Rabu, 1 Januari 2020

Pengalaman bermotosikal ke Vietnam. 9471.


Membawa Motosikal Malaysia Memasuki Vietnam.
Januari 03, 2018

Saya mula memasang angan-angan untuk ride ke Vietnam setelah melihat foto sahabat FB saya, saudara Bard KR [ https://www.facebook.com/Bard-KR-953160931373253/ ] yang pernah membawa motosikal Kawasaki KSRnya ke sana suatu ketika dulu.



Vietnam sememangnya membenarkan pelancong luar membawa masuk kenderaan sendiri ke dalam negara itu atas tujuan pelancongan tidak melebihi 30 hari. Kenderaan luar yang boleh dibawa masuk adalah kereta (dengan stereng sebelah kiri) dan juga motosikal. 

Terdapat beberapa syarat untuk kenderaan luar memasuki Vietnam iaitu:


1. Pemandu mestilah pemilik kenderaan tersebut. 


2. Nombor plet kenderaan adalah dari negara asal.


3. Mempunyai lesen memandu yang sah. 


4. Mendapatkan permit pengesahan daripada agensi pelancongan Vietnam.


Maklumat di atas dipetik dari sumber http://www.immivietnamvisa.com.


Namun untuk mendapatkan permit pengesahan tersebut, kosnya adalah tinggi iaitu dalam lingkungan $1,000 USD. Sebagai rider solo, saya tidak mampu untuk membayar kos tersebut. Jadi, impian untuk ke Vietnam terkubur buat seketika.


Namun impian tersebut mula timbul semula setelah terserempak dengan seorang rider Malaysia ketika sama-sama mengisi minyak di Thailand. Kami berbual singkat dan beliau memaklumkan baru balik dari Vietnam dan antara kata-kata yang saya ingat adalah pintu Hatien. Tidak sangka selepas itu, saya berkenalan dengan beliau di FB dan dari situlah, beliau iaitu saudara Rosli Sulaiman berkongsi tip untuk membawa motosikal ke sana. Tip beliau itulah yang saya gunakan masa ride kali pertama ke Vietnam.


Pintu sempadan Hatien adalah salah satu pintu masuk Vietnam yang seolah-olah 'pejam sebelah mata' kepada motosikal kapcai yang memasuki Vietnam walaupun tiada permit. Jadi pintu itulah yang saya gunakan semasa kali pertama membawa Tuxedo masuk Vietnam.

Ketika tiba di bangunan Imigresen Hatien, saya parkir Tuxedo di luar dan masuk ke dalam bangunan. Pegawai imigresen meminta saya mengisi borang ketibaan dan ketika mengisinya, seorang pegawai  lain, keluar dari bangunan dan memeriksa motosikal saya. Selepas itu, beliau masuk ke dalam dan bercakap dalam bahasa Vietnam dengan rakan beliau yang kemudian mengecop passport saya. Selepas bayaran USD 1 dibuat, saya perlu meletakkan beg untuk diimbas oleh mesin di situ. Selepas itu, pegawai itu memberi pelepasan masuk. Tiada dokumen dikeluarkan untuk motosikal. Ini bererti, saya membawa Tuxedo masuk Vietnam tanpa permit tetapi dengan kebenaran.
Selepas pelepasan diberi, saya pun terus menunggang Tuxedo meninggalkan pintu sempadan itu menuju bandar. Seperkara yang perlu diambil perhatian adalah, disebabkan saya menunggang motosikal tanpa permit, maka saya perlu berhati-hati dengan undang-undang jalanraya Vietnam terutama dalam pematuhan had laju dan lampu isyarat. Selain itu, saya perlu memadam lampu motosikal saya pada waktu siang. Untuk makluman, sepanjang ride di Vietnam, saya dapati polis Vietnam banyak memantau trafik di tepi jalan utama.

Semasa ride pertama ke Vietnam, saya keluar melalui pintu Bo'Y. Saya memilih untuk keluar melalui pintu ini kerana melalui dapatan dari Internet, pintu ini boleh 'lepas' untuk ke Laos. Pada hari tersebut, saya selamat ke Laos tanpa sebarang masalah.
Ini pula adalah cubaan saya untuk ride Vietnam kali kedua. Disebabkan tujuan ride kedua ini adalah ke Utara Vietnam, saya mencuba nasib untuk memasuki negara itu melalui pintu sempadan Cau Treo.
Ini adalah video yang dirakam ketika saya keluar dari pintu sempadan Nam Phao, Laos melalui no man's land sejauh 700 meter dan tiba di pintu sempadan Cau Treo, Vietnam:
Dokumen yang saya bawa hanyalah pasport dan geran motosikal. Sama seperti di Hatien, pasport saya dicop dengan bayaran 1USD dan tiada dokumen khas dikeluarkan oleh mereka untuk motosikal. Ride kedua di Vietnam ini, saya memilih untuk keluar melalui pintu Na Meo. Pintu sempadan ini agak sunyi dan urusannya mudah untuk ke Laos. Tiada bayaran dikenakan.
Berikut adalah lokasi keempat-empat pintu sempadan yang boleh 'lepas' masuk atau keluar Vietnam yang dinyatakan dalam catatan ini.
Kredit: 

Tiada ulasan: