Jumaat, 11 Mei 2018

Apa kata Apandi pada 10 September 2017. 7566.


Kuasa ampun Seri Paduka bukan mudah

Berita Harian 10 Sep 2017
Oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali 

Semalam kita mengadakan sambutan Hari Keputeraan rasmi Yang di-pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dengan penuh gemilang. Bersempena sambutan itu, elok jika kita dapat mengingatkan sesetengah rakyat Malaysia yang mungkin sudah terlupa mengenai kuasa dan kedudukan baginda seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Wujud banyak peruntukan mengenai kuasa dan kedudukan Seri Paduka dalam Perlembagaan. Kedudukan istimewa baginda selaku Ketua Utama Negara jelas termaktub dalam Perkara 32 yang menyebut baginda hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang dalam Persekutuan dan tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di mana-mana mahkamah kecuali Mahkamah Khas.

Antara kuasa dan kedudukan baginda yang utama ialah sebagai Ketua Agama Islam (Perkara 3), pemerintah tertinggi angkatan tentera Persekutuan (Perkara 41), pelindung kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain (Perkara 153) serta pengeluar suatu Proklamasi Darurat jika baginda berpuas hati darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam (Perkara 150).

Kuasa besar Yang di-pertuan Agong juga terlihat dalam Perkara 40 (2) yang memperuntukkan baginda boleh bertindak menurut budi bicaranya bagi (a) melantik seorang Perdana Menteri, (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen, (c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam hal lain yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kuasa lantik Perdana Menteri

Selain kuasa budi bicara bagi melantik Perdana Menteri daripada kalangan seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat itu, baginda juga mempunyai banyak kuasa pelantikan lain.

Antaranya membabitkan pelantikan Menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri (Perkara 43), 44 orang Ahli Dewan Negara (Perkara 45), anggota Suruhanjaya Pilihan Raya selepas berunding dengan Majlis Raja-raja (Perkara 114), Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja (Perkara 122B), Panglima Angkatan Tentera (Perkara 137) dan Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri (Perkara 145).

Selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan diamalkan di Malaysia, Perkara 40 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya Perlembagaan Persekutuan.

Ekoran tindakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri waktu itu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perkara 40 (1A) telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1994 bagi memperuntukkan bahawa, jika Yang di-pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Satu daripada kuasa Yang dipertuan Agong yang sering dipandang mudah sesetengah pihak adalah kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang dibicarakan mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya seperti yang ada dalam Perkara 42.

Mengikut Perkara 42, kuasa baginda untuk memberi ampun kepada mana-mana pesalah ini hendaklah dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Menteri bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan tidak lebih tiga anggota lain yang hendaklah dilantik baginda.

Perkara 42 juga memperuntukkan sebelum memberi nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan perlu menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan Peguam Negara mengenai perkara itu. Prosedur memohon ampun kepada mana-mana pesalah ini pula dinyatakan dalam Peraturan 113 dan Peraturan 114 Peraturan-peraturan Penjara.

Berbeza dengan Peraturan 114 yang menyebut pesalah hukuman mati boleh memohon ampun bila-bila masa, Peraturan 113 pula menyebut pesalah biasa permohonan ampun ini boleh memohon sekali sebaik sahaja ia dapat dilakukan, kali kedua sesudah menjalani hukuman selama tiga tahun, dan seterusnya selang dua tahun, melainkan jika wujud keadaan istimewa yang pegawai bertugas boleh pertimbangkan untuk dibawa kepada makluman Yang di-pertuan Agong.

Perlu ikut peraturan

Kenyataan yang dibuat sesetengah pihak seolah-olah meremehkan kuasa Yang di-pertuan Agong untuk memberi ampun kepada mana-mana pesalah dan seolaholah permohonan ampun adalah perkara mudah yang boleh dipohon bila-bila masa sahaja, sedangkan hakikatnya tidak begitu kerana ia perlu dibuat mengikut peraturan ditetapkan, manakala keputusannya pula didasarkan kepada pertimbangan tertentu.

Ada cubaan pihak tertentu merujuk ke Mahkamah Persekutuan persoalan sama ada keputusan Lembaga Pengampunan boleh dicabar di mahkamah ataupun tidak. Walau apa pun keputusan Mahkamah Persekutuan dalam perkara ini, hakikatnya permohonan dan pemberian ampun bukan perkara mudah. Selaras dengan kuasa luas dan kedudukan tinggi Yang di-pertuan Agong ini, marilah kita menumpahkan taat setia serta menunjukkan penghormatan kepada baginda selaku pengikat dan pemayung semua golongan selaras dengan prinsip kedua Rukun Negara.

Kenyataan sesetengah pihak seolah-olah meremehkan kuasa Yang di-pertuan Agong untuk memberi ampun” Mengikut Perkara 42, kuasa baginda memberi ampun hendaklah dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan” Marilah kita sama-sama taat setia serta tunjukkan penghormatan kepada Yang di-pertuan Agong”

Ramai juga orang yang diisytiharkan muflis, tidak tahu mengapa dia muflis. Lebih perit lagi apabila berada di lapangan terbang untuk ke luar negara, tiba-tiba dilarang meninggalkan negara kerana status muflis. Ikuti kupasan lanjut Felo Kanan (Undang-undang), Pusat Pengajian Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM, Dr Suzana Muhamad Said mengenai isu ini, esok.

ref: 
PressReader.com - Connecting People Through News
Kuasa ampun Yang di-Pertuan Agong bukan mudah | Muka 10 | Berita Harian

PressReader.com - Connecting People Through News

...............

Tiada ulasan: