Ahad, 6 Januari 2019

Kembara Mencari Redha Allah Subhanahu Wa Ta'alla. 9002.



Ilmu Sifat Hati, ilmu yang semakin diabaikan?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kita dapat lihat hari demi hari, perangai dan tingkah-laku masyarakat kita (termasuk kita sendiri) semakin buas dan kasar. Penggunaan bahasa kesat semakin menjadi-jadi dalam Internet. Sumpah-seranah sudah menjadi mainan lidah di merata tempat. Bangsa Melayu yang dulunya terkenal dengan adab sopan dan tata-susila, kini rasanya agak janggal untuk dilabelkan sedemikian.

Kenapa berubah begitu drastik sekali? Antara sebabnya ialah kerana semakin terabainya ilmu Sifat Hati / akhlaq / Tasawwuf / Ehsan.

"Ketahuilah bahawa dalam jasad ini ada segumpal daging, apabila ianya baik, maka akan menjadi baik semuanya, dan apabila ianya buruk, maka akan buruklah semuanya, ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati." [HR al-Bukhari dan Muslim]

Imam al-Ghazali rahimahullah menyebut, "Ilmu yang terpenting yang disia-siakan oleh semua orang ialah ilmu Sifat Hati, yang terpuji dan yang tercela daripadanya. Kerana tidak ada manusia yang terlepas dari sifat yang tercela seperti tamak-haloba, dengki, riya', takabbur dan sebagainya.

Semuanya itu membinasakan. Mensia-siakan kewajipan tadi serta mementingkan amalan lahiriah, samalah halnya dengan melakukan perbuatan menggosok badan zahir ketika menderita penyakit kudis dan bisul tetapi lupa mengeluarkan benda penyakit dari tubuh dengan bekam dan cuci perut.

Ulama kosong, menunjukkan jalan kepada amal lahiriah, seperti tabib-tabib di jalanan, menunjukkan jalan dengan menggosok badan lahiriah.

Ulama akhirat tidak menunjukkan jalan selain dengan menyucikan bathin, mencabut benda-benda jahat yang merosakkan tanaman dan akar-akarnya dari hati.

Sesungguhnya hati apabila kosong dari sifat yang tercela, maka penuhlah ia dengan sifat yang terpuji. Dan bumi, apabila telah bersih dari rumput, maka tumbuhlah padanya bermacam-macam tumbuhan dan bunga-bungaan." [1]

Syeikh Abu Thalib Al-Makki dalam kitab Quut al-Qulub menyebutkan bahawa Nafsu diuji dengan empat sifat yang berbeza-beza. [2]

Imam al-Ghazali r.a menambah lagi tentang sifat-sifat manusia dalam kitab Kimiya As-Sa'adah. "Sebahagian daripada sifat-sifat anda adalah bercorak kebinatangan. Sebahagian pula bersifat Iblis dan sebahagian pula bersifat Malaikat. Anda hendaklah tahu sifat yang mana perlu ada, dan yang tidak perlu. Jika anda tidak tahu, maka tidaklah anda tahu di mana letaknya kebahagiaan anda itu.

Kerja binatang ialah makan, tidur dan berkelahi. Jika anda hendak jadi binatang, buatlah itu sahaja. Iblis dan syaitan itu sibuk hendak menyesatkan manusia, pandai menipu dan berpura-pura. Kalau anda hendak menurut mereka itu, buatlah sebagaimana kerja-kerja mereka itu. Malaikat sibuk dengan memikir dan memandang Keindahan Ilahi. Mereka bebas dari sifat-sifat kebinatangan. Jika anda ingin bersifat dengan sifat KeMalaikatan, maka berusahalah menuju asal anda itu agar dapat anda mengenali dan memikirkan Allah Yang Maha Tinggi dan bebas dari belenggu hawa nafsu. [3]

Nabi S.a.w bersabda, "Ada empat jenis hati; Hati yang bersih, dimana di dalamnya ada lentera yang bersinar, itulah hati orang yang beriman; Hati kelam yang terbalik, itulah hati orang kafir; Hati terbungkus yang terikat bungkusannya, itulah hati orang munafik; Hati yang bercampur aduk, di dalamnya terdapat keimanan dan kemunafikan." [HR Ahmad dan ath-Thabrani]

Hati orang-orang yang benar-benar beriman sepertimana firman Allah S.w.t yang bermaksud, "(Iaitu) orang-orang yang apabila disebut nama Allah maka bergetarlah hati mereka, orang-orang yang sabar terhadap apa yang menimpa mereka, orang-orang yang mendirikan sembahyang dan orang-orang yang menafkahkan sebahagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka." [Surah al-Hajj : ayat 35]

Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah pula telah membahagikan hati kepada 3, iaitu Hati Sihat, Hati Mati dan Hati Sakit. [4]

Sila baca tajuk Pembahagian Hati menurut Imam Ibnu Qayyim

Langkah-langkah mendidik hati kita

Bagi kita yang biasa online dalam dunia internet, seharusnya menjaga akhlaq dan tata-susila hubungan kita. Sila lah baca tajuk Belajar lah untuk senyum, walaupun dalam internet.

Musuh dalaman hati kita ialah hawa nafsu dan syaitan dari golongan jin. Sila baca Lawan hawa nafsu adalah permulaan ibadah. Lagi pun , Jalan ke syurga tidak disukai oleh hawa nafsu.

Jangan lupa juga membaca Rotan hatimu dengan nasihat Yahya bin Mu’adz.

Hati kita perlu dididik agar sentiasa memaafkan orang lain, jika tidak ia akan semakin mengeras, menyimpan dendam, makin menyerabutkan kepala dan menyusahkan rohani dan jasmani kita sendiri.

Adalah tidak wajar untuk menunggu sehingga anda tua baru mahu menjadi baik. Semakin tua semakin keras hati. Jika di waktu muda pun hati sudah keras, ditakuti di hari tua ia semakin keras. Apabila ia sudah terlalu keras, maka sangat payah untuk berubah ke arah kebaikan, wal 'iyaadzu billah.

Sentiasalah semak dan kemaskini, Bagaimana kedudukan kita di sisi Allah?

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu." [HR Muslim]

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami (kepada kesesatan) sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)." [Surah Aali Imran : ayat 8]

Wallahu a'lam ....... 

Rujukan:

1 - Imam al-Ghazali - Ihya Ulumuddin, Kitab Ilmu.
2 - Syeikh Abu Thalib Al-Makki - Quut al-Qulub, Pasal 25.
3 - Imam al-Ghazali - Kimiya as-Sa'adah.
4 - Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah - Ighatsatul Lahfan min Mashayidisy Syaithan, bab 1.


Kembara Mencari Redha - Siaran
Foto Kembara Mencari Redha.
Kelebihan Puasa Arafah

Disunnahkan bagi umat Rasulullah S.a.w yang tidak berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah sehari sebelum Idul Adha untuk Puasa Arafah. 

Inilah dalil dengan kelebihannya:

1. Meraih syafaat Rasulullah S.a.w kerana Puasa Arafah adalah puasa kesukaan Rasulullah, "Tiada dari hari dalam setahun aku berpuasa lebih aku sukai daripada hari Arafah." (HR Baihaqi).

2. Penghapus dosa setahun yang lalu bahkan sesudahnya, "Aku berharap kepada Allah agar dihapuskan (dosa) setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya." (HR Muslim).

3. Semasa berpuasa doa sangat mustajab, "Sebaik-baik do'a adalah do'a pada hari Arofah," (HR At Tirmidzi).

4. Insya Allah dengan taubat sungguh-sungguh dan Puasa Arafah, Allah bebaskan dari Neraka, "Di antara hari yang Allah banyak membebaskan seseorang dari Neraka adalah hari Arofah," (HR Muslim).

5. "Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah melainkan Allah pasti menjauhkan dirinya dengan puasanya itu dari api Neraka selama tujuh puluh tahun." (HR Bukhari Muslim).

NIAT: “Sahaja aku puasa sunat hari 'Arafah esok hari kerana Allah Ta’ala.”

Jumhur ulama' berpendapat bahawa dosa-dosa yang terhapus hasil dari amalan soleh seperti solat, puasa, sedekah dan sebagainya hanyalah dosa-dosa kecil. Sedangkan dosa-dosa besar memerlukan TAUBAT dari hamba kerana hukum bertaubat itu adalah WAJIB atau menghukum pesalah dengan Hukum Allah.

p/s: Sama-sama kita ambil peluang ini untuk berpuasa suatu puasa yang paling disukai oleh Nabi Muhammad S.a.w .......


Kembara Mencari Redha - Siaran
Foto Kembara Mencari Redha.
Restu Ibu Imam Syafie

Sejak kecil, Imam Syafie telah hafal al-Quran dan banyak hadis. Jika mendengar ada guru datang mengajar, dia segera pergi bagi menimba ilmu. Ketika berusia 14 tahun, Imam Syafie menyatakan hasrat kepada ibunya tentang keinginannya untuk merantau bagi menambahkan ilmu.

Pada mulanya, ibunya merasa berat untuk melepaskan kerana Syafie adalah satu-satunya harapan ibunya untuk menjaganya di hari tua. Demi ketaatan dan kasih sayang Syafi'e kepada ibunya, dia membatalkan keinginannya itu. Akhirnya ibunya mengizinkan Syafi’e merantau bagi menambah ilmu pengetahuan.

Sebelumnya melepaskan anaknya, maka ibunya berdoa, “Ya Allah Tuhan yang menguasai seluruh Alam! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan jauh, menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut pengetahuan peninggalan PesuruhMu. Oleh kerana itu aku bermohon kepadaMu, ya Allah agar dipermudahkan urusannya. Peliharakanlah keselamatannya, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihat kepulangannya nanti dengan dada yang penuh dengan ilmu yang berguna. Amin!”
Selesainya berdoa ibunya memeluk Syafie yang kecil dengan penuh kasih sayang dan dengan linangan air mata kerana sedih untuk berpisah.

“Pergilah anakku. Allah bersamamu! Insya-Allah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan dikemudian hari. Pergilah sekarang kerana ibu telah redha melepaskanmu. Ingatlah bahwa Allah itulah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan.”

Selepas ibunya berdoakan, Syafi'e mencium tangan ibunya dan mengucapkan selamat tinggal. Dia meninggalkan ibu yang sangat dikasihinya dengan hati yang pilu dan mengharapkan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraannya dalam menuntut ilmu. Juga di doakan dengan doa perlindungan daripada Surah Yusuf ayat 64:

قَالَ هَلْ آمَنُكُمْ عَلَيْهِ إِلَّا كَمَا أَمِنْتُكُمْ عَلَىٰ أَخِيهِ مِنْ قَبْلُ ۖ فَاللَّهُ خَيْرٌ حَافِظًا ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Oleh kerana kehidupannya yang sangat miskin, maka Syafi'e berangkat dengan tidak membawa bekalan wang, kecuali dengan berbekalkan doa ibunya dan cita-cita yang teguh untuk menambah ilmu sambil bertawakkal kepada Allah.

Ketika mengingati kisah ini, Imam Syafie berkata, “Sesekali aku menoleh kebelakang untuk melambaikan tangan kepada ibuku. Dia masih berada perkarangan rumah sambil memperhatikan aku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan kota Makkah yang penuh barakah tanpa membawa sedikit pun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan bagi diriku hanyalah Iman yang teguh dan hati yang penuh tawakkal kepada Allah serta doa restu ibuku sahaja. Aku serahkan diriku kepada Allah seru sekalian Alam.”


Kembara Mencari Redha - Siaran


Tiada ulasan: