بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.
Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Tuesday,
October 4, 2011
Assalamualaikum wbt….Salam sejahtera dan jutaan terima kasih diucapkan kepada
tetamu-tetamu yang sudi hadir ke blog aljauhary ini yang telah lama tidak
dikemaskini. Jutaan kemaafan dipohon sekiranya ada kesilapan yang sengaja atau
tidak disengajakan.
Mutaakhir ini, Malaysia dikejutkan dengan isu besar iaitu
perlaksanaan Hudud di Negeri Kelantan. Pelbagai pihak mula mengeluarkan
pendapat melalui sedikit kefaham, berbahas, mengkritik, menempelak, menyindir
dan membuat tuduhan terhadap isu Hudud ini.
Ramai yang masih kurang faham, salah faham dan ada juga
yang tidak faham langsung dengan isu Hudud ini namun terus-terusan mengeluarkan
pendapat tentang isu ini. Antara salah faham yang sering bersarang di minda
masyarakat saat ini adalah seperti berikut :
1. Menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan
persoalan yang hanya dikaitkan
secara ekslusif dengan golongan ekstrimis islam.
2. Melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand
alone) yang terpisah dari
Sistem Jenayah Syariah Islam secara keseluruhan.
3. Perlembagaan Malaysia menghalang adanya
dwisistem dalam kesalahan jenayah di
Malaysia.
4. Konsep
Membanteras Jenayah Dalam Islam.
Sebelum aljauhary membahaskan dengan panjang lebar,
terlebih dahulu ingin aljauhary memohon maaf sekiranya ada kesalahan fakta yang
akan aljauhary sebut nanti, mohon dibetulkan dan datangkan hujjah yang jelas
terhadap fakta tersebut. Aljauhary tidak meminta untuk semua pembaca agar
mempercayai atau menerima semua yang aljauhary bentangkan nanti namun apalah
kiranya jika anda semua sudi membuka minda dalam membahaskan isu ini dengan
lebih ilmiah tanpa menghukum sesuatu dengan tidak berpaksikan hujjah yang
jelas.
Marilah sama-sama kita membuka minda yang kritis dan
secara ilmiah dalam membasah isu yang rumit ini.
1.
Menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan
persoalan yang hanya
dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam.
Salah faham yang pertama ialah apabila ada
menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan
secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam. Padahal Hudud merupakan
perkara asas dalam persoalan keimanan dan tauhid kepada Allah SWT. Hukum
Hudud telah dinyatakan secara jelas di dalam Quran dan Sunnah. Setiap muslim
wajib menerima kewajipan Hudud untuk dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam.
Hujjah yang mengatakan bahawa Hudud tidak lagi
sesuai dengan perkembangan zaman moden adalah hujjah yang dangkal.
Sekiranya Hudud ketinggalan zaman, maka begitu jugalah halnya dengan semua
hukum syariat yang lain seperti hukum solat, puasa, haji, nikah kahwin dan jual
beli. Kesemua hukum-hukum ini juga dinyatakan secara jelas oleh Al-Quran dan
Sunnah.
Contohnya, lelaki yang adil bukan hanya perlu sebagai
saksi-saksi dalam pengendalian kes-kes jenayah Hudud, tetapi juga sebagai wali
nikah dan imam solat. Maka itu, andaian yang mengatakan bahawa amat sukar untuk
mendapatkan saksi yang adil untuk menjadi saksi kes Hudud sebenarnya juga
seolah-olah mengandaikan bahawa hukum nikah kahwin dan solat berjemaah tidak
lagi perlu dipraktikkan oleh umat Islam sekarang. Tentunya ini merupakan
andaian yang liar dan tidak benar.
Sekiranya Hudud mahu dilabelkan sebagai agenda golongan
ekstrimis Islam, maka apakah semua orang yang bernikah kahwin mengikut syariat
dan bersolat jamaah juga perlu dilabelkan sebagai ekstrimis Islam?. Maka, siapa
lagi sebenarnya di kalangan umat Islam yang bukan ekstrimis melainkan kesemua
muslim yang baik akan digelar ekstrimis Islam belaka.
2.
Melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang
juz'i (stand alone) yang terpisah
dari Sistem Jenayah Syariah Islam
secara keseluruhan.
Salah faham seterusnya ialah apabila kita melihat
hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari sistem
jenayah syariah Islam secara keseluruhan. Islam adalah sistem yang
lengkap dan saling melengkapi (kamil wa mutakamil). Setiap elemen dari
ajaran Islam tidak boleh diceraikan dari keseluruhan batang tubuh Islam itu
sendiri, dan begitu jugalah halnya dengan hukum Hudud. Hukum Hudud dalam
bentuknya yang juz'i (stand alone) tidak akan mampu melahirkan keadilan,
dan keadaan ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh golongan penentang Hudud
untuk menggambarkan bahawa Hudud adalah zalim. Mereka menilai Hudud dalam
bentuknya yang terpisah dari keseluruhan sistem kehakiman dan perundangan
Islam, dan sememangnya Hudud yang diambil secara juz'i ini boleh disifatkan
sebagai tidak adil atau zalim.
Ramai yang menganggap bahawa Hudud adalah sistem tunggal
yang tidak ada kaitan dengan Kanun Jenayah yang lain. Sedangkan Hudud sebenarnya
adalah subseksyen dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah seperti yang telah
dipaparkan dalam laman web e-syariah yang
mana tercatat bahawa Hudud dan qisas juga takzir terkandung
dibawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
Ini menjelaskan bahawa skop Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah lebih luas berbanding Hudud yang menjadi salah faham mereka
yang melihat hukum Hudud dalam bentuk yang juz’i. Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah tidak akan lengkap tanpa Hudud, Qisas atau Takzir. Semua ini
saling melengkapi kesemuanya. Dan asas kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
adalah untuk mempertahankan maqasid syariah.
Contoh yang selalu dikemukakan adalah persoalan rogol. Dalam
hukum Hudud, jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina. Tahap
kesaksian dan hukumannya juga sama. Dalam Hudud juga, menuduh seseorang
yang dikenali sebagai orang baik melakukan zina tanpa mendatangkan saksi yang
berwibawa merupakan suatu kesalahan Qazaf yang boleh membawa hukuman sebanyak
80 rotan. Lalu diambil peruntukan-peruntukan Hudud ini secara terpisah oleh
penentang Hudud untuk menggambar betapa mangsa rogol akan dizalimi.
Mereka mengandaikan bahawa seorang mangsa rogol perlu
mendatang 4 orang saksi lelaki yang adil untuk membuat pengaduan atau
menghadapi risiko kesalahan Qazaf. Ini, menurut andaian mereka, adalah
menzalimi mangsa rogol dan melindungi perogol. Padahal, undang-undang yang
melibatkan kes rogol perlu dirujuk kepada keseluruhan peruntukan undang-undang
jenayah syariah secara lengkap (Hudud, Qisas, Takzir, Undang-undang keterangan,
siasah syari'ah) dan tidak boleh dinilai dari perspektif hukum Hudud secara
terhad dan terpisah.
Seseorang yang mengadu dirinya dirogol, sepertimana
kes-kes biasa, perlu membuat lapuran polis dan melakukan pemeriksaan doktor.
Ini prosedur biasa. Polis atau pegawai penyiasat akan melakukan penyiasatan
berdasarkan lapuran dan keterangan yang diberikan. Sekiranya terdapat bukti
yang kukuh bahawa kes rogol sememangnya telah berlaku, pegawai penyiasat akan
menyerahkan lapuran kepada pihak pendakwa.
Sekiranya tahap kesaksian untuk pendakwaan
dilakukan dalam hukum Hudud tidak mencukupi (tiada 4 orang saksi yang melihat
kejadian tersebut), pihak pendakwa masih boleh mendakwanya di bawah
undang-undang Takzir. Melalui peruntukan Takzir, beban pembuktian
adalah lebih longgar dan hukumannya juga lebih ringan berbanding Hudud.
Pemeriksaan doktor dan keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang dikumpulkan
oleh polis ini (DNA test, lapuran kesihatan, penilaian psychology, dll)
dinamakan sebagai Qarinah. Qarinah boleh digunakan
sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan kesalahan takzir ke atas perogol. Qarinahini
juga boleh mengelakkan mangsa rogol dari dakwaan Qazaf, kerana Qazaf merupakan
kesalahan Hudud dan sebarang keraguan yang boleh ditimbulkan (melalui Qarinah)
dalam kes Hudud boleh menggugurkan kes tersebut. Hukuman Hudud boleh dilakukan
ke atas seseorang hanya apabila tiada sebarang keraguan langsung (beyond any
shadow of doubt). Manakala untuk kesalahan yang boleh dibuktikan
secara jelas oleh Qarinah, tetapi tidak mencapai tahap kesaksian
yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir boleh dikenakan terhadap penjenayah
tersebut.
Mengaitkan Qazaf dengan kes rogol secara
mutlak adalah suatu andaian yang liar dan tidak adil. Hukum
Qazaf berfungsi untuk melindungi maruah seseorang individu yang baik dari
sebarang tuduhan melulu yang boleh menjatuhkan maruah diri dan keluarganya.
Sekiranya, seseorang itu menuduh dirinya dirogol oleh seseorang, sedangkan
bukti dan keterangan (Qarinah) yang dibawa menunjukkan sebaliknya,
barulah ia boleh didakwa di bawah Qazaf. Contohnya, Minah menuduh Ali
merogolnya sehingga mengandung, tetapi ujian DNA menunjukkan bahawa anak
tersebut bukanlah dari benih Ali, maka Minah akan menghadapi risiko dakwaan
Qazaf melainkan ada 4 orang saksi yang berwibawa yang melihat kejadian rogol
tersebut, ataupun dapat dibuktikan secara Qarinah bahawa dia
dirogol oleh ramai orang dan Ali adalah salah seorang daripada mereka. Tetapi,
sekiranya ujian DNA mengesahkan bahawa anak tersebut memang jelas dari benih
Ali, maka Ali boleh didakwa di bawah peruntukan Takzir, manakala Minah tidak
akan dihukum di bawah Qazaf. Dalam kes ini, Ali tidak didakwa di bawah
Hudud kerana tahap kesaksian tidak menepati kehendak hukum Hudud, sebaliknya
beliau akan dihukum di bawah undang-undang Takzir.
Dalam kata lain, sekiranya perkara ini dirujuk kepada
keseluruhan rang undang-undang Hudud, Qisas, Takzir, Undang-Undang Keterangan,
dan ditambah dengan kefahaman terhadap konsep Siasah Syariah, maka segala
keraguan dan andaian liar terhadap Hudud atau mana-mana peruntukan dalam hukum
Jenayah Syariah tidak sepatutnya berlaku.
Ibarat kata Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara,
yang juga salah seorang ahli panel Jawatankuasa Penyediaan Rang Undang-Undang
Hudud dan Qisas, " Sekiranya undang-undang ini dilaksanakan dengan
mendapatkan kerjasama semua pihak, kebanyakan masalah yang melibatkan sistem
Perundangan dan Kehakiman negara dapat diselesaikan, di samping mencapai
matlamat mengurangkan kadar jenayah dan kerosakan akhlak."
Kesilapan melihat peruntukan hukum jenayah
syariah dalam bentuknya yang stand alone (juz'i) ini juga berlaku kepada
pengkritik hukum Qisas. Mengikut peruntukan hukum Qisas, seorang
pembunuh itu wajib dibalas bunuh melainkan beliau mendapat persetujuan dari
waris mangsa untuk membayar diyat (gantirugi), ataupun
pengampunan terus dari waris mangsa. Andaian yang sering dibuat oleh penentang
Qisas ialah bahawa seorang pembunuh yang kejam dan merbahaya akan terlepas dari
hukuman sekiranya waris mangsa bersetuju mendapat bayaran ganti rugi atau
mengampunkan pembunuh tersebut. Sekiranya ini berlaku, pembunuh itu boleh terus
membunuh mangsa-mangsa yang lain.
Sekiranya kita membaca peruntukan tersebut secara lengkap
dan bersama dengan peruntukan-peruntukan yang lain, sebenarnya Hakim masih
boleh menjatuhkan hukuman Takzir ke atas pembunuh itu, di samping hukum Qisas
sekiranya pihak Mahkamah bersetuju bahawa pembunuh tersebut perlu dihukum bagi
menjamin ketenteraman awam. Dalam kata lain, walaupun pembunuh tersebut
mendapat pengampunan dari waris mangsa dari dijatuhkan hukuman bunuh balas
(Qisas), beliau masih boleh dihukum penjara atau hukuman-hukuman lain yang
setimpal dengan kesalahannya. Jadi, tidak timbul persoalan samada seseorang
penjenayah itu dengan mudah boleh melepaskan diri dengan memberi rasuah kepada
waris mangsa.
Seperkara lagi yang sering diabaikan dalam perbahasan
berkenaan Hudud ialah peri pentingnya kefahaman terhadap Siasah Syar'iah di
dalam perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah. Kebanyakan mereka yang
menentang Undang-Undang Hudud dan Qisas adalah terdiri dari kalangan mereka
yang mempunyai kefahaman yang sangat terhad terhadap Siasah Syari'ah. Siasah
Syar'iah amat penting bagi menghadapi kes-kes yang rumit dan spesifik.
Para Hakim dan Peguam Syari'ah adalah mereka yang terlatih di dalam ilmu Siasah
Syari'ah. Ini penting agar keadilan sistem perundangan Islam dapat
dilaksanakan.
Umpamanya penentang Hudud mempersoalkan tentang keperluan
saksi lelaki di dalam kes-kes Hudud, dan bagaimana sekiranya kejadian rogol
dilakukan di asrama wanita. Kes seperti ini boleh dirujuk kembali kepada
perbicaraan terhadap pembunuhan Osman bin Affan, salah seorang Khalifah Islam.
Saksi kepada pembunuhan tersebut ialah isteri Osman sendiri, dan tiada saksi
lelaki.Hakim, menggunakan kaedah Siasah Syari'ah bagi membenarkan kesaksian
dari kaum wanita kerana kes-kes tersebut memerlukan kesaksian mereka. Oleh
kerana kesaksian beliau cukup kukuh dan tidak dapat dicabar di mahkamah, maka
kesaksian tersebut diterima di dalam perbicaraan itu.
Begitulah juga dengan peristiwa yang berlaku di zaman
pemerintahan Islam di mana terdapat seorang gadis yang mengandung lalu dibawa
ke muka pengadilan. Gadis itu mempertahankan dirinya menyatakan bahawa beliau
tidak tahu sesiapa yang merogolnya, tetapi menyebut bahawa beliau adalah
seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar jika diperlakukan sesuatu
yang tidak baik ke atasnya. Memandangkan kes ini jarang berlaku, hakim
telah membenarkan tertuduh mengemukakan beberapa saksi yang boleh mengesahkan
dakwaannya bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur. Setelah
hakim berpuas hati dengan kesaksian bahawa gadis tersebut memang dikenali
sebagai seorang wanita yang taat beragama serta berakhlak baik, dan kesaksian
bahawa beliau memang seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar
diperlakukan sesuatu ke atasnya ketika sedang tidur, maka hakim telah
menggugurkan kes tersebut kerana terdapat keraguan yang munasabah
bahawa gadis tersebut telah berzina secara sukarela.
Bagi mereka yang memahami persoalan Siasah Syar'iah
secara mendalam, Hukum Hudud merupakan suatu sistem perundangan yang adil dan
dinamik yang mampu menangani persoalan semasa selari dengan kemajuan saintifik
dan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat. Sebenarnya, terlalu banyak
kes-kes penghakiman di dalam sistem perundangan Islam yang mempu membuktikan
bahawa sistem ini merupakan sistem yang adil dan dinamik, di samping menepati
kehendak syara' seperti yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.
Umpamanya, kes rogol mungkin tidak berlaku paksaan secara
fizikal semata-mata. Ia juga boleh berlaku melalui tipu muslihat lain seperti
kaedah tekanan mental, perasaan, dan lain-lain. Seorang mangsa rogol umpamanya
mungkin terpaksa menyerahkan dirinya kepada seseorang yang dianggap lebih
berkuasa dan berpengaruh serta boleh menjejaskan kehidupan keluarganya dalam
pelbagai sudut. Pembuktian kes-kes seperti tentunya lebih rumit dan
memerlukan pendekatan Siasah Syari'ah yang lebih mendalam. Bagaimanapun,
tentulah dangkal dan tidak benar untuk mengatakan bahawa hukum Islam
telah ketinggalan zaman sedangkan ianya telah terbukti mampu menjadi tunggak
kehakiman ummah selama lebih seribu tahun sejak terdirinya kerajaan Islam di
Madinah sehinggalah kepada kejatuhan Khalifah Othmaniah pada tahun 1924.
Apa yang menjadi masalah ialah ramai umat Islam hari ini
yang sudah terpisah dengan pengamalan syariat Islam sehingga merasa cukup asing
dan melihat hukum syariah dengan penuh prejudis dan kecurigaan, sedangkan
mereka tidak mempunyai kefahaman yang mendalam berkenaan ilmu tersebut. Apatah
lagi apabila masyarakat bukan Islam yang juga cuba menilai hukum ini dengan
keilmuan sifar, secara tidak beradab mencela dan menghina hukum Islam.
3.
Perlembagaan Malaysia menghalang adanya
dwisistem dalam kesalahan
jenayah di Malaysia.
Majlis peguam
menimbulkan bahawa undang-undang Hudud tidak boleh dilaksanakan
di negara ini buat masa sekarang ekoran kekangan peruntukan perundangan. Wakilnya menyebut bahawa
Pelaksanaannya akan menyebabkan undang-undang yang berbeza untuk orang Islam
dan bukan Islam dan ini bertentangan dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,
yang memperuntukan kesamarataan untuk semua rakyat.
Permasalahan ini dijawab oleh Prof. Aziz Bari melalui
kenyataan berikut :
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Kerajaan pusat wajar membantu
Kelantan dalam melaksanakan hukum Hudud dengan meminda beberapa peruntukan
dalam Kanun Keseksaan selain memansuhkan Akta Mahkamah Syariah 1965 dan
kerangka perundangan semasa membenarkan keadaan itu, kata pakar perlembagaan.
Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata Putrajaya perlu membantu
dengan memansuh Akta Mahkamah Syariah yang “mengikat tangan Mahkamah Syariah.”
“Pusat juga perlu membantu dengan meminda beberapa
peruntukan dalam Kanun Keseksaan dengan memberi pengecualian untuk Kelantan.
“Selain itu, pusat juga perlu membantu dengan membenarkan
polis dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan yang berada di bawah tangan
mereka untuk melaksanakan tugas di sisi undang-undang,” kata beliau kepada The
Malaysian Insider.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan
hukum Hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas
usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.
Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih
oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat pada 1994.
Najib berkata undang-undang berasaskan hukum Hudud tidak
akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah
masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.
Mengulas lanjut, Aziz berkata, ia boleh dibuat tanpa
meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.
“Kalau MCA dan Gerakan tak mahu sokong tak apa,” katanya
sambil menambah, sebenarnya apa yang Kelantan mencadangkan itu tidak memberi
kesan kepada bukan Islam.”
“Contohnya sekarang, kalau orang Islam berzina dengan
bukan Islam, orang bukan Islam tidak didakwa. Orang Islam tak boleh cabar Hudud
kerana di bawah Perlembagaan hak sama rata tidak terpakai dalam konteks
undang-undang peribadi.
“Contohnya, sekarang perempuan Islam tak boleh cabar
undang-undang poligami atau kuasa cerai suami atas alasan mereka
didiskriminasi. Orang Islam kena faham Malaysia ada dua sistem undang-undang;
jadi tak timbul tuntutan layanan sama rata,” kata beliau lagi.
Oleh itu kata beliau, “kesimpulannya cadangan Hudud
Kelantan itu boleh dilaksanakan dalam kerangka yang sedia ada.”
“Perlembagaan membenarkan cadangan itu. Kalau Karpal
Singh tak setuju itu hak dia tapi dia kena sedar pendapat dia tidak mutlak.
Satu lagi kesimpulan ialah faktor kritikal ialah kejujuran dan kemahuan
politik,” katanya lagi.
Aziz berkata, apa pun yang Kelantan hendak ialah hak
negeri melaksanakan Hudud dan persekutuan perlu memberi kerjasama tetapi ini
sukar berlaku kalau dilihat dari sudut isu royalti minyak.
“Hudud ini sebenarnya mempertingkat undang-undang jenayah
syariah yang sedia ada. Kesalahannya, contohnya zina, sudah mengikut Islam. Apa
yang perlu dipinda ialah hukuman,” katanya lagi.
Mengenai langkah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat mahu mendapatkan pandangan bukan Islam, Aziz berkata, sebenarnya
tidak perlu mendapatkan pandangan mereka mengenai pendirian mereka.
“Kita kena faham tentang sifat sistem perundangan di
Malaysia. Kita sudah pun ada sistem perundangan syariah yang berfungsi seiring
dengan sistem konvensional,” katanya.
“Ia dalam lingkungan sistem Islam yang keluarga Islam
beroperasi. Pada masa yang sama, kita ada sistem jenayah Islam,” kata Aziz.
Jelas beliau, jika hukum Hudud dilaksanakan ia akan
dilakukan dalam struktur tersebut manakala bukan Islam akan terus tertakluk
kepada undang-undang jenayah semasa, yang peruntukannya diturunkan dalam Kanun
Keseksaaan dan Kanun Prosedur Jenayah.
“Apa yang kita perlu lakukan ialah mengkaji semula sistem
jenayah Islam semasa dan meminda peruntukan-peruntukan yang tidak selari dengan
perundangan Islam,” katanya.
Sehubungan itu jelas beliau, Nik Aziz kelihatan memberi
respons kepada beberapa pemimpin bukan Islam, dari MCA dan Gerakan serta DAP
yang berpandangan bahawa ia akan menggantikan undang-undang jenayah semasa.
“Sebenarnya ia bukan isu. Sementara Nik Aziz faham
undang-undang Hudud, saya tidak pasti sama ada beliau faham sepenuhnya sistem
perundangan.
“Nampaknya Nik Aziz berpandangan bahawa sistem semasa
tidak islamik secara keseluruhan,” katanya lagi.
KUALA LUMPUR, 1 Okt — Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul
Aziz Bari mendakwa Majlis Peguam ketinggalan kerana melihat pelaksanaan hukum
Hudud dalam kerangka lama dan terus menganggap ia sebagai “retorik politik” semata-mata.
Sebaliknya kata beliau, masih ada ruang untuk
melaksanakan undang-undang Hudud di Kelantan dan oleh kerana negara pernah
meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung imuniti raja-raja, maka tak mustahil
sistem itu boleh digubal dan diperkenalkan.
“Wacana Hudud adalah perkembangan sihat yang membuka
minda kita, termasuk pengamal undang-undang. Kali ini umpamanya kita cuba
melihat pelaksanaan di peringkat negeri; dalam kerangka jenayah syariah. Bukan
dalam kerangka undang-undang jenayah konvensional di peringkat nasional.
“Ini merangsang minda; Majlis Peguam masih ketinggalan
kerana melihat pelaksanaan itu dalam kerangka lama. Sebab itu, mereka kata ini
retorik politik,” kata beliau mengulas pendirian Majlis Peguam semalam.
Majlis Peguam menegaskan undang-undang Hudud, yang
kembali muncul sebagai isu kontroversi awal minggu lalu, tidak boleh
dilaksanakan di negara ini buat masa sekarang ekoran kekangan peruntukan
perundangan.
Presiden Majlis Peguam Lim Chhe Wee berkata, Perlembagaan
Persekutuan dan rangka kerja perundangan negara ini tidak menyediakan
peruntukan bagi undang-undang Hudud dikuatkuasakan oleh mana-mana negeri
termasuk Kelantan.
“Majlis Peguam Malaysia menggesa agar kesemua pihak
mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan
berhenti daripada bercakap mengenai retorik pelaksanaan hukum Hudud,” kata Lim
dalam satu kenyataan petang ini.
Lim berkata retorik mengenai pelaksanaan undang-undang
itu, yang menjadi fokus polemik sejak kebelakangan ini, mencetuskan kekeliruan
dan perpecahan dalam masyarakat.
Malah semalam, Aziz berkata, banyak pihak termasuk
pemimpin PAS dan DAP sendiri terkeliru bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu
dipinda bagi membolehkan hukum Hudud dilaksanakan.
Menurut Aziz, beliau tidak nampak sebarang asas dan sebab
yang memerlukan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memberi laluan kepada
pelaksanaan hukum Hudud.
Dalam kenyataan hari ini, Aziz juga berkata, adalah
sesuatu janggal kerana Majlis Peguam tidak memberikan prinsip federalisme satu
pertimbangan dalam kenyataannya berkaitan dengan isu hukum Hudud.
“Prinsip (federalisme) adalah penting dalam membebaskan
sistem (perundangan),” katanya lagi. Sehubungan itu kata beliau, “Apabila
Perlembagaan membisu ataupun ada konflik seperti ini, maka undang-undang akan
memberi laluan kepada negeri.” “Kedua-dua undang-undang Islam dan Mahkamah
Syariah telah dimasukkan dalam senarai negeri, oleh itu persoalan besar adalah
berkaitan dengan Akta Mahkamah Syariah 1965, yang mengehadkan kuasa Mahkamah
Syariah,” katanya lagi.
Kata Aziz, “sebagaimana saya katakan banyak kali ada
negara di dunia yang menguatkuasakan sistem dan undang-undang yang pelbagai.”
“Dalam kes Hudud, adalah sangat jelas bahawa ia hanya untuk Muslim dan Mahkamah
Syariah... Majlis Peguam sendiri telah banyak kali mengatakan bahawa ia hanya
bagi Muslim,” kata beliau lagi.
Oleh itu kata beliau, apa yang diperkatakan sekarang
bukan retorik tetapi satu usaha untuk membenarkan masyarakat Muslim hidup di
bawah sistem perundangan mereka.
“Bagi bukan Islam, mereka tiada perundangan mereka
sendiri seperti Muslim, jadi mereka boleh hidup di bawah undang-undang sivil
negara ini,” katanya lagi.
Aziz juga berkata, mandat politik akan membolehkan
sesuatu yang difikir sebagai mustahil untuk diperkenal dan dilaksanakan menjadi
kenyataan dalam jangka panjang.
“Ingat (peristiwa) 1993? Pindaan Perlembagaan Persekutuan
untuk mengehadkan imuniti raja-raja difikir mustahil untuk dilaksana. Apatah
lagi apabila hendak mengadakan satu mahkamah untuk membicarakan mereka.
“Tetapi perkara yang dianggap sebagai mustahil berlaku
meskipun raja-raja ada kuasa mutlak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk
menghalangnya. Mereka melakukan di sebalik sentimen popular,” kata Aziz.
Oleh itu kata beliau, jika Kelantan boleh memperlihatkan
kali ini ia pastinya akan berlaku memandangkan Hudud hanya bagi Muslim dan
“sesuatu yang tidak terhalang dengan jelas di bawah Perlembagaan.”
Inilah sebenarnya yang cuba dijelaskan dan diperjuangkan
dikelantan iaitu menjadikan Hudud dan Qisas sebagai hukuman terhadap
pesalah-pesalah Hudud dan Qisas dan ianya amat jelas seperti kenyataan yang
dibuat oleh Menteri Besar Kelantan dalam kenyatan akhbar seperti berikut :
Kelantan serap enakmen Hudud dalam hukuman
syariah
KUALA LUMPUR, 26 Sept — Ekoran sekatan hampir dua dekad,
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata mahu memasukkan enakmen
Hudud dalam hukuman syariah negeri Kelantan untuk diguna pakai oleh Mahkamah
Syariah.
Oleh itu kata Nik Aziz, PAS berusaha untuk memastikan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hudud dan Qisas) dimasukkan dalam
senarai hukum Mahkamah Syariah supaya hakim dapat menggunakannya ketika
perbicaraan.
“Usaha kami ialah nak masukkan enakmen Hudud dalam
senarai hukum Mahkamah Syariah di Kelantan, maknanya kami orang politik
berusaha untuk itu supaya ia dapat digunakan oleh hakim,” kata Nik Aziz.
Kata Nik Aziz lagi, “saya ulang sekali lagi, kami hanya
nak masukkan enakmen Hudud dalam senarai hukum supaya mahkamah akan menggunakan
akta ini.”
Jelas beliau, apabila kes dibawa ke mahkamah, hakim akan
menentukan ada prima facie atau sebaliknya.
“Kalau ada prima facie, ada peguam bela dan peguam cara.
Daripada Malaysia menerima hukuman gantung sampai mati mandatori (dalam kes)
dadah (atau) senjata apa, maka lebih baik terima Hudud.
“Gantung sampai mati ini menyebabkan keluarga merana, tak
ada tempat nak bergantung, merana hidup dalam keadaan lapar, Hudud ini tak mati
orang, bila kena Hudud tak mati manusia,” katanya dipetik Berita Harian hari
ini.
Pada 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.
Bagaimanapun sehingga kini ia tidak dapat dilaksanakan
kerana dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Percanggahan ini dapat dilihat bila Mahkamah Syariah
terikat dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 walaupun telah
dipinda pada tahun 1984.
Pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965
Kerajaan Persekutuan telah membuat pindaan mengenai
bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah, terkenal dengan Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1984. Pindaan ini telah memberi kuasa yang lebih
kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman yang lebih berat iaitu
hukuman penjara sehingga tiga tahun atau apa-apa denda sehingga RM 5000 atau
sebat enam rotan atau gabungan kedua-dua hukuman tersebut. Akta ini adalah
pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang hanya
memperuntukkan hukuman apa-apa kesalahan boleh dihukum dengan penjara untuk
satu tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM 1000 atau
kedua-duanya.
Pada tahun 1988, Kerajaan Persekutuan telah membuat
pindaan terhadap perlembagaan mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah terkenal
dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 (Akta A 704) Perkara 121, Perlembagaan
Persekutuan yang menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak lagi mempunyai
bidangkuasa berkenaan apa-apa perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai
bidangkuasa. Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan menyebutkan:
"Mahkamah-Mahkamah yang disebut di dalam Fasal (1) tidaklah boleh
mempunyai bidangkuasa dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah
Syariah".
Dengan pindaan ini, kewujudan dan kewibawaan Mahkamah
Syariah telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan Mahkamah Syariah
mempunyai bidangkuasa yang mutlak unluk memutus dan menyelesaikan kes-kes atau
apa-apa perkara yang terletak di bawah bidangkuasanya. Ini bermakna Mahkamah
Sivil tidak boleh membicarakan sesuatu kes yang terletak di bawah bidangkuasa
Mahkamah Syariah, sedangkan sebelum ini Mahkamah Sivil juga mempunyai
bidangkuasa yang sama, di dalam beberapa kes dan Mahkamah Sivil boleh
membicarakannya dan jika terdapat percanggahan maka keputusan Mahkamah Sivil
adalah muktamad. Kesan pindaan ini telah diperkukuh lagi oleh keputusan
Mahkamah Agung di dalam kes Mohd. Habibullah bin Mahmood lawan Faridah bt. Datoi
Talib pada 15 Disember, 1992 yang menegaskan "execlusive
jurisdication" Mahkamah Syariah.
Kerajaan Persekutuan juga telah membuat pindaan terhadap
Perlembagaan Malaysia untuk memberikan kuasa tahan kepada Hakim Mahkamah
Syariah seperti yang diberikan kepada seorang Majistret terkenal dengan Akta
Perlembagaan (Pindaan) 1988, Perkara 5(4) Persekutuan. Dengan pindaan ini
bererti Hakim Mahkamah Syariah telah diberi kuasa seperti seorang Majistret di
dalam perkara kuasa tahan diri.
Untuk merealisasikan kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana
dalam peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan itu, Kanun Tanah
Negara (National Land Code) telah dipinda dengan memasukkan satu seksyen baru
iaitu seksyen 421A melalui Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 1991. Pindaan
tersebut telah diluluskan dan berkuatkuasa mulai 1 Januari, 1993. Seksyen 421A
berbunyi "Untuk maksud seksyen 417 dan 420 "Mahkamah" termasuk
Mahkamah Syariah".
Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal
Undang-undang Syarak dan Sivil, di bawah Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM, untuk
mempertingkatkan pelaksanaan Undang-undang Islam, memperluaskan bidangkuasa
mahkamah Syariah dan menyelaras undang-undang sivil agar sesuai dengan Hukum
Syarak.
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) perlu
dimansuhkan kerana ianya “mengikat tangan Mahkamah Syariah.” Berilah Mahkamah
Syariah ruang dan kuasa yang sepenuhnya dalam menghukum penjenayah syariah
mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah yang menjadi
perlembagaan asas untuk umat Islam dalam menjaga agama, nyawa, harta, maruah,
akal dan keturunan seluruh umat islam.
Tidak akan timbul seseorang Islam itu akan
terdedah kepada dua pendakwaan atau sabitan berasingan: satu di bawah Hudud dan
satu di bawah kanun keseksaan, bertentangan dengan larangan terhadap
perbicaraan berulang dalam Perkara 7 (2) perlembagaan persekutuan kerana
Mahkamah Syariah punya kuasa penuh terhadap jenayah syariah yang dilakukan oleh
seseorang islam seperti yang tertakluk di dalam Pindaan Perkara 121 (1A)
Perlembagaan Persekutuan menyebutkan: "Mahkamah-Mahkamah yang disebut di
dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa dengan apa-apa perkara
dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah".
Jika Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa jenayah) 1965
pernah dipinda, malahan Kerajaan Persekutuan pernah meminda Perlembagaan
Persekutuan berhubung imuniti raja-raja 1993 yang difikir mustahil untuk dilaksana
dapat dilaksana meskipun raja-raja ada kuasa mutlak di bawah Perlembagaan
Persekutuan untuk menghalangnya namun Kerajaan Persekutuan telah melakukannya
di sebalik sentimen popular. Jadi, mengapa Kerajaan Persekutuan dilihat tidak
mampu melepaskan Kelantan untuk menjalankan Hukuman Jenayah Syariah di negeri
mereka dan ianya hanya untuk orang islam sahaja????
Dr Zainal Azam bin Abd Rahman
Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus. Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia merangkumi dosa. Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai implikasi-implikasi tertentu dari segi hukuman.
Jenayah Hudud adalah pelanggaran hak Allah yang dikenali juga sebagai hak awam atau masyarakat dan dalam masa yang sama merupakan satu dosa besar pada pandangan Islam. Hukuman Hudud tidak boleh digugurkan jika telah sabit dengan bukti di hadapan mahkamah. Begitupun ia boleh digugurkan jika pengakuan itu ditarik balik oleh tertuduh walaupun pada saat-saat akhir sebelum hukuman.
Jenis-jenis kesalahan Hudud dan kukumannya adalah tetap tidak boleh dipinda kerana ia bersifat mandatori. Pendakwaan kes-kes Hudud dibuat oleh pihak pendakwa awam yang mewakili pihak berkuasa dan juga masyarakat keseluruhannya. Oleh sebab yang demikian ia menepati konsep jenayah sebagaimana yang difahami dalam konteks perundangan konvensional kerana ia adalah pelanggaran terhadap sesuatu hak awam atau masyarakat. Fungsi hukuman Hudud adalah bersifat menghukum dan juga bagi tujuan pencegahan dan kerana itu salah satu rukun yang perlu ada ialah kesalahan itu hendaklah telah dilakukan dengan niat dan dengan cara sengaja.
Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus. Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia merangkumi dosa. Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai implikasi-implikasi tertentu dari segi hukuman.
Jenayah Hudud adalah pelanggaran hak Allah yang dikenali juga sebagai hak awam atau masyarakat dan dalam masa yang sama merupakan satu dosa besar pada pandangan Islam. Hukuman Hudud tidak boleh digugurkan jika telah sabit dengan bukti di hadapan mahkamah. Begitupun ia boleh digugurkan jika pengakuan itu ditarik balik oleh tertuduh walaupun pada saat-saat akhir sebelum hukuman.
Jenis-jenis kesalahan Hudud dan kukumannya adalah tetap tidak boleh dipinda kerana ia bersifat mandatori. Pendakwaan kes-kes Hudud dibuat oleh pihak pendakwa awam yang mewakili pihak berkuasa dan juga masyarakat keseluruhannya. Oleh sebab yang demikian ia menepati konsep jenayah sebagaimana yang difahami dalam konteks perundangan konvensional kerana ia adalah pelanggaran terhadap sesuatu hak awam atau masyarakat. Fungsi hukuman Hudud adalah bersifat menghukum dan juga bagi tujuan pencegahan dan kerana itu salah satu rukun yang perlu ada ialah kesalahan itu hendaklah telah dilakukan dengan niat dan dengan cara sengaja.
Takzir ialah satu bentuk pelanggaran hak Allah yakni hak
awam dan dalam masa yang sama juga merupakan satu dosa. Jenis kesalahan takzir
disebut dalam syariah, tetapi hukumannya terserah kepada budi bicara pemerintah
atau hakim yang mendengar sesuatu kes itu. Hukuman yang dikenakan tidak
bersifat mandatori kerana ada banyak pilihan yang boleh dibuat oleh hakim berkenaan
dengan mengambil kira keadaan atau status pesalah, melainkan pihak pemerintah
telah menetapkan hukuman tertentu bagi kesalahan tersebut.
Pendakwaan bagi kes-kes takzir dilakukan oleh pihak
pendakwa awam dan kerana itu takzir juga mempunyai ciri-ciri jenayah dalam
konteks konvensional. Ia juga bertujuan menghukum pesalah dan juga untuk
pencegahan. Yang membezakan takzir dengan Hudud ialah hukuman Hudud sudah
ditentukan bagi kesalahan berkenaan dan tidak boleh dipinda atau diubah kepada
hukuman lain.
Qisas pula ialah kesalahan yang merangkumi sebarang
tindakan salah dengan sengaja dan niat bagi membunuh atau mencederakan
seseorang. Ia adalah hukum bunuh balas bunuh dan cedera balas cedera. Dari segi
konsepnya, pelanggaran hak yang berlaku dalam kes qisas adalah terhadap hak
Allah/awam dan juga hak individu tetapi Islam menganggap hak individu adalah
lebih besar dalam hal ini.
Oleh itu Islam memberikan hak kepada individu berkenaan
ataupun warisnya untuk mengambil tindakan ke atas tertuduh. Lantaran itu ia terserah
kepada mereka sama ada hendak mengambil tindakan atau tidak. Kerana itu
kesalahan qisas dari segi teknikalnya tidak boleh dikategorikan sebagai jenayah
mengikut kaca mata konvensional kerana hak mendakwa bukan terletak kepada
pendakwa awam atau masyarakat.
Manakala bagi kes-kes yang tidak terjadi akibat adanya
niat dan perlakuan sengaja oleh tertuduh, maka hak mangsa atau keluarganya
adalah terhadap pampasan atau ganti rugi yang dikenali dalam Islam sebagai
diyat dan daman. Hukuman qisas juga boleh ditukar dengan tuntutan diyat atau
pampasan jika diinginkan oleh mangsa atau warisnya dan mereka juga boleh
memberikan kemaafan secara percuma kepada pesalah yang telah disabitkan. Jika
kerana sesuatu sebab khusus qisas tidak dapat dikenakan ke atas pesalah, maka
hukuman qisas itu dengan sendiri digugurkan dan diganti dengan diyat atau
pampasan.
Kesalahan qisas dan diyat sebenarnya merupakan satu
bentuk hukuman yang merangkumi tujuan menghukum pesalah sengaja dan juga
memberi pampasan kepada mangsa bagi kesalahan tanpa niat. Kerana itu ia lebih
sesuai dikaitkan dengan undang-undang tort dalam konteks konvensional melainkan
ia melibatkan pihak mangsa atau waris menuntut qisas dilaksanakan kepada
pesalah di mana elemen pampasan tidak timbul.
Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam pada asasnya
merupakan sebahagian daripada ketaatan umat Islam kepada perintah Allah s.w.t.
dan kerana itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan soal akidah dan
keimanan mereka kepada Tuhan Yang Maha Pencipta dan Maha Adil. Ini kerana
peraturan jenayah seperti mana yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran dan
juga sunah Nabi adalah sebahagian daripada agama Islam itu sendiri.
Dari segi yang lain pula, hukuman yang dikenakan ke atas
penjenayah yang terbukti bersalah, sebenarnya satu proses penyuciannya daripada
dosa yang dilakukan. Ini membezakan kedudukan hukuman Islam dengan hukuman
biasa atau sivil di mana tidak seperti pesalah yang menerima hukuman di bawah
undang-undang syariah yang akan dikira bersih dari dosa, pesalah di bawah
undang-undang biasa tidak akan menikmati kedudukan yang sama.
Ini kerana di bawah perundangan biasa, undang-undang dan
hukuman tiada kaitan dengan konsep dosa dan pahala serta perhitungan hisab di
hari akhirat. Lantaran menyedari hakikat inilah kita dapati pada zaman Nabi ada
orang yang telah melakukan dosa dan jenayah dengan rela hati datang menemui
Nabi meminta dibersihkan daripada dosa dan memohon dijatuhkan hukuman seperti
mana yang telah diperuntukkan oleh Allah.
Keadaan ini tidak mungkin berlaku dalam sistem
perundangan biasa, bahkan pelaku jenayah akan sentiasa berusaha untuk
melepaskan dirinya daripada tuduhan walaupun memang sebenarnya dia telah
melakukan jenayah berkenaan.
Sistem perundangan jenayah Islam juga mengambil kira
nilai kemanusiaan sejagat. Ini jelas dapat dilihat dalam peruntukan qisas bagi
kes bunuh dengan niat serta disengajakan di mana kedudukan dan rasa hati waris
mangsa diambil kira dalam menentukan jenis hukuman yang bakal dihadapi oleh
pembunuh.
Bagi yang berasa puas hati jika hukuman balas bunuh dapat dikenakan
ke atas pembunuh, mereka berhak untuk menuntut agar hukuman demikian
dilaksanakan. Ini sudah tentulah akan dapat menghapuskan rasa marah dan
keinginan hendak membalas dendam yang lumrahnya ada pada ahli keluarga mangsa
yang mati dibunuh.
Manakala bagi yang ingin memaafkan pembunuh boleh berbuat
demikian sama ada dengan menuntut pampasan/diyah sebagai balasan ataupun
membebaskannya secara percuma. Elemen pampasan ini sudah tentulah akan lebih
bermakna lagi bagi ahli keluarga mangsa yang berada dalam keadaan yang serba
kekurangan dari segi kewangan, maka sudah tentulah bayaran yang diterima dapat
sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka akibat kematian yang disebabkan
jenayah berkenaan.
Namun begitu bagi yang inginkan ganjaran pahala dan tidak
perlukan wang pampasan mereka boleh memberikan kemaafan secara percuma, bahkan
pilihan inilah yang sangat digalakkan oleh Islam.
Undang-undang Hudud diperuntukan bagi menggerunkan
masyarakat yang ada cadangan untuk melakukan jenayah berat. Undang-undang ini
mempunyai syarat-syarat yang amat banyak sebelum ia boleh dikenakan ke atas
seseorang tertuduh.
Kadangkala kelihatan mungkin agak mustahil untuk
mensabitkan seseorang tertuduh melainkan dengan pengakuan bersalah yang
dibuatnya. Ini jelas bagi sesetengah kes seperti zina yang memerlukan empat
orang saksi yang jelas melihat perbuatan itu dilakukan. Manakala bagi kes-kes
yang lain pula sebarang keraguan yang wujud atau berjaya ditimbulkan akan
dengan mudah dapat menyebabkan hukuman Hudud itu tidak kenakan.
Bahkan
seseorang hakim yang membicarakan kes-kes sedemikian dinasihatkan agar sentiasa
bersikap terbuka dalam menerima keraguan yang ditimbulkan. Ini adalah kerana
secara prinsipnya Islam melihat adalah lebih baik tersilap tidak menghukum
daripada tersilap menghukum seseorang di dalam kes-kes Hudud.
Penutup...
Marilah sama-sama kita memahami apa itu Hudud dan
menghadamkan setiap maklumat tersebut di dalam minda dan hati kita agar mudah
untuk menjelaskan kepada sahabat-sahabat yang salah faham terhadap Hudud.
Sama-samalah kita menyokong agar Hudud dapat dilaksanakan di Negeri Kelantan
untuk peringkat permulaan dan bakal diikuti oleh negeri-negeri lain sekiranya
hikmah Hudud tersingkap dan menusuk ke dalam hati orang-orang Islam dan juga
bukan Islam.
Jutaan kemaafan sekiranya tulisan ini terlalu panjang dan
mengambil masa yang lama untuk dibaca serta terdapat kekeliruan. Apa yang baik
itu datang dari Allah swt. Dan yang buruk itu datang dari kelemahan diri
aljauhary sendiri.
Assalamualaikum
wbt....
Zulfarizan Zakaria "FABI
AYYI AALA IRABBIKUMA TUKAZZHIBAN" = Nikmat Tuhan Manakah Yang Engkau
Hendak Dustakan?........muhasabah buat diri kite ni belake kerana Allah
S.W.T.....
Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan