Sabtu, 30 Mac 2019

Berita Malaysia. 9303.


SKMM ambil tindakan ke atas 2,823 akaun menyamar di media sosial 
Bernama | Diterbitkan pada Mac 30, 2019 05:33 MYT
SKMM ambil tindakan ke atas 2,823 akaun menyamar di media sosial
Pengguna yang menjadi mangsa supaya membuat laporan secara terus kepada pihak penyedia platform media sosial atau SKMM. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan ke atas 2,823 akaun media sosial yang terlibat aktiviti penyamaran dari 2018 hingga pertengahan bulan ini, dengan 80 peratus daripadanya telah dipadamkan selaras dengan terma dan syarat platform masing-masing.

Ketua Pegawai Sektor Pematuhan MCMC Zulkarnain Mohd Yasin berkata langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada aktiviti penyamaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial.

"Kesemua tindakan ini diambil susulan aduan orang ramai. Tindakan tegas boleh diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan berpandukan kepada peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain penutupan akaun dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial, Zulkarnain berkata pendekatan lain yang diambil adalah tindakan penguatkuasaan dan kempen advokasi.

Beliau menggesa pengguna yang menjadi mangsa supaya membuat laporan secara terus kepada pihak penyedia platform media sosial atau MCMC.

Katanya lagi, MCMC melaksanakan program seperti Klik Dengan Bijak (KDB) untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kepentingan penggunaan internet secara berhemah. Program itu telah menjangkau lebih lima juta audiens sejak diperkenalkan pada 2012.

Menurut kenyataan itu, tahap penggunaan internet dalam kalangan rakyat adalah tinggi iaitu 28.7 juta orang, dengan memetik sumber daripada Kajian Pengguna Internet 2018 MCMC.

-- BERNAMA
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/skmm-ambil-tindakan-ke-atas-2-823-akaun-menyamar-di-media-sosial-202584?

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru
Rahimah Abdullah dan Sahlizah MohamedAstro Awani | Diterbitkan pada Mac 30, 2019 10:26 MYT
PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru
PRK DUN Rantau akan diadakan 13 April ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

SEREMBAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas.

Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus di Pusat Penamaan Calon di SJKC Bandar Sri Sendayan.

“SPR menerima borang penamaan calon keempat-empat calon dan tiada antara borang mereka yang ditolak,” katanya semasa membuat pengumuman calon di pentas Dewan Serbaguna SJKC Bandar Sri Sendayan.
Mereka ialah Calon PH, Dr. S. Streram, Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon bebas masing-masing Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

Dr. S. Streram selesai menyerahkan borang penamaan calon PRK DUN Rantau kira-kira jam 9.11 pagi manakala, Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan borang pada jam 9.05 pagi.

Dua lagi calon bebas, iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin turut selesai menyerahkan borang sama dalam tempoh masa ditetapkan.

Tempoh masa bagi penyerahan borang penamaan calon adalah selama sejam iaitu bermula jam 9 pagi dan berakhir 10 pagi.

PRK DUN Rantau akan diadakan 13 April ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.

Dalam PRU14, Mohamad, calon Barisan Nasional (BN), diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu selepas Dr Streram, seorang pakar bius yang menjadi calon harapan Pakatan Harapan (PH), dilarang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonannya kerana tertinggal pas yang dikeluarkan SPR.
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/prk-dun-rantau-menyaksikan-pertembungan-empat-penjuru-202603?



Tiada ulasan: