Khamis, 27 Februari 2020

Makin terserlah punca segala punca. 9800



'Orang lain buat onar PH pula dikatakan gagal'
Dr Mujahid Yusof
Diterbitkan   |  Dikemaskini 

KATA MP l Konsep Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kerajaan perpaduan masih kabur. Definisi perpaduan yang difahami parti politik yang menguasai parlimen atas mandat rakyat tidak semestinya menjadi ahli kabinet.

Dr Mahathir menjadikan kuasa perdana menteri sebagai penentu tanpa perlu mengambil pandangan ketua-ketua parti secara konsensus untuk senarai kabinet. Ini adalah ironinya kehadiran Pakatan Harapan (PH) adalah untuk mereformasikan instituisi kerajaan bagi memelihara kepentingan negara dan perpaduannya. Kehadiran PH di pesada kuasa adalah atas mandat rakyat.

Kehendak rakyat mahukan perubahan dengan usaha melawan rasuah, memulihkan tatakelola kewangan yang bobrok dan menuntut keperibadian pemimpin yang telus dan bertanggungjawab. Ini adalah hasrat murni untuk memelihara perpaduan dan PH cuba memenuhinya selama hampir dua tahun. Pembentukan kerajaan dengan mandat ini memandu kabinet PH untuk cuba memenuhinya melalui manifesto yang dipersetujui oleh parti-parti PH. Kenapa tiba-tiba semua ini 'dibuangkan' dengan konsep Kerajaan Perpaduan yang kabur? Kerajaan PH telah membawa usaha-usaha memulihkan negara dengan meletakkan dasar-dasar utama seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Negara Rahmah, Pelan Induk Memerangi Rasuah, dan Isytihar Harta anggota Kabinet dan Ahli Parlimen. Akta-akta pula dibawa untuk memenuhi tuntutan reformasi akta parlimen, antara lain pengundian umur 18 tahun, menarik balik akta anti berita palsu, Pindaan untuk memenuhi MA 1963 dan Akta Profesion Guaman Syarie dan lain-lain lagi.

Semua usaha ini yang baru berumur tak sampai dua tahun diganggu-gugat dengan nuansa perkauman, agama sempit dan politiking berterusan oleh pembangkang yang menggugat stabiliti dan perpaduan. 
Sepatutnya kerajaan PH perlu dipertahankan kerana isunya bukan hendak menggantikan sistem dengan Kerajaan Perpaduan tetapi meneruskan usaha reformasi demi memelihara Perpaduan. Mereka yang menggangu-gugat perpaduan dengan berbagai sabotaj kepada usaha pemulihan termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan lain-lain sepatutnya diambil tindakan bukan dengan cubaan menjatuhkan kerajaan PH yang hadir untuk perpaduan atas asas ketelusan dan demokrasi.

Mungkin apa yang Dr Mahathir sebut bahawa kerajaan perpaduan banyak cabarannya memang betul tetapi menafikan usaha reform selama hampir dua tahun ini atas alasan politiking adalah keterlaluan. Orang lain buat onar tiba-tiba PH sebagai kerajaan reform pula dikatakan gagal?

MUJAHID YUSOF adalah naib presiden Amanah dan ahli parlimen Parit Buntar. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Sumber:
https://www.malaysiakini.com/news/512396

Anwar: Isu bincang dengan Dr M tak berbangkit 
Ng Xiang Yi Diterbitkan   |  Dikemaskini  

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata isu mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri interim Dr Mahathir Mohamad tidak berbangkit pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) petang tadi. "Tidak, ia tidak berbangkit," katanya ketika ditanya pemberita sama ada PH akan mengadakan perbincangan dengan Dr Mahathir. Beliau ditemui selepas mesyuarat dengan pemimpin PH di Hotel Eastin, Petaling Jaya.

Walau bagaimanapun, beliau memberi bayangan bahawa hubungan PH dengan bekas sekutunya, Bersatu masih berubah-ubah atau belum muktamad.  "Kita berubah ikut hari," katanya ketika ditanya sama ada PH bersedia menerima Bersatu dalam gabungan itu jika ada permohonan. 

Ditanya sama ada PH telah berpecah ekoran tindakan Mahathir, Anwar memberi jaminan gabungan itu masih dalam keadaan baik. "Tidak. Ia tidak lagi berbangkit. Kita masih PH sedangkan dia (Dr Mahathir) sudah meninggalkan PH," katanya. 

Pada Isnin lalu, Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas partinya, bersama-sama BN, PAS, GPS, sejumlah anggota parlimen PKR, dan dilaporkan Warisan, cuba menubuhkan gabungan baru bagi menggantikan kerajaan PH. Beliau juga meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu selepas presiden parti itu, Muhyiddin Yassin mengumumkan mereka keluar dari PH.

BacaAhli Parlimen PH jelaskan mengapa tak dapat terima k'jaan baru Dr M

Gabungan baru itu dikatakan mahu mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri tetapi beliau berkata tidak boleh bekerjasama dengan Umno. Semalam pula beliau mengakui Bersatu dan sejumlah anggota parlimen dalam parti komponen PH telah menyebabkan keruntuhan kerajaan. 

Pimpinan Bersatu telah berusaha meyakinkan Mahathir untuk membatalkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi, dan hari ini mengumumkan beliau akhirnya bersetuju. Pemimpin PH pula cuba meyakinkan Mahathir untuk mengembalikan kerajaan PH tetapi anggota parlimen Langkawi itu bertegas untuk mewujudkan kerajaan perpaduan yang tidak berasaskan parti. Susulan itu, PH dan Mahathir tampaknya tidak lagi bersama-sama.

Sumber:
Anwar: Isu bincang dengan Dr M tak berbangkit

Surat terbuka buat Dr Mahathir Mohamad
Husam Musa
Diterbitkan   |  Dikemaskini 

YAB Tun,

“(Nabi) Muhammad itu tidak lain hanya seorang Rasul. Sebelumnya telah ada Rasul-Rasul yang lain. Jika sekiranya Baginda meninggal atau dibunuh, adakah kamu semua akan berpaling semula ke belakang (meninggalkan ajarannya)?’ Al Imran: 144.

Firman Allah ini mengingatkan kita bahawa, dalam soal agama sekali pun, Rasul yang diutuskan tidak akan kekal bersama pengikut mereka. Nabi-nabi lagi dimatikan, tetapi kehidupan beragama berjalan terus. Kitab-kitab sebagai pedoman adalah lebih kekal dan bertahan lebih lama dari kehidupan para Rasul.

Begitu juga lah dengan para pemimpin. Sekali pun Tun memang seorang pemimpin yang hebat, satu hari Tun akan pergi dan Malaysia perlu meneruskan perjalanan dengan pemimpin yang lain pula. Bahkan, Nabi Muhammad SAW dimatikan dalam usia yang relatif masih muda – 63 tahun. Apabila misinya membawa ajaran Allah telah selesai, baginda dipanggil maut. Tun hidup jauh lebih lama dari Nabi Muhammad SAW. Namun, tidak bermakna Malaysia sentiasa selamanya perlu bergantung kepada Tun. Jalan kestabilan dan masa depan Malaysia terletak kepada pertukaran kepimpinan. Oleh itu, menjadi salah satu tugas Tun, meletakkan asas pertukaran kepimpinan negara dalam keadaan teratur dan licin. Bukan hanya memikirkan Tun mesti memegang kuasa untuk selama-lamanya. Tun perlu menyediakan pelan peralihan kuasa itu jika benar Tun sayangkan Malaysia dan tidak memikirkan kepentingan Tun sendiri semata-mata.

Bahkan, ini adalah yang paling penting demi kelangsungan kestabilan dan kemajuan negara ini, lebih-lebih lagi dalam usia Tun sekarang.

Tun,

Untuk tujuan memantau kepimpinan baru yang diletakkan demi negara itu, Tun boleh masuk semula ke dalam kabinet sebagai menteri kanan seperti mana langkah Lee Kuan Yew dalam menyusun Singapura selepasnya. Semasa itu, Tun boleh membetulkan apa yang difikirkan perlu dibetulkan. Jika ia dilakukan sekarang, Tun boleh hadhir mewakili kerajaan Malaysia dan negara di sidang Apec sebagai pemimpin yang benar-benar ulung, berkorban untuk negara, serta meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan dan sentimen peribadi. Tun adalah Pemimpin Agung, bagi pandangan kami – jika berlaku demikian.

Tun,

Mengenai cadangan Tun untuk melantik anggota kabinet merentasi parti-parti dan tidak tertakluk kepada parti menguasai kerajaan, ada beberapa perkara yang menjadi persoalan.

Maafkan saya untuk menyentuh perkara ini. Tun tidak pernah membincangkan perkara ini terlebih dahulu dengan mana-mana pihak. Ia hanya muncul secara mendadak selepas Tun dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai PM Interim hasil perletakan jawatan oleh Tun sendiri. Lantaran itu, timbul kebimbangan besar bahawa sistem baru yang dicadangkan oleh Tun ini akan mengubah amalan sistem demokrasi ala Westminster sekarang kepada pemusatan kuasa hanya kepada se orang individu berjawatan perdana menteri. Sistem semak dan imbang tidak lagi boleh berfungsi dengan baik.

Kuasa akan berpusat kepada seorang insan bernama Tun Dr Mahathir Mohamad, pada hari ini dan esok - kepada siapa kita belum tahu. Jika beliau melantik pemimpin baik dan jujur, negara beruntung. Jika beliau melantik orang tertentu yang rapat dengannya, atau kitaran semula, atau mempunyai agenda tersembunyi, negara akan menjadi lebih parah. Pemusatan kuasa kepada seseorang, adalah cenderung menjadi tidak baik. Negara seperti cacat, sentiasa perlukan pemimpin tunggal. Pemimpin tunggal pula akan cenderung berlaku salah kerana kuasa yang terlalu besar itu. Saya tidak katakan ia sebuah kerajaan diktator dengan makna yang luas, tetapi ia cenderung ke arah itu. Kabinet akan hanya menjadi rubber stamp pemimpin tunggal itu. Ada juga yang bertanya, semasa YB Mazlee Malek (bekas menteri pendidikan) mengosongkan jawatannya baru ini, kenapa peluang itu tidak digunakan untuk membuat lantikan seperti konsep yang dikemukakan oleh Tun.

Tun,

Saya harus mengingatkan Tun kepada kemungkinan kemunculan semula ke tapak kuasa, kepimpinan kleptokrat yang telah kita bersama tumbangkan.

Tun lah, secara fakta dan sentimental, menjadi salah satu factor terpenting dalam kejayaan rakyat negara ini memerdekakan Malaysia dari cengkaman amalan kleptokrat terdahsyat dalam PRU lalu.

Tanpa Tun, ia tidak terhasil.

Jangan pula kerana kesilapan langkah Tun di akhir usia, mereka kembali berkuasa. Baik melalui penyusunan politik yang Tun lakukan sekarang, mahu pun dalam PRU yang akan datang kerana ketiadaan susunan parti-parti yang sama perjuangan dengan Tun dalam memerangi kleptokrat ini. Umno dengan bilangan ahli parlimennya yang besar, boleh sahaja menelan parti Bersatu jika ia diberi ruang. Sementara PAS, adalah rakan kumpulan kleptokrat sejak asal. Ruang berkerajaan kepada PAS akhirnya akan menyebelahi kleptokrat.

Dalam hal ini, saya menyeru Tun mengembalikkan Bersatu ke dalam PH. PH, saya lihat, masih terbuka. Bila dimaklumkan Tun telah meletakkan jawatan kerana ditekan oleh pemimpin Bersatu sendiri dalam mesyuarat Bersatu pada 21 Feb lalu, kami semua menitiskan air mata. Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail) menangis di depan Tun. Sama seperti Mat Sabu (Mohamed Sabu). Lim Guan Eng menggeletar. Tun telah saksikan sendiri. Ini semua tanda cinta kami kepada Tun atas nama kestabilan negara Malaysia.

Kami masih akan memberi ruang kepada Tun dan pasukan. Bahkan, saya tidak ragu-ragu untuk secara terbuka membuat cadangan kepada pimpinan PH untuk melantik YAB Mukriz sebagai calon timbalan perdana menteri di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan itu, kerajaan negeri Kedah dan negeri-negeri yang lain akan dapat diselamatkan. Satu kemaslahatan yang lebih luas, yang Tun perlu timbangkan.

Tun,

Peristiwa-peristiwa misteri berlaku hampir serentak pada Ahad, 21 Februari lepas. Kesemuanya menuju kepada gangguan susunan pemerintahan negara. Esoknya, pasaran saham, sebagai salah satu petanda kesan Gerakan Sheraton, jatuh teruk.

Ekonomi negara dan nasib sebahagian rakyat menjadi pertaruhan. Tun mesti bertindak ke atas pensabotaj ini. Tun mesti menjauhkan diri dari mereka sebagai tanda Tun tidak merestui tindakan mereka. Jangan pula Tun dilihat sebagai dalang di sebalik tindakan mereka. Memang benar Tun telah menyatakan sebab Tun meletakkan jawatan sebagai PM adalah kerana menolak agenda Gerakan Sheraton secara keseluruhan, termasuk dari parti Tun sendiri – tetapi atas nama kepentingan negara, itu belum cukup. Sesuatu tindakan yang tegas ke atas mereka adalah diperlukan. Apa lagi untuk Tun memasukkan mereka semula dalam kerajaan atas apa jua nama.

Ia akan menjadikan prinsip rakyat Malaysia yang seharusnya menolak sebarang bentuk pengkhianatan akan dipermainkan. Ia mendidik rakyat kita menjadi tidak berprinsip dan ini buruk untuk negara dalam jangka panjang. Pengkhiantan adalah pengkhianatan. 

Tun – you should be above all this things.

Akhir kata, kemelut ini perlu ditamatkan cepat demi negara.

HUSAM MUSA merupakan naib presiden Amanah.

Surat ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Sumber:
https://www.malaysiakini.com/news/512407

PH Johor tumbang lepas istana temu duga 54 dari 56 Adun
News  |  Diterbitkan   |  Dikemaskini 

Istana Johor hari ini mengumumkan sebuah gabungan baru akan mengambil alih kerajaan negeri. Kenyataan itu menyebut, langkah tersebut diambil selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menemu bual 54 daripada 56 Adun Johor semalam dan menandatangani akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong PH atau gabungan baru.

Kata Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah, Sultan Ibrahim berpuas hati gabungan baru itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila 28 Adun memilih gabungan baru berbanding 26 PH. "Oleh yang demikian gabungan baru berhak memberikan cadangan nama calon menteri besar sebelum susunan barisan exco baru dilantik," katanya. Dua Adun yang tidak hadir dalam temu duga tersebut ialah Adun Jeram dari Amanah, Salahuddin Ayub, dan Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang. 

Sementara itu Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah ketika dihubungi memberitahu beliau tidak dapat hadir semalam kerana mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Mazlan pula berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai pihak mana yang ingin disokongnya. Kata beliau, semalam Sultan Ibrahim berkenan memberikan masa untuk beliau membuat keputusan. Daripada 28 Adun yang didakwa menyokong gabungan baru itu, seorang daripadanya dipercayai wakil PKR. 

Sebab Salahuddin, Mazlan tak hadir

Kata Jaba, selepas PH hilang majoriti di Johor susulan keluarnya Bersatu dari gabungan itu, Menteri Besar Dr Saharuddin Jamal serta Pengerusi Umno Johor Ir Hasni Mohammad mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam untuk mewujudkan gabungan baru yang mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan negeri. Sehubungan itu, Sultan Johor bertitah agar sesi temu bual diadakan bersama setiapadun bagi mendengar sokongan mereka semalam, dari jam 3 hingga 5 petang. “Setiap Adun juga dikehendaki menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong parti PH atau Gabungan Baharu,” katanya lagi. Katanya lagi, gabungan baru itu berhak memberi cadangan calon menteri besar. Bagaimanapun, daripada 56 Adun, hanya 54 yang hadir sesi temu bual berkenaan.

PRU14: Harapan memenangi Johor

DAP + PKR + Amanah + Bersatu = 39
Umno + PAS + MIC             = 17

Setelah Bersatu keluar dari Harapan: DUN Johor tergantung

Harapan        = 28
Bukan-Harapan  = 17 [Umno + PAS + MIC]
Bukan-Harapan  = 11 [Bersatu]

Selepas Adun mengadap Sultan: K'jaan Harapan Johor tumbang
Adun yang tidak hadir adalah Salahuddin Ayub (Amanah-Simpang Jeram) dan Mazlan Bujang (Bersatu-Puteri Wangsa). Namun begitu, Mazlan memberitahu Malaysiakini beliau masih belum membuat keputusan.

Sokong Harapan       = 26
Sokong gabungan baru = 28
Tidak hadir          =  2

Kedudukan parti dalam DUN Johor
Parti Jumlah kerusi
Umno     14
Bersatu     11
DAP     11
Amanah       9
PKR       5
PAS               2
MIC       1
Jumlah         56

Adun yang tidak hadir ialah Mazlan Bujang (Bersatu-Puteri Wangsa) dan Salahuddin Ayub (Amanah-Simpang Jeram). Salahuddin ketika dihubungi menjelaskan ketidakhadirannya semalam adalah disebabkan dia perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Mazlan pula sebelum ini mengesahkan dia belum menandatangani SD itu kerana memerlukan masa bagi memantau situasi politik kerajaan pusat sebelum membuat keputusan, dan berkata Sultan Johor memberinya masa untuk membuat pertimbangan. Katanya, meskipun Bersatu telah keluar dari PH, itu tidak bermakna parti itu menyokong BN. Pandangan itu sama dengan Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad, yang berkata tidak akan bekerjasama dengan Umno secara en bloc. Daripada 28 Adun yang menyokong gabungan baru itu, salah seorangnya dipercayai daripada PKR iaitu Adun Pemanis Dr Chong Fat Full. Dakwaan itu dibuat oleh beberapa sumber daripada PKR. 

Pada Selasa lalu, Chong memberitahu Malaysiakini pendiriannya adalah “neutral”, namun hari ini dia mengisytiharkan bahawa dia menyokong PH. Terdahulu, Hasni memberitahu Malaysiakini bahawa penyertaan daripada PKR telah dipersetujui oleh "bos mereka di KL", dipercayai merujuk kepada kem Azmin Ali. DUN Johor menjadi tergantung, iaitu kedua-dua kerajaan dan pembangkang mempunyai 28 adun, selepas Bersatu meninggalkan PH.

Sumber:
PH Johor tumbang lepas istana temu duga 54 dari 56 Adun
LANGSUNG: Zuraida elak soalan sanggup kerjasama dengan Umno 'untuk selamatkan negara'
Wartawan Malaysiakini Diterbitkan   |  Dikemaskini 

4.40 petang: Zuraida Kamaruddin mengelak soalan pemberita berkenaan kesanggupannya, serta sejumlah bekas anggota parlimen PKR, untuk bekerjasama dengan Umno. Ketika dibangkitkan bahawa kumpulan itu dahulu sebahagian daripada PH yang berkata mahu menyelamatkan negara daripada Umno, anggota parlimen Ampang itu berkata: "Saya tak tahu hal itu." 

"Saya tak ada jumpa mereka," katanya yang dahulunya naib presiden PKR. Beliau tidak mengulas lanjut dan terus masuk ke keretanya. Zuraida ditemui pemberita ketika ingin beredar dari Hotel Sofitel di Kuala Lumpur, hari ini. 

LANGSUNG: Biar rakyat buat pilihan jika tiada calon PM dapat majoriti jelas - Bersih
Wartawan Malaysiakini Diterbitkan   |  Dikemaskini 

LANGSUNG | Kemelut penjajaran semula kuasa politik negara memasuki hari kelima. Ia bermula dengan cubaan mengalih kuasa yang gagal pada Ahad lalu. Semalam perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad, membayangkan apa akan berlaku dalam tempoh sehari dua ini, iaitu membentuk kerajaan yang melangkaui sempadan parti. 

LANGSUNG 4.25 petang: Walau siapa saja yang akan dilantik sebagai perdana menteri, beliau perlu memohon maaf kepada rakyat dan mengembalikan keyakinan awam, kata Bersih. "Kerajaan dan perdana menteri baru perlu memulakan rekonsiliasi, bukan saja di kalangan parti dan ahli politik, tetapi juga rakyat," kata NGO itu dalam kenyataan. Bersih juga menggesa perdana menteri sementara untu meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan "kembali kepada rakyat untuk mandat baru kerajaan pilihan mereka", jika tiada calon yang mempunyai majoriti yang jelas. "Ini bukan waktu yang baik untuk pilihan raya umum selepas mengambil kira kelemahan struktur berkenaan persempadanan tidak sekata (malapportionment) dan manipulasi sempadan pilihan raya (gerrymandering) sejak PRU ke-14, yang bukan saja kekal tetapi bertambah buruk," katanya.

3.55 petang: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, mengenang semula bagaimana partinya, Amanah, menyerahkan kerusi parlimen Titiwangsa kepada Bersatu walaupun sudah bekerja di kawasan itu untuk PRU14. Menerusi ciapan di Twitter, Khalid berkata, ketika itu Bersatu tidak memiliki jentera untuk menggerakkan parti itu di Titiwangsam sebaliknya yang berusaha ialah Amanah, PKR dan DAP. Justeru, kata Khalid, wajar Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Harun, kembali bersama PH dan bertindak jujur terhadap pengundi yang memilihnya pada PRU lalu.

"Saya seru YB Rina, sila kembali bersama PH dan bertindak jujur terhadap pengundi dan warga Wilayah Persekutuan. Mandat (dulu) untuk PH," katanya. Sebelum itu Khalid turut menciap bagaimana Amanah memberi laluan kepada Bersatu di Muar untuk mencalonkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman walaupun mereka diyakini mempunyai peluang cerah di kawasan tersebut. Asalnya, kata Khalid, Muar merupakan kubu kuat Umno namun keadaan berubah selepas digempur PH. "Calon PKR ada, sokongan kuat, tetapi serah kepada Bersatu walaupun ada potensi untuk menang. "Syed (Saddiq) menang dengan majoriti 6,000! Daripada 22,000 undi Syed Saddiq, hampir 80 peratus (undi) adalah daripada PKR, Amanah, DAP," ciapnya. 

3.50 petang: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, keluar dari bangunan Perdana Putra selepas berada di sana kira-kira 75 minit. Beliau meninggalkan pekarangan bangunan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu pada jam 3.35 petang. Malaysiakini difahamkan keberadaan Muhyiddin di Perdana Putra adalah atas permintaan Dr Mahathir. 

3.30 petang: Di sebalik kedudukan yang agak rapuh di Melaka, Umno kelihatan masih belum mendapat jumlah yang diperlukan bagi menjatuhkan PH. Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh, berkata pihaknya sedang menunggu "sekiranya ada perubahan" dalam pendirian Adun di negeri tersebut. Pada masa sama beliau juga membayangkan Umno masih berusaha mendapatkan sokongan melalui perakuan bersumpah (SD) dalam kalangan Adun Melaka. "Kita kena buktikan semua SD berada di tangan kita untuk diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri. "Kami (sedang) usahakan (tapi) kami tiada jangka masa. Sehingga mana-mana pihak dapat membuktikan kekuatan majoriti, maka pihak itulah akan membentuk kerajaan negeri. "Umno juga sedang menunggu sekiranya ada perkembangan terbaru untuk menyerahkan SD membuktikan bahawa kami mempunyai jumlah majoriti yang munasabah bagi membentuk kerajaan negeri," katanya. Beliau juga meminta orang ramai tunggu dan lihat. "Insya-Allah kami akan buktikan kepada Yang di-Pertua Negeri dalam masa terdekat," katanya. Pada masa sama Ab Rauf meminta PH membuktikan gabungan itu memiliki sokongan yang mencukupi bagi terus menjadi kerajaan dengan menyerahkan SD kepada Yang di-Pertua Negeri. 

3.30 petang: Di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi gambaran pelbagai kemungkinan boleh berlaku mengenai hubungan PH dengan Bersatu. "Kami berubah dari sehari ke sehari," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk PH akan menerima Bersatu dalam gabungan itu semula. Sebelum ini Anwar merujuk Bersatu sebagai "bekas rakan" ekoran cubaan mendapatkan kuasa - yang setakat ini gagal - dilakukan pada Ahad lalu. Di sebalik keadaan itu, Anwar bagaimanapun berkata isu mengadakan perbincangan antara PH dan Dr Mahathir tidak berbangkit. 

3.20 petang: Bekas timbalan menteri belia dan sukan, Steven Sim berkata beliau akan menggunakan wang sendiri untuk membayar gaji kakitangannya yang kehilangan kerja ekoran kejatuhan kerajaan PH. "Bekerja dengan jawatan politik melibatkan risiko kerjaya dan kehidupan yang tak stabil. "Seorang daripada mereka meletak jawatan sebagai wartawan untuk menyertai saya dua bulan lalu. "Tarikh 24 Feb adalah hari pertama dia bekerja, dan juga menjadi hari terakhirnya bertugas. "Saya beritahu dia, saya akan pastikan dia mendapat gaji untuk dua bulan akan datang, menggunakan wang poket saya," katanya. 

2.55 petang: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata jika kerajaan perpaduan dicadangkan, ia mestilah dibina atas gabungan PH. Kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu, walaupun idea mengenainya menarik dan wajar dipertimbangan semua bangsa di negara ini, masih ada aspek yang perlu diberi perhatian. "Ada satu perkara yang jelas: Tiada kerajaan perpaduan boleh diwujudkan atas pengkhianatan, penipuan, rasuah, pembelotan mandat rakyat atau mempromosikan perpecahan negara. "Cara yang ideal untuk menubuhkan kerajaan perpaduan kebangsaan ialah membinanya atas gabungan PH dan meyakinkan semua parti politik dan entiti lain untuk bersama-sama demi kepentingan negara untuk membina Malaysia baru berdasarkan mandat pada PRU14," katanya dalam satu keyataan hari ini. 

2.35 petang: Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe, menafikan pihaknya sedang mengadakan persiapan untuk menjelang pilihan raya umum. Kenyataan itu dibuat ekoran tularnya gambar didakwa borang senarai kekuatan sumber manusia di semua bahagian dan balai di Gombak. Kata Arifai, maklumat pada gambar itu adalah khilaf dan tidak tepat. "Penugasan yang dimaksudkan adalah untuk menjaga keamanan bukannya PRU. "Siasatan sedang dibuat terhadap pihak yang bertanggungjawab dan bagi mengenal pasti pihak-pihak yang menyebarkannya," katanya. Orang ramai dinasihat agar berhenti menyebarkan gambar serta maklumat tersebut kerana siasatan mengenainya sedang dijalankan. 

2.25 petang: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, tiba di pintu masuk Perdana Putra yang menempatkan pejabat perdana menteri. 

2.10 petang: Di Pulau Pinang dua Adun Bersatu - Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) menyatakan mereka komited menyokong kerajaan negeri yang ditadbir PH. "Kami tidak keluar Bersatu (hanya) parti kami meninggalkan PH," kata Zolkifly. Sementara itu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kedua-dua Adun terbabit bertemu dengan beliau kira-kira jam 1 petang tadi. "Semasa pertemuan tersebut Adun terbabit menyatakan komitmen mereka menyokong kerajaan PH," katanya.

Chow berbual bersama Zolkifly (kiri) dan Khaliq Mehtab 

Dalam perjumpaan tersebut, kedua-dua ADUN berkaitan terus komited menyatakan sokongan terhadap YAB Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang. Chow juga berkata status quo Adun Bertam dan Telok Bahang itu kekal sehingga ada keputusan lanjut dari Putrajaya kelak. Untuk rekod sejak 2012 Pulau Pinang memiliki undang-undang antilompat parti bagi mengekang tindakan wakil rakyat bertukar parti atau menjadi Adun bebas. 

2 petang: Istana Johor mengumumkan negeri itu kini ditadbir oleh kerajaan baru. Menurut kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah, kerajaan baru itu mendapat sokongan "majoriti" daripada Adun negeri terbabit. Katanya, Menteri Besar, Dr Saharuddin Jamal dari Bersatu dan Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohamad, mengadap sultan semalam ekoran penarikan Bersatu dari PH. Untuk rekod, sebanyak 54 daripada 56 Adun mengadap sultan untuk membolehkan pihak istana mengetahui pendirian mereka sebelum pengumuman berkenaan dibuat. 

2 petang: Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, wabak Covid-19 adalah ancaman lebih besar kepada sukan berbanding kemelut politik sekarang. Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail, berkata krisis kepemimpinan ketika ini tidak mengganggu untuk sukan kerana peruntukan sudah disalurkan untuk pelbagai program. "Ia termasuk RM22.5 juta untuk program Road To Tokyo," katanya seperti dipetik portal Twentytwo13 mengenai sukan Olimpik tidak lama lagi. Menurut Ahmad Shapawi, Ketua Setiausaha Negara mengarahkan MSN untuk terus beroperasi seperti biasa di sebalik apa yang berlaku sekarang. “Nampaknya Covid-19 lebih mengancam kepada kami buat masa ini. "Pelbagai pertandingan terganggu dan ini menjejaskan persediaan atlet menjelang Olimpik," katanya. 

1.50 tengah hari: Dr Mahathir Mohamad dilaporkan bakal kembali menjadi pengerusi Bersatu. Beliau melepaskan jawatan itu pada Isnin lalu, tidak lama selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Menurut Bernama, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya mengesahkan perkara itu. Semalam, Mahathir dalam ucapannya berkata beliau kecewa dengan Bersatu kerana sanggup bekerjasama dengan Umno, dan itu menjadi sebab peletakan jawatannya. 

1.20 petang: Pimpinan utama PH mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Petaling Jaya. Sebelum itu difahamkan wakil rakyat PKR berkumpul lebih awal dan mengadakan mesyuarat dalaman. Antara yang dilihat tiba di hotel itu ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Chang Lih Kang (Naib Presiden PKR); Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Mebok, Nor Azrina Surip antara yang dilihat hadir di hotel di PJ

Anwar yang ditemui media bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan sebelum memasuki lif. "Saya ada mesyuarat," katanya.

1.16 petang: Seorang daripada ahli parlimen PKR yang dinamakan sebagai mengikut Azmin Ali meninggalkan parti itu hari ini mendakwa beliau tidak terlibat dalam langkah tersebut. Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, berkata beliau masih kekal sebagai ahli parlimen PKR. Pengumuman itu dibuat hanya tiga hari selepas sekumpulan 11 ahli parlimen PKR mengumumkan keputusan mereka menjadi ahli parlimen bebas. "Untuk rekod, saya masih dalam PKR. Saya juga menafikan memberi persetujuan meninggalkan PKR. "Saya akan menjelaskan hal ini kepada jawatankuasa dan biro (parti) petang ini," katanya di Facebook.

1 petang: Sidang DUN Johor - yang dijadual berlangsung pada 5 Mac ini - ditangguhkan ke tarikh baru, kata Adun PH Mengkibol, Tan Hong Pin. Kata Tan, perkembangan itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, namun tiada tarikh ditetapkan setakat ini. Katanya sidang itu akan diadakan apabila kemelut yang melanda sekarang dapat ditangani. 

12.55 tengah hari: Portal berita The Star Online melaporkan Yang di-Pertuan Agong akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Raja-raja Melayu sebelum solat Jumaat, esok. Sebentar tadi Dr Mahathir Mohamad - selaku perdana menteri interim - mengadap Agong di Istana Negara. Hampir semua ahli parlimen mengadap Agong dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku sekarang. Seorang pegawai Istana Negara pula memberitahu, mesyuarat esok belum lagi dapat disahkan. 

12.50 tengah hari: Adun Pemanis di Johor, Dr Chong Fat Full, mengumumkan beliau menjadi penyokong PH. "Saya mengekalkan sokongan kepada PH," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini. Sebelum ini Chong sering disebut-sebut sebagai Adun yang akan meninggalkan PKR dan dipercayai menyertai tujuh Adun Bersatu menurunkan tandatangan menyokong pembentukan gabungan kerajaan baru di Johor. Dengan pengumuman terbaru Chong hari ini, kedudukan kerusi di DUN Johor adalah 28 untuk kerajaan negeri berbanding 26 pembangkang. Dua Adun lagi - Salahuddin Ayub dari Amanah dan Mazlan Bujang (Bersatu) - tidak menandatangani akuan bersumpah. 

12.25 tengah hari: Dr Mahathir Mohamad tiba semula di Perdana Putra dengan kenderaan rasminya. Media sempat merakam air muka Dr Mahathir yang kelihatan suram. Beliau sebelum itu mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. 

12.20 tengah hari: Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, mengaitkan cadangan kerajaan perpaduan dibayangkan Mahathir Mohamad dengan pemerintahan diktator. Membuat kenyatan di Twitter, ahli parlimen Shah Alam itu berkata, Mahathir meninggalkan PH apabila Bersatu keluar dari gabungan berkenaan. "Beliau mahukan mandat untuk dirinya atas kapasiti peribadi, tiada ikatan, tiada komitmen kepada sesiapa. "Kuasa penuh dan mutlak. Bagaimana kita bersetuju untuk suatu kediktatoran?" ciapnya. Menurut beliau, langkah PH menyokong Anwar Ibrahim adalah tindakan yang betul diambil walaupun mempunyai risiko. 

12 tengah hari: Di Alor Setar, Kedah, Mukhriz Mahathir berkata negeri itu kini ditadbir bersama oleh Bersatu dan PH. Menurut menteri besar itu, bagaimanapun ia bukanlah kerajaan perpaduan seperti yang dibayangkan oleh bapanya merangkap perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad. "Semuanya kekal kecuali kami kini dikenali sebagai kerajaan Bersatu-PH," katanya. Beliau juga memberitahu, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa. 

Kata Mukhriz beliau mengadap pihak istana hari ini dan memaklumkan perkembangan politik semasa, selain menyerahkan 18 surat perakuan daripada semua Adun PH dan Bersatu yang menyokongnya kekal sebagai menteri besar. "Baginda sultan memperkenankan surat sokongan itu, justeru kerajaan negeri berharap rakyat kekal tenang dan rasional," katanya. Mukhriz menambah, Kedah tidak terjejas dengan perkembangan yang berlaku di peringkay pusat. "Fokus kami ialah Kedah dan kami berharap krisis yang berlaku sekarang dapat diselesaikan segera," katanya. Menemani Mukhriz membuat kenyataan itu ialah Adun dari Amanah, DAP dan PKR. 

12 tengah hari: Selepas berada dalam Istana Negara kira-kira sejam, Dr Mahathir Mohamad dihat meninggalkan kawasan itu. Bagaimanapun tidak ada sebarang kenyataan dibuat. Terdahulu perdana menteri interim itu menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. 

11.30 pagi: Annuar Musa menafikan laporan akhbar The Star yang mendakwa Umno serta PAS bersetuju menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri. Kata Setiausaha Agung Umno itu, laporan tersebut tidak benar. "Pendirian kami tetap (iaitu) agar parlimen dibubarkan. "Sebarang kenyataan rasmi hanya dikeluarkan oleh presiden dan setiausaha agung," ciapnya di Twitter.

Terdahulu The Star memetik Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mendakwa semua ahli parlimen mereka serta Umno menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Muhyiddin.

10. 57 pagi: Dr Mahathir Mohamad memasuki Pintu 1 Istana Negara.

10.30 pagi: Kenderaan membawa Dr Mahathir bergerak meninggalkan pejabatnya untuk ke Istana Negara. 10.10 pagi: Menurut laporan, Dr Mahathir Mohamad akan mengadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi ini. Hal itu disahkan kemudian oleh Pejabat Perdana Menteri kepada Malaysiakini. 

10 pagi: Isteri perdana menteri interim, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, memasuki pekarangan Jabatan Perdana Menteri. Kenderaan membawa Siti Hasmah kemudian berhenti sejurus selepas melepas pintu masuk sebelum kelihatan beliau mengedarkan bar coklat kepada wartawan yang menunggu di situ. "Ambil... mari ambil," katanya katanya sambil menghulurkan bekas coklat tersebut. Ditanya mengenai kesihatan dirinya, Siti Hasmah - seperti biasa - tersenyum sambil berkata: "Alhamdulillah, sihat,"katanya. Beliau turut menasihati petugas media yang membuat liputan di situ sejak Isnin supaya menjaga kesihatan masing-masing. "Jaga diri ya," katanya tersenyum. 

9 pagi: Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, berkata PH berpendapat cadangan Dr Mahathir untuk menubuhkan kerajaan melangkaui batas parti tidak dapat diterima kerana kerajaan sebegitu tidak terikat dengan sebarang manifesto PRU14. Katanya ia juga bercanggah dengan mandat yang diperoleh daripada rakyat pada 9 Mei 2018. Menciap di Twitter pagi ini, Ong bagaimanapun berkata PH berterima kasih kepada Mahathir kerana ketegasannya menolak kerjasama dengan Umno dan PAS atas dasar prinsip. Dengan alasan sama juga, katanya, PH meminta Mahathir membentuk kerajaan baru bersama PH. Melalui cadangan yang dibawa Mahathir, kata Ong, beliau boleh melantik sesiapa saja termasuk Azmin Ali yang menyebabkan PH tumbang daripada kerajaan baru-baru ini. "Ini tidak boleh diterima PH dan kebanyakan pengundi," katanya. Menurut Ong lagi, kegagalan Mahathir menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH juga membuatkan gabungan itu tidak ada pilihan lain kecuali menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri demi menunjukkan komitmen mereka terus melaksanakan manifesto.

8.55 pagi: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyambut baik tindakan PH yang tegas dan jelas menamakan calon perdana menteri mereka, dan pada masa yang sama memberikan komitmen untuk meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat pada Mei 2018. Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata masalah sebenar PH bukanlah pada dasar perjuangan mahupun manifesto sebaliknya tindakan mereka membelakangkan janji tersebut serta terlalu lemah dalam pelaksanaannya. "PH juga terlalu kerap bergaduh dalam isu persoalan peralihan kuasa dan tidak mempunyai kata sepakat dalam isu-isu yang melibatkan isu perkauman," katanya.

S Arutchelvan

Pada masa sama PSM melihat Dr Mahathir Mohamad sudah hilang mandat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan atau membentuk kerajaan campuran kerana tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen. "Dalam keadaan ini, langkah terbaik untuk beliau ialah berundur dan melepaskan masa depan politik negara kita kepada parti-parti lain. "Tindakan Mahathir melepaskan kuasa dan membuat satu peralihan secara aman, akan dilihat sebagai tindakan bijak seorang negarawan kanan, sebaliknya jika kemelut ini terus dimain-mainkan berdasarkan sentimen perkauman, atau sentimen kroni dan sebagainya, maka beliau akan dituduh sebagai pihak yang mencetuskan harapan dan pada masa sama menghancurkan harapan tersebut," kata Arutchelvan. 

8.15 pagi: Umno mengarahkan semua ketua bahagiannya dari seluruh negara berkumpul di ibu pejabat parti itu hari ini. Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, berkata mereka dipanggil untuk menghadiri pertemuan khas bersama presiden parti serta anggota majlis tertinggi pada jam 3 petang. Dalam siri ciapannya di Twitter, Annuar juga mengulangi pandangan bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali, mengenai keabsahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim. "Dalam keadaan sekarang option (pilihan) hanya satu!!! Kembalikan kuasa kepada rakyat, bubar parlimen dan dalam masa 60 hari adakan pilihan raya umum," katanya. Untuk rekod, selepas menjadi peguam negara, Apandi dilantik menjadi pengerusi Lembaga Disiplin Umno sebelum beliau meletak jawatan baru-baru ini. 

7.30 pagi: Bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, meminta maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kemelut yang sedang melanda sekarang. Katanya mungkin ada antara orang ramai yang menganggap semua ahli politik adalah "dua kali lima saja" "Ini bukan 'politik rakyat' yang mencetuskan reformasi satu ketika dahulu. Tapi kali ini - dalam simpang-siur yang memeningkan - silap-silap hari bulan, mereka bosan, mual dan jelak," katanya. Justeru, ahli parlimen Kuala Selangor itu berharap rakyat tidak terus dibebani dengan gelagat buruk serta kerakusan ahli politik, termasuk perbuatan mengkhianati perjuangan dan rakan. "Apa yang dipaparkan itu mengganggu kesejahteraan bahkan menambahkan penyeksanaan hidup rakyat," katanya. Beliau juga menyarankan semua pihak agar tidak menghangatkan lagi suasana dengan memainkan sentimen perkauman dan agama. 

7 pagi: Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali mempersoalkan keabsahan jawatan perdana menteri sementara. Beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi Lembaga Disiplin Umno berkata, perlembagaan negara tidak memperuntukkan jawatan tersebut. "Perdana menteri interim tiada dalam perlembagaan. "Dalam keadaan sekarang, mengikut konvensyen, Agong boleh membubarkan Dewan (Rakyat) atas budi bicara tuanku, jika pada hemat tuanku tiada ahli parlimen yang memperoleh kepercayaan ahli dewan untuk dilantik sebagai perdana menteri," katanya. Ketika PH - yang dijatuhkan sebahagian pemimpin dalam PKR dan Bersatu - mahukan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, BN dan PAS pula mahu agar parlimen dibubarkan untuk membuka jalan kepada pilihan raya umum ke-15. Dalam keadaan tiada mana-mana pihak memiliki majoriti di parlimen, erpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan selepas baginda selesai menemui semua ahli parlimen di Istana negara pada kelmarin dan semalam.

Sumber:
LANGSUNG: Biar rakyat buat pilihan jika tiada calon PM dapat majoriti jelas - Bersih

LANGSUNG: Bersatu mungkin calonkan Muhyiddin sebagai PM, kata Dr M
Wartawan Malaysiakini
Diterbitkan   |  Dikemaskini 

LANGSUNG | Kemelut penjajaran semula kuasa politik negara memasuki hari kelima. Ia bermula dengan cubaan mengalih kuasa yang gagal pada Ahad lalu. Semalam perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad, membayangkan apa akan berlaku dalam tempoh sehari dua ini, iaitu membentuk kerajaan yang melangkaui sempadan parti. 

LANGSUNG 5.50 petang: Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tengah hari tadi. Bercakap dalam sidang media, Mahathir berkata perbincangan termasuklah kemungkinan Muhyiddin menjadi calon perdana menteri dari Bersatu. "Jika semua orang pilih dia, saya okey," katanya. Ditanya sama ada ia bermakna parti itu akan menamakan dua calon, termasuk dirinya, Mahathir berkata Bersatu masih belum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata mereka ada pandangan berbeza dalam soal kerjasama dengan Umno. "Pendirian saya, tentunya, tidak menerima Umno sebagai parti komponen. "Tetapi Muhyiddin lebih longgar (relaxed), agak sedia untuk menerima mereka en bloc (secara keseluruhan)," katanya lagi. Beliau juga mengesahkan setuju untuk kembali menjadi pengerusi Bersatu. Menurutnya, Bersatu memintanya untuk kembali pada tiga hari lalu, tetapi beliau meminta diberi masa untuk memikirkannya. Ditanya sama ada beliau akan menimbang untuk Bersatu kembali menyertai PH, Mahathir berkata parti itu perlu membincangkannya dahulu. 

5.40 petang: Beberapa anggota parlimen dan pemimpin Bersatu dilihat tiba di kediaman Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Antara yang dilihat ialah Hamzah Zainuddin, Radzi Jidin, Maszlee Malik. Turut kelihatan ialah bekas anggota parlimen PKR Kamaruddin Jaafar. Mereka tidak memberi sebarang komen apabila ditanya tujuan kehadiran mereka di situ. Difahamkan pertemuan itu diadakan selepas Muhyiddin berjumpa Mahathir di Putrajaya.

5.30 petang: Putrajaya - Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu yang "memiliki majoriti jelas", kata Dr Mahathir Mohamad. "Dan kerana tiada yang ada majoriti jelas, (Tuanku) kata ruang yang sesuai adalah Dewan Rakyat. "Maka Parlimen akan bersidang pada Dua Mac...Siapa yang ada sokongan majoriti di Parlimen akan menjadi perdana menteri. "Bagaimanapun jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya," katanya lagi.

5.18 petang: Pilihan raya umum baru boleh menelan belanja antara RM700 juta hingga RM800 juta, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pengerusinya Azhar Azizan Harun memberitahu Malaysiakini kadar itu hanyalah anggaran, jika pilihan raya diadakan susulan krisis politik yang sedang berlaku. Azhar diminta mejelaskan ciapan bekas pengerusi Bersih S Ambiga yang mendakwa beliau memberitahu bahawa belanja untuk perkara itu mungkin antara "RM750 hingga RM800 juta."

5.08 petang: PAS menegaskan parti itu kekal komited dengan kerjasama Muafakat Nasional dengan Umno, tanpa mengira siapa yang akan menjadi perdana menteri. Perkara itu dinyatakan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin seperti dilaporkan BH Online, hari ini. Hashim berkata, PAS juga boleh bersetuju dengan cadangan oleh mana-mana pihak politik, selagi ia tidak membabitkan DAP. "Pada mesyuarat Majlis Syura lalu, kita memutuskan Umno dan PAS perlu menepati perjanjian (kerjasama) dan setakat ini kedua parti tidak melanggar perjanjian, malah teguh dengan perjanjian itu. "Apa jua cadangan yang dikemukakan antara kedua pihak kita boleh bersetuju, selagi tidak bercanggah dengan syariat serta tanpa perlu membabitkan DAP," katanya seperti dipetik. 

5 petang: Putrajaya - Kereta yang membawa Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilihat memasuki banguna Perdana Putra, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri. Abdul Hamid mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad selama kira-kira sejam, iaitu pada 3.45 petang hingga 4.57 petang. Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen berhubung pertemuan itu kepada media yang berkampung di sini. 

Sumber:
LANGSUNG: Bersatu mungkin calonkan Muhyiddin sebagai PM, kata Dr M

Tiada ulasan: