Sabtu, 5 Mei 2018

Rasulullah Sallahualaihiwassalam juga berhadapan dengan dugaan kehidupan. 7450.

GAYA HIDUP
5 Cara Rasulullah S.A.W Menghadapi Dugaan Hidup. 
OLEH MARINA, PADA 8 JAN 2018
Bismillahirrahmanirrahim. 
Alhamdulillahirabbilalaamiin. 

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Sesungguhnya, kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. Dan, jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu.” (Surah Muhammad: 36.) 


Benarlah firman Allah S.W.T bahawa hidup ini hanyalah tempat untuk bermain dan bersenda gurau.


Adakala ketika ‘bermain-main’ (menjalani hidup di dunia ini), kita berasa gembira. Kadang, berasa sedih. Itulah rencah yang dilalui oleh setiap daripada kita tidak kira pangkat mahupun darjat.


Justeru itu, timbul persoalan apakah sikap kita selaku seorang Muslim dalam menghadapi hal ini?


Bagaimanakah pula Rasulullah S.A.W menghadapi dan menenangkan hati tatkala ujian melanda di dalam hidup Baginda? Berikut dikongsikan bersama;

#1 – Bersangka Baik Dengan Allah S.W.T

Setiap perkara yang berlaku dalam hidup kita sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Oleh itu, usahlah mengeluh dan menyalahkan takdir yang telah ditetapkan.

Berusahalah untuk mendidik hati kita agar bersangka baik dengan setiap aturan-Nya. Ini kerana, Rasulullah S.A.W pernah bersabda;


“Bahawasanya Allah S.W.T berfirman, ‘Sesungguhnya Aku bersama sangkaan hamba-Ku’.” (
Riwayat At-Tirmizi.) 

#2 – Meminta Pertolongan Dari Allah S.W.T

Sehebat mana pun kedudukan kita di mata manusia, kita tetap memerlukan Tuhan dalam kehidupan seharian. Ini kerana Dia sajalah yang mengetahui perihal buruk baik, serta perihal dalaman luaran kita secara keseluruhannya.

Justeru itu, jika diri ditimpa kekecewaan, musibah mahupun dugaan dalam hidup, mintalah pertolongan dari-Nya, kerana Dia lebih mengetahui.


Seperti mana firman Allah S.W.T yang bermaksud;


“Dan, mintalah pertolongan dari-Ku pasti Aku perkenankan.” (
Surah al-Baqarah : 185.) 

Bahkan Baginda Nabi S.A.W yang juga insan paling agung di sisi Allah juga turut memohon pertolongan kepada Allah S.W.T bagi mententeramkan dirinya daripada pelbagai dugaan yang menimpa ke atasnya.


Rasulullah S.A.W bersabda;


“Apabila seorang hamba ditimpa kegelisahan atau kesedihan, lalu ia berdoa, ‘Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-mu, anak hamba-Mu (Adam) dan anak perempuan-Mu (Hawa). Ubun-ubunku di tangan-Mu, keputusan-Mu berlaku padaku, qada’-Mu kepadaku adalah adil. Aku mohon kepada-Mu dengan setiap nama (baik) yang telah Engkau gunakan untuk diri-Mu, yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhluk-Mu atau yang Engkau khususkan untuk diri-Mu dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, hendaknya Engkau jadikan Al-Quran sebagai pententeram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.” (
Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Abu Ya’la, Al-Hakim.) 

#3 – Mengkaji Al-Quran

Bacalah Al-Quran walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Lebih-lebih lagi, apabila diri dilanda musibah.

Jika hati tidak tenang terhadap suatu perkara, maka ambillah Al-Quran, di tatap, di baca dan fahamilah maksudnya.


Dengan izin Allah, gundah di hati akan hilang secara beransur-ansur. Bahkan, ubat bagi segala penyakit yang ada di dalam hati juga dapat disembuhkan menerusi Al-Quran. Firman Allah S.W.T bermaksud;


“Kami berfirman, ‘Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhawatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati’.” (
Surah al-Baqarah : 38.) 

#4 – Menjaga Wuduk

Selain untuk solat, kita juga digalakkan untuk sentiasa berada dalam keadaan berwuduk. Ini kerana selain membersihkan diri secara luaran, wuduk juga terbukti memberi kesan terhadap pembersihan rohani seseorang.

Salah satu sunnah Rasulullah S.A.W adalah berwuduk sebelum tidur. Baginda bersabda;


“Barangsiapa yang tidur di malam hari dalam keadaan suci (berwuduk), maka Malaikat akan tetap mengikuti. Lalu, ketika ia bangun nescaya Malaikat akan mengucapkan, ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan, kerana ia tidur di malam hari dalam keadaan sentiasa bersuci’.”

Riwayat Ibnu Hibban dari Ibnu Umar R.A.

#5 – Membasahkan Lidah Dengan Zikrullah

Lebih banyak dan besarnya dugaan yang menimpa diri, maka lebih banyaklah kita sepatutnya mengingati Allah. Ini kerana, Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud;

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dan berzikir (mengingati Allah). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.” (
Surah ar-Ra’d : 28.) 

Sungguhpun begitu, ini bukanlah bermaksud kita hanya perlu mengingati-Nya tatkala dalam kesusahan sahaja. Ini tidak benar sama sekali.


Sebetulnya, sama ada kita dalam keadaan susah mahupun senang, sentiasalah ingat pada-Nya.


Mudah-mudahan, perkongsian ini dapat membantu para pembaca untuk keluar dari sebarang gundah gelisah yang menyelubungi hati saat ini.


Yakinlah, bahawa setiap apa yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T itu sudah pasti ada maksudnya yang tersirat.


Cuma saja kita tidak tahu bila akan dapat kita ketahui maksud tersebut. Ada yang cepat dan ada juga yang lambat diketahui.


Mungkin, ia akan memakan masa selama bertahun baru tersingkap rahsia qada’-Nya. Bersabarlah dan jalanilah hidup dengan penuh kesyukuran.


Boleh jadi kita berasakan diri ini paling besar dugaannya tetapi, tahukah kita ada insan lain yang lebih hebat ujiannya berbanding diri kita? Moga bermanfaat. Wallahua’lam.


ref: 
5 Cara Rasulullah S.A.W Menghadapi Dugaan Hidup

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Tiada ulasan: