Selasa, 26 Februari 2019

Melayu dan Islam. 9200.



Himpunan bantah ICERD: Apa pengajaran daripadanya?
Umat Islam Malaysia tolak keras budaya Barat dibawa puak liberal
Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, 
turut mengambil bahagian pada Himpunan 812 di Dataran Merdeka.
HIMPUNAN Tolak ICERD atau juga dikenali sebagai Himpunan 812 adalah satu himpunan gergasi bersejarah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Kita berjaya mengumpul lebih sejuta orang Melayu dan Bumiputera. Ramai yang terkejut dengan kebangkitan ini. Malah, mereka memandang lekeh dan tidak sangka orang Melayu sanggup turun dan bersatu hati.
Peristiwa ini sangat signifikan, bukan sahaja kerana ini adalah himpunan rakyat yang paling ramai dalam sejarah Malaysia tetapi ini adalah perhimpunan yang berjaya mengubah pendirian penting kerajaan. Hebat dan signifikannya himpunan ini, sehingga Erdogan pun kagum!
Ramai pihak yang kagum dengan kemampuan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengumpul dan mengerahkan rakyat untuk berhimpun tetapi ramai yang tidak ambil iktibar dan pengajaran dari peristiwa bersejarah negara ini, terutamanya orang bukan Melayu dan bukan Islam.
Di dalam penulisan ini, saya akan kupas beberapa pengajaran penting yang patut diambil dan diingati, lebih-lebih lagi terlalu banyak perkara yang berlaku di negara kita sejak kebelakangan ini.
Golongan majoriti adalah penentu halatuju dan masa depan negara
Golongan majoriti di negara kita ialah orang Melayu Islam. Mereka inilah yang menjadi penentu kepada halatuju dan masa depan negara. Secara keseluruhannya, yang menyokong agenda dan pendekatan liberal adalah minoriti dan sangat terpencil. Apatah lagi orang Islam yang menyokongnya; sangatlah sedikit.
Majoriti umat Islam yang berbangsa Melayu berpegang kuat dengan agenda Islam, berpegang dengan syariat Islam dan tidak bersetuju dengan prinsip liberalisme dan pluralisme dalam beragama. Maka, agenda Islamisasi perlu diraikan dan diangkat setinggi-tingginya; bukannya liberalisme dan pluralisme! Jika tidak, kekacauan dan kerosakan akan berlaku akibat ketidakpuashatian dan ketidaktenteraman dari golongan majoriti ini.
Lihat sahaja rasa tidak puas hati dan tidak tenteram dalam kalangan umat Islam pada hari ini. Sedang memuncak naik, hari demi hari.
Orang Melayu Islam masih belum cukup dipengaruhi oleh bukan Islam
Seperti yang kita semua maklum, kerajaan Malaysia Baru pada hari ini dikuasai oleh bukan Islam. Ini bukan satu tuduhan liar atau cakap kosong kerana secara faktanya, majoriti ahli parlimen kerajaan adalah bukan Islam. Dan seperti yang kita semua saksikan, DAP adalah parti yang paling lantang dalam kerajaan sekarang.
Walauapun begitu, DAP masih belum mampu mempengaruhi majoriti orang Melayu walaupun mereka berusaha dengan sangat gigih. Orang Melayu masih ada reservation terhadap agenda perjuangan DAP. Ini kerana DAP sering terpalit dan dilihat sebagai tidak mesra kepada agenda Islam dan Melayu dan sentiasa menjuarai golongan bukan Islam. Sebab itu parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan sangat penting bagi mereka.
Maka, jika kerajaan atau mana-mana pihak sentiasa melayan kehendak-kehendak DAP, maka golongan majoriti ini akan menjauhkan diri dari mereka. Oleh itu, jangan dilayan sangat kehendak DAP dan fokus sahaja kepada kehendak majoriti.
Isu agama Islam dan kedudukan orang Melayu adalah sangat sensitif
Isu-isu yang menyentuh agama Islam dan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera adalah sangat sensitif. Hakikat ini gagal difahami oleh orang-orang bukan Islam sehingga mereka mengambil ringan terhadap tindakan-tindakan yang menggugat kedua-dua perkara sensitif ini.
Penghinaan terhadap Rasulullah, Yang Di-Pertuan Agong, Islamofobia dan Melayufobia semakin subur dalam kalangan bukan Islam di negara kita tatkala orang Melayu Islam adalah majoriti. Ketidakpuashatian dan ketidaktenteraman orang Melayu Islam semakin hari semakin membara.
Mereka rasa mereka selamat berselindung di bawah keadilan dan kesamarataan tetapi mereka lupa pada peruntukan-peruntukan perlembagaan negara.
Orang Melayu sudah sanggup melupakan perbezaan fahaman politik
Selama ini kita sangka bahawa tembok fahaman politik kepartian dalam kalangan orang Melayu mustahil dipecahkan.
Walaubagaimanapun, orang Melayu sudah mampu dan sanggup mengenepikan perbezaan fahaman politik masing-masing apabila kedudukan agama dan bangsa mereka digugat dengan begitu dahsyat.
Lebih-lebih lagi, apabila pemimpin-pemimpin bukan Islam terutamanya dari DAP menyokong kuat agenda ratifikasi ICERD ini membakarkan lagi sentimen orang Melayu terhadap DAP. Lebih malang lagi, seruan meratifikasi ICERD ini disambut oleh majoriti masyarakat bukan Islam. Fenomena ini menjadikan hubungan masyarakat antara kaum dan agama agak tegang pada masa itu.
Orang Melayu sudah mula sedar bahawa persengketaan politik kepartian yang berlaku selama ini adalah merugikan. Ini terbukti apabila dua parti Melayu Islam iaitu UMNO dan PAS serta parti-parti lain sanggup bersama dan menyokong UMMAH untuk menentang ratifikasi ICERD. Sejak dari peristiwa ini, kesatuan dan kerjasama antara parti-parti Melayu Islam ini semakin kuat dan matang. Alhamdulillah.
Suara-suara NGO bukan tin kosong
Usaha menyedarkan rakyat mengenai bahaya konvensyen antarabangsa ICERD adalah bermula dari NGO-NGO Melayu yang bersatu di bawah UMMAH bagi menyuarakan kebimbangan mereka terhadap ICERD. Seruan ini digerakkan ke seluruh negara, di mana banyak himpunan-himpunan kecil dianjurkan oleh NGO-NGO Melayu setempat pada setiap minggu di masjid-masjid dan tempat-tempat awam.
Seruan ini disambut pula secara rasminya oleh ahli-ahli parlimen Melayu Islam khususnya dari PAS dan UMNO selepas memorandum bantahan terhadap ICERD diserahkan di parlimen. Kemudian, pemimpin-pemimpin Melayu Islam dari parti kerajaan juga mula bersuara mengenai kegusaran mereka terhadap ICERD.
Sebab itulah perhimpunan ini bukannya perhimpunan politik kerana bukan digerakkan oleh parti politik, tetapi NGO. Sesiapa sahaja dialu-alukan untuk menyokong perhimpunan ini, termasuklah parti-parti politik sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang. Maka, tiada isu jika PAS dan UMNO menyokong perhimpunan ini.
Oleh itu, kemampuan NGO-NGO untuk bersuara dan membangkitkan kesedaran rakyat mengenai sesebuah isu tidak wajar dipandang lekeh dan kerdil. Pentingnya suara NGO-NGO sudah dibuktikan melalui bantahan terhadap ICERD yang diterjemahkan kepada peristiwa himpunan yang terbesar dalam sejarah Malaysia sehingga mampu mengubah pendirian besar kerajaan. Dengan itu, Malaysia berjaya diselamatkan dari ancaman antarabangsa yang besar, iaitu ICERD.
Duit bukan faktor utama untuk menggerakkan suara rakyat
Hanya mereka yang bantut pemikirannya sahaja yang mengatakan bahawa perhimpunan ini telah ditaja oleh parti-parti politik tetapi sebaliknya duit datang dari rakyat itu sendiri. Lagipun, jumlah yang dibelanjakan tidaklah mahal tetapi sederhana dan tidak padan dengan bilangan jutaan yang hadir.
Mereka yang hadir adalah mereka yang mempunyai hati-hati yang ikhlas untuk mempertahankan agama dan bangsa walaupun jauh, sesak dan panas. Ini bererti bahawa semangat juang yang jitu adalah lebih penting berbanding wang ringgit.
Konklusi
Himpunan ini telah menggegarkan dunia bahawa betapa umat Islam di rantau ini tidak boleh diperkotak katikkan dengan mudah dan ini membimbangkan pelbagai pihak. Budaya dan pemikiran Barat seperti yang diperjuangkan oleh penyokong-penyokong ICERD jelas tidak sesuai dan telah ditolak sekeras-kerasnya oleh umat Islam di negara ini. Jangan ada lagi puak-puak liberal yang cuba membawa nilai Barat ke dalam negara Malaysia.
Mungkin ramai yang mengkritik bahawa orang Melayu malas, tetapi mereka lupa bahawa orang Melayulah pejuang yang mempertahankan dan mendaulatkan Islam di negara ini.
Jadi, semua ini perlu diambilkira oleh semua pihak terutamanya orang bukan Melayu dan bukan Islam supaya tidak tersalah langkah. Sebelum Melayu bangkit, jangan digugat kedudukan agama, bangsa dan raja mereka.
Himpunan bantah ICERD: Apa pengajaran daripadanya? - Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb


SPR hantar pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Rantau

Mesyuarat Khas bincang perlaksanaan pilihan raya akan diadakan: Azhar

BANGI, 21 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan hari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.
Tindakan itu, katanya, dibuat susulan penerimaan Perakuan Mahkamah daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 36A(3) (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang telah mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya bagi kerusi DUN N.27 Rantau, Negeri Sembilan yang diadakan pada 9 Mei 2018 adalah tidak sah dan terbatal.
“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perkara LVI(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, SPR akan mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang telah dipastikan berlaku mulai 26 Februari 2019,” katanya.
PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.
Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.
Susulan itu, Azhar berkata, pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai perlaksanaan pilihan raya itu.
“Tarikh mesyuarat tersebut akan dimaklumkan nanti oleh pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
SPR hantar pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Rantau - Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb

SELASA, 26 FEBRUARI 2019

Aiman pula tertinggal pas calon 

Haspaizi Zain 

PRK SEMENYIH | Ketika ketiga-tiga calon dari BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan bebas berada di Dewan Serbaguna Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih bagi proses pengundian awal, ketiadaan kelibat calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zanali menimbulkan tanda tanya.

Beliau sepatutnya tiba awal di pusat pengundian berkenaan, namun hadir lewat kerana berdepan masalah teknikal apabila tertinggal pas calon yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kecuaian itu mengakibatkan dia terpaksa hadir ke pusat pengundiaan berkenaan agak lewat jika dibandingkan calon lain.

Menjelaskan perkara itu, Muhammad Aiman berkata dia sudah hadir ke pusat pengundian awal itu kira-kira jam 8.50 pagi lagi, namun tidak dibenarkan masuk kerana ketiadaan pas calon.

"Pas calon saya ini berada bersama dengan dengan dokumen lain, dalam kereta lain.

"Kereta itu sudah bergerak ke Kuala Lumpur, jadi saya terpaksa menunggu. Pas berkenaan dikembalikan kepada saya kira-kira jam 11.30 pagi," katanya ketika ditemui pagi tadi.

Tak dibenar masuk tanpa pas

Petugas media menunggu Muhammad Aiman sejak dari awal pagi lagi, namun kelibat calon PH itu tidak kunjung tiba di pusat pengundian awal itu.

Bagaimanapun ketiga-tiga calon lain membabitkan Zakaria Hanafi dari BN, calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas, Kuan Chee Heng muncul sejak awal pagi lagi.

Sementara itu Muhammad Aiman berkata pihak berkuasa bersikap telus apabila tidak membenarkan beliau masuk tanpa pas calon.

"Malaysia baru lebih telus, saya sebagai calon PH yang mewakili kerajaan juga tidak dibenarkan masuk. Itulah yang kita tunjuk dan tonjolkan.

"(Pas calon) orang lain hantar dan saya telah menunggu lama sejak jam 8.50 pagi lagi," katanya.

DIALOG RAKYAT: Aiman pula tertinggal pas calon

SELASA, 26 FEBRUARI 2019

Pendakwaan mohon pindah kes CBT Hasanah ke mahkamah tinggi 

MALAYSIAKINI

Pihak pendakwaan dalam kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, yang menghadapi pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta telah memfailkan semula permohonan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Muhd Ilmami Ahmad berkata pihak pendakwaan telah membuat permohonan itu pada 21 Feb lalu.

“Sebelum ini satu permohonan telah dibuat tetapi telah ditarik balik atas sebab-sebab tertentu,” katanya semasa sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayub hari ini.

Beliau berkata pihak pendakwaan juga telah menyerahkan lapan lagi dokumen kepada pasukan pembelaan hari ini menjadikan keseluruhan sebanyak 59 dokumen.

Hasanah diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Tambah Muhd Ilmami, selepas menyerahkan kesemua dokumen itu barulah permohonan semula untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dapat diteruskan.

Hakim Rozina menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes bagi mengetahui sama ada kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 April lalu dan 9 Mei tahun lalu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.- Bernama

DIALOG RAKYAT: Pendakwaan mohon pindah kes CBT Hasanah ke mahkamah tinggi



Tiada ulasan: