Isnin, 13 Ogos 2018

Permasalahan hidup dan jalan penyelesaiannya. 8034.


LGBT: Jangan sekadar cekap mencaci - Dr Mujahid Yusof

Dr Mujahid Yusof: Sekali lagi, merujuk kepada pertemuan saya bersama wakil transgender Jumaat lalu. Saya sentiasa terbuka untuk membincangkan isu yang sensitif. Saya berpandangan kita boleh dekati isu ini dengan dua cara pendekatan sama ada ia dilakukan secara engagement atau confrontational. 

Kedua-dua bentuk pendekatan itu bagaimanapun mempunyai manfaat dan mudaratnya yang tersendiri. Namun sebagai menteri dan mewakili institusi agama bagi kerajaan persekutuan - pada hemat saya - pendekatan secara engagement yang lebih lunak dan lembut lebih sesuai dan ‘rahmah’ malah ia bukan satu perkara baru dalam teknik berdakwah yang boleh berubah dengan penilaian situasi, tempat dan masa. 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri telah menjalankan kerja-kerja dakwah secara engagement terhadap pelbagai kumpulan sasaran, terutamanya dalam isu transgender. Untuk rekod, Jakim telah mendekati komuniti berkenaan sejak lapan tahun lalu untuk mengeluarkan mereka dari kancah industri seks sebagai objektif pertama, dan seterusnya memberi bimbingan ilmu dan keagamaan bagi perubahan sepenuhnya. Ditegaskan lagi menggunakan pendekatan dakwah secara engagement bukan bermakna saya atau kerajaan menyokong perlakuan mereka, tetapi sebagai kerajaan kami perlu memastikan agar tiada pihak yang semakin menjauhkan diri disebabkan pendekatan keras dan menghukum di peringkat awal. Saya juga menyedari berlaku sedikit kekhilafan semasa sidang media ketika menjawab soalan yang diajukan wartawan pada Jumaat lalu, terutamanya mengenai penggunaan tandas awam dan beberapa perkara lain. 

Pendirian tetap kekal 

Saya menjawab soalan wartawan yang diajukan secara spontan dan sepintas lalu. Ia bukan kenyataan muktamad mahupun arahan, ia sekadar respon spontan saya. Ingin saya tegaskan, tiada arahan atau keizinan daripada saya untuk transgender berkongsi tandas awam dengan wanita, sebaliknya hanyalah: “maybe..” (mungkin) dan “if…” (kalau) kerana ia boleh melibatkan pelbagai bentuk situasi dan keadaan. 

Demikian juga hal berkaitan saf solat. Semua hal tersebut sesuai dibicarakan lanjut oleh pihak mufti sebagai keputusan terbaik. Apa pun, saya memohon maaf kepada pihak yang berasa terancam (offended) dengan kekeliruan yang telah berlaku dan juga menarik semula kenyataan yang kurang sesuai. 

Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa pendirian saya selaku menteri kekal, iaitu kita langsung tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan golongan transgender merangkumi lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, penukaran jantina, perlakuan menyerupai wanita dan yang sebaliknya dan juga kecenderungan seks sama jenis. 

Tiada sama sekali pengiktirafan atau berkenan untuk mempromosi terhadap semua perlakuan tersebut. Berdasarkan kesimpulan dan dapatan kajian Jakim selama lapan tahun, selain beberapa kajian ilmiah antaranya oleh Dr Izwan Yusof, Teh Yik Koon dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim, saya telah menyimpulkan kesukaran golongan transgender mendapatkan pekerjaan disebabkan peraturan oleh majikan, serta adat dan budaya. 

Ia merupakan antara faktor yang mendorong mereka untuk menjadi pekerja seks, kerana beranggapan mereka tidak diterima oleh masyarakat. Kita tidak boleh nafikan hak asas pelaku selaku manusia untuk didekati, dibimbing, mendapat pekerjaan yang sesuai, mendapat pelanggan bagi perniagaan, rawatan apabila sakit, bantuan apabila memerlukan, tidak dihina dan dikutuk ketika ingin mendapatkan hak-hak asas (basic rights) yang tersebut, hingga akhirnya terus membenci agama dan manusia lain. 

Itulah hak asas yang wajar dinikmati oleh seluruh warganegara, selagi penunaian hak itu tidak mengancam hak yang lain secara jelas. Berdasarkan pengalaman menyantuni komuniti juga, Jakim mendapat maklum balas daripada komuniti transgender tentang isu diskriminasi. Misalnya penolakan keluarga, stigma masyarakat, ejekan dan buli, stigma agamawan dan sukar mendapat pekerjaan kerana tidak memenuhi peraturan majikan yang menetapkan berpenampilan seperti identiti yang tercatat dalam kad pengenalan. 

Jangan cuma melaknat 

Bagaimanapun, Jakim juga menerima maklum balas daripada komuniti transgender yang mempunyai kerjaya yang baik, masih tinggal bersama keluarga, dapat peluang belajar dan mendalami agama. Misalnya melalui program yang dilaksanakan Jakim dan badan-badan lain, kerana mereka bersedia bertoleransi dengan nilai norma, budaya, agama, undang-undang yang dianut oleh bangsa Malaysia. Mendekati golongan transgender dan memahami selok-belok kaedahnya supaya dapat menarik mereka menjinakkan diri dengan ilmu agama sehingga akhirnya keluar daripada perlakuan dilaknati Rasulullah SAW adalah suatu tuntutan dakwah. 

Kita tidak boleh hanya melaknat dan memulaukan mereka tanpa ada sesiapa - khususnya pihak berwajib - yang mendekati dan memberi peluang secara lunak dan bersasar. Sudah tentu, saya menerima hadis-hadis sahih yang melaknat golongan lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya, namun pada hemat saya, ia lebih sesuai dalam bentuk dakwah umum seperti dalam khutbah Jumaat tanpa dikhususkan kepada identiti tertentu. 

Namun dalam konteks dakwah fardiah (individu), pendekataan secara al-nasihah bil hikmah perlu dilakukan tanpa mendahulukan ancaman dan laknat sebelum menjelas dan mendekati. Demikian metodologi dakwah yang diajar di dalam al-Quran apabila Nabi Musa AS diperintahkan mengadap Firaun dengan kata-kata yang lemah-lembut (Taha: 43-44), dan hadis tentang cara Rasulullah menasihati pemuda yang datang meminta izin untuk berzina. Juga ketika baginda melarang sahabat mencela seorang sahabat lain yang ditangkap kerana meminum arak, serta contoh-contoh lain. 

Berdasarkan beberapa kajian Jakim juga, komuniti LGBT Muslim di Malaysia terbahagi kepada tiga kategori. Kategori yang perlu diberi penekanan serta bimbingan ialah golongan yang mahu berubah atau berhijrah, serta mengakui perlakuan mereka menyalahi agama. Bagi kategori yang ketiga (iaitu yang menganggap perlakuan mereka disebabkan naluri semula jadi dan tidak rasa bersalah), perlu digerakkan dialog berterusan untuk sama-sama saling memahami agar mereka tidak terus terpesong. 

Hanya selepas itu, pendekatan lain wajar disusun dan dimulakan. Akhir sekali, berhentilah dari memanipulasi kenyataan saya dengan fitnah atau kesimpulan yang tidak pernah saya maksudkan. Tiada pula saya bersifat lunak dan lembut tanpa batasan dan perancangan. Tugas menghukum, bukan tugas kita. Sesungguhnya Allah sahaja yang berhak untuk menilai hamba-Nya. Kita perlu menyelamatkan, bukan hanya cekap dan pantas mencaci, melaknat dan menyisihkan, kerana ruang taubat sentiasa terbuka selagi nyawa belum sampai ke hujungnya. 

Negara dan pemimpin yang rahmah perlu mengutamakan yang lunak sebelum keras lagi menjauh dan menambah benci terhadap Islam. Berhentilah menjadi masyarakat yang menghukum. Bantu dan bimbing. Komuniti transgender juga perlu berhenti menuntut hak yang menyanggahi nilai norma, budaya, agama,undang-undang yang dianut bangsa Malaysia. 

Dengan itu, masyarakat lebih sejahtera. 
DATUK DR MUJAHID YUSOF ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri. 
https://gigitankerengga.blogspot.com/2018/08/lgbt-jangan-sekadar-cekap-mencaci-dr.html
KERENGGA: LGBT: Jangan sekadar cekap mencaci - Dr Mujahid Yusof

Isu tandas LGBT: Periksa kencing keluar ikut mana – mufti

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempunyai penyelesaian mudah untuk kekeliruan tandas untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Katanya, ia bergantung kepada saluran air kencing yang digunakan.

“Saya ingin mencadangkan jika kekeliruan ini terjadi kepada mana-mana individu, disyorkan dia berjumpa pakar untuk memeriksa dirinya semasa dia membuang air kecil di saluran mana air itu keluar.

“Jika ia keluar melalui alat sulit lelaki, silalah ke tandas lelaki. Jika keluar melalui alat sulit wanita, sila ke tandas wanita.

“Jika tidak keluar langsung, ataupun keluar tidak melalui alat sulit lelaki ataupun wanita, silalah ke hospital. Jika doktor kata anda cacat, bolehlah ke tandas orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Menteri agama Datuk Mujahid Yusof pagi tadi ini menjelaskan tiada arahan atau keizinan daripadanya untuk golongan transgender berkongsi tandas awam dengan wanita.

Katanya, dalam jawapan spontan dan sepintas lalunya minggu lalu, beliau hanya berkata “maybe” (mungkin) dan “if” (kalau) kerana ia boleh melibatkan pelbagai bentuk situasi dan keadaan.

Berkaitan saf solat golongan itu pula, katanya, perkara itu sesuai dibicarakan lanjut oleh pihak mufti.

Mujahid bertemu Nisha Ayub selepas kontroversi gambarnya diturunkan dari pameran fotografi di Pulau Pinang susulan campur tangan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menulis di Facebook hari ini, Asri berkata jika pihak terlibat tiada kemampuan menemui pakar, dia boleh memeriksa sendiri alat kemaluannya.

Asri berkata demikian setelah beliau mendakwa ditanya banyak pihak mengenai isu itu.

“Entah mengapa tiba-tiba soalan seperti ini pun boleh muncul? Nampaknya, kekeliruan gender membawa kepada kekeliruan tandas,” katanya.
-malaysiakini
at 8/13/2018 03:18:00 PTG
https://gigitankerengga.blogspot.com/2018/08/isu-tandas-lgbt-periksa-kencing-keluar.html
KERENGGA: Isu tandas LGBT: Periksa kencing keluar ikut mana – mufti

Mujahid akui terkhilaf, mohon maaf, tarik kenyataan S
Bernama

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa mengakui terkhilaf dan menarik semula apa yang diperkatakannya dalam sidang media selepas bersemuka dengan seorang transgender, Nisha Ayub, Jumaat lalu.

Mujahid dalam kenyataan medianya hari ini berkata, beliau turut memohon maaf terhadap pihak yang berasa terancam dengan kenyataannya itu.

Menjelaskan situasi yang berlaku ketika sidang media itu, Mujahid menjelaskan, beliau menjawab soalan wartawan yang diajukan secara spontan dan sepintas lalu.

Namun katanya, apa yang dikatakannya itu bukan kenyataan muktamad mahupun arahan namun ia sekadar respons spontan daripadanya.
at 8/13/2018 06:25:00 PTG
https://gigitankerengga.blogspot.com/2018/08/mujahid-akui-terkhilaf-mohon-maaf-tarik.html
KERENGGA: Mujahid akui terkhilaf, mohon maaf, tarik kenyataan S

Monday, 13 August 2018
Berani Betul Menteri Ini

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini tampil mempertahankan Doktor Perubatan, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi berikutan ‘Surat Terbuka’ yang ditulisnya kepada aktivis sosial, Marina Mahathir, baru-baru ini.
Syed Saddiq berkata, beliau sendiri akan bangkit bersuara dan menentang sebarang tindakan yang akan dikenakan kepada doktor perubatan tersebut sekiranya ada.

“Kalau ada tindakan disiplin terhadap pegawai perubatan tersebut, saya sendiri akan bersuara dan menentangnya.

“Tetapi setakat ini saya dimaklumkan tidak ada sebarang tindakan disiplin diambil keatasnya, cuma sekadar aduan,” katanya dalam sidang media Majlis Kepimpinan Majlis Belia Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Doktor yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu dikatakan bakal berdepan tindakan tatatertib selepas diadukan pihak tertentu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Ia susulan tindakan doktor berkenaan menulis 'surat terbuka' di Facebooknya pada 6 Ogos lalu mengenai pandangannya terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Antara lain Dr Nur Ilyani menulis : "Saya adalah seorang doktor perubatan dan saya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang".

"Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

"Sehingga kini walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka.

"Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?" tulisnya.

Pandangan doktor itu menerima kritikan sesetengah pihak, antaranya  Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang mengingatkan beliau agar memenuhi ikrar sebagai seorang pengamal perubatan.

Susulan itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan prinsip kementerian itu tidak mendiskriminasi hak mana-mana golongan termasuk LGBT.

Selain itu, PAS semalam turut menggesa kerajaan khususnya KKM supaya tidak mengenakan sebarang tindakan tatatertib atau pentadbiran ke atas Dr Nur Ilyani.

Sebuah petisyen turut diwujudkan bagi menyatakan kebersamaan terhadap doktor berkenaan.

Dr Ilyani berhak suarakan pandangan

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata doktor berkenaan berhak menyuarakan pandangannya mengenai isu itu kerana Malaysia mendukung hak kebebasan bersuara.

“Bagi saya setiap pihak berhak untuk menyuarakan pandangan mereka, kalau kita bersetuju kita boleh bersetuju tetapi jika kita tidak bersetuju kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.

“Tetapi, saya tidak setuju sama sekali kalau tindakan disiplin diambil ke atasnya.

“Kerana beliau berhak memberikan pandangannya dan itu pandangan peribadi beliau dan pada masa yang sama jika tindakan diambil ke atasnya, maksudnya kita sedang menyekat suara dan pandangan beliau,”tegas Syed Saddiq. 
-  malaysiakini
http://www.addindeen.com/2018/08/berani-betul-menteri-ini.html
Addin: Berani Betul Menteri Ini
Dr M: Buktikan ada pakatan halang Anwar ganti saya
Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pihak yang mendakwa terdapat usaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penggantinya tampil mengemukakan bukti.

“Saya rasa pihak itu patut berikan bukti. Saya malah tidak pernah cakap dengan sesiapa pun berkaitan perkara ini.

“Saya menjarakkan diri. Saya tiada urusan dengan hal ehwal dalaman parti lain,” kata perdana menteri dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ini kali kedua Mahathir menjawab dakwaan hampir sama dalam 20 tahun.

Beliau berdepan soalan sama ketika di ambang krisis pertama kali beliau dengan Anwar pada 1998.

Anggota parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid hari ini mempertahankan dakwaannya berhubung rancangan menghalang Anwar menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir.

Abdullah berkata beliau benar-benar yakin Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpakat dengan Tun Daim Zainuddin - bekas menteri kewangan dan penasihat Mahathir - untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui Pakatan Harapan.
-malaysiakini
at 8/13/2018 07:00:00 PTG
https://gigitankerengga.blogspot.com/2018/08/dr-m-buktikan-ada-pakatan-halang-anwar.html
KERENGGA: Dr M: Buktikan ada pakatan halang Anwar ganti saya

Tiada ulasan: