Beliau berkata kajian sedang
dilakukan untuk meneliti kenaikan itu, bagaimanapun jelasnya, ia tidak akan
terlalu tinggi seperti dinikmati Adun Selangor.
"56 orang Adun Johor
mempunyai banyak kerja tetapi kita belum sampai peringkat terdesak untuk menaikkan
gaji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Agro Johor 2013
sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Johor, di Projek Pertanian Moden
Ayer Hitam, di sini hari ini.
Mohamed Khaled
menegaskan Johor tidak berasa cemburu dengan kenaikan gaji Adun Selangor dan
tidak akan bersaing untuk menyamai apa yang dilakukan kerajaan
berkenaan.
Rabu lepas, Persidangan Dewan
Undangan Negeri Selangor (DUN) meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Anggota
Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 yang
memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar, Exco dan Adun dengan timbalan
speaker mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.
Gaji menteri besar dinaikan
daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada
RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN dari RM6,109.29 kepada RM22,500;
timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000
kepada RM11,250.
Sementara itu, berucap merasmikan
ekspo itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan Johor sentiasa komited untuk
membangunkan sektor pertanian negeri ini bagi memastikan ia kekal sebagai gedung
dan pengeluar utama makanan negara.
Beliau berkata pelbagai usaha
sudah dilaksanakan kerajaan negeri bagi meningkatkan pengeluaran tanaman
termasuk menerusi program pembukaan tanah secara besar-besaran, membangunkan
tanah terbiar dan teknologi serta melahirkan modal insan bagi menyokong sektor
pertanian.
"Johor bukan sahaja berjaya
mengurangkan import pengeluar sayur-sayuran dan buah-buahan untuk kegunaan
penduduk negeri ini malah mampu membekalkannya kepada Singapura dan Hong
Kong.
"Mengikut statistik tahun
lepas, Johor menduduki tangga kedua pengeluaran sayur-sayuran di negara ini
dengan jumlah pengeluaran melebihi 136,000 tan metrik berbanding pengeluaran
keseluruhan Malaysia 878,975 tan metrik," katanya.
Beliau berkata, Johor juga kekal
sebagai pengeluar ayam daging utama di negara ini iaitu melebihi RM2.54 bilion
setahun manakala telur ayam pula dengan pengeluaran output 3 bilion biji
bernilai RM1.06 bilion.
Dalam sektor perikanan, beliau
berkata Johor menduduki tempat ketiga tahun lepas dalam kategori pembekalan
ikan air payau dengan 11.67 peratus pengeluaran manakala pengeluaran ikan
hiasan melebihi 238 juta tan metrik iaitu lebih 70 peratus sumbangan
keseluruhan kepada negara.
Ekspo Agro Johor 2013 yang bermula
Rabu hingga Ahad ini merupakan kemuncak Mini Agro Johor yang diadakan di Johor
Baharu, Kota Tinggi, Mersing, Pontian dan Muar sejak dua bulan lepas.
Bertemakan 'Johor Gedung Makanan
Negara', ekspo tersebut menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta serta kehadiran 500,000
pengunjung ke 220 gerai jualan. ~bernama
Sumber:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan