Jumaat, 7 Disember 2018

Murid ini mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi kerana dia sedar apa yang patut dilakukan apabila melakukan kesalahan. 8853.




BERITA»Wilayah
Khamis, 6 Disember 2018 | 7:42pm
Dr Hanafi terharu menerima surat permohonan maaf daripada seorang budak yang memarahinya ketika dikhatankan di kliniknya. - NSTP/Rosman Shamsudin

Budak kena khatan mohon maaf kepada doktor

Oleh Rosman Shamsudin

TAPAH: Seorang doktor terharu menerima surat permohonan maaf daripada seorang budak yang memarahinya ketika dikhatankan di kliniknya di Tapah Road di sini.
Pengasas Klinik Doktor Bergerak (DOC MOVE), Dr Hanafi Yahya, 35, berkata murid Tahun Satu dari Sekolah Kebangsaan( SK) Pendeta Zaaba, Tapah Road, Adam Amir Hakim, 7, menyerahkan surat itu kepadanya semalam.
Katanya, ketika dibawa ibu bapanya ke klinik minggu lalu, murid itu memarahinya sejak mula proses bersunat dijalankan.
“Budak ini marah saya, kata saya jahat, halau saya keluar dari bilik itu (bilik khatan), malah dia jerit kata dia nak pulang dan bencikan doktor.
“Semalam, saya terima surat itu ketika dia datang ke klinik untuk membuat rawatan susulan dan saya terharu apabila membaca surat dan pengakuan ikhlasnya.
“Dia memohon maaf kerana marahkan doktor dan memaklumkan dirinya takut dan sakit ketika bersunat. Dalam surat itu juga dia maklumkan dirinya budak yang baik serta mengucapkan terima kasih kepada doktor kerana merawatnya.
“Sepanjang kerjaya sebagai doktor, inilah kali pertama saya terima surat permohonan maaf daripada seorang pesakit yang menerima khidmat di klinik,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.
Dr Hanafi berkata, beliau hanya tersenyum ketika murid berkenaan memarahinya dan menerangkan kepada murid berkenaan serta ibu bapanya bahawa prosedur dilakukan di kliniknya adalah biasa.
“Bagi saya murid ini mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi kerana dia sedar apa yang patut dilakukan apabila melakukan kesalahan,” katanya.
Menurutnya, tugas mengkhatankan kanak-kanak agak mencabar kerana pelbagai tindakan dan kata-kata dikeluarkan oleh kanak-kanak yang mahu menjalani proses itu disebabkan timbulnya rasa takut terutama selepas mendengar pelbagai cerita yang sengaja diada-adakan untuk menakutkan mereka.
Dr Hanafi memang dikenali terutama di daerah Muallim sejak memperkenalkan perkhidmatan DOC MOVE dan Kad Anak untuk anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Muallim.
Kad Anak memberi peluang kepada anak yatim menerima rawatan dan ubat-ubatan secara percuma di klinik milik isterinya, Dr Fariza Hanim Shahir, 35, yang terletak di Bandar Behrang 2020, selain menikmati diskaun di premis perniagaan yang berdaftar dalam perkhidmatan ini.
Budak kena khatan mohon maaf kepada doktor | Wilayah | Berita Harian
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/12/506138/budak-kena-khatan-mohon-maaf-kepada-doktor

Kebangkitan Harimau Malaya hasil perancangan TMJ

Oleh Firdaus Hashim



KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kebangkitan skuad bola sepak negara adalah hasil daripada perancangannya ketika memimpin badan induk itu sebelum ini.
Kejayaan skuad Harimau Malaya mara ke pentas final Piala AFF buat kali keempat selepas menundukkan juara lima kali, Thailand di separuh akhir semalam adalah kemuncak kepada prestasi membanggakan keseluruhan pasukan kebangsaan yang di bawah FAM termasuk skuad bawah 23 (B-23) dan B-19 tahun negara.
Menerusi kenyataan Tunku Ismail di laman sosial Twitternya, beliau mengucapkan tahniah kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe (TCH) yang beraksi di perlawanan akhir pada 11 dan 15 Disember ini dengan final pertama akan berlangsung di Bukit Jalil terlebih dulu.
"Yarghhh... siapa yang letak TCH di situ, OKS (Datuk Ong Kim Swee) dalam pasukan B-23 dan Bojan Hodak B-19. Semua perancangan berjalan dengan baik. 'Claim' jangan tak 'claim'. Tahniah Malaysia dan FAM. Cinta, TMJ (Tunku Mahkota Johor)," katanya.
Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dilantik sebagai Presiden FAM pada 25 Mac 2017 selepas menang tanpa bertanding dan mendapat sokongan semua perwakilan.
Sebaik memulakan tugas, beliau merombak sistem kejurulatihan membabitkan tiga pasukan kebangsaan dengan melantik Bojan Hodak untuk membimbing skuad B-19, Kim Swee skuad B-23 dan memilih Nelo Vingada sebagai pengendali skuad senior sambil Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih.
Namun selepas membimbing Malaysia dalam tujuh perlawanan sejak tiba di negara ini pada Mei 2017, Vingada masih belum mencatat sebarang kemenangan dan beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan sebelum diserahkan kepada Cheng Hoe pada penghujung tahun lalu.
Selain kejayaan cemerlang anak buah Cheng Hoe dalam kempen Piala AFF kali ini, pasukan kendalian Kim Swee dan Hodak turut menempa sejarah tersendiri apabila muncul antara pencabar terkuat terutamanya di saingan Asia.
Skuad B-23 mengalahkan Korea Selatan buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun selepas menang 2-1 pada peringkat Kumpulan E, Sukan Asia, Ogos lalu selain turut layak ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari lalu.
Pasukan bimbingan Hodak turt mara secara merit ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 serta muncul juara Kejohanan AFF (Persekutuan Bolasepak ASEAN) B-19 di Indonesia selepas mengalahkan Myanmar 4-3 dalam perlawanan akhir.
Kebangkitan Harimau Malaya hasil perancangan TMJ | Bola | Berita Harian
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/12/505927/kebangkitan-harimau-malaya-hasil-perancangan-tmj

BERITA»Wilayah
Khamis, 6 Disember 2018 | 1:56pm
Sultan Johor berkenan Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara
Oleh Junita Mat Rasid junita@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan supaya kedudukan Pulau Kukup dikekalkan sebagai Taman Negara Johor.
Perkara itu dikongsi oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dalam twitter rasminyanya, HRH Crown Prince of Johor, hari ini, bagi menjelaskan status sebenar Pulau Kukup yang sebelum ini dikatakan sudah dibatalkan sebagai rizab Taman Negara.


Tunku Ismail turut berkongsi sepucuk surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Johor yang ditujukan kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor.
Surat bertajuk Kedudukan Pulau Kukup Kekal Sebagai Taman Negara Johor itu memaklumkan bahawa Sultan Johor berkenan supaya kedudukan Pulau Kukup yang diletakkan di bawah Enakmen Sultanate Land terus kekal digunakan sebagai kawasan Taman Negara Johor.
Surat itu juga memaklumkan supaya Pulau Kukup hendaklah dijaga dan dikawal selia oleh kerajaan negeri Johor di bawah Perbadanan Taman Negara Johor bagi menjadikannya sebuah produk pelancongan negeri.
Dalam twitternya, Tunku Ismail turut menyuarakan kenapa isu Pulau Kukup diperbesarkan dan dipolitikkan.
“Isu tanah adalah hak mutlak kerajaan negeri. Saya yakin apapun keputusan Kebawah Duli Tuanku dan kerajaan negeri adalah demi kepentingan dan kedaulatan Johor,” katanya.
Tunku Ismail juga memaklumkan Sultan Johor dan dia sendiri bersedia bertemu dengan pencinta alam sekitar yang mahu mendapatkan kepastian agar ekosistem di Pulau Kukup dipelihara untuk melindungi hidupan liar dan marin.
“Ya. Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan saya sendiri gembira untuk bertemu dengan mereka. Bila-bila masa sahaja,” katanya.
Sultan Johor berkenan Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara | Wilayah | Berita Harian
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/12/505951/sultan-johor-berkenan-pulau-kukup-kekal-sebagai-taman-negara

Rabu, 5 Disember 2018 | 8:57pm
Pulau Kukup akan jadi Tanah Kesultanan - TMJ
Oleh Rizalman Hammim rizalman@nstp.com.my
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
JOHOR BARU: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan Pulau Kukup yang dibatalkan sebagai rizab Taman Negara, akan menjadi Tanah Kesultanan.
Katanya, langkah itu bagi memastikan pulau itu dilindungi lebih baik berikutan perubahan statusnya.


“Pada masa lalu, beberapa taman negara sudah diswastakan. Di Johor, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) mempunyai visi yang berbeza.
“Untuk lebih melindungi semua Taman Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan menetapkan bahawa semua Taman Negara akan diubah menjadi Tanah Kesultanan,” kata Tunku Ismail dalam Twitternya, hari ini.
Tunku Ismail berkata, langkah itu sudah diamalkan di United Kingdom dengan semua Taman Negara milik Institusi Diraja.
“Bagaimanapun, ini tidak mengubah status, dasar dan penggunaan taman itu. Ia akan terus menjadi status Taman Negara,” katanya.
Kebimbangan mengenai Pulau Kukup timbul berikutan warta bertarikh 25 Oktober, memaklumkan bahawa pihak berkuasa negeri akan membatalkan keseluruhan kawasan Pulau Kukup sebagai Taman Negara di bawah Subseksyen 3 (3) Enakmen Alam Sekitar Taman Negara (Johor) 1989.
Terdapat enam taman negara di Johor iaitu Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar.
Pulau Kukup akan jadi Tanah Kesultanan - TMJ | Wilayah | Berita Harian
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/12/505756/pulau-kukup-akan-jadi-tanah-kesultanan-tmj

PEMAIN Malaysia, Syahmi Safari (kiri) bersaing dengan pertahanan Thailand, Sanrawat Dechmitr dalam perlawanan Piala AFF di Stadium Rajamangala, di Bangkok. - AFP
Gol Syahmi ke Anugerah Puskas FIFA
Oleh Firdaus Hashim
SEPANG: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk mengemukakan nama pertahanan kanan Harimau Malaya, Syahmi Safari bagi pencalonan Anugerah Puskas FIFA, selepas jaringan menariknya pada minit ke-29 mendapat pujian ramai dan dianggap antara gol tercantik dalam kempen Piala AFF kali ini.

Rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti yang dilakukan Syahmi nyata mengejutkan penyokong Thailand yang sama sekali tidak menyangka percubaan itu tepat menuju ke penjuru atas kanan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, rembatan pemain Selangor itu memang cantik dan pihaknya bersedia untuk menimbangkan gol itu dalam Anugerah Puskas.

"Saya nampak itu (gol Syahmi) yang terbaik dan saya akan bincang dengan bahagian teknikal sama ada jaringan itu perlu atau sesuai untuk kita calonkan nanti," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Sementara itu, Syahmi menyambut baik cadangan Hamidin itu dan mengakui teruja seandainya FAM serius untuk mencalonkan golnya itu.

"Saya rasa ada banyak lagi gol cantik yang dijaringkan sebelum ini oleh pemain lain. Tapi kalau betul, saya tak kisah dan menyambut baik benda itu," kata Syahmi.

Sebelum ini, pemain Pulau Pinang, Faiz Subri menggegar dunia dengan sepakan percuma apabila  mencipta kejutan merangkul Anugerah Puskas FIFA 2017.

Perkara itu dilihat tidak mustahil untuk Syahmi muncul pemain kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah itu.

Malah, jaringan itu turut menjadi tular di media sosial selepas pelayar internet menyifatkan jaringan terbabit cukup berkualiti dan berkelas dunia.

https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/12/506153/gol-syahmi-ke-anugerah-puskas-fifa

MILOVAN Rajevac - Foto ASYRAF HAMZAH

Rajevac tabik Harimau Malaya

Daripada Aziman Rosdi di Bangkok, Thailand  aziman@nstp.com.my


PENGENDALI Thailand, Milovan Rajevac mengakui skuad Harimau Malaya memang berhak untuk beraksi di pentas akhir Piala AFF 2018.


Ini kerana, katanya Malaysia lebih bersemangat dan agresif untuk menyingkirkan mereka dalam kempen kali ini selepas seri 2-2 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangala, malam tadi.


“Saya tidak berpuas hati kerana kami tidak layak, tetapi ini adalah sebahagian daripada pengalaman buat pemain.


“Tahniah buat Malaysia kerana mereka memang berhak ke pentas akhir. Malaysia menunjukkan kesungguhan, agresif untuk mara,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.


Thailand, juara lima kali seharusnya boleh mengecewakan Malaysia, tetapi penyerang sensasi mereka, Adisak Kraisorn gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan di babak kedua.


Dengan kedudukan terikat 2-2 selepas 90 minit permainan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe layak ke pentas akhir buat kali keempat, menerusi peraturan gol di tempat lawan.


“Kami memiliki peluang menerusi sepakan penalti, tetapi gagal mengambil peluang itu dengan baik, tetapi ini boleh berlaku dalam bola sepak,” katanya.


https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/12/505798/rajevac-tabik-harimau-malaya


TMJ dalam akaun Twitternya hari ini.

Ada pihak cuba lobi tukar MB - TMJ

Oleh Ibrahim Isa 
ibrahim@nstp.com.my

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendedahkan istana sedar ada pihak cuba melobi salah seorang EXCO kerajaan negeri dalam cubaan untuk menggantikan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.
TMJ, dalam akaun Twitternya, berkata: “Anda bukan seorang Perdana Menteri. Apa yang membuatkan anda berfikir dengan cuba melobi seseorang menjadi Menteri Besar yang boleh menjadi boneka anda, anda boleh mengawal Johor?
“Anda melobi salah seorang exco kami menjadi Menteri Besar. Kami tahu itu. Ini bukan lagi 1992. Negeri Johor masih ada Sultan yang memerintah,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut.
Kestabilan politik Johor dilihat mula diuji apabila satu salinan Warta Kerajaan Johor berhubung pembatalan perizaban Pulau Kukup sebagai Taman Negara tersebar, Selasa lalu.
Warta Kerajaan Johor bertarikh 24 September itu memaparkan pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3(3) Enakmen Perbadanan Tamab Negara (Johor) 1989.
Bagaimanapun, pada sidang DUN semalam, kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.
Usul berkenaan diluluskan Speaker DUN, Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti ADUN.
Pada masa sama, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A Kadir Jasin dalam blognya mendesak Osman menjelaskan pertukaran status Pulau Kukup dan jika gagal berbuat demikian adalah lebih baik beliau meletak jawatan.
A Kadir berkata, isu pengambilan tanah negeri oleh Istana Johor kerana pernah disuarakan sebelum ini tetapi Osman menegaskan itu tidak berlaku.


Tiada ulasan: