Isnin, 1 Jun 2020

Touch and Go. 10280


PAS yang tersalah haluan - By LIEW CHIN TONG


Perencanaan Muafakat Nasional antara Pas dan Umno bukanlah sebegitu mudah bagai disangka. Ia tidak boleh dinilai secara sekali imbas. 


Sebagai mahasiswa sains politik yang mengkaji Pas dan kemudian sebagai ahli politik yang bekerja rapat dengan pemimpin PAS, saya sering terkenang peluang-peluang yang dilepaskan Pas dalam mengubah haluan sejarah politik Malaysia. Barangkali, itu lah dia kisah salah langkah Pas. 


Sejak pilihan raya umum 1999 sehingga perceraian Pas dengan Pakatan Rakyat pada bulan Jun 2015, wujud dua jalur pemikiran dalam Pas. Satunya mungkin boleh saya sebut sebagai para ‘asolah’ (purists) dan yang satu lagi para pengarus-perdana (mainstreamers). 


Para ‘asolah’ ini hanya berminat untuk menang di kawasan-kawasan Melayu – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis – dengan tafsiran literal dan seringkali bersifat setempat terhadap Islam. Mereka tidak berminat untuk memenangi undi orang bukan-Islam dan mereka gembira memecahkan gabungan nasional yang menuntut kompromi. 


Para pengarus-perdana pula, satu istilah yang digunakan mantan presiden Pas Almarhum Ustaz Fadzil Noor dalam salah satu ucapan muktamarnya, muncul daripada PRU 1999 apabila calon-calon parti itu yang mempunyai kelayakan profesional menang di beberapa kerusi parlimen di luar Kelantan dan Terengganu.


Ia juga merupakan indikasi potensi boleh-menang Pas di peringkat kerajaan pusat dalam sebuah gabungan berbilang kaum. Parti itu memenangi 27 kerusi Parlimen, di tengah gelombang reformasi Anwar Ibrahim.


Namun para pengarus-perdana ini berdepan kendala apabila Ustaz Fadzil meninggal dunia pada bulan Jun 2002. Ustaz Hadi Awang yang menggantikan Almarhum menyokong pendekatan garis keras. Menjelang PRU Mac 2004, parti itulah menawarkan Dokumen Negara Islam yang dilancarkan pada November 2003. Pas ditolak di seluruh negara.


Kemudian dari itu, para pengarus-perdana ini mendapat sedikit kelebihan, meski tidak berdepan jalan mudah antara tahun 2005 dan 2013.


Para ‘asolah’ yang terkedepan ketika peralihan kuasa pada tahun 1982 ke atas presiden parti pada waktu itu, Datuk Asri Muda; kini diperkukuh dengan generasi garis keras baharu. Atas beberapa sebab mereka ini mudah mendekati lingkungan mantan perdana menteri Najib Razak selepas PRU 2013.


Kehilangan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz – penimbang tara antara puak dalaman ini – pada 12 Februari 2015 akhirnya membuka jalan bagi mereka yang sudah lama beriya mahu bersama Najib dan Umno meski berdepan skandal mega 1MDB.


Pihak lawan mereka kalah teruk dalam pemilihan parti pada muktamar 2015. Kepimpinan paru para asolah yang pro-Umno memutuskan untuk berhenti bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.


Dengan berkuburnya Pakatan Rakyat, Parti Amanah Nasional ditubuhkan oleh mantan anggota dan pemimpin Pas pada 16 September 2015, diikuti pembentukan Pakatan Harapan pada 22 September 2015.


Menyangkal perjuangan 40 tahun


Kerjasama antara Pas dan Umno sepanjang 2014-2018 berkemuncak dengan Pas bertanding sebagai ‘spoiler’ dalam PRU yang lalu. Apabila Barisan Nasional tewas buat pertama kali dalam sejarah, kedua-dua parti Melayu itu memutuskan untuk menubuhkan Muafakat Nasional pada 2019, justeru menyangkal perjuangan Pas sepanjang tahun-tahun sebelumnya sejak 1982.


1. Daripada anti-assabiyah kepada ultra-Melayu


Idea ‘kepimpinan ulama’ adalah laungan pada 1982 bagi membezakan kepimpinan baharu dengan retorik lama Datuk Asri yang mengutamakan Melayu – zaman di mana orang Melayu memandang Pas sebagai parti orang kampung. Kepimpinan baharu 1982 mengangkat slogan menentang assabiyah – yang merujuk Umno sebagai sebuah parti Melayu sekular dan mesti dihancurkan.


2. Daripada anti-Umno, kini memeluk Umno


Pada masa yang sama, kumpulan Terengganu daripada generasi 1982 yang dipimpin Hadi Awang menganjurkan sebuah usaha membezakan antara Pas dan Umno. Seakan perbezaan mazhab, orang Pas tidak akan solat berimamkan orang Umno, malah sanggup solat berasingan. Dengan pengalaman yang sedemikian perit, satu-satunya alasan yang diberikan supaya Pas dan Umno dapat bekerjasama ialah kononnya menentang dominasi DAP dan orang bukan-Melayu. Ini amat meragukan apabila demikian ramai akar umbi Pas mempunyai hubungan yang baik dengan anggota DAP di bawah Pakatan Rakyat, termasuk ketika menyusun perhimpunan Bersih, antara tahun 2008 dan 2015.


3. Imej Islam dalam politik


Tahun 1982 adalah saat perubahan dalam politik Melayu. Bukan sahaja Pas mendapat kepimpinan baharu, Umno di bawah kepimpinan perdana menteri baharu Dr Mahathir Mohamad membawa masuk presiden ABIM, Anwar Ibrahim bagi menyuntik semangat Islam kepada Umno. Para pemimpin muda Pas, terutamanya Fadzil Noor dan Hadi Awang juga datang dari ABIM. Kebangkitan Islam pada zaman 1970’an diwakili di kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang. Pada 1982, simbolisme Islam dikira cukup kuat untuk menarik sokongan politik orang Melayu-Islam kepada kedua-dua pihak.


Pun begitu, hari ini komuniti muslim sudah lebih sofistikated. Memberitahu seseorang bahawa ‘sukuk’ – sebuah produk perbankan Islam – sebagai sesuatu yang bagus sudah tidak memadai. Ketika sukuk digunakan untuk mencuri wang 1MDB, sekurang-kurangnya separuh populasi orang Islam tidak akan menerima suatu urusniaga korup sebagai halal, tidak kira apa pun namanya.


Tiada cara untuk Pas mengabsahkan jenayah kewangan Najib terhadap negara. Malah adalah amat pedih bagi akar umbi Pas untuk bekerja dengan Umno yang masih dikuasai mereka yang mempunyai rekod meragukan dalam hal-hal skandal kewangan.


Satu campur satu tidak semestinya bersamaan dua


Hari ini banyak klise dikitar-semula dalam komentar politik Malaysia. Yang paling kerap diulang ialah bagaimana gabungan undi Pas dan Umno dalam pilihan raya 2018 dapat menafikan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14.


Perkara pertama yang saya pelajari daripada penyelia tesis saya, John Funston pada 2002 ketika saya mula-mula mengkaji Pas ialah parti itu biasanya menerima 30 peratus undi Melayu dalam kebanyakan pilihanraya. Kebanyakannya mengundi Pas bukan kerana mereka suka kepada Pas tetapi kerana atas sebab tertentu mereka tidak suka kepada Umno dan Barisan Nasional.


Hal yang sama turut terpakai pada 2018. Ratusan ribu dari Kuala Lumpur pulang ke kampung halaman di Terengganu dan Kelantan mengundi Pas kerana mereka percaya bahawa parti Islam itu mempunyai peluang yang lebih baik menewaskan calon-calon Najib. Tidak bermakna bahawa mereka suka kepada Pas.


Mereka sama sahaja seperti orang di Pantai Barat Semenanjung yang mengundi Pakatan Harapan kerana mahu menendang keluar Barisan Nasional. Pilihan raya lalu adalah pilihan raya anti-Najib dan anti-kleptokrasi.


Hari ini, kebanyakan pengundi yang memilih Pas pada PRU14 mungkin tidak mengundi Umno mahupun Pas jika Umno masih dipimpin Zahid Hamidi, Najib Razak dan Tengku Adnan Mansor – yang masing-masing berdepan kes-kes rasuah di mahkamah.


Strategi Muafakat Nasional bukanlah strategi pilihan raya. Ia merupakan suatu upaya untuk membakar sentimen perkauman terhadap Pakatan Harapan. Kepada orang Melayu, mereka katakan DAP menguasai kerajaan; dan pada orang bukan-Melayu, mereka tuduh Dr Mahathir mengawal segalanya. Tujuannya ialah untuk menghancurkan semuanya dan memecahkan Pakatan Harapan dari tengah.


Pas akan berdepan jalan sukar untuk menang dalam PRU akan datang. Setelah membakulsampahkan semangat 1982, parti itu kini dipukau oleh Zahid dan Najib; mendakap segala yang mereka benci selama hampir 40 tahun. Pas memang telah tersalah haluan.


Justeru, satu tambah satu – Pas dan Umno – tidak semestinya bersamaan dua.


Sumber: 

KERENGGA: PAS yang tersalah haluan


Peralihan kerajaan mungkin sebelum sidang parlimen pada Julai - Salahuddin  Oleh Geraldine Tong 


Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub memberi gambaran bahawa Pakatan Harapan mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum persidangan parlimen akan datang, yang dijangka bermula pada Julai.


Salahuddin berkata demikian selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim memaklumkan dalam hantaran di Facebook bahawa beliau mempengerusikan mesyuarat PH di Petaling Jaya petang tadi.


“Kita membincangkan beberapa agenda mengenai ... perjalanan ke Putrajaya, kita masih mempunyai peluang cerah untuk kembali ke Putrajaya.


"(Kita boleh) tunggu hingga parlimen bermula pada Julai atau kita boleh lakukannya sebelum tempoh tersebut.


"Saya rasa (mengambil alih kerajaan) di luar parlimen juga tidak mengapa, tidak bertentangan dengan perlembagaan," kata Salahuddin kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai mesyuarat tersebut hari ini.


Beliau berkata PH sudah memiliki jumlah sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan baru, yang menyebabkan mereka mengadakan beberapa mesyuarat sebelum hari ini lagi.


"Kami sudah mempunyai jumlah (sokongan). Saya rasa kita hanya akan memaklumkan keadaan kami terhadap Yang di-Pertuan Agong. Saya rasa kita boleh melakukannya,” katanya.


Ketika ditanya sama ada mereka memiliki sokongan 129 ahli parlimen atau tidak, seperti yang disebut-sebut di media sosial beberapa hari lalu, beliau hanya tertawa dan mengatakan itu hanyalah "khabar angin".


Salahuddin berkata bahawa beliau merupakan seorang yang praktikal dan merasakan PH perlu menentukan jumlah yang mereka ada sekarang dan bagaimana untuk terus ke hadapan.


Ditanya adakah ia bermakna mereka akan bertemu dengan Agong tidak lama lagi, Salahuddin tidak memberikan jawapan yang jelas.


"Tunggu dan lihat, okey. Kita memerlukan masa,” katanya.


Semalam, Anwar mengatakan bahawa jumlah sokongan dari 129 ahli parlimen itu masih belum dimuktamadkan.


Anwar juga berkata bahawa perkara itu tidak dibincangkan ketika mesyuarat bersama ahli parlimen PKR sehari sebelumnya, yang tidak menumpukan pada mendapatkan jumlah sokongan tersebut.


Spekulasi tersebar mengatakan bahawa PH, melalui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Warisan didakwa telah memperoleh sokongan daripada 129 ahli parlimen untuk merampas semula Putrajaya daripada PN.


Bagaimanapun, pembantu Mahathir, menafikan bahawa bekas perdana menteri itu bertemu dengan Agong pada Khamis.


Kerajaan PH tumbang pada Februari lalu, selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar dari PH, sementara Azmin Ali dan 10 yang lain keluar dari PKR, melalui gerakan politik yang digelar "Langkah Sheraton".


Muhyiddin dan kumpulan Azmin kemudian bersama-sama dengan Umno, BN dan PAS membentuk kerajaan PN.


Sementara itu dalam sesi dialog yang disiarkan secara langsung Facebook malam ini, Salahuddin berkata gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.


"Mungkin bermula di Johor, saya cukup optimis.


"Kenapa tidak kita mulakan Johor sebagai negeri yang akan buat suatu gegaran skala richter 7.3 untuk gegarkan politik Malaysia.


"Jadi segala-galanya boleh berlaku di Johor dan kami sekarang tengah usaha ke arah itu... Tunggu dan lihat. Dari arus Selat Tebrau akan membawa perubahan besar di Putrajaya," katanya.


PN mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, sementara PH menguasai 27 kerusi lain. Hanya satu pertukaran sokongan akan menyaksikan dewan undangan negeri tergantung. 


Sumber: 

http://gigitankerengga.blogspot.com/2020/05/peralihan-kerajaan-mungkin-sebelum.html 


Apakah pukulan mati yang bakal menimpa Umno? Oleh:  JEFRI MOHD NOR


Muhyiddin sedang memecat keluar Tun Mahathir dan 4 lagi untuk mendapatkan kuasa penuh dalam Bersatu. Dengan tersingkirnya karakter-karakter penting ini, Bersatu di peringkat akar umbi seakan lumpuh dan terpaksa akur dengan arahannya.


Dia juga sedang melumpuhkan Umno dengan membeli pimpinan Umno dengan jawatan menteri dan GLC. Kelak pemakan dedak ini pasti tidak akan membantah apa jua tindakan susulan yang lebih kurang sama dengan nasib Bersatu.


Apakah pukulan mati yang bakal menimpa Umno?


Kita semua tahu bahawa arahan pengharaman Umno dari RoS telah dikeluarkan kepada KDN tahun lepas tetapi ianya diperam supaya dapat digunakan apabila tiba masa yang tepat.


Kita juga tahu Muafakat Nasional berkeras untuk mengetepikan Bersatu pimpinan Muhyiddin dalam PRU akan datang.


Kes berprofil tinggi Najib, Zahid, Bung, Azeez dan lain-lain akan menyaksikan mereka merengkok ke dalam penjara satu demi satu seperti mematahkan lidi dari secekak penyapu.


Tanpa pimpinan ini, ahli Umno akan menjadi seperti kehilangan arah. Sekali gus dengan pengharaman Umno, Bersatu akan menjadi parti dominan yang akan menentukan calon-calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 kelak. Struktur Umno bakal lumpuh dan dominasi Muhyiddin, Azmin dan Hamzah bakal menjadi penentu kepada pilihan raya tersebut.


Pas? Mereka cuma kucing kurap yang kenyang taburan dengan nasi basi kerana Pas bukanlah parti yang boleh pergi lebih jauh.


Scheme of things ini sedang dilaksanakan dengn sistematik dan bakal melihat Umno terperangkap di dalamnya. Kita lihat sekarang pun pimpinan tertinggi Umno seperti telah kehilngan cengkaman ke atas beberapa menteri kabinet seperti Annuar Musa, Ismail Sabri dan lain².


Nasib akar umbi Umno bakal menjadi lebih teruk dari akar umbi Bersatu yang sekarang telah kehilangan segalanya.


Jangan sampai nasi menjadi bubur. 


Sumber: 

http://gigitankerengga.blogspot.com/2020/05/apakah-pukulan-mati-yang-bakal-menimpa.html



PH Johor cukup kerusi bentuk semula kerajaan Oleh AMNI JAGAT


Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini yakin bahawa kerusi untuk mengambil semula kerajaan dari Perikatan Nasional (PN) mampu dilakukan.


Menurut Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata bilangan kerusi yang diperlukan bagi membentuk kerajaan itu sudah diperolehi dan hanya menanti waktu yang sesuai untuk membuat tindakan.


Tegasnya, sebelum ini perbezaan antara kerajaan PN dan PH di Johor hanya terpisah dengan satu kerusi dan ia menggambarkan kerapuhan sebuah kerajaan yang dibina oleh PN.


“Dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini kita dapat lihat pergolakkan berlaku dan pastinya perkara itu terkesan di negeri ini.


“Hitungan serta susun gerak kerja yang dilakukan telah membuktikan bahawa kerajaan PN hari ini akan menjadi kerajaan terpendek dalam sejarah negeri Johor dengan kerapuhan dalam mereka membentuk kerajaan di negeri ini.


“Kita sudah kenal pasti beberapa Adun PN di Johor yang mampu untuk menunjukkan sikap berprinsip mempertahankan mandat rakyat bagi bertaut semula dengan PH di negeri ini.


“Senarai pendek yang diterima kita sudah cukup untuk membuktikan bahawa kerajaan PH akan terbentuk semula di Johor dengan bilangan yang lebih stabil berbanding dengan kerajaan PN hari ini,” tegasnya ketika dihubungi.


Beliau ketika ditanya tidak menjawab Adun dari parti mana yang akan membuat tindakan menyokong PH tersebut namun dalam pada masa yang sama beliau menyatakan bahawa PH sedia menerima mana-mana Adun dari PN yang mahu bersama.


“Kita hanya menegaskan bahawa bilangan itu cukup. Rakyat hanya perlu tunggu dan lihat keadaan ini berlaku.


“Kita tidak nafikan bukan sahaja Adun dari rakan lama PH sahaja yang akan menyokong PH malah ada juga dari kalangan parti-parti lain di kalangan mereka.


“PH bersedia untuk menerima sesiapa sahaja Adun dari PN bagi sama-sama menjalankan semula usaha memartabatkan rakyat setelah rakyat ditipu dengan janji manis mereka yang inginkan kuasa namun tidak memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat,” tegasnya lagi.


Sehubungan dengan itu, Pengerusi AMANAH Negeri Johor, Aminolhuda Hassan dalam sidang media pagi tadi turut menyebut akan perkara tersebut.


“Berdasarkan kepada mandat rakyat, saya yakin dan percaya ada wakil rakyat (Adun) yang pro Tun M akan berpihak kepada kami (PH) dan Insya Allah dia akan bersama dengan kita.


“Pada kami, sekiranya Adun dari PKR yang menyokong PN sebelum ini mahu membuat keputusan bersama semula PH kami terima. Yang penting mereka sedar sekarang berlakunya kepincangan dalam pentadbiran dan sebagainya apabila kerajaan yang diambil hari ini secara tidak betul,” katanya.


Sumber: 

http://gigitankerengga.blogspot.com/2020/05/ph-johor-cukup-kerusi-bentuk-semula.html



2 ulasan:

Bismillahirrohmanirrohim.

Bila berkata...
Bila berhujah...
Bila memberi pendapat...
Bila bercerita...

Sama ada secara lisan atau bertulis dan Hindarilah dari membuka aib diri sendiri dan orang lain serta nilai tambahnya Jauhilah diri dari mencela diri sendiri dan mencelakakan orang lain

Jangan kedekut.
Maksudnya jangan sesekali kedekut untuk berbuat baik kepada diri sendiri.

Aamiin Ya Allah Ya Rohman Ya Rohim Ya Rob...
Wassalamu.