Rabu, 12 September 2018

Kachipemas.8183.


Hidup Bagaikan Sebuah Bahtera , Mengharungi Lautan Luas , Bertemankan Badai disisi….. http://kachipemas.blogspot.com

Wednesday, September 12, 2018
Wakil insurans tak layan rayuan minta jenguk di hospital, akhirnya Datuk ini pilih untuk tular
PETALING JAYA: Bukan wang ringgit mahupun populariti yang dikejar seorang pelanggan syarikat insurans ketika meluahkan kekesalannya terhadap perkhidmatan yang diterima sehingga ia tular di media sosial.

Biarpun terpaksa menanggung bil perubatan sebanyak RM76,000, usahawan farmaseutikal berstatus Datuk itu bersuara kerana enggan pelanggan lain menerima nasib sepertinya.

Bayaran tersebut adalah jumlah keseluruhan bagi dua kali kemasukan ke sebuah hospital swasta di Sungai Petani, Kedah pada April dan September 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayar RM400 sebulan selama 4 tahun, alasan syarikat insurans buat Datuk ini 'mengamuk'

Pengarah Urusan Dzr Pharma Sdn. Bhd, Datuk Zulkifly Mohamad berkata, insiden yang menimpanya adalah satu penindasan ke atas pelanggan dan hanya memenangkan syarikat insurans terbabit.

Zulkifly mendakwa, sebelum merakamkan video Facebook Live tersebut, beliau pernah merayu kepada ejen dan pengurus syarikat insurans berkenaan agar membantu menguruskan tuntutannya ketika kali pertama dimasukkan ke hospital pada April lalu.

Namun, dakwa Zulkifly, tiada seorang pun wakil syarikat insurans itu yang melawatnya di hospital untuk memberikan penjelasan.
Bil hospital bagi rawatan pembedahan 'coronary angiogram' yang dijalani Zulkifly pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau ikhlas 'menghalalkan' nilai tuntutan tersebut sekiranya benar-benar tidak layak untuk diluluskan oleh syarikat insuran terbabit.

"Selepas video saya tular, beberapa wakil syarikat insurans menghubungi saya dan memberi alasan ia disebabkan oleh masalah ejen.

"Saya tanya mereka, ejen ni saya yang lantik atau kamu yang lantik? Kalau guna alasan ejen tak buat laporan, ini bukan masalah pelanggan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Tambah Zulkifly, syarikat insurans tersebut berjanji untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan tuntutan beliau selewat-lewatnya Jumaat ini.

Kata bekas guru tersebut, beliau akan menunggu laporan siasatan dikeluarkan sebelum memutuskan bentuk tindakan selanjutnya yang akan diambil bagi membela haknya sebagai seorang pelanggan.
Zulkifly meluahkan tentang kekecewaannya melalui rakaman Facebook Live pada Isnin.
Dalam pada itu, Zulkifly turut menggesa agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Tribunal Tuntutan Pengguna dan Bank Negara Malaysia agar menguatkuasakan undang-undang ke atas syarikat insurans yang tidak bertanggungjawab demi melindungi hak pengguna.

Terdahulu, mStar Online melaporkan, video Zulkifly meluahkan tentang kekesalannya terhadap sebuah syarikat insurans yang enggan membayar tuntutan bil perubatannya menjadi tular di Facebook.

Usahawan farmaseutikal itu menerusi rakaman Facebook Live pada Isnin mendakwa, syarikat insurans tersebut enggan melangsaikan bil perubatannya dengan alasan beliau mempunyai sejarah penyakit batu karang sebelum mendapatkan kad perubatan takaful pada April 2014.

Bagaimanapun, Zulkifly menjelaskan bahawa beliau telah memaklumkan mengenai penyakitnya itu kepada ejen insurans syarikat berkenaan, namun pihak syarikat tidak memintanya membuat pemeriksaan kesihatan sebelum meneruskan dengan proses pendaftaran kad tersebut.

Posted by Abu Luqman at 11:32 AM
http://kachipemas.blogspot.com/2018/09/perghh-wakil-insurans-tak-layan-rayuan.html

Wednesday, 12 September 2018
KIT SIANG HARUS BERJIWA BESAR, TAK SEMUA PERKARA MESTI DISELESAIKAN DI MAHKAMAH

Walaupun Lim Kit Siang bertegas mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap Tun Hanif Omar yang didiakwa memfitnahnya, malah peguamnya, Ramkarpal Singh dilaporkan sudah memulakan proses ke arah itu, tetapi pemimpin veteran DAP itu seharusnya boleh menilai kembali tindakannya itu.

Beliau mesti sedar bahawa kini adalah zaman Malaysia Baru yang turut menitikberatkan semangat toleransi, sedia berbincang dan tidak semua pertikaian perlu dibawa ke mahkamah untuk dicari titik penyelesaian muktamad.

Lagi pun, dengan DAP merupakan komponen penting dalam kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir negara, sikap yang ditunjukkan oleh Lim Kit Siang dalam berhadapan dengan isu ini  boleh mempengaruhi penerimaan masyarakat terhadap parti itu dan sudah tentu dengan bertolak ansur, ia akan memberi keuntungan jangka panjang kepada DAP.

Oleh itu, dalam berhadapan dengan Tun Hanif Omar, seorang bekas Ketua Polis Negara yang disanjung ramai dan mempunyai rekod kerjaya yang cemerlang sebelum ini, Kit Siang seharusnya mempunyai jiwa besar dan tidak menjadikan mahkamah sebagai pemutus kata benar atau salah dakwaan yang ditujukan terhadapnya.
Meskipun barangkali boleh diterima bahawa dakwaan yang dibuat oleh Tun Hanif terhadap Kit Siang yang dikatakan cuba memisahkan Semenanjung kepada dua - Pantai Barat untuk Cina dan Pantai Timur untuk Melayu merupakan suatu tuduhan yang serius dan tidak benar, tetapi beliau juga mengakui ianya berdasarkan laporan yang diterimanya ketika itu berdasarkan apa yang disebut oleh seorang pemimpin DAP yang lain.

Lagi pula, perkara itu sudah lama berlaku dan kini Tun Hanif sudah pun bersara, manakala DAP yang dipimpin oleh Kit Siang telah pun menjadi sebahagian daripada kerajaan sekarang ini.

Maka, seperti mana kata Zaid Ibrahim dalam tulisan di blognya semalam, tidak bolehkah Kit Siang mengajak Tun Hanif untuk berbincang santai mengenainya sambil menghirup teh panas?

Lebih daripada itu, dengan membawa kes berkenaan mahkamah, ia hanya memperlihatkan Kit Siang hanya mementingkan dirinya semata-mata, manakala jika sedia bertolak ansur dan mengadakan pertemuan dengan Tun Hanif pula, ia membuktikan pemimpin DAP berkenaan lebih mengutamakan partinya sebagai wadah masa depan yang boleh diterima rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Pilihan di tangan Kit Siang sebenarnya, malah di ketika kedua-duanya berada di usia senja, tidak banyak untungnya dengan melibatkan mahkamah dalam menentukan pertikaian yang mungkin hanya kebetulan dan tidak disengajakan itu. 

(ShahbudinHusin 12/09/2018)
Posted by Shahbudin Husin at 14:04
Shahbudin dot com: KIT SIANG HARUS BERJIWA BESAR, TAK SEMUA PERKARA MESTI DISELESAIKAN DI MAHKAMAH
https://shahbudindotcom.blogspot.com/2018/09/kit-siang-harus-berjiwa-besar-tak-semua.html


Tiada ulasan: