بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.
Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Meja www.peceq.blogspot.com
Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Pengenalan
dan Takrif Tafsir Isyari (Tafsir Sufistik)
Sheikh
Nur al-Din ‘Itr berkata mengenai Tafsir Isyari ini:
Ia juga
dinamakan sebagai al-Tafsir al-Sufi (Tafsir Sufistik), namun
kami lebih menggunakan terminologi yang pertama (Tafsir Isyari) kerana padanya
ada petunjuk menunjukkan kepada penstrukturannya dengan kaedah-kaedah yang
jelas, sebagaimana apa yang dinamakan sebagai juga sebagai isyarah
al-Nash (petunjuk teks) di sisi para ulama’ usul.
Definisinya:
Tafsir
Isyari ialah: suatu takwilan terhadap ayat-ayat al-Qur’an dengan makna selain
makna yang zahir baginya, berasaskan isyarat-isyarat (petunjuk atau pedoman)
yang halus yang terzahir bagi para salik (orang yang mentarbiah dirinya dan
membersihkan hati untuk mengenal Allah SWT), yang mana boleh diselaraskan
antaranya dengan maknanya yang zahir yang diinginkan. [al-Tafsir wa
al-Mufassirun 3/18]
Dalam
kitab Manahil al-‘Irfan, Imam al-Zurqani menyebut:
التفسير الإشاري : هو تأويل القرآن بغير ظاهره لإشارة خفية تظهر لأرباب السلوك
والتصوف ويمكن الجمع بينها وبين الظاهر المراد أيضا
Maksudnya: Tafsir
Isyari: Ia merupakan takwil al-Qur’an dengan selain makna zahirnya, dengan
berlandaskan isyarat yang halus, yang terzahir pada para penghulu tarbiah
akhlak dan tasawuf, yang mana makna tersebut boleh dihimpunkan dengan makna
yang zahir juga.
Pernyataan “boleh diselaraskan antaranya dengan makna
zahir” merupakan suatu syarat tafsir isyari yang penting, kerana ia menujukkan
bahawa, asas tafsir ini bersesuaian dengan kalam (bahasa) Arab yang asal, yang
mana diturunkan al-Qur’an dengannya, lalu pastilah ia dapat difahami dengan
bahasa Arab. Justeru, tafsir isyari ini mempunyai kelazimannya dengan makna
asal yang zahir bagi ayat tersebut.
Maksudnya,
sesuatu penafsiran mengikut metodologi tafsir isyari ini tidak lari jauh
daripada makna asalnya dan boleh diharmonikan antara tafsiran isyari ini dengan
tafsiran asalnya. Ia disebut sebagai takwilan yang hampir (ta’wil qarib)
yang tidak bertentangan daripada kaedah bahasa Arab, tidak jauh menyimpang
daripada makna asal ayat dan tidak bertentangan dengan ajaran al-Qur’an dan
al-Sunnah.
Asas Kepada Tafsir Isyari
Al-Qur’an ialah sumber ilmu dan makrifat. Al-Qur’an ialah
kunci kepada hikmah dan pintu kepada kesempurnaan. Isi kandungannya tidak
terbatas dan mutiara ilmunya tiada berkesudahan.
Al-Imam Sahl bin ‘Abdillah al-Tustari RA berkata:
Jika diberi seseorang hamba itu setia huruf
daripada al-Qur’an dengan seratus kefahaman, nescaya masih tidak sampai kepada
kesudahan apa yang Allah SWT letakkan (makna-makna) dalam ayat daripada
kitab-Nya tersebut, kerana al-Qur’an ialah kalam Allah, sedang kalam Allah SWT
ialah sifat-Nya. Sebagaimana tiada bagi Allah SWT itu sebarang kesudahan, maka
begitu juga tiada kesudahan bagi kefahaman terhadap kalam-Nya. Maka, seseorang
itu memahami sekadar apa yang Allah SWT bukakan kepadanya sahaja, sedang kalam Allah
SWT bukan makhluk, yang mana tidak akan sampai keapda kesudahan kefahamannya
dengan kefahaman-kefahaman makhluk yang terbatas. [al-Burhan fi ‘Ulum
al-Qur’an, Muqoddimah]
Oleh sebab itu, para ulama’ membahagikan penafsiran
al-Qur’an kepada dua bentuk iaitu, al-Tafsir bi al-Ma’thur (tafsir
daripada riwayat al-salaf) dan al-Tafsir bi
al-Ra’yi (tafsir daripada pendapat sendiri). Adapun al-Tafsir
bi al-Ra’yi merupakan sebahagian tafsir yang diterima di sisi para
ulama’ dengan kaedah-kaedah penafsiran yang muktabar. Antara bentuk metodologi
penafsiran yang berkembang di bawah al-Tafsir bi al-Ra’yi ini
ialah Tafsir Isyari atau Tafsir Sufistik. Ia kembali kepada
asas pemahaman terhadap al-Qur’an itu sendiri, iaitu, terdedah kepada
penafsiran-penafsiran baharu dan pelbagai, dalam kerangka kaedah-kaedah
penafsiran yang muktabar.
Allah SWT berfirman:
أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً
فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا
Maksudnya: Dia menurunkan air (hujan) dari
langit, lalu mengalirkan tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya
yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya,(Surah al-Ra’d: 17)
Saidina Ibn ‘Abbas RA menafsirkan ayat ini dengan
berkata: “Dia menurunkan daripada langit iaitu air…” iaitu al-Qur’an, “kemudian
mengalir saliran pada lembah-lembah dengan kadarnya” beliau berkata:
lembah-lembah bererti hati-hati para hamba.” [Tafsir al-Qurtubi9/259]
Dalam penafsiran Saidina Ibn ‘Abbas RA ini menunjukkan
bahawa beliau melakukan suatu penafsiran berbentuk tafsir isyari, iaitu dengan
menafsirkan makna ayat tersebut bukan dengan maknanya yang zahir atau makna
asal, tetapi tidak bertentangan dengan makna asalnya. Bahkan, daripada
penafsiran Saidian Ibn ‘Abbas RA terhadap ayat ini menunjukkan bahawa, al-Qur’an
boleh difahami dengan kefahaman yang luas, sesuai dengan apa yang dikurniakan
oleh Allah SWT kepada hati-hati para hamba-Nya.
Ia dikuatkan lagi dengan penafsiran yang dibuat oleh Imam
Ibn Kathir dalam tafsirnya. Pada ayat yang sama, beliau berkata: ““Dia
menurunkan daripada langit iaitu airkemudian mengalir saliran pada
lembah-lembah dengan kadarnya”: Ia merupakan isyarat (makna) kepada
hati-hati dan peringkat-peringkatnya yang berbeza. Antaranya, apa yang boleh
mengandungi ilmu yang banyak, dan antaranya ialah apa yang tidak mampu
mendapati ilmu yang banyak bahkan menjadi sempit terhadapnya."
Kefahaman terhadap al-Qur’an diberi oleh Allah SWT kepada
setiap manusia dengan beberapa tahap yang berbeza dan kefahaman yang pelbagai,
dan ianya merupakan kefahaman yang diterima selagimana tidak bertentangan
dengan makna zahir ayat tersebut. Sesungguhnya, para wali dan orang-orang soleh
mempuyai kefahaman yang lebih mendalam dan tinggi terhadap sesuatu ayat
al-Qur’an berbanding selain mereka, sesuai dengan kejernihan hati mereka dan
kesempurnaan kehambaan mereka.
Sheikh Ibn Taimiyyah berkata dalam Fatwanya:
لا ريب أن الله يفتح على قلوب أوليائه المتقين وعباده الصالحين - بسبب طهارة قلوبهم مما يكرهه , واتّباعهم ما يحبه - ما لا يفتح به على غيرهم وهذا كما قال عليٌّ :
إلا فهما يؤتيه الله عبدا في كتابه , وفى الأثر : من عمل بما علم ورّثه
الله علم ما لم يعلم
Maksudnya: Tidak diragukan bahawa Allah SWT membuka ke
atas hati-hati para wali-Nya yang bertakwa dan para hamba-Nya yang soleh dengan
sebab kebersihan hati-hati mereka daripada apa yang dimurka dan pengikutan
mereka terhadap apa yang disukai Allah, dengan apa yang tidak dibuka dengannya
kepada selain mereka. Ia sebagaimana disebutkan oleh Ali RA: “…melainkan
kefahaman yang Allah SWT berikan kepada seorang hamba tentang kitab-Nya.”
Begitu juga ada sebuah athar berkata: “Sesiapa yang beramal
dengan apa yang dia ketahui, maka Alah akan mewariskan kepadanya suatu ilmu
yang dia sebelum ini tidak mengetahuinya.” [Majmu’ al-Fatawa 13/245]
Perkembangan Tafsir Isyari
Menurut Sheikh Nur al-Din ‘Itr dalam kitab ‘Ulum
al-Qur’an: Sesungguhnya tafsir Isyari ini bukanlah suatu perkara yang
baharu, kerana mengeluarkan makna-makna daripada al-Qur’an merupakan sesuatu
perkara yang sangat diketahui, yang mana para sahabat RA sendiri terlibat dalam
usaha tersebut tanpa perlu diingkari.
Dalam
Sahih al-Bukhari ada meriwayatkan bahawasanya, Saidina Ibn ‘Abbas menceritakan
bahawasanya, Saidina Umar RA memasukkan beliau dalam kalangan para pimpinan
yang pernah terlibat dalam peperangan Badar. Beliau ditanya tentang sebab
demikian, lalu beliau menceritakannya. Suatu hari, SAidina Umar RA memanggilnya
lalu memasukkannya ke dalam persidangan bersama-sama golongan ahli perang
Badar, lalu beliau bertanya kepada mereka yang hadir tentang tafsiran surah
al-Fath “Ketika datangnya kemenangan Allah dan pembukaan”?. Maka,
sebahagian daripada mereka menjawab: “Kita diperintahkan untuk memuji Allah
dan meminta ampun kepada-Nya tatkala kita diberi kemenangan dan dibukakan
kepada kami.” Sebahagian yang lain hanya berdiam diri.
Lalu,
Saidina Umar RA bertanya kepadaku: “Apakah demikian yang kamu katakan juga
wahai Ibn ‘Abbas?” Saya jawab: “Tidak.” Maka beliau berkata: “ Maka, apa yang
kamu mahu katakan?”. Maka saya menjawab: “Ia mengenai ajal Rasulullah SAW, yang
diberitahu kepada Baginda SAW. Maka, Allah SWT berfirman: “Tika datang
kemenangan Allah dan pembukaan, maka ianya merupakan tanda ajal bagimu. Maka, pujilah dengan kepujian Tuhanmu dan mintalah ampun
kepada-Nya, kerana Dia Maha Penerima Taubat.” Maka Saidina Umar RA berkata: “Aku tidak mengetahui
daripadanya melainkan apa yang kamu katakan.”
Daripada kisah ini kita fahami bahawa, Saidina Ibn ‘Abbas
RA memahami ayat ini dengan kefahaman yang berbeza dengan zahirnya, namun tidak
pula menyalahi maknanya yang zahir. Ia suatu kefahaman yang mendalam terhadap
ayat tersebut. Tafsiran sebeginilah yang disebut sebagai tafsi isyari lalu
dikembangkan oleh golongan sufi sehingga akhirnya dikenali juga sebagai tafsir
sufi (tafsir sufistik).
Antara Tafsir-tafsir Isyari yang Muktabar
Tafsir al-Qur’an oleh Imam Sahl bin ‘Abdillah al-Tustari (m: 283 H).
Ia merupakan antara Tafsir Isyari (Sufistik) yang terawal ditemui secara hampir
menyeluruh penafsirannya terhadap ayat-ayat al-Qur’an. Ia dihimpunkan oleh Abu
Bakr Muhammad bin Ahmad al-Baladi sebagaimana disebutkan di awal tafsir
tersebut yang dicetak di Mesir seawal tahun 1908 Masihi. Tafsirannya mempunyai
unsur penafsiran sufi yang jelas namun ringkas.
Haqa’iq al-Tafsir oleh Imam Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (m: 412 H).
Ia juga merupakan antara bentuk tafsir Isyari yang
menghimpunkan pelbagai penafsiran para ulama’ sufi dengan penafsiran yang halus
dan mendalam.
Latho’if al-Isyarat oleh Imam ‘Abd al-Karim al-Qusyairi (m 456 H). Ia
merupakan kitab TafsirIsyari yang masyhur oleh seorang sufi yang
terkenal, iaitu al-Imam Abu al-Qashim ‘Abd al-Karim bin Hawazin al-Qusyairi,
penulis kitab Risalah al-Qusyairiyyah yang terkenal. Bahkan,
al-Imam al-Qusyairi menggunakan istilah Isyarat dalam judul
kitab tafsir beliau menunjukkan ianya merupakan istilah yang berkait rapat
dengan Tafsir Isyari ini.
Tafsir al-Jailani oleh al-Imam ‘Abd al-Qadir al-Jailani (m: 713 H),
seorang penghulu sufi yang terkenal, di samping pelopor tarikat sufi terkemuka
iaitu Tarikat Qadiriyyah. Tafsir beliau diterbitkan oleh guru kami
Sheikh Dr. Fadhil al-Jailani, setelah mencari manuskripnya di serata dunia.
Tafsir ini sedang dalam proses penterjemahan ke dalam bahasa Melayu-Indonesia
di bawah pimpinan guru kami Sheikh Rahimuddin bin Nawawi, sebagaimana
diamanahkan oleh Sheikh Dr. Fadhil. Setakat ini, sudah siap dicetak dua jilid
daripadanya, setelah selesai penterjemahannya.
Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim wa al-Sab’
al-Mathani oleh al-Imam
al-Allamah Abu al-Ma’ali Mahmud Syukri bin ‘Abdillah bin Syihab al-Din Mahmud
al-Alusi al-Husaini. Beliau lahir di Baghdad dan meninggal dunia juga di sana,
pada tahun 1342 H. Tafsir Ruh al-Ma’ani merupakan antara
Tafsir Isyari yang sangat luas perbahasannya dengan pelbagai
bentuk penafsiran yang lain termasuklah tafsir Bi al-Ma’thur (tafsir
dengan riwayat daripada salaf).
Sumber: http://rajamukhlis.blogspot.com/
s3v3n
s3v3n.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan