بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.
Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Meja www.peceq.blogspot.com
Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Kecintaan dan Kasih Sayang Kepada Ahlul Baiyt
Nabi s.a.w.bersabda, “Yang terbaik diantara kamu sekalian ialah yang terbaik perlakuaannya terhadap ahlulbaiytku, setelah aku kembali kehazirat Allah.” (Hadis Sahih dari Abu Hurairah r.a. diriwayatkan oleh al-Hakim, Abu Ya’la, Abu Nu’aim dan Addailamiy)
Tak Pelik Ulama ‘Terguna’
Hadis Palsu
Editor: Blog al-Faqir Ila Rabbih Ta’ala – Date: 26.12.13
Ada perkara yang kita rasa biasa, sebenarnya ‘luar biasa’ pada
orang lain.
Ada setengah orang berasa hairan apabila disebutkan ada hadis
palsu dalam kitab seseorang ulama. Sebabnya ia berasa tak mungkin ulama
menggunakan hadis palsu di dalam kitab-kitab mereka. Sudah pasti mereka maklum
tentang larangan Nabi SAW dan ancaman balasan berat ke atas orang yang
mereka-reka hadis palsu. Maka mana mungkin ulama akan menggunakan hadis-hadis
palsu! Dengan perspektif ini, mereka merasakan mustahil terdapat hadis palsu di
dalam kitab-kitab alim ulama. Kemungkinan rasa hairan ini disebabkan kurang
pendedahan atau kurang memperdalami pengajian ilmu hadis.
Secara umum, memang kita disuruh supaya menghormati para alim
ulama dan beradab sopan dengan mereka. Kita tahu kedudukan para ulama dalam
Islam adalah tinggi. Bagaimanapun, mereka juga adalah manusia yang tidak
terlepas dari kekurangan dan membuat kesilapan. Maka jika terdapat kekurangan
dan kesilapan daripada mereka, ia adalah lumrah semula jadi manusia. Peranan
kita ialah memahami sebabnya bukan menolak dan menidakkannya hingga mengangkat
mereka ke tahap maksum atau merendah dan memperlekehkannya hingga menjatuhkan
maruah mereka.
Kita seringkali melihat satu atau dua kesalahan seseorang
sebagai ‘dosa’ yang menutup segala perbuatan baik dan soleh yang dilakukan
sepanjang hidupnya. Demikian juga perspektif kita apabila melihat satu dua
kesalahan atau kesilapan seseorang ulama. Padahal peratusnya barangkali terlalu
kecil, mungkin 1% atau 2% berbanding 99% atau 98% kebaikan yang dilakukan…
Justeru, kewujudan hadis palsu di dalam kitab-kitab sesetengah
ulama bukanlah sesuatu yang pelik dan menghairankan. Kita yakin, ia bukan
perkara yang disengajakan oleh mereka. Ini kerana bukan semua ulama menghafaz
dan menguasai keseluruhan riwayat hadis yang wujud yang jumlahnya ratusan ribu.
Kemungkinan mereka menganggap hadis tersebut ada sumbernya yang boleh dirujuk
cuma mereka tidak sempat merujuknya atau tidak sempat mengkaji dan
menganalisisnya. Walaupun kita dapati setelah dikaji kemudian hadis tersebut
tiada bersumber atau terdapat pendusta atau pemalsu hadis pada silsilah
sanadnya. Sangka baik mereka itu tadi tidak menjadikan mereka sebagai penyebar
hadis palsu secara sengaja.
Demikian juga ulama hadis yang meriwayatkan hadis-hadis palsu,
mereka hanya sempat merekodkannya sahaja dan tidak sempat untuk mengkaji dan
menilai status hadis-hadis tersebut. Mereka dianggap telah terlepas daripada
beban tanggungjawab apabila mereka telah merekodkannya secara bersanad. Maka
menjadi tugasan ulama yang datang kemudian untuk mengkaji dan menilainya.
Maka, kita perlu memahami sebabnya kenapa? Zaman para ulama
dahulu amat jauh berbeza dengan zaman kita kini. Zaman dahulu amat sukar untuk
memperolehi semua kitab yang dikarang, tidak sepertimana zaman ini. Kini
kitab-kitab dicetak dan diedarkan secara meluas. Ia mudah diperolehi, bahkan
dengan kewujudan internet kitab-kitab semakin mudah diperolehi sama ada secara
berbayar atau percuma, sama ada dalam bentuk scan, elektronik mahu pun digital.
Maka, disebabkan sumber-sumber rujukan yang terbatas alim ulama
dahulu mempunyai keuzuran yang boleh dimaafkan. Namun, kita kini tidak
mempunyai sebarang keuzuran yang dapat dimaafkan jika kita terus menyebarkan
hadis-hadis palsu. Ini kerana kini kita mempunyai semua keperluan yang ada
untuk memastikan kesahihan atau kepalsuan sesuatu hadis. Tidak mengapa jika
kepalsuan hadis itu tidak nyata kepada kita sesudah dikaji. Tetapi jika hadis
itu telah nyata kepalsuannya seperti hadis yang hanya diriwayatkan oleh
pendusta atau pemalsu hadis, atau hadis yang menyalahi semua nas-nas yang sabit
dan tidak dapat ditakwil, maka haramlah hukumnya jika kita menyebarkannya.
Janganlah hairan jika terdapat hadis palsu di dalam kitab-kitab
sesetengah ulama. Jika di kalangan ulama yang berkecimpung dengan hadis juga
tidak terlepas dari memasukkan hadis palsu di dalam kitab-kitab mereka, apatah
lagi ulama yang tidak berkecimpung di dalam bidang hadis. Saya ulangi, mereka
mempunyai keuzuran dan ia tidak menafikan kedudukan mereka sebagai ulama yang
wajar dihormati. Siapa kita untuk dibandingkan dengan mereka? Jika ia seorang
alim yang ahli ibadat, tingkat kedudukan mereka jauh lebih tinggi di sisi Allah
SWT berbanding diri kita. Tetapi kita tidak ada keuzuran seperti mereka untuk
terus menyebarkan hadis-hadis palsu yang boleh dikesan kepalsuannya sekarang
ini tanpa sebarang kesukaran.
Imam Ibn Majah adalah tokoh besar hadis. Namun, para ulama hadis
bersepakat bahawa terdapat sejumlah hadis palsu di dalam kitab Sunannya. Begitu
juga al-Hakim an-Naisaburi pengarang al-Mustadrak, ulama hadis juga bersepakat
bahawa terdapat sejumlah hadis palsu di dalam kitabnya itu. Al-Khatib
al-Baghdadi pengarang kitab Tarikh Baghdad juga tokoh hadis yang hebat, banyak
menyusun kitab-kitab hadis secara bersanad. Namun, beliau turut meriwayatkan
banyak hadis-hadis yang terdapat perawi pendusta atau pemalsu hadis pada
silsilah sanadnya tanpa sebarang ulasan. Begitu juga dengan al-Hafiz Abu Nu‘aim
al-Asbahani pengarang kitab Hilyah al-Awliya’, terdapat hadis-hadis yang dapat
dihukum palsu di dalam kitab-kitab beliau. Tokoh-tokoh hadis besar yang lain
seperti Imam at-Tabarani pengarang kitab-kitab al-Mu‘jam, Imam Ibn ‘Asakir
ad-Dimasyqi pengarang kitab Tarikh Dimasyq, al-Hafiz Abu as-Syeikh al-Asbahani,
al-Hafiz Ibn Syahin, Imam Ibn Abi ad-Dunya, al-Hafiz Ibn an-Najjar, al-Hafiz
ad-Daylami, Imam al-Bayhaqi dan lain-lain kesemuanya turut meriwayatkan banyak
hadis-hadis yang terdapat perawi pendusta atau pemalsu hadis pada sanad riwayat
mereka.
Imam as-Suyuti, tokoh besar yang terkenal menguasai pelbagai
bidang ilmu. Meskipun banyak menghasilkan karya-karya hadis, beliau didapati
longgar dalam merekodkan hadis-hadis Nabi SAW. Misalnya dalam kitabnya al-Jami‘
as-Saghir, beliau syaratkan untuk tidak memuatkan hadis-hadis yang diriwayatkan
oleh pendusta dan pemalsu hadis. Namun, didapati banyak hadis-hadis yang dapat
dikatakan palsu kerana diriwayatkan oleh perawi pendusta dan pemalsu hadis,
sepertimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ahmad al-Ghumari di dalam kitab
al-Mughir.
Lebih menghairankan, Imam Ibn al-Jawzi yang terkenal dengan
ketegasannya dalam mengkritik hadis seperti di dalam kitabnya al-Mawdu‘at yang
mengumpulkan hadis-hadis yang dikatakan palsu, tetapi memuatkan sejumlah hadis
palsu di dalam sebahagian karyanya yang lain seperti di dalam kitab Zam
al-Hawa.
Imam Ibn Hazm az-Zahiri yang tegas dalam penilaian hadis-hadis
juga pernah direkodkan menggunakan hadis palsu. Demikian juga Syeikh Ibn
Taymiyyah dan muridnya, Syeikh Ibn Qayyim al-Juziyyah.
Saya juga teringat imam besar kita, Imam as-Syafi‘i pernah
meriwayatkan hadis-hadis daripada gurunya, Ibrahim bin Abi Yahya yang dituduh
sebagai pendusta oleh ramai tokoh hadis.
Kitab-kitab tafsir juga tidak terlepas dari memuatkan sejumlah
hadis-hadis palsu, meskipun ketokohan dan kehebatan pengarangnya dalam bidang
tafsir al-Quran. Antaranya seperti Imam at-Tha‘alibi, Imam an-Nasafi, Imam
al-Qurtubi, Imam ar-Razi, Imam al-Khazin, Imam al-Baghawi, Syeikh Isma‘il Haqqi
pengarang Ruh al-Bayan, Imam as-Sawi dan lain-lain.
Kelonggaran dalam merekodkan hadis-hadis Nabi SAW lebih meluas
di dalam kitab-kitab suluk dan akhlak. Banyak didapati hadis-hadis yang tidak
bersumber, hadis-hadis palsu, riwayat Israiliyyat dan munkar di dalamnya.
Antaranya seperti karya-karya Abu al-Laith as-Samarqandi, as-Safuri, Imam
al-Qusyairi, Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, Imam at-Tusi pengarang al-Luma‘,
al-Hafiz as-Sulami pengarang Tabaqat as-Sufiyyah, Imam Abu Talib al-Makki
pengarang Qut al-Qulub, Imam al-Ghazali pengarang Ihya’ ‘Ulumiddin,
al-Mayyanisyi al-Makki, Syeikh al-Khubawi pengarang Durrah an-Nasihin dan
lain-lain. Demikian juga halnya berlaku dalam karya-karya sirah nabawiyyah dan
mawlid.
Keuzuran mereka dalam memuatkan hadis-hadis palsu sebenarnya
boleh kita terima tanpa menghilangkan rasa hormat dan merendahkan kedudukan
tinggi mereka sebagai ulama Islam. Kita yakin, jika mereka tahu ianya
benar-benar hadis palsu, nescaya merekalah orang pertama yang paling jauh
darinya. Kecintaan mereka yang tinggi terhadap Baginda Nabi SAW sudah cukup
untuk memberikan kepada kita keyakinan tersebut. Kerana cinta kepada Nabi SAW
itulah kita perlu membersihkan hadis-hadis Baginda SAW daripada sebarang
pendustaan dan pemalsuan. Hak Nabi SAW sewajarnya lebih diutama dan didahulukan
berbanding hak para alim ulama.
Maka, janganlah terlalu pelik dan terkejut jika ada yang kata
terdapat hadis palsu dalam karya sekian sekian ulama. Jelas secara zahir,
mereka sebenarnya tidak pun melihat kepalsuan hadis tersebut ketika
menyalinkannya. Dan perlu kita ketahui bahawa setiap ilmu itu ada pakar-pakar
rujuknya. Justeru, rujukkanlah setiap ilmu kepada ahlinya..
Semoga
Allah SWT memberikan hidayah dan inayah-Nya buat kita semua. Wassalam.Sumber:
http://pondokhabib.wordpress.com/2014/01/22/tak-pelik-ulama-terguna-hadis-palsu/
s3v3n.
s3v3n.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan