Sabtu, 5 Mei 2018

Seseorang yang terkesan dengan ujian dengan cara yang negatif akan mudah putus asa dan cepat patah semangat. 7454.



Rencana 
Sabar Dalam Menerima Musibah. 
November 25, 2015 Norhayati Paradi Berita Harian, BH, Islam Itu Indah, Norhayati Paradi

PRINSIP hidup sebagai penganut agama Islam adalah ‘hidup merupakan ujian’. Setiap yang bernama ujian punya pemilik yang menguji dan di balik ujian tersebut bakal menemukan satu keputusan punca penyelesaiannya. Samaada keputusan itu membawa kepada kejayaan mahupun kegagalan, ia mendidik manusia untuk usaha dan redha kepada ketentuan tuhan. Menerangkan tentang prinsip kehidupan sebagai ujian ini, ustaz Pahrol Mohd Juoi menerangkan bahawa pemilik ujian adalah Allah SWT dan yang di uji adalah manusia menerusi Program Islam Itu Indah di IKIMfm Rabu lalu. Ujarnya, kayu ukur kepada kejayaan dalam ujian adalah memperoleh redha Allah SWT dan diganjari dengan syurgaNya. Sebaliknya, jika gagal akan mendapat murka Allah dan tercampak ke dalam azab nerakaNya.

Sesungguhnya di jadikan mati dan juga hidup untuk menguji manusia. Ujian berlaku dalam dua bentuk. Bentuk pertama adalah ujian kepada sesuatu yang di sukai dan kedua merupakan bentuk ujian kepada sesuatu yang tidak di sukai atau lebih dikenali sebagai musibah.  Musibah adalah salah satu unsur dalam ujian tetapi tidak semua ujian diklasifikasikan sebagai musibah. Contohnya, antara kaya dengan miskin. Kaya itu ujian tetapi kemiskinan juga ujian dan tergolong dalam kategori musibah. Namun begitu, ujian dalam kekayaan itu jauh lebih sukar daripada musibah kemiskinan. Saat di timpa musibah perlu kepada sabar. Walau bagaimanapun, untuk menempuh ujian berdepan kesenangan yang perlu kepada syukur. Sesungguhnya tidak dapat disangkal bahawa makam kedudukan syukur lebih tinggi daripada sabar.

Adalah mustahil untuk bersyukur, jika tidak melepasi dugaan untuk bersabar. Dalam kehidupan seseorang, pasti akan bertembung dengan sesuatu yang tidak disukai atau di kenali sebagai musibah seperti kegagalan, kemiskinan, kelaparan dan sebagainya. Waimah orang kaya juga punya perkara yang tidak disukai seperti dicuri, difitnah, dihasad dan banyak lagi. Kebanyakan orang yang ditimpa musibah merasakan bahawa hanya dirinya sahaja yang dirundung musibah dan ia merupakan musibah yang paling berat sehingga tiada sesiapa pun yang pernah mengalami dan melalui musibah seumpama itu. Dia beranggapan bahawa dirinya paling malang, paling menderita dan paling teraninyaya akibat di timpa musibah terebut sehingga dia hilang semangat dan putus asa untuk meneruskan kehidupan.

Elakkan merasa hanya kita seorang sahaja di timpa musibah di dalam dunia ini kerana hakikatnya ramai orang menerima musibah dengan cara dan keadaan yang berbeza. Percayalah, di saat diri mula sedar bahawa bukan diri ini sahaja yang menerima musibah maka akan lahir semangat untuk berjuang melepaskan diri daripada cengkaman musibah itu. Ini kerana telah hadir perasaan yang mengatakan ada insan lain yang juga ditimpa musibah bahkan mungkin keadaan mereka lebih parah berbanding kita. Ini adalah fitrah psikologi manusia yang akan merasa ringan jika mengetahui bahawa masalah dan musibah yang dideritai mempunyai persamaan dengan beberapa orang lain.

Rasulullah SAW, ketika baginda diuji dengan tahun-tahun dukacita. Saat bapa saudara kesayangan baginda; Abu Talib meninggal dunia, diikuti kewafatan isteri tercinta; Siti Khadijah, Rasulullah SAW dibawa untuk Israk Mikraj magi menyelimur dukanya. Dalam peristima itu, Rasulullah SAW dipertemukan dengan para nabi dan rasul. Tidak ketinggalan baginda berjumpa dengan para nabi yang diuji seperti Nabi Musa a.s, Nabi Lut dan lain-lain. Pertemuan-pertemuan itu adalah cara untuk menghilangkan kedukaan baginda kerana melalui pertemuan dengan para nabi yang diuji maka secara tidak langsung ia membina kekuatan buat Rasulullah SAW.

Sentiasa tanamkan dalam diri saat diuji bahawa ada insan yang lebih diuji daripada diri kita. Beringat selalu ketika terasa terlalu sukar untuk bertahan, para nabi berdepan sukar yang jauh lebih mencabar. Bak kata bijak pandai, “Usah mengeluh jika berjalan tanpa kasut, kerana ada yang berjalan tidak berkaki”. Sering juga terjadi melihat pelangi hanya di atas kepala orang lain, sedang hakikatnya ia juga berada di atas kepala kita. Rasulullah SAW dalam mendidik para sahabat yang paling awal beriman kepada Allah di Mekah, baginda dan para sahabat menerima ujian yang paling genting. Mengikut sirah, sahabat yang memeluk Islam di peringkat awal itu terdiri daripada golongan marhain. Sehingga terdapat seorang sahabat bernama Kabab bin Ararat yang ditimpakan ujian yang sangat berat. Dikisahkan beliau menerima ujian yang benar-benar menguji keimanannya. Beliau merupakan seorang hamba dan disebabkan beliau beriman kepada Allah lantas beliau di siksa oleh tuannya dengan membakar Kabab sehingga diceritakan menitis lemah-lemak badannya yang mencair akibat terlalu panas sehingga titisan lemak yang terbakar itu memadamkan api. Apabila berasa terlalu berat dan dahsyat ujian yang diterima, lalu beliau bertemu dengan Rasulullah dan mengadu tentang nasibnya. Beliau meminta Rasulullah SAW agar baginda memohon kepada Allah sebarang bantuan yang mampu meringankan beban siksaan dan ujian yang menimpanya. Seraya Rasulullah menjawab bahawa orang-orang yang terdahulu daripadanya lebih di uji iaitu Nabi Yahya dan Nabi Zakaria yang digergaji sehingga terbelah dua tubuhnya. Begitulah baginda Rasulullah SAW membesarkan jiwa para sahabat. Membesarkan jiwa para sahabat dengan cita-cita yang besar kerana cita-cita yang besar akan mengecilkan segala ujian yang sedang di hadapi.    

Seseorang yang terkesan dengan ujian dengan cara yang negatif akan mudah putus asa dan cepat patah semangat. Itu petanda diri individu tersebut tidak memiliki cita-cita yang besar. Sebagai umat Islam, sememangnya secara fitrah bercita-cita besar iaitu inginkan syurga Allah SWT dan menegakkan Islam di atas muka bumi ini.

Saban hari, ungkapan dan kepercayaan tertanam bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Namun, terkadang terlintas suara hati mempersoalkan; mengapa Allah ciptakan kegagalan, Allah beri kekalahan dan penghinaan yang terpaksa diterima? Malah tercetus soalan; mengapa hidup tidak semudah yang di sangkakan dan mengapa Allah yang Maha Penyayang masih memberi musibah kepada hambaNya yang dikasihi?  

Bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut, Ustaz Pahrol memberikan metafora. Jika memiliki anak kecil yang sakit pasti ibubapa akan memberikan ubat. Semestinya kanak-kanak tidak menyukai ubat disebabkan rasanya yang pahit dan tidak enak. Namun, ibubapa akan tetap memaksa anak kecil itu menelan ubat. Bagi ibubapa yang penyayang, pengambilan ubat itu akan diteruskan juga dengan seribu daya dan cara walaupun anak itu memberontak, menangis dan berteriak. Mustahil bagi ibubapa akan mengikut kehendak anak-anak yang enggan memakan ubat hanya kerana rasanya yang pahit dan tidak enak di tekak anaknya. Ini kerana kasih sayang ibubapa ada pada ubat yang pahit. Asbab ubat itu akan memberi kesembuhan kepada anak yang mereka sayang. Memang rasanya pahit tapi itu yang terbaik. Ujian itu pahit, namun kerana Allah itu Maha Penyayang maka diberikan buat hambaNya sebagai penawar paling mujarab di kehidupan mendatang.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 November 2015

ref: 
Sabar Dalam Menerima Musibah | IKIMfm


Tiada ulasan: