islam di parlimen sementara Nik Omar pula dinobatkan sebagai MB untuk meneruskan pembelaan Islam di Kelantan yang ditanamkan oleh ayahnya. Semoga kedua-duanya selamat dan mendapat restui ibu dan rakyat khas rakyat yang mencintai Tok guru Nik Abdul Aziz.  [wm.kl.9:01 am 30/04/18]

ref: 
.: Balada Nik Omar mengheret kontroversi melinangkan air mata


APA NAK JADI DENGAN SPR SEJAK DI BAWAH TERAJU HASHIM INI?


Satu demi satu kelemahan dan sikap berat sebelah SPR terdedah dalam pilihanraya kali ini.

Di sebalik ia menguatkuasakan peraturan tambahan yang tidak membenarkan gambar Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim diletakkan sebagai bahan kempen dengan menggunakan alasan hanya gambar presiden dan timbalan presiden parti yang bertanding saja dibenarkan, sebuah komponen BN iaitu MCA telah memasang beberapa poster yang memaparkan gambar Presiden Negara China, Xi Jinping di beberapa tempat.
Poster yang menunjukkan Presiden MCA, Liow Tiong Lai bersalaman dengan Presiden China itu didapati banyak dipasang di kawasan-kawasan di mana MCA bertanding, khususnya di sekitar Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Poster itu dilihat sebagai pendekatan MCA untuk menarik hati pengundi Cina dengan memberi gambaran kerjasama

BN dengan China akan memberi rahmat dan limpahan ekonomi kepada mereka.

Tetapi, bukankah meletakkan gambar Xi Jinping itu bertentangan dengan peraturan SPR sendiri?

Kenapa SPR masih berdiam diri dan tidak mengambil tindakan terhadap MCA dan BN?

Bilakah SPR mahu menurunkan gambar-gambar tersebut?

Adakah SPR sedang mencari hujah dan alasan agar penggunaan gambar itu dihalalkan demi memberi kelebihan kepada BN?

Yang nyata, SPR dalam PRU 14 dan di bawah kepimpinan Hashim Abdullah ini terlalu banyak kelemahan dan berat sebelahnya yang jelas memihak kepada BN.

Beberapa tindakan yang banyak dipertikaikan sebelum ini dan apa yang berlaku pada Sabtu lalu ketika hari penamaan calon, pemasangan gambar Xi Jinping sebagai bahan kempen untuk BN yang tidak diambil tindakan oleh SPR ini adalah satu lagi bukti paling ketara gagalnya SPR dalam menjalankan peranannya dengan baik serta tidak memihak.


Demi menjaga nama baik SPR, jika tidak upaya menjadikan badan pengendali pilihanraya itu benar-benar bebas dan telus, adalah lebih terpuji jika Hashim dapat berundur dan meletakkan jawatannya dengan seberapa segera.

Tiada apa yang dapat dibanggakan langsung sejak beliau memimpin SPR ini. (ShahbudinHusin 30/04/2018)

ref: 
Shahbudin dot com: APA NAK JADI DENGAN SPR SEJAK DI BAWAH TERAJU HASHIM INI?

ANA TAHU ENTA LEBIH TAHU
Ke hadapan Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang,

(1) Segala puji bagi Allah Rabbul Alamin. Salam dan selawat ke atas Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad; khairul anaam, qudwah hasanah, juga kepada Para Sahabat-sahabat Baginda yang benar dan diberi petunjuk. 


(2) Ana doakan kesejahteraan dan keberkatan usia buat Tuan Guru, ulama disanjung dan terhormat. Ana menulis surat terbuka ini dengan penuh rendah diri dan selepas tafakkur yang panjang. Ana mengikuti ucapan Tuan Guru pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Kelantan Pilihanraya Umum ke-14 di Kota Bharu, Kelantan pada 25 April 2018 yang lalu. 

(3) Ana merujuk kepada kenyataan Tuan Guru berkaitan dengan Tragedi Mata Lebam Anwar Ibrahim. Dan ana merujuk juga kepada sikap segelintir penyokong PAS yang telah memainkan perkara yang disebut oleh Tuan Guru itu dalam perbualan dan kempen mempertahankan PAS.

Tuan Guru, Enta Tahu. 

(4) Bahawa apa yang menimpa Anwar Ibrahim dan Keluarga. Kezaliman yang ditekankan ke atas beliau dan keluarga. Bagaimana sengketa yang ditanggung oleh Anwar Ibrahim dan Keluarga selama 20 tahun; 2 dekad, yang lalu.

Tuan Guru, Enta Tahu. 

(5) Bahawa Anwar Ibrahim tidak pernah luntur daripada pendirian dan keyakinan beliau di atas jalan perjuangan Rakyat ini. Sebagai sahabat, Tuan Guru lebih kenal siapa Anwar Ibrahim. Tuan Guru lebih tahu apa yang dilalui oleh Anwar Ibrahim selama menggerakkan Dakwah dan Reformasi. Tuan Guru tahu betapa pendahulu Tuan Guru; al-Fadhil Ust. Fadhil Nor dan Tok Guru Nik Abdul Aziz, hormat kepada Anwar Ibrahim.

Tuan Guru, Enta Tahu.

(6) Bahawa dalam politik ini pertelingkahan dan perbalahan antara orang-orang politik itu kebiasaan dalam persaingan. Ana yakin kita setuju bahawa kebiasaan ini bukanlah perkara yang menyenangkan. Pun begitu, ana yakin bahawa kita juga boleh bersetuju bahawa berjenaka dan sindir-menyindir dalam politik pula tidak salah diselitkan dalam kempen dan ceramah politik. Sedikit ketawa tidak sepatutnya menggugat ahli politik yang berwibawa. 

Tuan Guru, Enta Tahu,

(7) Bahawa antara semua jenaka dan sindiran, tidak ada yang lebih dibenci agama melainkan jenaka yang menghina peribadi orang lain. Lebih-lebih lagi ia datang daripada seorang pemimpin yang baik kepada seorang pemimpin yang baik. Tuan Guru tahu bahawa ‘bekas gocoh’ itu merupakan harga pengorbanan dan kesan perbuatan fitnah jahat. Betapa hampanya ana dan kawan-kawan mendengar sindiran Tuan Guru yang bersabit dengan mata Anwar Ibrahim yang hanya sebahagian kecil daripada luka-luka perjuangan beliau. 

(8) Ya, Tuan Guru mungkin tidak manafikan tuduhan jijik itu terhadap Anwar Ibrahim. Tetapi, kesan kenyataan Tuan Guru itu, sekarang timbul dalam perbualan penyokong PAS; “Anwar liwat atau Mahathir fitnah?”. Runtun jiwa kami mendengar dakwaan liwat yang dihukum Qazaf dalam agama dipermainkan sebagai bahan politik. 

Tuan Guru, Enta Tahu.

(9) Bahawa Anwar Ibrahim menerima Tun Mahathir dengan ijtihad yang ditimbang dengan perkiraan yang rumit dan dalam. Tidaklah jawapan yang diberikan oleh Anwar Ibrahim itu melainkan demi kepentingan Ummat, Rakyat dan masa depan Malaysia untuk jangka masa panjang. Keputusan yang dibuat setelah menerima nasihat daripada Alim Ulama, Ilmuan dan Sarjana. Keputusan menerima Tun Mahathir bukanlah semudah ‘lakonan cerita Hindustan’, sebaliknya keputusan itu adalah demi menegakkan kebenaran dan keadilan. 

Tuan Guru, Enta Tahu.

(10) Bahawa Islam ditegakkan dengan bermacam-macam jalan, namun perbezaan itu bertunjang kepada wawasan jelas; Allah dan Rasul. Presiden Mohammad Morsi mengambil pendekatan terus dan tuntas dalam perlaksanaan Shariah di Mesir. Manakala Presiden Racep Tayyip Erdogan pula mengambil jalan tahap bertahap; dimulai dengan kebersihan dan ekonomi tanpa penekanan kepada perundangan jenayah. Ya, hari ini kedua pemimpin yang disanjung ummat Islam sedunia itu berhadapan nasib yang berbeza. Pokoknya, kedua-dua benar, baik dan tidak boleh dinafikan kecintaan mereka kepada Islam.

Tok Guru, Enta Tahu. 

(11) Bahawa PRU14 memberikan cabaran luar daripada biasa kepada semua parti yang bertanding. Dalam usaha kita menumbangkan kleptokrasi dan kezaliman; demi Reformasi dan kesejahteraan, apalah kiranya jika ulama tampil menunjukkan teladan yang baik kepada pengundi dan rakyat seluruhnya. “Kita menerang, bukan menyerang” 

Tuan Guru, Enta kena Tahu. 

(12) Bahawa selepas ana menulis warkah ini, tidak sedikitpun hilang rasa hormat kepada Tuan Guru. Kerana Allah yang memberikan Ilmu dan Allah telah memilih Tuan Guru sebagai penjaga Ilmu itu. Ana yang tidak seberapa ilmunya ini sekadar mahu beramal dengan ilmu yang sedikit ini. 

(13) Ana dikisahkan bagaimana marahnya Imam al-Bukhari kepada Muhammad ibni Yahya sehingga di sembunyikan nama ‘yahya’ dalam Sahihnya. Dan marahnya Imam Muslim kepada kepada Muhammad ibni Yahya sehingga dikeluarkan terus hadis yang diriwayatkan daripada Muhammad ibni Yahya daripada Sahihnya. Sedangkan Muhammad Ibni Yahya merupakan seorang muhaddith yang baik, dan tidaklah beliau dibenci oleh kedua Imam Hadith tersebut melainkan mereka menyedari bahawa manusia tidak lekang daripada kesilapan; hormat sebagai muhaddith tidak sekalipun dipertikai dan dilunturkan. 

(14) Ana juga menginsafi penulisan Sheikh Dr. Taha Jabir al-Alwani, dimana apabila para sabahat perselihan faham, mereka tidak membenci sesama mereka melainkan mereka bermafaan dan berkasih-sayang. Tidak pernah Ulama Mazhab berbeza pandangan melainkan mereka mengiktiraf ilmu yang dimiliki oleh satu dan yang lain, seterusnya mereka jujur dengan ilmu yang mereka perolehi. Semoga Allah memberkati amal dan sumbangan mereka. 

(15) Justeru ana mohon agar Tok Guru menarik balik kenyataan tersebut secara terhormat.

Tuan Guru, Ana Tahu. 

(16) Bahawa mungkin ana dianggap tidak layak menegur Tuan Guru. Namun, kepentingan menjaga kemuliaan seorang ulama dan keperibadian seorang Bapa Reformis, mengatasi kelayakan ana. Sekiranya perkataan ana tidak diterima, maka terimalah kejujuran dan kebenaran yang datang bersama warkah ini.

(17) Semoga Allah merahmati Tuan Guru. Semoga Tuan Guru dibukakan hati untuk menerima teguran ini dan menarik balik kenyataan yang disebutkan.

(18) Semoga Allah memelihara dan merahmati Anwar Ibrahim serta Keluarga, juga sahabat-sahabat pejuang Reformasi, Keadilan dan Kebenaran, juga para penggerak agenda memartabatkan Islam dengan ijtihad menaiktaraf ekonomi dan demokrasi rakyat demi kesaksamaan sejagat.

Wassalamualaikum WBT
Sekian, Terima kasih.

MUHAMMAD KHAIR BIN SUJUD
Presiden, 
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) 
29 April 20189

ref: 
al- Husseyn: ANA TAHU ENTA LEBIH TAHU

Nik Omar kini idola baru pengundi wanita. 

kata pengkaji MALAYSIA DATELINE 

Pelakun Abby Abadi (barisan depan, dua dari kiri) 
bersama suaminya ke Pengkalan Chepa bagi mengikjuti ceramah Nik Omar.

Bukan sahaja Wardina Safiyyah, bahkan pelakun Gerak Khas Abby Abadi juga bersama Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Kalau Wardina menulis sokongannya dalam Facebook, Abby pula datang ke Pengkalan Chepa bersama suami beliau untuk mengikuti ceramah Nik Omar.

Itulah gelombang yang berjaya dicipta oleh Pakatan Harapan (PH) melalui penyertaan Nik Omar dalam PRU 14 ini.

Nik Omar telah disahkan sebagai calon PH yang menggunakan logo PKR di DUN Cempaka, tempat ayahdanya, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi wakil rakyat ketika hayatnya.

Menurut penganalisis politik Kelantan, Dr Khairudin Damanhoeri, secara khususnya Nik Omar telah berjaya menarik sokongan pengundi wanita dengan ketara sekali.

“60% undi wanita Kelantan kini bersama Pakatan Harapan,” kata pengkaji politik Kelantan itu ekoran kemasukan Nik Omar.

Beliau telah menghantar satu mesej yang beliau terima dari seorang wanita yang berbunyi:

“Smle nk omar mari dkt markas ph pc n bgi cermah pjg lbar n ingin brjuang brsma pkr..ebby abdi pn ada skli..dr jauh dy dtg smta2 nk brsma ustaz nik omar,” tulis seorang pengundi wanita kepadanya. (Semalam Nik Omar mari dekat markas Pakatan Harapan Pengkalan Chepa dan memberikan ceramah panjang lebar dan ingin berjuang bersama PKR…Abby Abadi pun ada sekali… dari jauh dia datang semata-mata nak bersama Ustaz Nik Omar).

Wardina pula mengucapkan terima kasih kepada anak bekas mursyidul am Pas yang paling berpengaruh itu.

“Terima kasih Ustaz atas keputusan yang tidak mudah ini… moga menjadi contoh bagaimana politik Malaysia seharusnya berdiri.

“Pernah tak tanya insan-insan hebat ni… ada sebab kenapa mereka memilih PH. Mereka bukan bodoh, mereka bukan tidak ada agama… Fikirkan ya? Ada sesuatu di sana. Ada Harapan semestinya,” tulisnya.

Wardina juga menulis, “dengan ramainya mereka yang berintelek, berwibawa dan ikhlas berjuang… kepercayaan saya kepada PH naik lagi 100%. Subhanallah. Sebak pun ada,” tulisnya.

Beliau mengharapkan mereka yang ikhlas berjuang ini dapat memberi nasihat kepada mereka yang lain dalam PH sekiranya mereka tersilap langkah kelak.

“Kepada pemimpin PH, harapan kami begitu tinggi, jangan dirobek dan hampakan kami. Pimpinlah Malaysia seadil, semaju dan sebaiknya untuk semua.


“Perbaikilah segala kepincangan sistem dan bebaskan negara dari tamak haloba dan tipu daya. Ya Allah berikanlah kami pemimpin yang sebaiknya untuk kita,” katanya.

Wardina yang memberikan sokongan kepada Pas dalam pilihanraya umum ke 13 lalu meminta pemimpin parti itu merenug perkara ini.

“Maaf ya rakan-rakan dari Pas, namun kita jauh berbeza kali ini di dalam ideologi politik khususnya. Mungkin wajar duduk seketika dan bertanya… mengapa ini terjadi. Saya tak boleh terima hujah mimpi,” tulisnya.

ref: 
KERENGGA: Nik Omar kini idola baru pengundi wanita, kata pengkaji

Ini BERITA PALSU . Itu bukan calun PKR RANTAU.

INI adalah orang India yg didakwa dipaksa memeluk ISLAM.

Yg dikatakan ditangkap khalwat dgn janda & dipaksa kawin dgn masuk Islam terlebih dulu (Putrajaya)

Sebenarnya, lelaki tersebut bernama MOHD RAFIK SUBRA BIN ABDULLAH, Pegawai Tadbir dan Diplomatik (gred M54) yang bertugas di Putrajaya.

Majlis Pengisytiharan Pengislaman Encik Mohd Rafik telah dijalankan pada 13 April 2018 (Sejurus Selepas Solat Jumaat) bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) Putrajaya.

Lafaz syahadah pula telah dipimpin oleh Imam Besar Masjid tersebut iaitu Haji Jamali bin Mohd Adnan.

Beliau masuk Islam setelah mendalami agama Islam lebih 30 tahun dan tiada paksaan dari mana-mana pihak termasuklah dakwaan ditangkap khalwat.

Isu pengIslaman En Mohd Rafik sengaja dipanaskan kononnya beliau telah dipaksa memeluk Islam setelah ditangkap khalwat. 

Ekoran itu bertalu-talulah makian dan cacian oleh golongan bukan Islam yang termakan dengan hasutan pihak tidak bertanggung jawab.

Sebarkan untuk pertahankan maruah saudara seagama kita.

Semuga maklumat ini bermanafaat
.....

Tiada ulasan: