Isnin, 23 Mac 2020

Mengimbau. 10004


Tuesday, September 23, 2014

Khalid Ibrahim Yang Dikagumi..

Abdul Khalid bersalaman dengan kakitangannya pada Sambutan Perpisahan Menteri Besar Ke-14 di Bangunan Kerajaan Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Isnin. 
-fotoBERNAMA

"SAYA berkhidmat lebih 30 tahun di Selangor, bawah beberapa menteri besar, saya tak pernah lihat majlis perpisahan sebegini," kata Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohamed Khusrin Munawi yang merasa bertuah dapat bekerja bersama Khalid. Beliau juga meluahkan kekaguman beliau melihat sambutan majlis perpisahan ini.


Pada hari terakhirnya sebagai menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap menunjukkan beliau lebih banyak bekerja dari berpolitik. Bersama dalam majlis yang dimeriahkan lebih 200 kakitangan kerajaan negeri, Khalid menasihatkan mereka supaya bekerja keras tanpa memperdulikan drama orang politik.

"Biarkan orang politik berperang. Biarlah ahli politik berlakon dan berdrama. Kita terus kerja.
"Biar drama mereka jadi lawak jenaka yang akan dikenang selamanya," kata beliau dalam acara di lobi Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Khalid meluahkan kegembiraan beliau berjaya menyelesaikan hampir keseluruhan penstrukturan industri air minggu lalu.

Justeru, beliau mahu penggantinya memastikan rakyat Selangor mendapat hak mereka menerusi saham milikan dalam aset itu dengan nilai RM14 bilion.

"Inilah cabaran buat pemimpin akan datang, sekiranya beliau tidak melaksanakan amanah ini pastinya rakyat akan menghukumnya dalam pilihan raya," katanya.
Bagaimanapun ADUN Pelabuhan Klang itu mahu kakitangan kerajaan negeri tidak sedih dan beliau sebagai wakil Rakyat dan penduduk Selangor akan membantu bagi memastikan kebajikan mereka.

Khalid yang juga MP Bandar Tun Razak berkata, sekarang ini bukanlah masanya untuk mengucapkan selamat tinggal dan mengenang.

"Bukan maaf, bukan sedih yang harus ditangiskan sebaliknya apa yang perlukan lakukan ialah menjaga kebajikan setiap keluarga di Selangor, itulah amanah kita.
"Saya sangat bertuah kerana telah diberi kepercayaan untuk jalankan tugas sepanjang lima tahun ini untuk jalankan tugas dengan telus dan bertanggung jawab.
"Kalau salah kita betulkan, kekalkan status Selangor sebagai negeri termaju," katanya.
Khalid menyerahkan surat peletakan jawatannya hari ini dan akan disertai pekerja rapat beliau di pejabat menteri besar dan beberapa GLC negeri.

Antaranya ialah setiausaha politik dan akhbarnya, pegawai media serta bekas setiausaha politik dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Faekah Hussin.

Apa Jasa Khalid, Antaranya?
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata rizab simpanan Selangor kini melebihi RM3.3 bilion dengan nilai pelaburan lebih RM60 bilion sejak beliau menjadi Menteri Besar pada Mac 2008.

Katanya, ia adalah hasil daripada tatakelola kerajaan yang telus, berkeupayaan, bertanggungjawab dan berintegriti, lapor Selangor Kini.

Khalid berkata hasilnya banyak peluang pekerjaan dapat disediakan bagi belia dan golongan menganggur dengan infrastruktur di bandar dan di desa ditambah baik atau dinaik taraf.

“Bekalan air bersih yang sentiasa diselenggara dan diberi percuma sehingga 20 meter padu setiap bulan, ratusan juta ringgit disalurkan bagi kemajuan pendidikan di Unisel dan Kuis, di sekolah agama rakyat, kelas fardu ain dan al-Quran dan institusi tahfiz.
“Tidak dilupakan, RM10 juta disalurkan saban tahun kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil,” katanya dalam ucapan perpisahan sebagai Menteri Besar.

Abdul Khalid berkata hampir empat juta rakyat menikmati pelbagai bantuan kebajikan disalurkan menerusi dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), yang nilainya sudah mencecah lebih RM1.65 bilion.

“Lebih 20 program, skim dan insentif dikhususkan bagi kebajikan golongan rakyat berpendapatan rendah bawah RM2,500 sebulan dan berpendapatan sederhana tinggi bawah RM5,000 sebulan dilaksanakan menerusi dasar MES yang dilancarkan pada Jun 2008,” katanya.

Beliau berkata setelah tamat penggal pertama menerajui kerajaan negeri beliau sangat berpuas hati dengan sikap 'bekerja bersama saya' dalam hal menggembleng usaha dan tenaga menjayakan dasar MES.

“Majoriti rakyat menunjukkan rasa puas hati terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.
“Buktinya, kira-kira 1.3 juta daripada lebih 1.7 juta pengundi memberi kemenangan kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat seterusnya mengekalkan Kerajaan Negeri di Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya lagi.
(IH)
Ibnu Hasyim: Khalid Ibrahim Yang Dikagumi..

Saturday, June 21, 2014
Dilema Khalid Ibrahim: Dari Tokoh Korporat Ke MB..

Pendekatan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan menjadi masalah yang meletakkannya dalam situasi di mana ramai yang inginkan beliau ditukar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Jun, 2014. 

"Tan Sri. Kami tidak bercadang menukar Tan Sri tetapi Tan Sri yang perlu bertukar."

Itulah yang dibisikkan oleh Adun Meru yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman ketika 'Kajang Move' digerakkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu.

Ketika itu, pimpinan PKR sudah membuat keputusan, Khalid perlu ditukarkan dan Anwar sendiri menawarkan dirinya untuk mengambil alih tempat Khalid. Namun PAS, rakan utama kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak nampak sebarang sebab besar mengapa Khalid perlu ditukar. Ini kerana rakyat Selangor masih berdiri teguh bersama Khalid.

Benar, para ahli politik bermasalah dengan Khalid kerana beliau tidak pernah memberi muka kepada mereka dalam mentadbir Selangor. Bagi beliau, semua perlu mengikut peraturan dan inilah yang akan menentukan kejayaan sesuatu perkara.

Di depan mungkin Khalid senyap ketika dihadapkan dengan sesuatu perkara yang beliau tidak persetujui, namun apabila pelaksanaannya, Khalid akan mengikut caranya. PAS juga berpandangan bukan semudah itu untuk menukar Khalid. Ini kerana ia perlu mendapat persetujuan daripada istana.

Di samping itu, apa kebaikan yang diperolehi PAS jika Khalid ditukar sedangkan mereka adalah rakan komponen utama di negeri itu. Ketika itulah datangnya nasihat Dr Rani kepada Khalid ini. Bagi Dr Rani, Khalid perlu mengubah caranya bekerja iaitu dengan lebih banyak berbincang dan berunding dengan rakannya dalam Pakatan.

Ini kerana merekalah yang sebelum ini membuat keputusan untuk meletakkan beliau di situ. Jika ini boleh dilakukan maka tidak perlu lagi Khalid ditukar. Namun Khalid adalah Khalid. Inilah Khalid yang dulunya berada dalam Umno dan inilah juga Khalid yang kini bersama dengan Pakatan Rakyat dan menjadi menteri besar di negeri paling kaya di Malaysia.

Bagi rakyat, Khalid sangat ikhlas dalam menjalankan tugasnya sebagai menteri besar. Beliau tidak dilihat berbuat sesuatu untuk kepentingan dirinya sendiri khasnya jika berkait dengan kewangan. Ini kerana Khalid sudah cukup kaya dan tidak perlu lagi duit lain.

Lihatlah komen-komen pembaca ketika berita negatif disiarkan oleh media termasuk oleh The Malaysian Insider sendiri terhadap Khalid. Mereka akan bangkit membela beliau. Bagi mereka, Khalid mungkin ada silap atau kelemahan, tetapi ia tidak mewajarkan beliau untuk ditukar. Bahkan serangan terhadap beliau ditolak mentah-mentah oleh mereka.

Ada beberapa isu yang menjadikan Khalid sasaran rakan-rakannya dalam Pakatan:

1) Lebuhraya Kidex

Kerajaan pusat meluluskan lebuhraya ini. Namun seperti Langat II, projek ini melalui negeri Selangor dan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri sebelum dilaksanakan. Bagi orang politik Pakatan, Kidex adalah anugerah Umno untuk peguamnya Datuk Hafarizan Harun dan bekas peguamnya yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi kerana konsesinya selama 48 tahun dipegang oleh mereka secara langsung atau keluarga mereka.

Bagi penduduk Petaling Jaya, mereka bakal menjadi mangsa projek ini kerana ia bakal membelah kawasan mereka yang sudah sesak dan bakal menambahkan kesesakan lagi. Mereka juga mempertikaikan mana janji Pakatan, khasnya Khalid sendiri yang mahu membina lebuhraya percuma sebagaimana yang dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Namun bagi Khalid, Kidex adalah salah satu alternatif untuk menyelesaikan kesesakan trafik yang setiap pagi dan petang dihadapi oleh pengguna jalan raya di MRR2. Ia adalah projek pusat bukan Selangor. Janji lebuhraya percuma adalah untuk luar kawasan pembangunan pesat untuk membina kawasan pertumbuhan baru sebagaimana yang beliau lakukan untuk Lebuhraya Guthrie.
Lihatlah bagaimana Lebuhraya Guthrie berjaya membina banyak kawasan pertumbuhan baru.

2) Rampasan Bible Melayu dari Persatuan Bible Malaysia (PBM)

Bagi orang politik Pakatan, tindakan ini akan menghalau sokongan bukan Islam kepada mereka.
Ini kerana, hasil sokongan penuh merekalah Pakatan menang besar di Selangor dalam pilihan raya lalu. Mereka menganggap pihak yang pro-Umno di belakang rampasan ini menunjukkan sikap tidak baik kerajaan Pakatan di mata bukan Islam.

Khalid pula tersepit antara enakmen yang diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor dengan tekanan politik. Istana pula berada di sana yang akan menjaga kepentingan mereka. Pemimpin Pakatan pula nampak jalan keluar apabila Peguam Negara campur tangan. Ikut sajalah. Namun sebelum Khalid bertindak, Istana pula membuat kenyataan. Maka Khalid terikat.

3) Isu pihak berkuasa tempatan

Banyak ahli politik bawahan di Selangor mengambil kesempatan untuk menjadi ahli-ahli majlis kerajaan tempatan bagi kepentingan diri dan parti mereka. Yang utama adalah melalui pasar-pasar malam dan uptown yang dibuka. Ia digunakan sebagai sumber kewangan untuk individu pimpinan dan juga parti.

Khalid tidak senang dengan amalan ini. Bagi beliau ini satu perkara yang boleh merosakkan nama baik parti dan pemimpin berkenaan untuk jangka panjang. Maka, urusannya diserahkan kepada pegawai PBT bukan lagi Jawatankuasa Penduduk atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang selama ini dikuasai oleh parti-parti yang memerintah Selangor iaitu PR.
Hasilnya, berlaku pertembungan antara parti peringkat akar umbi dengan Khalid.

4) Isu penstrukturan semula industri air

Sejak awal lagi, Khalid menganggap mengembalikan pengurusan industri air kepada kerajaan negeri Selangor adalah legasi yang perlu beliau tinggalkan sebelum berhenti. Para pegawai beliau selalu berkata, selepas selesai isu ini Khalid sedia untuk berhenti.

Bagi Pakatan pula, banyak isu politik di belakang isu penstrukturan air ini. Khalid seorang tidak cukup untuk mengendalikannya. Lalu mereka melantik satu jawatankuasa untuk menasihati Khalid.
Namun Khalid semacam tidak mengiktiraf jawatankuasa ini. Sebab itulah sehingga kini jawatankuasa ini tidak pernah dapat bertemu dengan Khalid untuk menjalankan tugas mereka.

Sebagai bekas tokoh korporat, Khalid mempunyai penasihat industri tersendiri dalam melaksanakan penstrukturan ini. Dengan pengalaman di PNB dan Guthrie, Khalid yakin beliau lebih mempunyai kelebihan dalam isu ini.

Inilah empat isu besar yang menyebabkan Khalid berada dalam dilema. Di sinilah datangnya kewajaran nasihat Adun Meru Dr Rani Othman kepada Khalid. Khalid tidak perlu ditukar sebenarnya. Yang perlu ditukar adalah pendekatan beliau dalam berparti dan memerintah negeri.

Khalid bukannya mengendalikan sebuah syarikat yang bertanggungjawab kepada Lembaga Pengarah yang limited sahaja, tetapi mentadbir sebuah kerajaan yang mempunyai parti yang meletakkan beliau di situ, rakyat yang perlu dijaga kepentingannya di samping peraturan perlu diikuti serta Istana yang turut ada kepentingannya.

Memang... sesiapapun yang duduk di kerusi Khalid akan berada dalam dilema. Semoga Khalid cekal untuk hadapi dilema ini dan semua yang lain juga bersabar dalam menghadapi dilema ini. – 21 Jun, 2014. (IMI)

Sumber:
Ibnu Hasyim: Dilema Khalid Ibrahim: Dari Tokoh Korporat Ke MB..

Sunday, July 13, 2014
Hari-hari Terakhir Seorang MB S'ngor.
  Dengan komen terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, maka dengan rasminya juga Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjalani hari-hari terakhir beliau sebagai menteri besar (MB).

Kata-kata ketua umum parti itu dibaca sebagai 'pengakuan' meminta Khalid mengosongkan kerusi dan ia permintaan partinya dan Pakatan Rakyat sendiri. Khalid yang dilihat berseorangan dalam hal ini langsung tidak boleh mengharapkan sokongan dari parti beliau sendiri untuk terus menduduki kerusi yang diterajui selama enam tahun itu.

Bagaimanapun isu penukaran MB sebenarnya bukan merupakan perkara pelik kerana ia kelaziman dan pregoratif parti politik masing-masing

Baru-baru ini di Terengganu, MB turut ditukar, dan ia 'prosedur biasa' yang digunakan BN sekiranya merasakan penyandang jawatan itu kurang 'kena' dengan pimpinan peringkat tertinggi.

Tetapi jika dilihat dari sudut 'ketelusan' dan 'kebertanggunjawaban' yang sentiasa dikumat-kamitkan PKR, adakah alasan menukar Khalid merupakan langkah dari segi politik semata tanpa sebarang input daripada 'rakyat'?

Terbaru, dengan jaminan Anwar bahawa isu itu akan diselesaikan secara tertib, teratur dan di “balik pintu yang tertutup”, serangan halus, licik dan ancaman politik menggunakan media massa dan sosial ini akan berterusan?

Ini kerana sama ada Khalid ditukar atau tidak, persepsi yang tercetus hasil polemik dan caturan kelompok politik langkah ini amatlah tidak baik untuk PKR dan juga Pakatan secara umum.

'Langkah 28'

Dengan pemilihan isu pemilihan parti yang masih tidak selesai, timbul pula isu 'Langkah 28' apabila kelab penyokong kerajaan (BBC) DUN Selangor dilaporkan membincangkan isu ini. Sumber dari DUN Selangor menyatakan 28 dari 31 ADUN PKR, PAS dan DAP telah pun bersetuju untuk mengusulkan usul undi tidak percaya terhadap Khalid. Ketua BBC Azmin Ali dilaporkan memanggil mesyuarat khas BBC buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun di Shah Alam Selasa lalu

"Hanya dua ADUN PAS iaitu Khasim Abdul Aziz (Lembah Jaya) dan Saari Sungib (Ulu Klang) hadir pada mesyuarat tersebut," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

ADUN DAP dan PKR difahamkan sudah sepakat untuk menguatkan desakan terhadap Khalid bagi meletakkan jawatan beliau. Hanya PAS dilihat masih tidak memberi jawapan lagi terhadap hal ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Ab Samad tidak mahu memberi sebarang komen sama ada menyokong atau menolak Khalid. 

Bagaimanapun sumber daripada PAS Selangor menyatakan ada arahan 'tertinggi' parti yang meminta mereka agar tidak menurut desakan oleh PKR dan DAP.

Azmin sendiri tidak mahu mengakui atau menafikan rancangan sedemikian berlaku.

"Tolong jangan buat spekulasi," kata beliau kepada wartawan yang menyerbu beliau sebaik mesyuarat itu tamat, Selasa lalu.

Bagaimanapun sumber dari PKR mengakui perbincangan isu undi tidak percayai tidak dapat dilakukan kerana PAS "belum mendapat wahyu" dari kepimpinan tertinggi mereka.

Perang saraf

Peperangan kedua pihak pro dan anti Khalid kini makin sengit di media massa dan sosial dengan serangan, kritikan serta kempen halus digerakkan oleh kedua pihak.

DAP dengan lantang membariskan pimpinan Selangornya 'menembak' pentadbiran Khalid secara terbuka dalam beberapa isu seperti penstrukturan dan catuan air, pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan isu Bible.

PKR Selangor pula difahamkan menggunakan pemilihan sebagai kempen anti-Khalid dan dilihat berjaya apabila Khalid tewas dalam pemilihan peringkat cabang dan jurang undi semakin jauh berbanding Azmin dalam pemilihan timbalan presiden.

"Khalid akan lebih tertekan sekiranya kalah dalam pemilihan nanti, dia dah tak ada apa-apa," kata sumber dari PKR Selangor kepada Malaysiakini.

Di pihak Khalid, gerakan NGO Pakatan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb) mula aktif memberi komen dan membuat laporan polis terhadap beberapa pemimpin tertinggi PKR yang dipercayai mempunyai kaitan dalam penyebaran berita palsu peletakan jawatan beliau minggu lalu.

Satu laporan polis dibuat semalam di Klang sementara satu lagi bakal dibuat hari ini.

Pengumuman Khalid bahawa audit dalaman akan dibuat terhadap pusat khidmat DUN yang mengambil geran dan peruntukan negeri serta penilaian semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilihat sebagai tekanan kepada pimpinan PKR Selangor lain dan 'mendedahkan' tingkah laku sebahagian dari mereka.

Pakatan hilang Selangor PRU depan?

Lebih hebat lagi kedua-dua kumpulan kini menggunakan hujah Pakatan akan kalah pada pilihan raya umum (PRU) depan sekiranya agenda mereka tidak diteruskan.

Sumber dari Pejabat MB menyatakan kebimbangan, dengan pemergian Khalid, rizab lebih RM 3 bilion dalam simpanan negeri akan 'diutamakan' untuk tujuan politik partisan dan tidak semestinya untuk rakyat.

Bahkan beliau yang bersama Khalid sejak 2008 mendakwa beberapa program 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' yang dipelopori Khalid bakal dibatalkan atau diubah.

"Apa rakyat akan kata kalau ada pihak sama ada dari PKR dan Pakatan guna duit untuk rakyat sesuka hati mereka," kata beliau.

Malah beliau menyifatkan pemergian Khalid akan 'menyenangkan' kerja BN untuk merampas semula negeri itu.

Ini kerana, kata sumber, pengganti Khalid mungkin tidak mampu membuat keputusan drastik untuk mengatasi kepentingan politik sebagaimana yang diamalkan bekas ketua pegawai eksetutif Guthrie itu. Sementara itu, dari sudut berbeza, sekiranya Khalid berdegil untuk kekal, pergolakan Pakatan akan membawa kepada kehilangan undi kepada negeri itu dan mudah dieksplotasi oleh BN.

"Jadi kalau Khalid tak letak jawatan, memang Pakatan hilang Selangor selepas ini," kata sumber PKR Selangor.

Rakyat akan melihat perbezaan 'cara' Pakatan dan BN menukar MB di negeri masing-masing dan persepsi politik baik merupakan kelebihan yang amat besar dalam mencongak undi. Justeru itu hemah kepimpinan Pakatan dalam menangani perkara ini amat penting agar tidak dilihat sebagai parti yang hanya mahu berpakat sesama politikus dan mengabaikan kehendak, suara dan pandangan 'rakyat.'

Bagaimana agaknya PKR akan menarik rambut dalam tepung di negeri itu? (MK)

Sunday, July 27, 2014
Bagaimana Langkah Selamat MB Khalid Ibrahim? - Aziz Bari.

Oleh  AZIZ BARI
Berasaskan kepada laporan media mengenai krisis politik Selangor mungkin ada yang mendapat tanggapan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempunyai kebebasan untuk memilih langkah yang dirasakannya selamat.

Bagaimanapun pada hakikatnya pilihan beliau tidaklah seluas dan sebebas itu. Ini kerana bukan semua pilihan itu berada di tangan beliau. Sebagai contoh, Khalid tidak boleh melarikan diri dari undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri Selangor dengan memohon pembubaran DUN.
Ini kerana sultan hanya boleh membubarkan DUN sekiranya keadaan sesuai.

Permintaan membubar DUN dari menteri besar yang sedang diancam oleh undi tidak percaya tidak boleh diperkenankan. Dengan kata lain, sekiranya setiap pilihan itu dilakukan mengikut prinsip dan amalan yang betul di sisi perlembagaan, Khalid tidak mempunyai kebebasan untuk memilih apa yang disukainya.

Bagaimanapun tindakan politik tidak semestinya dibuat mengikut prinsip. Sebab itu tindakan Sultan Azlan Shah menolak permintaan membubar DUN Perak dan memecat menteri besar Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin dalam krisis politik 2009 dianggap salah dan dikritik hebat.
Tindakan bekas Ketua Hakim Negara itu dililhat mempunyai kesan berat sebelah dan tidak mengikut ideal yang ditetapkan oleh perlembagaan.

Situasi sedemikian boleh berlaku di Selangor. Apa pun kita perlu meneliti prinsip yang betul. Sama ada ia berlaku atau tidak itu soal istana dan pemain yang ada. Apa pun keputusan dan tindakan mereka semuanya akan menjadi sejarah dan akan dinilai oleh generasi kemudian. Sultan Azlan Shah mungkin dilindungi oleh Akta Hasutan ketika itu dan sekarang.

Bagaimanapun apakah ada jaminan sedemikian 10, 20 atau 100 tahun selepas ini? Nasib baginda mungkin tidak banyak berbeza dengan Sultan Mahmud mangkat dijulang yang tidak dinilai dengan simpati oleh sejarah. Berbalik kepada senario di Selangor, Khalid memberi amaran kepada Pakatan Rakyat supaya jangan berbuat apa-apa kepada beliau.

Sementara itu perkembangan terkini di mana presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi sokongan kepada Khalid kelihatan memberi harapan kepada menteri besar yang tidak digemari oleh PKR itu. Bagaimanapun Hadi sendiri nampaknya sedar PAS sendiri tidak sekata dalam soal ini. Kita masih ingat tahun lepas PAS sendiri ikut serta dalam kumpulan penyokong kerajaan dalam DUN Selangor yang tidak selesa dengan cara Khalid mentadbir negeri.

Usaha menyingkirkan Khalid tidak memerlukan semua 15 ADUN PAS. Satu atau dua ADUN dari PAS sudah cukup untuk memenangkan undi tidak percaya yang didokong oleh PKR dan DAP.
Sehingga ini, DAP memberi sokongan padu kepada resolusi menyingkirkan Khalid. Dan dalam PKR, hanya Khalid yang menentang resolusi itu. Sementara itu speaker, ADUN DAP, boleh mengundi sekiranya kedua-dua pihak mempunyai jumlah yang sama.

Apa pun situasi yang lebih pasti ialah ketidaktentuan. Dan keadaan tidak menentu atau “seri”dalam DUN Selangor sejak Hadi bersuara semalam memberi alasan kepada sultan untuk membubarkan dewan. Dari perspektif istana, dewan perlu dibubarkan kerana sudah wujud keadaan tidak menentu akibat kedua-dua pihak, yakni yang menyokong dan menentang Khalid, seolah-olah sama kuat.

Dalam keadaan sebegini, yang sebenarnya sama dengan senario dalam DUN Perak sewaktu krisis politik 2009, istana perlu mengambil inisiatif untuk menjernihkan keadaan. Dari perspektif perlembagaan, istana mempunyai tanggung jawab untuk mempastikan  sebuah kerajaan wujud setiap masa. Dalam lingo perlembagaan, sebuah kerajaan perlu untuk menasihatkan baginda.

Dalam bahasa biasa, sebuah kerajaan perlu ada setiap masa untuk memerintah dan memerintah di sini maksudnya membuat keputusan dan bertanggung jawab kepada dewan. Sebagaimana yang termaklum perkhidmatan awam tidak dipilih oleh rakyat dan oleh itu tidak boleh dipertanggungjawabkan.

Bagaimana dewan boleh dibubarkan jika menteri besar tidak atau enggan membuat permintaan? Sebenarnya ada dua situasi di mana dewan boleh dibubar. Yang pertama melalui permintaan dari kerajaan yang ada dan yang kedua atas inisiatif istana sendiri. Pembubaran yang kedua ini relevan dalam keadaan yang kritikal.

Ini berlaku, sebagai contoh, apabila kerajaan yang ada enggan membuat permintaan membubar dewan sedangkan sokongan dalam dewan sudah tidak ada atau kian kabur. Dalam situasi sebegini, istana perlu mengambil inisiatif. Ini perlu supaya keadaan tidak menentu dapat ditamatkan dan rakyat boleh membuat keputusan tentang siapa yang mereka mahu untuk mentadbir negeri.

Apa yang kelihatan di Selangor sekarang, khususnya selepas kenyataan Hadi, ialah situasi tidak menentu atau tidak jelas. Dan istana tidak boleh membuat keputusan tentang siapa sebenarnya yang mempunyai dokongan majoriti dalam dewan, sesuatu yang perlu untuk kerajaan meneruskan agenda dan pentadbirannya. Dalam keadaan sebegini, rakyatlah sebaik-baik hakim. Lagipun urusan membentuk kerajaan dalam sistem demokrasi ialah hak rakyat. Istana sekadar membantu.

Sekiranya pilihan raya negeri Selangor diadakan, hasil dari pembubaran dewan ia jelas tidak menguntungkan Khalid secara peribadi. Ini kerana PKR sudah pasti tidak akan mencalonkan beliau. Apa pun kedudukan Khalid sudah tidak penting. Apa yang lebih penting ialah arah tuju negeri itu sendiri. Pilihan raya juga penting untuk rakyat menilai Pakatan Rakyat. Dan mereka akan dapat menimbang apa yang didakwa oleh PKR dan juga DAP tentang Khalid selama ini. Dalam masa yang sama, rakyat akan menilai tindak tanduk PAS yang sikapnya tidak jelas dan berubah-ubah.

Dalam pada itu Umno-Barisan Nasional akan menggunakan kesempatan itu untuk kembali berkuasa.

Bagaimanapun itu tidak mudah untuk berlaku kerana meskipun kajian UMcedel menunjukkan sokongan untuk Pakatan turun 15% sokongan kepada Umno-BN tidak berubah. Ini semacam memberi isyarat rakyat mungkin letih dengan Pakatan tetapi mereka tidak semestinya akan mengundi Umno-BN. Sekiranya pilihan raya diadakan, kita akan tahu apa yang sebenarnya rakyat mahu.

Atas alasan itu adalah wajar jika istana Selangor mengambil langkah yang berbeza dari istana Perak yang jelas membuat perkiraan yang tidak tepat pada 2009. Tetapi apa yang lebih penting ialah langkah membubar dewan dibenarkan oleh perlembagaan, undang-undang utama negara.
Apa yang menarik secara keseluruhanya dalam krisis menteri besar Selangor ini ialah ia bermula dengan parti, khususnya PKR, semacam mampu membuat keputusan dan mengawal keadaan.

Tetapi ini kelihatan berubah dan tidak mustahil jika selepas ini krisis ini akan berakhir dengan kata putus berada di tangan pihak lain, khususnya istana. Apa pun yang penting rakyat diberikan peluang untuk membuat keputusan tentang siapa yang mereka mahu untuk memimpin dan mentadbir negeri Selangor. – 27 Julai, 2014.

Dr Abdul Aziz Bari ialah mantan profesor undang-undang UIAM yang kini mengajar di Fakulti Sains Sosial, Unisel.
Ibnu Hasyim: Bagaimana Langkah Selamat MB Khalid Ibrahim? - Aziz Bari.

Friday, August 01, 2014
Wajarkah S'gor Dijadikan Batu Loncatan Pakatan Ke Putrajaya?
ANALISIS Oleh
THE MALAYSIAN INSIDER
Published: 1 August 2014


Walaupun tidak dapat dinafikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah pemimpin yang prihatin dengan rakyat, bukan itu sahaja yang menjadi kayu ukur seorang pemimpin yang berkesan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Ogos, 2014.  

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mempersoalkan hasrat Pakatan Rakyat (PR) untuk menjadikan negeri pimpinannya sebagai papan lonjakan  ke Putrajaya.

Menurut Khalid, langkah ini “tidak memenuhi hasrat rakyat negeri Selangor”.

Untuk itu, Khalid menyarankan agar pembangkang mendapatkan “mandat baru dari rakyat” dalam pilihan raya akan datang untuk melaksanakan projek Putrajaya melalui Selangor ini.
Kenyataan Khalid ini dibuat samada sebagai alasan untuk beliau terus menguasai kerusi menteri besar Selangor atau kenaifan bacaan politiknya.

Apa pun rasional di sebalik kenyataan Khalid ini, Selangor dan juga negeri-negeri lain di bawah PR adalah penting sebagai showcase kepada keupayaan pembangkang mentadbir dan mengurus hal ehwal rakyat berdasarkan acuan baru yang acapkali ia laungkan dalam pilihan raya.

Atas dasar inilah, Selangor amat penting kepada PR. Atas kepentingan inilah, isu kepimpinan negeri Selangor perlu ditangani segera. Dan atas logik inilah, Selangor wajar dijadikan papan lonjakan PR ke Putrajaya.

Kepentingan Selangor kepada Pakatan

Adalah suatu perkara yang lazim bahawa umum hanya akan dapat menerima sesuatu pendekatan atau dasar apabila ianya sudah lama dilaksanakan.

Strategi ‘menawan’ sesebuah pentadbiran tempatan atau wilayah untuk dijadikan modal politik untuk merebut kuasa di peringkat lebih tinggi mungkin agak luar biasa di Malaysia, tetapi ia adalah strategi politik yang popular dalam kalangan negara luar.

Sewaktu Recep Tayyip Erdogan menjadi gabenor Istanbul, beliau melaksanakan pelbagai program yang meningkatkan kualiti hidup warga kota tersebut.

Daripada kejayaan tersebut, beliau dan parti pimpinannya dapat memaparkan visi mereka kepada seluruh warga Turki.

Ini membolehkan beliau melonjak ke tampuk kuasa tertinggi di Turki. Hal yang sama turut dilalui oleh Lee Myung Bak yang menggunakan kejayaan beliau sebagai Datuk Bandar Seoul  (beberapa siri projek penambahbaikan alam sekitar yang meningkat kualiti hidup dan imej bandaraya Seoul menjadi kekuatan kepimpinan beliau) sebagai batu loncatan untuk menjadi presiden Korea Selatan.

Lebih dekat lagi adalah lonjakan kerjaya Joko Widodo (Jokowi) daripada Datuk Bandar Solo ke gabenor Jakarta sehingga dipilih menjadi presiden Republik Indonesia.

Kejayaan Jokowi didorong program-program mesra rakyat marhaen serta sikap tiada toleransi terhadap rasuah dan kelemahan birokrasi yang diamalkan sepanjang beliau memimpin Solo dan Jakarta.

Jadi, apa salahnya PR menjadikan Selangor sebagai showcase kebolehan mereka mentadbir Malaysia berasaskan dasar keadilan sosial, prinsip demokrasi serta tadbir urus yang baik?

Malah, strategi ini wajar disokong agar rakyat dapat membuat pilihan yang lebih objektif dan pragmatik dalam pilihan raya akan datang. Inilah kepentingan Selangor kepada PR.
 
Apa halnya dengan Khalid Ibrahim?
 
Masalah yang dihadapi PR ketika mentadbir Selangor adalah memastikan Khalid melaksanakan program yang sudah dipersetujui bersama.

Berasaskan pemerhatian dan perbincangan dengan individu yang berpengetahuan tentang politik Selangor, prestasi Khalid pada penggal pertama hanya bertaraf sederhana.

Ini kerana beliau mengambil masa yang agak lama untuk merencana dan melaksana program-program kerajaan negeri serta kerap dilakukan secara bersendirian tanpa penglibatan pimpinan lain.

Penggal pertama beliau sebagai menteri besar Selangor menyaksikan pelancaran beberapa program dan inisiatif yang menarik, tetapi kurang menjana perhatian umum.

Kelemahan penerangan

Seperti contoh, pelaksanaan program “Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES)” melihat aliran dana yang besar terhadap aktiviti seperti Takaful Kifalah untuk warga tua, bantuan kebajikan untuk keluarga peladang, pelajar dan program mikrokredit.

Satu lagi elemen dalam program MES ialah bekalan air percuma 20 meter padu untuk setiap rumah kediaman di Selangor.

Pada asasnya, MES adalah program yang menguntungkan rakyat, dan Khalid wajar menerima kredit atas inisiatif mesra rakyat kerajaan negeri ini.

Bagaimanapun, Khalid tidak melabur dalam usaha mewar-warkan program ini kepada umum.
Dalam konteks program MES ini, ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk menyalurkan bantuan, tetapi ianya tidak menghasilkan peningkatan sokongan di kalangan kumpulan sasaran.

Anda mungkin mempersoalkan kritikan yang tampak remeh ini, tetapi sedarlah bahawa khidmat kerajaan bukan sahaja perlu dilaksanakan dengan baik, ia juga perlu dilihat rakyat dilaksanakan dengan baik.

Bukankah bagus sekiranya rakyat di Pahang, Perak, Sarawak, Sabah dan Negeri Sembilan tahu tentang kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan Selangor untuk rakyatnya?

Ia memungkinkan rakyat negeri-negeri lain mendesak kerajaan negeri masing-masing untuk menambahbaik mutu perkhidmatan mereka atau memberi peluang kepada PR untuk melaksanakan program serupa di negeri-negeri ini.

Sampah

Satu lagi inisiatif terkenal Khalid ialah menamatkan kontrak kutipan sampah syarikat Alam Flora Berhad apabila tempoh perjanjian konsesi yang bersifat monopoli ini tamat pada 2011.

Hasrat di sebalik tindakan ini adalah baik kerana ia cuba menamatkan amalan monopoli yang berleluasa semasa pemerintahan BN.

Bagaimanapun, Khalid mengundang kontroversi apabila pelan tindakan alternatif tidak dibincangkan secara terperinci dengan pimpinan tertinggi PR dan pimpinan akar umbi di Selangor.

Akibatnya apabila kontrak Alam Flora berakhir, kemampuan kontraktor-kontraktor kecil yang dilantik menggantikan syarikat ini agak meragukan sehingga menyebabkan kemerosotan mutu perkhidmatan yang menimbulkan kemarahan rakyat.

Bekalan air

Satu ‘mercu tanda’ Khalid adalah usaha pengambil alihan konsesi bekalan air yang diswastakan oleh BN pada awal tahun 1990-an yang menjadi satu ‘perjuangan’ besar Khalid Ibrahim pada penggal pertama pemerintahannya.

Pada asasnya, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak dapat memenuhi syarat pembekalan seperti yang termaktub di dalam perjanjian dengan kerajaan negeri.

Oleh itu, Khalid mahu kerajaan negeri menamatkan perjanjian tersebut dan perkhidmatan bekalan air dikembalikan semula kepada kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, kerajaan pusat ingin membangunkan loji penapisan air baru yang dinamakan ‘Langat 2’ yang menelan belanja yang tinggi untuk memastikan keperluan air di Selangor dan Kuala Lumpur dapat terus dipenuhi.

Jika projek ini diluluskan, kos pembinaan loji tersebut akan ditanggung pengguna menerusi caj bayaran air yang akan bertambah.

Sekali lagi hasrat Khalid untuk mengkaji semula konsensi bekalan air adalah wajar, tetapi beliau mengambil masa yang lama (hampir enam tahun) dan secara berseorangan untuk mengendalikan perkara ini.

Akhirnya apabila Langkah Kajang diumumkan dan pilihan raya kecil diisytiharkan, Khalid tiba-tiba menandatangani persefahaman dengan kerajaan pusat untuk meluluskan projek Langat 2 serta menerima pengambil alihan aset bekalan air Selangor oleh kerajaan pusat.

Ini bermaksud selepas enam tahun rundingan dan tekanan dikenakan kepada syarikat konsesi air dan kerajaan pusat, Khalid akhirnya menyerahkan aset air negeri dengan mudah.

Sekali lagi, perkara yang melibatkan berbilion ringgit ini tidak dirujuk kepada pimpinan parti sebelum ia dimeterai.

Di sinilah masalah utama gaya kepimpinan Khalid. Beliau terlalu taksub dengan keupayaan sendiri sehingga tidak menghiraukan pandangan pakar mahupun masyarakat.

Kegagalan Khalid bertindak pantas dalam isu konsensi air menyebabkan kerajaan pusat melaksana undang-undang di peringkat persekutuan yang membolehkan mereka mengambil alih pengurusan air daripada kerajaan negeri.

Akibatnya, rancangan kerajaan negeri untuk menguasai konsensi air terbantut dan yang lebih teruk nasib rakyat terjejas dengan ketidakcekapan pengurusan air di Selangor.

Jika khidmat asas seperti bekalan air pun tidak dapat diuruskan dengan baik, bagaimana PR dapat mentadbir negara?

Kepincangan kepimpinan Khalid meletakkan PR dalam keadaan dilema. Adakah ia mahu membiarkan Khalid mentadbir sesuka hati beliau ataupun menghentikan perkhidmatannya?
Ini kerana pada peringkat awal pemerintahannya, Khalid sememangnya bertindak atas dasar mementingkan rakyat, tetapi  modus operandi yang beliau ambil adalah secara bersendirian, tidak demokratik dan tidak telus.

Akhirnya kepimpinan Khalid  menyakiti rakyat dan menganggu gugat tahap pembangunan negeri. Secara tidak langsung, PR mendapat tempias daripada pandangan negatif ini yang akhirnya menjejaskan peluang pakatan parti ini untuk menjadi  kerajaan alternatif.

Cabaran yang dihadapi pimpinan pusat PR ialah mengurus seorang pemimpin negeri yang mempunyai ego yang besar dan tidak mengiraukan kesan daripada tindakan yang diambilnya.
Pada waktu yang sama, wakil-wakil rakyat Selangor terpaksa berdepan dengan aduan dan kemarahan rakyat tanpa mengira lapisan umur, bangsa dan kelas.

Para penyokong Khalid sering mendakwa atas sebab kepimpinan beliaulah PR menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mereka terlupa sesuatu, mungkinkah rakyat akan menyokong PR sekiranya bekalan asas seperti air dicatu?

Selama manakah alasan yang menyalahkan syarikat pembekal boleh diterima rakyat biasa?
Bayangkan gaya kepimpinan Khalid ini berterusan untuk empat tahun lagi sehingga pilihan raya yang berikutnya.

Apakah kesan jangka panjang dari isu-isu yang tidak dapat diselesaikan dan membawa kemarahan rakyat seperti masalah kutipan sampah, pemutihan kilang haram, permohonan pembinaan perumahan, pembinaan tapak komersil, penyelengaraan jalan raya, proses perancangan belanjawan negeri dan lain-lain lagi? Tidak dinafikan bahawa nilai integriti Khalid adalah tinggi dan wajar dipuji serta dijadikan contoh.

Namun nilai terpuji ini tidak menjadi satu-satunya kayu ukur kepada kepimpinan yang baik.
Rakyat menuntut seorang pemimpin yang jujur, responsif, demokratik, sentiasa mendengar, progresif, inklusif dan merendah diri. Ciri-ciri inilah yang tampak kurang pada diri Khalid.

Bayangkan diri anda berada dalam kedudukan PR.

Apakah yang anda akan lakukan sekiranya salah seorang pemimpin harapan anda berbuat sesuka hati tanpa menghiraukan pandangan dan nasihat parti komponen Pakatan yang lain, pemimpin partinya sendiri, ahli parti dan rakyat?

Berapa lamakah anda boleh bertahan dan sentiasa memohon maaf bagi pihaknya dan melindungi kelemahan pemimpin tersebut?

Dan apakah yang anda akan lakukan sekiranya kepincangan pemimpin ini mampu meranapkan usaha anda mempertahankan negeri yang terkaya di Malaysia dan yang lebih penting menjejaskan peluang anda merampas Putrajaya?

Adakah anda hanya berdiam diri? Adakah anda akan mengetepikan harapan 53% pengundi Malaysia? Persoalan-persoalan sukar inilah yang perlu ditangani pemimpin Pakatan sekarang.

Kesudahan Langkah Kajang:  Tersungkur atau terlonjak ke Putrajaya?

“Langkah Kajang” adalah suatu tindakan drastik yang terpaksa dilakukan untuk menghentikan hakisan kepercayaan rakyat kepada PR.

Oleh kerana Khalid tidak menghiraukan saranan, apatah lagi cadangan pimpinan PR ataupun aduan awam, adalah perlu beliau diganti dengan pemimpin lain yang boleh melaksanakan program dan urus tadbir kerajaan negeri seperti visi dan hala tuju PR.

Tindakan menggantikan menteri besar ini bukanlah perkara yang asing. Malah, Barisan Nasional (BN) sendiri baru-baru ini menggantikan menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi memastikan parti tersebut mampu mempertahankan Terengganu yang nampak goyah selepas PRU13.

Bezanya, BN mempunyai sumber dan kuasa penuh kerajaan pusat untuk memastikan proses pertukaran menteri besar berlaku dengan lancar (walaupun pada mulanya timbul konflik besar dalam kalangan pemimpin Umno negeri).

Pimpinan PR, bagaimanapun, hanya mempunyai kemampuan untuk mendesak.
Cubaan menggugurkan Khalid menimbulkan pelbagai reaksi serta percaturan politik yang dipengaruhi kepentingan peribadi:

  • Khalid enggan berundur kerana beliau rasa berhak meneruskan tugas sehingga akhir penggal. Di samping itu beliau turut dipengaruhi pihak lain yang berkepentingan untuk melihat Selangor terus dikepalai beliau mungkin atas dasar “musuh kepada musuhku adalah kawanku”  – lihat bagaimana Bank Islam Malaysia Berhad (anak syarikat Lembaga Urusan Tabung Haji) secara mengejut tiba-tiba melupuskan hutang RM66.7 juta Khalid. Hal ini membuatkan integriti beliau dipersoal oleh pimpinan parti;
  • Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang turut menyokong Khalid agar dikekalkan sebagai menteri besar atas pelbagai sebab, walaupun sumbang saran dalam kalangan akar umbi PAS Selangor mahukan Khalid diganti. Adakah pendirian presiden parti Islam ini dipengaruhi oleh ahli keluarga dan rakan/penasihat parti terdekat yang mendapat manfaat daripada Khalid menerusi syarikat GLC Selangor? Allah sahaja yang mengetahui.
  • Pimpinan Umno/BN tentu gusar sekiranya seteru abadi mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menguasai Selangor. Ini kerana Umno bimbang Anwar akan menggunakan segala kekuatan yang ada di Selangor untuk membina bala tentera politik dan jentera untuk menawan Putrajaya. Atas sebab inikah kes rayuan liwat 2.0 Anwar secara tiba-tiba diawalkan dan keputusan mendapati Anwar bersalah dikeluarkan sebelum Anwar dapat mengemukakan pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada bulan Februari yang lepas?
  • Masyarakat umum, media arus perdana dan penganalisis politik sering mempertikaikan motif Anwar merencanakan Langkah Kajang ini. Terdapat penyokong Khalid yang menabur dakwaan bahawa ianya dilakukan untuk merebut dana dan kedudukan dalam kerajaan negeri, ada pula yang berkata ianya perbuatan terdesak untuk menghidupkan kerjaya politik Anwar yang kian lesu. Ada pula yang muak dengan apa yang mereka lihat adalah helah politik untuk mengalih pandangan rakyat dari kelemahan PR dari memenuhi keperluan dan penyelesaian masalah umum. Sejauh manakah mereka faham implikasi sebenar langkah ini dan maksudnya untuk rakyat biasa sekiranya isu ini dibenarkan berterusan?
Kesimpulan
 
Punca dan implikasi kemelut politik Selangor ini sememangnya kompleks dan rumit untuk dibincang dalam penulisan singkat sebegini.

Jika diamati, ianya adalah pertembungan antara PR dan BN serta sekutu mereka (samada mereka sedar ataupun tidak).

Walaupun perlu berdepan tentangan dari parti lawan, visi dan perancangan PR di Selangor sememangnya boleh dilaksanakan, tetapi laluannya sudah pasti menjadi sukar apabila pimpinan tertinggi negeri tidak menghiraukan saranan serta keputusan pimpinan pusat, wakil rakyat negeri dan orang ramai.

PR adalah sama seperti gagasan politik lain yang sememangnya tidak sempurna. Ini ditambah lagi dengan isu kekurangan sumber, pengalaman mengelolakan kerajaan dan hayat kesepakatan yang masih muda.

Tetapi ia berpotensi menjadi gagasan politik yang terbaik untuk menandingi BN di peringkat nasional.

Oleh itu, pemimpin PR dan masyarakat umum perlu menilai kemelut Selangor ini secara menyeluruh, seimbang, pragmatik dan rasional.

Malaysia memerlukan pesaingan politik yang sihat dan kompetetif agar kestabilan dapat dipelihara, kebajikan rakyat diutamakan dan keadilan didaulatkan. – 1 Ogos, 2014.

Bahagian I dan II di sini
Ibnu Hasyim: Wajarkah S'gor Dijadikan Batu Loncatan Pakatan Ke Putrajaya?

Saturday, December 23, 2017
Artikel Malaysiakini Melampau Pro-Israel?

SEMALAM Malaysiakini portal terkenal propembangkang secara biadab berani menyiarkan satu artikel “Pro-Israel” dalam portal mereka.

Di saat rakyat Malaysia dan antarabangsa mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan pejabat kedutaannya ke Baitulmaqdis, tiba-tiba Malaysiakinibersikap pro-Israel.

Di saat semua anggota Majlis Keselamatan PBB (kecuali AS) mengundi kecam tindakan AS, tiba-tiba Malaysiakini mahu menyalahgunakan kebebasan media untuk menyakitkan hati rakyat Malaysia.

Ini termasuk perhimpunan solidariti di Putrajaya hari ini bersama Perdana Menteri untuk membantah tindakan Presiden Donald Trump itu.

Artikel itu bukan sahaja mengecam tindakan Najib, Malaysia dan dan Turki yang dianggap bodoh tetapi membuat provokasi melampau dengan mengatakan Jerusalem telah menjadi ibu negara Jewish sejak 3,000 tahun lalu.

Bahkan masyarakat Yahudi kononnya adalah majoriti sehingga ke tahun 1800 semasa pemerintahan Kerajaan Uthmaniah.

Bukan itu sahaja, si penulis menggunakan hujah, bahawa dalam Al Quran hanya menyatakan Jerusalem kota suci ketiga kepada umat Islam berbanding Judaismmenyatakan ia adalah kota paling suci untuk orang Yahudi.

Hakikatnya orang Palestin adalah majoriti di Baitulmaqdis sehinggalah ke tahun 1900-an apabila penjajah British menggalakkan perpindahan haram penduduk Yahudi ke kawasan berkenaan.

Apakah rakyat Malaysia yang berhimpun hari ini adalah bodoh? Malaysiakini memang melampau. - MYNEWSHUB.CC
Mohd Puad Zarkashi,
MT UMNO
22.12.17
Ibnu Hasyim: Artikel Malaysiakini Melampau Pro-Israel?
Daftar Isi Al-Quran dan Terjemahan - Silakan Klik untuk membacanya:

  1. Surat Al Fatihah (Pembukaan)
  2. Surat Al Baqarah (Sapi Betina)
  3. Surat Ali 'Imran (Keluarga 'Imran)
  4. Surat An Nisa' (Wanita)
  5. Surat Al Ma'idah (Hidangan)
  6. Surat Al An'am (Binatang Ternak)
  7. Surat Al A'raf  (Tempat Tertinggi)
  8. Surat Al Anfal (Rampasan Perang)
  9. Surat At Taubah (Pengampunan)
  10. Surat Yunus (Nabi Yunus A.S.)
  11. Surat Hud (Nabi Huud A.S.)
  12. Surat Yusuf (Nabi Yusuf A.S.)
  13. Surat Ar Ra'd (Guruh)
  14. Surat Ibrahim (Nabi Ibrahim A.S.)
  15. Surat Al Hijr (Daerah Pegunungan)
  16. Surat An Nahl (Lebah)
  17. Surat Al Israa' (Memperjalankan Di Malam Hari)
  18. Surat Al Kahfi (Gua)
  19. Surat Maryam (Maryam)
  20. Surat Thaha (Thaahaa)
  21. Surat Al Anbiya' (Kisah Para Nabi)
  22. Surat Al Hajj (Ibadah Haji)
  23. Surat Al Mu'minun (Orang Mukmin)
  24. Surat An Nur (Cahaya)
  25. Surat Al Furqaan (Pembeda)
  26. Surat Asy Syu'ara' (Penyair)
  27. Surat An Naml (Semut)
  28. Surat Al Qashash (Cerita)
  29. Surat Al 'Ankabuut (Laba-Laba)
  30. Surat Ar Ruum (Bangsa Rumawi)
  31. Surat Luqman (Luqman)
  32. Surat As Sajdah ((Sujud)
  33. Surat Al Ahzab (Golongan Yang Bersekutu)
  34. Surat Saba' (Kaum Saba')
  35. Surat Fathir (Pencipta)
  36. Surat Yaasiin
  37. Surat Ash Shaffat (Yang Bershaf-Shaf)
  38. Surat Shaad
  39. Surat Az Zumar (Rombongan-Rombongan)
  40. Surat Al Mu'min (Orang Yang Beriman)
  41. Surat Fushshilat (Yang Dijelaskan)
  42. Surat Asy Syuura (Musyawarah)
  43. Surat Az Zukhruf (Perhiasan)
  44. Surat Ad Dukhaan (Kabut)
  45. Surat Al Jaatsiyah (Yang Berlutut)
  46. Surat Al Ahqaaf (Bukit Pasir)
  47. Surat Muhammad (Nabi Muhammad SAW)
  48. Surat Al Fath (Kemenangan)
  49. Surat Al Hujuraat (Kamar-Kamar)
  50. Surat Qaaf
  51. Surat Adz Dzaariyaat (Angin Yang Menerbangkan)
  52. Surat Ath Thuur (Bukit)
  53. Surat An Najm (Bintang)
  54. Surat Al Qamar (Bulan)
  55. Surat Ar Rahmaan (Yang Maha Pemurah)
  56. Surat Al Waaqi'ah (Hari Kiamat)
  57. Surat Al Hadid (Besi)
  58. Surat Al Mujadilah (Wanita Yang Mengajukan Gugatan)
  59. Surat Al Hasyr (Pengusiran)
  60. Surat Al Mumtahanah (Wanita Yang Diuji)
  61. Surat Ash Shaff (Barisan)
  62. Surat Al Jumu'ah (Hari Jum'at)
  63. Surat Al-Munafiqun (Orang-Orang Munafik)
  64. Surat At Taghabun (Hari Ditampakkan Kesalahan-Kesalahan)
  65. Surat Ath Thalaaq (Talak)
  66. Surat At Tahrim (Mengharamkan)
  67. Surat Al Mulk (Kerajaan)
  68. Surat Al Qalam (Pena)
  69. Surat Al Haqqah (Kiamat)
  70. Surat Al Ma'arij (Tempat-Tempat Naik)
  71. Surat Nuh (Nabi Nuh A.S)
  72. Surat Al Jin (Jin)
  73. Surat Al Muzzammil (Orang Yang Berselimut)
  74. Surat Al Muddatstsir (Orang Yang Berselimut)
  75. Surat Al Qiyamah (Hari Kiamat)
  76. Surat Al Insaan (Manusia)
  77. Surat Al Mursalat (Malaikat-Malaikat Yang Diutus)
  78. Surat An Naba´ (Berita Besar)
  79. Surat An Naazi´ (Malaikat-Malaikat Yang Mencabut)
  80. Surat 'Abasa (Bermuka Masam)
  81. Surat At Takwir (Menggulung)
  82. Surat Al Infithar (Terbelah)
  83. Surat Al Muthaffifiin (Orang-Orang Yang Curang)
  84. Surat Al Insyiqaaq (Terbelah)
  85. Surat Al Buruuj (Gugusan Bintang)
  86. Surat Ath Thaariq (Yang Datang Di Malam Hari)
  87. Surat Al A´Laa (Yang Paling Tinggi)
  88. Surat Al Ghaasyiyah (Hari Kiamat)
  89. Surat Al Fajr (Fajar)
  90. Surat Al Balad (Negeri)
  91. Surat Asy Syams (Matahari)
  92. Surat Al Lail (Malam)
  93. Surat Adh Dhuhaa (Waktu Dhuha)
  94. Surat Alam Nasyrah /Al Insyirah (Bukankah Kami Telah Melapangkan)
  95. Surat At Tiin (Buah Tin)
  96. Surat Al 'Alaq (Segumpal Darah)
  97. Surat Al Qadr (Kemuliaan)
  98. Surat Al Bayyinah (Bukti Yang Nyata)
  99. Surat Al Zalzalah (Goncangan)
  100. Surat Al 'Adiyat (Kuda Perang Yang Berlari Kencang)
  101. Surat Al Qari'ah (Hari Kiamat)
  102. Surat At Takatsur (Bermegah-Megahan)
  103. Surat Al 'Ashr (Masa)
  104. Surat Al Humazah (Pengumpat)
  105. Surat Al Fiil (Gajah)
  106. Surat Quraisy (Suku Quraisy)
  107. Surat Al Ma'un (Barang-Barang Yang Berguna)
  108. Surat Al Kautsar (Nikmat Yang Banyak)
  109. Surat Al Kafirun (Orang-Orang Kafir)
  110. Surat An Nashr (Pertolongan)
  111. Surat Al Lahab (Gejolak Api)
  112. Surat Al Ikhlas (Memurnikan Keesaan Allah)
  113. Surat Al Falaq (Waktu Subuh)
  114. Surat An Naas (Manusia)
... 


Tiada ulasan: