Ahad, 22 April 2018

Tepuk dada tanya iman. 7322.

Terima Kasih Pengundi Pulai (P161) … Setia Bersama BN
(Nukilan dari Blog Saya .... www.jazlan.net)
TERIMA KASIH pengundi Parlimen Pulai (P161) , itulah ayat pertama yang saya mahu ucapkan kepada semua pembaca setia blog ini, kerana sudah lama tidak berkesempatan untuk menulis.
Maaf juga kepada anda semua yang mengikuti blog ini, kerana tiada entri terbaru disebabkan saya terlalu sibuk dengan pelbagai urusan terutama sekali ketika persediaan menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) 13.
Sesungguhnya, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kemenangan dengan majoriti sebanyak 3,226 undi mengalahkan Naib Presiden 1 Pas, Salahuddin Ayub ketika Pakatan Rakyat (PR) mensasarkan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) di kubu kuat parti iaitu di Johor.
Keputusan PRU 13 itu menyaksikan saya memperoleh 43,751 undi manakala Salahuddin mendapat 40,525 undi.
Dalam PRU 13 kali ini juga, menyaksikan sejumlah 100,490 pengundi dengan pecahan pengundi sebanyak 48 peratus Melayu; 42 peratus Cina; 10 peratus, India dan bakinya, Lain-lain Kaum mengundi di Parlimen Pulai.
Jumlah ini, meningkat sebanyak 20,828 pengundi berbanding ada PRU 12 dengan jumlah pengundi seramai 79,662 orang.
Sebenarnya, walaupun saya memasuki gelanggang PRU 13, sebagai penyandang untuk kerusi Parlimen Pulai tetapi hakikatnya, kelebihan bukan di tangan saya yang perlu mempertahankan kerusi ini untuk penggal ketiga.
Dengan ‘gergasi’ DAP, Lim Kit Siang bertanding di Parlimen Gelang Patah yang terletak bersebelahan Parlimen Pulai, selain perlu membawa dua calon baru untuk kerusi DUN Pengkalan Rinting (N46) dan DUN Kempas (N47), PRU 13, bukan semudah yang disangka.
Berseorangan menghadapi segala strategi dan jentera PR terutama sekali DAP yang tersusun untuk menawan Iskandar Malaysia, sebenarnya membuatkan saya terfikir sampai bilakah BN atau lebih tepat UMNO mampu mempertahankan Iskandar Malaysia.
Kini, lanskap Iskandar Malaysia berubah selepas PRU 13, daripada tujuh kerusi Parlimen dalam Iskandar Malaysia, dua daripadanya iaitu di Gelang Patah dan Kulai adalah milik DAP.
Lebih menyedihkan Gelang Patah yang terletaknya pusat pentadbiran kerajaan Johor di Nusajaya yang selama ini, menjadi kebanggaan BN sebagai lambang kemajuan di bawah pemerintahan BN, kini milik DAP.
Pada masa sama, sekurang-kurangnya satu DUN dalam tujuh Parlimen di Iskandar Malaysia adalah milik PR…senario yang amat berbeza sejak 57 tahun negara merdeka.
Adakah masih ada harapan untuk BN dan UMNO di Iskandar Malaysia? Persoalan ini, tidak mampu saya jawab secara berseorangan tetapi pucuk pimpinan parti terutama sekali YAB Datuk Seri Najib Razak selaku ‘nakhoda’ kapal BN perlu membuat strategi dan keputusan yang cepat serta tepat.
Mandat 5 tahun yang diberikan kepada saya selaku Ahli Parlimen Pulai untuk berkhidmat kepada masyarakat serta pengundi Pulai akan saya cuba laksanakan sebaik mungkin.
Selepas dua bulan berehat sejak 5 Mei lalu, saya kini sedang merancang pelbagai strategi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi serta masyarakat dalam Parlimen Pulai.
Langkah pertama yang saya anggap paling penting perlu diambil adalah untuk membuka Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pulai yang baru di Nusa Bestari.
Ia disebabkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pulai yang sedia ada di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat Tampoi terletak agak jauh daripada masyarakat sekitar Nusa Bestari, Bukit Indah dan Bandar Selesa Jaya.
Jadi, saya membuat keputusan untuk membeli kedai pejabat untuk dibuka sebagai Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pulai yang baru sebagai tambahan kepada pusat khidmat wakil rakyat sedia ada.
Walaupun, kos akan bertambah tetapi ia adalah keputusan yang tepat dan betul dalam memastikan masyarakat di kawasan Bukit Indah khususnya dalam DUN Pengkalan Rinting terus menerima perkhidmatan daripada BN.
Di sini, juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor yang baru, YAB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan barisan exconya yang dipilih untuk menerajui kerajaan negeri.
YAB Datuk Seri Khaled bagi saya mempunyai tugas serta tanggungjawab besar sebagai Menteri Besar Johor bagi menyediakan BN negeri untuk melangkah masuk ke gelanggang PRU 14.
Tiada istilah berbulan madu bagi semua Ahli Parlimen serta ADUN BN di Johor kerana fokus PR sudah pasti untuk menawan negeri Johor selepas berjaya menawan Pulau Pinang serta Selangor selama dua penggal.
Jika keputusan PRU 14 kelak menyaksikan ketiga-tiga negeri maju di Semenanjung Malaysia ini, berada dalam pimpinan PR, sudah pasti ia adalah satu malapetaka kepada BN.
Dan jika itu, berlaku, masih ada harapankah untuk BN terus menerajui negara tercinta ini…
Bagaimanapun, saya percaya harapan masih ada untuk BN dan UMNO terus mendapat kepercayaan rakyat kerana di pihak PR pula mereka bukan segala-galanya bersifat’ malaikat’.
Cuma mereka jelas lebih pandai untuk memutarbelitkan fakta dan memberikan serta menimbulkan pelbagai persespsi negatif mengenai BN hingga dipercayai rakyat.
Tambahan pula di Malaysia tanah air tercinta ini, sudah terbukti bahawa persepsi lebih dipercayai daripada fakta…Tepuk Dada Tanya Selera.

Tiada ulasan: