Selasa, 24 April 2018

Keadaan muka jalan raya persekutuan, itulah tinggalan kewibawaan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri di tempat kalian. 7348.

Bakal pemimpin menabur janji, yang kadang-kadang jadi janji pelik dan kadang-kadang terabai ungkapan In Syaa Allah. Aamiin. 

‘Rakyat’ semakin popular menjelang PRU

Zin Mahmud | April 24, 2018
Musim pilihan raya ini, perkataan rakyat kembali menjadi popular, dan istilah itu luas digunakan oleh institusi negara.
Kain-kain rentang yang kini dipasang oleh Barisan Nasional (BN) di merata tempat menjelang hari penamaan calon Sabtu ini membawa slogan “Hidup Rakyat”.
Pakatan Harapan (PH) pula bersetuju menggunakan satu lambang iaitu logo “mata” milik PKR, yang namanya mempunyai perkataan “rakyat”.
Di kalangan 13 parti BN, 4 daripadanya mempunyai perkataan “rakyat” pada nama parti mereka. Parti itu ialah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
PKR (Parti Keadilan Rakyat) pula memperoleh nama “rakyat” itu apabila Parti Keadilan Nasional bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Kesemua mereka menyertai pilihan raya umum ini untuk bertanding supaya calon mereka dipilih untuk menjadi wakil rakyat dan menduduki kerusi dalam Dewan Rakyat. Sekali lagi perkataan “rakyat” ada pada institusi Parlimen negara ini.
Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan “rakyat” ini?
Adakah parti politik itu memilih perkataan rakyat untuk menyedapkan nama mereka, tetapi tidak membawa sebarang makna istimewa? Begitu juga dengan slogan “rakyat” yang digunakan dalam pilihan raya. Malah nama pada salah satu dewan Parlimen itu.
Ada masa rakyat diberi erti sama dengan perkataan warganegara. Ini kerana hanya dengan taraf kerakyatan, baru seseorang itu menjadi seorang warga negara.
Perkataan warganegara pula menunjukkan seseorang itu warga kepada sesebuah negara, iaitu ahli berdaftar kepada sesebuah negara. Dengan menjadi warganegara, seseorang mempunyai hak antaranya untuk mengundi dan tanggungjawab seperti membayar cukai pada kerajaan yang memerintah negaranya.
Dalam bahasa Inggeris, rakyat diterjemahkan menjadi “people”, warganegara ialah “citizen” dan kerakyatan ialah “citizenship”. Parlimen Malaysia meniru sistem parlimen Britain yang mempunyai House of Commons iaitu Dewan Orang Ramai dan House of Lord atau Dewan Ketuanan. Tetapi Malaysia mengubah istilah untuk 2 dewannya dengan nama Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Tetapi perkataan “rakyat” dan “people” hanya boleh diterjemahkan pada satu sama lain menurut konteks ayat. Ini kerana ada masanya “people” hanya boleh diterjemahkan menjadi “orang,” “warga” atau “penduduk” dan bukannya “rakyat”. Maknanya dalam bahasa Melayu, perkataan “rakyat” mempunyai maksud yang lebih istimewa daripada “people”.
Istilah “citizenship” pula adalah lebih sesuai diterjemahkan kepada “kewarganegaraan” dan bukan “kerakyatan.” Maksud “kerakyatan” adalah sesuatu yang dikaitkan dengan “rakyat”. 
Dalam bahasa Inggeris, “people” itu menjadi “popular”, dari segi ini, ia bukan bermaksud “terkenal,” tetapi ia memberi erti kerakyatan. Contohnya nama Popular Front of the Liberation of Palestine (PFLP). Di sini “popular” bukan bererti “terkenal” tetapi bermaksud “kerakyatan”.
Tetapi mengapa semasa menggubal perlembagaannya pada 1957, Malaya mengambil istilah Dewan Rakyat dan tidak Dewan Orang Ramai walaupun ia meniru House of Commons dalam sistem Parlimen Britain?
Sebenarnya House of Commons yang walaupun diterjemahkan sebagai Dewan Orang Ramai adalah lebih tepat dipanggil sebagai Dewan Orang Ramai sebagai Dewan Orang Biasa.
“Commons” merujuk pada “Orang Biasa.” Dalam sistem pemerintahan British, ada 3 jenis warga kepada negara itu: Raja yang menjadi ketua negara, bangsawan yang diwakili dalam House of Lords yang diterjemahkan sebagai Dewan Ketuanan (sedangkan adalah lebih tepat lagi ia disebut sebagai Dewan Bangsawan).
Maka akhirnya “Commons” atau “Orang Biasa” inilah yang sebenarnya “rakyat” dan dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai kuasa melalui wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya untuk membentuk kerajaan dan menggubal undang-undang. Ini kerana demokrasi dan dari perkataan “demos” dan “kratias” bermaksud “kuasa rakyat”.
Dalam sistem beraja, warga sesebuah negara terdiri daripada raja dan rakyat. Apabila mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, maka raja adalah ketua negara, iaitu baginda mengetuai atau memerintah negara menurut perlembagaan.
Dalam sistem demokrasi, perlembagaan pula memberi kuasa pada rakyat untuk memilih wakil yang melantik kerajaan untuk mentadbir.
Di Malaysia, wakil rakyat berada di Dewan Rakyat. Tetapi tidak seperti House of Lords di Britain, Dewan Negara bukanlah institusi bangsawan. Ia juga dianggotai oleh wakil rakyat yang dipilih secara tertentu seperti mewakili negeri-negeri atau kumpulan-kumpulan masyarakat.
Selain itu Malaysia adalah sebuah persekutuan yang mana negeri-negeri mempunyai kuasa-kuasa tertentu. Majlis Raja-raja pula mempunyai kuasa dan tanggungjawab tertentu seperti mana yang ditetapkan oleh perlembagaan.
Perlembagaan Persekutuan ini mempunyai ciri-ciri daripada amalan kerajaan Melayu zaman silam yang mempunyai konsep raja dan rakyatnya tersendiri. Ia digabungkan dengan sistem demokrasi Britain yang pada penggubalan awal adalah dalam bentuk Perlembagaan India untuk akhirnya menjadi Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Parlimen British disebut sebagai Mother of Parliaments atau ibu kepada parlimen-parlimen. Daripada amalan demokrasi asal di Athens, Greece purba, konsep memberikan kuasa kepada rakyat melalui perjalanan sejarah dunia yang panjang.
Di Britain, ia bermula dengan piagam Magna Carta pada 1215 yang memulakan konsep raja berperlembagaan. Revolusi Amerika 1776 memperkenalkan sistem demokrasi tanpa raja.
Revolusi Perancis 1789 mempertegaskan konsep kewarganegaraan yang mana rakyat adalah pemilik negara. Gerakan kiri pula meletakkan perjuangan mereka atas nama rakyat.
Tetapi bagi mereka, rakyat adalah kelas pekerja yang memberontak melawan kelas bangsawan dan borjuis. Revolusi Rusia pada tahun 1917 menetapkan bahawa negara adalah milik para pekerja.
Sementara Revolusi China pada 1949 menamakan negara mereka sebagai Republik Rakyat China. Ia memperjelaskan bahawa negara China adalah sebuah republik rakyat.
Pihak komunis mentakrifkan demokrasi dan rakyat secara berbeza. Akibatnya pemerintahan mereka adalah bersifat totalitarian, autokratik dan menekan rakyat.
Sebagai contoh, Korea Utara yang nama rasminya ialah Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) adalah negara yang tidak ada demokrasi dan rakyatnya tidak mempunyai kuasa.
Justeru, perkataan demokrasi dan rakyat boleh saja hilang makna tetapi juga membawa maksud yang bertentangan dengan semangat asal.
Suatu sistem itu boleh saja menggunakan perkataan demokrasi dan rakyat tetapi pada hakikatnya, semangat asalnya sudah luntur dan akhirnya hilang makna.
Oleh itu dari masa ke masa, rakyat perlu diingat tentang apa erti dan semangat asal perkataan rakyat. Begitu juga dengan demokrasi yang bermaksud “kuasa rakyat”.
Pada asasnya rakyat terdiri daripada individu bebas yang kesemuanya mempunyai taraf, hak dan tanggungjawab serupa terhadap negara. Kebebasan individu adalah ciri penting dalam konsep rakyat. Sebab itu setiap seorang memiliki satu undi untuk mereka bebas menentukan wakil mereka melalui pilihan raya.
Proses ini tentunya memerlukan peraturan untuknya dilaksanakan dengan lancar. Tetapi dalam melaksanakan proses ini, semua pihak terlibat termasuk pengundi sendiri mesti menghormati konsep rakyat ini.
Pertama, rakyat mesti bebas bersuara, berhimpun dan bergiat dalam politik. Itulah semangat kuasa rakyat dalam demokrasi. Birokrasi tidak wajar melunturkan semangat asal demokrasi.
Dalam pada itu, walaupun majoriti rakyat akan menentukan kerajaan negara tetapi mereka memerintah bagi pihak semua rakyat, bukan saja yang majoriti tetapi juga minoriti. Juga tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan kedudukan kewangan mmereka.
Semangat konsep rakyat wajar dipegang supaya keadilan dapat dilaksanakan dalam negara. Perkataan rakyat bukan saja retorik atau klise, tetapi ia mempunyai suatu semangat yang perlu dipelihara, dipertahankan dan sentiasa diperbaharui. Rakyatlah yang membentuk negara, dan bukan sebaliknya.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

ULASAN | Saya tidak pasti bagaimana sambutan orang ramai terhadap siri-siri drama petang di TV sekarang. Sudah lama benar tidak menonton TV dalam erti kata menikmati siaran seperti selayaknya.
Mungkin tidak seburuk nasib akhbar cetak, siaran TV masih boleh bertahan lebih dalam dan relevan ketika media itu tetap dicabar kemudahan digital dan langit terbuka.

Tetapi walau apa pun medianya, emosi memang suatu komoditi yang mudah didagangkan sebagai komoditi. Kira-kira sama jugalah dengan beberapa siri realiti hiburan yang pernah membuat jutaan penonton melekat di depan TV selama berjam-jam.

Begitulah sifat seni bagi hiburan. Ia menggabungkan unsur debaran, kesedihan, harapan serta tidak kurang juga keberkesanan lakonan.

Kurang dari lima hari lagi untuk tiba ke tarikh 28 April, drama dan emosi itu nampaknya melimpah pula ke luar TV. Ada bermacam versi drama itu namun genrenya tetaplah seperti 'opera sabun'.
Ia adalah babak yang terjadinya berulang-ulang setiap empat atau lima tahun sekali. Puncanya, tentang kerusilah.

Itulah masalah kita. Kerusi terhad tetapi jumlah orang yang kemaruk kepadanya sangatlah ramai. Ia akan menjadi lebih sulit apabila pembahagian kerusi dibuat dalam kalangan gabungan yang dibina atas dasar muafakat.

Muafakat diperdagangkan

Namun kata "muafakat" itu pun kadang-kadang diletakkan pada taraf komoditi juga. Dalam huluran tangan untuk bersalam, muafakat itulah yang diperdagangkan. Sesekali ia dijual pada harga murah.

Apabila tiba pilihan raya umum (PRU) sesebuah parti akan berdepan konflik. Pemimpinnya juga berdepan konflik. Antaranya untuk menjaga hati semua penyokong, atau memuaskan hati sebahagian besar orang bawahannya.

Justeru ada penyesuaian yang dilakukan di sana sini. Paling sensitif tentulah pemilihan calon. Ada yang gugur, ada yang diangkat.

Maka di situlah rasa meluat kadang-kadang hadir. Ketika kumpulan yang sangsi atau bersikap negatif kepada parti politik terus berkembang, ulah sesetengah ahli politik akan lebih memburukkan keadaan.
Ketika di ambang penamaan calon inilah kita melihat wayang demi wayang dipaparkan oleh mereka. Pedulilah sama ada mereka menangis, merajuk, mengamuk atau sebagainya.

Sebagai pengundi kita sepatutnya membentak mereka dengan kata tanya: Kamu ini mahunya apa?

Pada waktu sebegini jugalah kita dipaksa untuk lupa kata-kata - yang turut menjadi komoditi - mereka sebelum ini. Berjuang demi rakyat, kononnya. Dan selepas menjadi wakil rakyat, membantu orang ramai seakan-akan mustahil dilakukan tanpa bergelar YB.

Suatu ketika dulu sebahagian orang percaya bahawa politik itu kotor. Namun melalui beberapa usaha pencerahan, dapat difahamkan bahawa bukan politik itu yang kotor tetapi ahlinya itulah yang menjijikkan.

Apa rakyat di hati ahli politik?

Sekarang dapat dilihat betapa kemaruknya seorang demi seorang ahli politik itu. Menangis, merajuk, mengugut, membentak dan seumpamanya.

Jadi kita ini - rakyat - sebenarnya apa di hati mereka?

Menggantikan wakil rakyat selepas lima penggal tidak boleh. Mengubah wakil rakyat selepas dua penggal, dilarang. Mengetepikan wakil rakyat selepas lapan penggal, pun pantang juga.

Maka bermunculanlah watak-watak yang membawa emosi rakyat ke sana sini. Agenda disusun secara diam-diam atau terbuka. Perang saraf dilancarkan dengan terancang. Pertemuan itu dan ini diatur.

Memanglah di mata umum segalanya dipersembahkan dengan bahasa diplomasi. Bagi pihak yang memahami, kemelut itu tetap dapat dikesan dengan mudah.

Namun di kalangan orang terbanyak, itu adalah harapan. Malangnya harapan itu hanyalah faktor luaran dan ia membaluti suatu pengkhianatan.

Mengapa? Sebab ahli politik yang bertengkar itu sebenarnya tidak memikirkan apa-apa pun. Soal pengundi yang memilih mereka menjadi YB pun tidak diendahkan, apa lagi rakyat terbanyak yang mengharapkan mereka mengubah keadaan kepada yang lebih baik.

Yang sudah ada kerusi bermati-matian mahu kekal seolah-olah tiada lagi umat manusia di atas muka bumi ini mampu berkhidmat seperti mereka.

Di pihak lain, ada pula yang berasa dia mampu menyelesaikan segala masalah jika terpilih menjadi calon pilihan raya.

Masalah kos sara hidup, rakyat sesak

YB sedia ada tidak menepati prasyarat untuk perubahan, kononnya. Sudah berusia lanjut dan tidak efektif katanya.

Tapi pada asasnya semua itu bermatlamatkan kekal mendakap kuasa - atau dalam konteks sekarang - mahu berpaut kepada kerusi. Kuasa dan kerusi.


Pergulatan ini berlaku ketika rakyat terbanyak sesak bernafas dengan masalah kos sara hidup yang semakin membebankan.

Jadi sebenarnya, barangkali mereka berasa sememangnya mereka itu wajib diundi untuk menjadi YB sampai mati.

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

ref:

1MDB: Pembangkang lengahkan isu saman ke atas Tony Pua.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=4&v=5GVX15pR_L4
YouTube

KUALA LUMPUR 21 April - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Arul Kanda Kandasamy mendakwa pembangkang sengaja mencari helah bagi melengah-lengahkan kes perbicaraan saman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berhubung isu syarikat tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/video/1mdb-pembangkang-lengahkan-isu-saman-ke-atas-tony-pua-1.654953
© Utusan Melayu (M) Bhd 


SUDAHLAH TAK CERDIK, CUBA MENIPU PULAK TU!!!

Setelah sebelum ini menjanjikan pemberian BR1M bernilai RM2,500 jika beliau menjadi Perdana Menteri, Naib Presiden Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah kini tampil lagi dengan janji barunya yang lebih sensasi.

Kali ini beliau menjanjikan akan memberi cuti selama dua tahun kepada ibu-ibu yang bersalin dan melahirkan anak.

Tetapi, sama sepertimana janjinya sebelum ini, janji terbaru ini juga, kata Mohd Amar hanya akan ditunaikan jika beliau dapat menjadi Perdana Menteri.

Ada sesiapa mahu percaya dengan janji Mohd Amar ini?

Sebenarnya inilah cara Pas menipu, memperdaya serta mengkhayalkan para penyokong dan orangramai dengan janji-janji palsu yang seolah-olah mampu dilaksanakan.

Sudah tentu Mohd Amar berani membuat janji itu kerana beliau tahu dirinya tak mungkin dapat jadi Perdana Menteri.

Beliau sebenarnya sedar bukan saja Pas tidak mungkin dapat mentadbir negara ini dan memenangi pilihanraya akan datang, malah jika ditakdirkan berjaya mendapat kuasa sekali pun, sudah tentu yang akan menjadi Perdana Menteri ialah Presiden Pas atau Timbalan Presiden Pas.

Mohd Amar hanyalah Naib Presiden Pas bersama dua lagi pemegang jawatan yang sama iaitu Idris Ahmad dan Iskandar Abdul Samad.

Maka, disebabkan sedar kedudukannya yang jauh daripada jangkauan kerusi Perdana Menteri itu, lalu beranilah berjanji bulan bintang kepada orangramai.

Hakikatnya, beliau hanya mahu menipu dan memperdaya rakyat sahaja.
Jika benar ikhlas, kenapa dengan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan sekarang dan sudah hampir 30 tahun Pas mentadbir Kelantan, Mohd Amar tidak berani berjanji apa-apa kepada rakyat negeri tersebut?

Lagi pun selama ini Mohd Amar hanya bertanding di peringkat DUN dan tidak dipastikan sama ada beliau akan beralih ke peringkat Parlimen dalam pilihanraya 9 Mei ini.

Makanya, untuk Mohd Amar bermimpi melangkah ke kerusi Perdana Menteri, tidur selama tiga hari tiga malam pun belum tentu mimpi itu akan menjelma dalam hidupnya.

Hakikatnya, segala janji Mohd Amar selama ini, baik berkaitan BR1M sebanyak RM2,500 ataupun cuti 2 tahun untuk wanita yang melahirkan anak, tidak lebih hanyalah tipu daya dan untuk memperdaya semata-mata.

Dalam waktu yang sama, janji cuti 2 tahun, tetapi sebenarnya hanya dibayar gaji selama tiga bulan itu juga merupakan suatu bentuk tipu daya kepada orangramai.

Siapakah yang sanggup bercuti selama 2 tahun dengan 21 bulan selebihnya tanpa dibayar gaji?

Akhirnya, sudah tentu ibu-ibu yang bersalin hanya akan memilih bercuti selama tiga bulan atau 90 hari saja, satu tempoh yang sudah pun diamalkan di kebanyakan sektor sekarang ini.

Tidakkah ini bermakna janji Mohd Amar kali ini suatu penipuan sekali lagi?

Selain itu, memberi cuti selama dua tahun itu juga  menggambarkan ketidakcerdikan Mohd Amar dalam melontarkan ideanya sebagai seorang pemimpin.

Cuba bayangkan, andaikata ada yang sedia menerima tawaran itu dan mereka melahirkan anak setiap dua tahun, tidakkah ini akan menyebabkan seseorang itu akan bercuti selama 10 tahun berturut-turut jika mempunyai anak seramai 5 orang.

Bukankah ini merupakan pembaziran dari segi tenaga kerja dan kemahiran, lebih-lebih lagi jika wanita itu berkelulusan tinggi?

Bagaimanakah Mohd Amar mahu menampung kelompongan dan kekurangan tenaga kerja tersebut sekiranya di sesebuah jabatan ramai ada wanita yang bersalin dalam tempoh masa yang hampir sama?

Tidakkah mengarut saja idea beliau itu?

Melontarkan idea pun nampak mengarut, maka mengundi Pas pun sama juga mengarutnya. (ShahbudinHusin 24/04/2018)

ref:
Shahbudin dot com: SUDAHLAH TAK CERDIK, CUBA MENIPU PULAK TU!!!

Di sebalik geseran Rafizi dan Azmin. 

April 24, 2018
Ketegasan Anwar dalam menangani konflik ini dipersoalkan dalam usaha menyelesaikan pergeseran yang dikatakan wujud antara Rafizi, Wan Azizah dengan Azmin.
Oleh Mohd Firdaus Hamzah
Isu pergolakan pemilihan calon Selangor sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mula tersebar luas.
Gimik yang dibuat Tian Chua sebenarnya hanya mahu memberi amaran kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk berhati-hati dalam melakukan pemilihan calon untuk PRU14. Tian Chua dilabel sebagai orang Datuk Seri Azmin Ali.
Rombongan Zuraida Kamaruddin, ketua Wanita PKR dilaporkan oleh kebanyakan media sudah membuat perjumpaan mengenai isu pemilihan calon.
Dilaporkan presiden menggugurkan calon-calon yang dikatakan rapat dengan pilihan kem Menteri Besar Selangor, Azmin. Juga dimaklumkan perjumpaan itu gagal menyelesaikan masalah pemilihan calon.
Azmin mengeluarkan kenyataan beliau tidak terlibat dalam pemilihan calon dan tidak ada senarai mereka yang digugurkan seperti dakwaan media.
Dalam gelora Selangor ini, nama Rafizi Ramli, naib presiden PKR dikaitkan dengan pembabitan dalam mempengaruhi keputusan memilih calon.
Beliau dikatakan terlibat dalam menasihati Wan Azizah. Diberitakan, ini merebak ke seluruh negara dengan membuka perbalahan yang belum selesai antara Rafizi dengan Azmin.
Rafizi dianggap musuh Azmin sejak mendakwa berlaku rasuah berbentuk seks dalam pentadbiran menteri besar itu. Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Satu laporan dikatakan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pertembungan Rafizi dan Azmin bukan baru. Beberapa segmen dalam PKR mendakwa Azmin sedang membina kartelnya, membina sokongan di peringkat akar umbi – memastikan penyokongnya mendapat dan memenangi jawatan dalam parti.
Pertembungan Rafizi dan Azmin juga dikatakan berlaku sejak 2010, sewaktu pemilihan Pemuda dengan calon pilihan Azmin – Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Di sebalik pergeseran Rafizi dan Azmin
Mereka yang mengikuti perkembangan PKR sedar pergeseran ini akan dan sedang membengkak. Namun, persoalan lebih besar ialah Wan Azizah nampaknya turut terlibat dalam persengketaan dan pergeseran ini.
Berita penolakan beberapa calon Azmin di Selangor mengukuhkan perbalahan, bukan sahaja antara Rafizi, malah Wan Azizah dengan Azmin.
Laporan Sinar Harian semalam yang Wan Azizah meninggalkan majlis pelancaran pusat operasi PKR Seberang Jaya ketika pengacara menjemput Azmin berucap, turut membayangkan ada pergeseran besar antara presiden PKR itu dengan timbalannya.
Persoalannya ialah berapa besar pergeseran antara Azmin dan Wan Azizah dan apa pula peranan ketua umum dalam isu ini.
Sebelum hari ini, ada yang mengatakan usaha menolak kronisme diungkit dalam PKR – memberi maksud kehadiran Wan Azizah sebagai isteri ketua umum, dan Nurul Izzah Anwar, anaknya sebagai kepimpinan tertinggi dalam PKR dan juga ahli Parlimen.
Azmin pernah dilaporkan mengkritik amalan nepotisme dan kronisme dalam PKR, merujuk Wan Azizah, secara terbuka di televisyen.
Gembar-gembur konflik antara Wan Azizah dan Azmin ini juga bukan perkara baru. Laporan dan berita mengenai konflik ini selalu ditutup demi kepentingan parti.
Namun, kini semakin jelas ada percanggahan antara mereka. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dikatakan memainkan peranan dalam perkara ini.
Ketegasan Anwar dalam menangani konflik ini dipersoalkan dalam usaha menyelesaikan pergeseran yang dikatakan wujud antara Rafizi, Wan Azizah dengan Azmin.
Nama-nama seperti Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Johari Abdul juga timbul sebagai bukan orang Azmin dan dikaitkan sebagai “Anwarisme”.
Sampai bila konflik ini akan berterusan? Adakah konflik seperti ini memberi petanda baik sekiranya mereka memerintah negara ini? Semua ini seperti bom jangka yang menunggu masa untuk meledak.
Mohd Firdaus Hamzah ialah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

ref:
Di sebalik geseran Rafizi dan Azmin | Free Malaysia Today

































Tiada ulasan: