Ahad, 9 Disember 2018

Piala Suzuki 2018. 8871.




Final AFF: Setengah juta untuk suite korporat
Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

ENAM belas syarikat membelanjakan hampir RM500,000 untuk membeli 16 suite korporat ditawarkan sempena perlawanan akhir bola sepak Piala Suzuki AFF antara Malaysia menentang Vietnam, Selasa ini.

Suite korporat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) boleh memuatkan 15 hingga 20 individu itu dijual pada harga pakej RM25,000 hingga RM30,000 setiap satu.

Secara purata, penonton dalam kalangan orang kenamaan itu (VIP) membayar tiket berharga RM2,000 seorang, berbanding orang biasa cuma RM40. Jurucakap Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberitahu pihaknya menawarkan 20 bilik jenis itu dan semuanya habis ditempah dalam tempoh 12 jam selepas tempahan dibuka Rabu lalu.

“Sebanyak 16 pakej suite korporat dibeli syarikat swasta manakala empat ditempah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Pakej ditawarkan termasuk empat lot parkir, makanan daripada restoran terkemuka dan bilik berhawa dingin.

“Bukan saja memberikan keselesaan sebaliknya kedudukan bilik membolehkan penonton menyaksikan perlawanan dengan lebih jelas tanpa sebarang halangan.

“Sebaik tamat perlawanan separuh akhir kedua Malaysia menentang Thailand, Rabu lalu, kami terus membuka jualan bilik korporat ini dan tepat jam 1 tengah hari esoknya (Khamis) semua sudah habis dijual,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Katanya, ini kali pertama PSM dengan kerjasama FAM membuka jualan suite korporat sebaik SNBJ siap melakukan pengubahsuaian sebelum Sukan SEA tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi PSM Tony Fernandes, turut mengesahkan mengenai semua suite korporat berkenaan yang habis dijual menerusi akaun Twitter miliknya.

“Berita baik. Kurang 24 jam semua bilik habis dijual pada harga tinggi,” katanya.

Terdahulu, semua 80,000 tiket perlawanan itu yang ditawarkan secara dalam talian dan menerusi kaunter, habis dijual pagi ini.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 5:51 PM






Tiada ulasan: