AGAK-AGAK dapat tak Najib jadi Perdana Menteri Malaysia buat kali ke 2 macam Tun Dr Mahathir?
BERITA»Nasional
Ahad, 22 Julai 2018 | 11:30pm
SOSMA akan dimansuhkan - PM
Oleh Tharanya Arumugam dan Norrasyidah Arshad cnews@nstp.com.my
SHAH ALAM: Kerajaan akan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi memberi keadilan kepada rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, rakyat akan dilindungi dengan undang-undang yang adil supaya setiap kesalahan yang dilakukan ditentukan pihak mahkamah.
Beliau berkata, ada undang-undang di negara ini yang didapati menekan dan bersifat zalim kepada rakyat, diperkenalkan ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"SOSMA (contohnya) membolehkan kerajaan tangkap sesiapa saja tanpa dibawa ke mahkamah.
"Pakatan Harapan akan ikut undang-undang. Ada undang-undang negara ini kita kuat kuasakan supaya rakyat tak ditindas dengan kerajaan yang tak peduli dengan undang-undang negara.
"Tak macam Najib. Jika tahanan mati, tidak akan ada inkuiri," katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Kempen Tabung Harapan Malaysia, di sini, malam ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Terdahulu, majlis berkenaan yang dianjurkan Gabungan Persatuan Cina Klang menyerahkan replika cek berjumlah RM3,479,100 kepada Tabung Harapan.
Dr Mahathir berkata, ketika pentadbiran negara diambil alih PH, kerajaan baharu mendapati kerosakan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) jauh lebih besar daripada yang dijangkakan.
Katanya, kerosakan terhadap negara jauh lebih teruk kerana bukan hanya wang yang hilang, malah jentera negara juga didapati ada yang disabotaj.
"Jadi kami terpaksa mengambil tindakan dengan memecat beberapa pegawai yang terbabit mempertahankan kerajaan terdahulu.
"Mereka (BN) beri kerosakan besar pada negara. Untuk memulihkan semula, kerajaan sekarang memerlukan masa.
"Sekarang, dia (Najib) pula kata jangan ambil tindakan terhadap usaha (kerajaan terdahulu) kerana BN," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin mampu mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh kerajaan terdahulu dengan adanya sokongan dari rakyat.
"Malam ini jelas yang hadir untuk derma kepada Tabung Harapan. Walaupun kita dapat hanya beberapa juta, tetapi yang penting kesanggupan rakyat demi negara," katanya
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/452552/sosma-akan-dimansuhkan-pm
MENCONTENG UNTUK PERUBAHAN™
merentasi realiti ..bukan sekadar bawah tempurung media pengampu ...
PAS 'rayu' ahli sokong UMNO di Sungai Kandis
PAS Selangor menafikan sebarang kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) walaupun bersetuju UMNO meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir meminta penyokong PAS memberikan kemenangan kepada pembangkang dalam pilihan raya itu untuk menguatkan peranan semak dan imbang.
Beliau berkata, keputusan PAS memberi laluan kepada BN yang meletakkan Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon pada PRK ini, hanya melalui persefahaman antara kedua-dua parti.
Persetujuan PAS itu, katanya, tidak membayangkan sebarang isyarat untuk mengadakan kerjasama politik dengan BN.
“Memandangkan kedua-dua parti (BN dan PAS) kini dalam blok pembangkang, maka kami (PAS) bersetuju menjadi ahli yang baik dalam keadaan ini.
“Di Sungai Kandis, kami mahukan pertembungan satu lawan satu, dan kami meminta untuk PAS dibenarkan bertanding. Bagaimanapun, tuntutan UMNO untuk merampas kerusi itu lebih kuat, maka kami bersetuju.
“Ia menunjukkan kami hanya bekerjasama sebagai satu blok pembangkang yang longgar. Ini jelas bukan satu kerjasama politik. Kami tidak akan terbabit dalam kempen BN walaupun kami memberi laluan kepada mereka untuk bertanding,” katanya kepada NSTP, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka hadapan akhbar New Sunday Times yang membayangkan UMNO serta PAS boleh bekerjasama dalam pertandingan di PRK DUN Sungai Kandis.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, beliau berharap kedua-dua parti boleh terus bekerjasama pada masa hadapan.
PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), Mohd Yusof Abdullah dari PAS (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76 undi).
PRK SUngai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Lokman Noor serta calon Bebas, K Murthy.
Roslan berkata, walaupun tidak turun berkempen untuk BN pada PRK ini, PAS Selangor akan menyakinkan ahli dan penyokongnya di Sungai Kandis untuk memberikan peluang kepada pembangkang memenangi pilihan raya itu.
Katanya, ia dilakukan melalui beberapa program PAS untuk mendekati ahli dan penyokong yang akan diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
“Kami akan menjelaskan kepada mereka bahawa Pakatan Harapan (PH) sudah menang majoriti dua pertiga, justeru memberikan kemenangan satu kerusi itu tidak akan memberi sebarang perbezaan. Bagaimanapun, kami akan memaklumkan kepada mereka ada perbezaan daripada segi semak dan imbang jika satu lagi kerusi diberikan kepada pembangkang.
“Adalah menjadi harapan kami supaya ahli PAS tidak memperkukuhkan kekuatan PH tetapi memberi peluang kepada pembangkang untuk memenangi kerusi itu,” katanya.
PAS 'rayu' ahli sokong UMNO di Sungai Kandis ~ Menconteng Untuk Perubahan™
BERITA»Politik
Ahad, 22 Julai 2018 | 4:55pm

'Adik-beradik' perlu beralah - Mohamad
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi tuty@nstp.com.my
SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, PAS dan UMNO seperti 'adik-beradik' dalam meletakkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, sebagai sesuatu yang baik.
Beliau berkata, tidak salah untuk mereka mencapai kata sepakat demi kebaikan bagi mengharmonikan suasana.
"Itu namanya adik-beradik, siapa patut beralah dia akan beralah. Tetapi beralah kerana mencari kebaikan bukan kerana sesuatu yang tidak baik.
"Kita perlu meneroka pemikiran politik baharu yang tidak menyebabkan berpecah belah kerana ini boleh menyebabkan rakyat kucar-kacir dan negara kerugian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Maahad Tahfiz Al Ammar di Kompleks Al Ammar, Kampung Kanchong, Rantau di sini, hari ini.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berkenan menyempurnakan perasmian maahad tahfiz itu.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, rundingan dengan PAS supaya menghantar seorang sahaja calon daripada parti pembangkang adalah konsep pemikiran baharu yang cuba dilakukan UMNO.
"Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju dan mana yang baik kita setuju. Yang perlunya adalah kebersamaan demi masa depan negara, bangsa dan agama supaya tiada sesiapa rugi kerana ego kita sendiri.
"Seperti yang selalu saya cakap, antan dengan antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang. Oleh itu, jangan kita berlaga-laga untuk kebaikan masa depan negara dan apa sahaja yang baik perlu diraikan," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai keadaan UMNO selepas PRU-14, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu berkata, PRK Sungai Kandis adalah percubaan awal parti itu untuk mengukur sejauh mana keupayaan mereka selepas kalah pada PRU lalu.
Katanya, jika terus berdiam diri orang akan katakan mereka tidak buat apa-apa dan pasif kerana tidak berusaha untuk menggerakkan semula parti itu.
"Namun dengan adanya PRK ini kita dapat menggerakkan jentera supaya menjadi lebih aktif. Apa yang menarik, dalam percubaan kali ini, UMNO bukan lagi sebagai parti kerajaan, tetapi sebagai pembangkang," katanya.
Justeru Mohamad berkata, UMNO tidak boleh menunggu sehingga PRU-15 untuk mengukur sejauh mana keupayaannya dan melihat sokongan rakyat.
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/07/452423/adik-beradik-perlu-beralah-mohamad
.............................
Tiada ulasan:
Catat Ulasan