Rabu, 13 Februari 2013

055. Kerana Aku Menyayangimu.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.

Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Meja www.peceq.blogspot.sg


Kerana Aku Menyayangimu.

TANGAN lembut putih kemerahan mencapai telefon bimbit lalu mendail nombor yang sudah lama terpahat di minda. Tiada sahutan dari penerima seperti mana yang diharapkan. Gelisah di hati hanya Allah yang tahu. Aku mesti beritahu dia, mesti tanya dia. Sekali lagi nombor itu cuba dihubungi, panggilan itu dijawab setelah lama menanti.

Suara seorang wanita yang mengarahkannya supaya menanti bertukar kepada suara garau milik insan yang amat dikenali. “Sayang, Sorry, I’m busy right now. I’ll call you later. Promise.” Panggilan yang ditamatkan serta-merta tanpa menanti biara mengundang kekecewaan untuk bertakhta di hati.

Hampir saja manik-manik jernih kecil itu merembes keluar membasahi pipinya yang chubby. Disekanya sebaik saja ia mula untuk berderai keluar. Nita masih lagi pegun di birai katil. Masih lagi static dalam keadaan duduk. Termenung dengan kepalanya yang buntu. Apa daya lagi yang harus dilakukan. Menantikan insan tersebut menghubunginya, entahkan bila zamannya.

Dia tahu jejaka yang setahun lebih tua darinya itu sedang sibuk pada masa ini. Hampir seminggu panggilan yang senantiasa bertamu pada waktu makan tengahari tidak menjalankan rutin. Bukannya dia manja untuk dihubungi setiap hari, cuma di mahukan insan itu berada pada ketika diperlukan, itu saja.

KELIBAT manusia yang menjutai Suria KLCC bagaikan satu opera yang sedang dipentaskan, bagaikan satu teater yang sedang ditontoni. Mata kecil itu beralih arah menatap wajah milik tangan yang sedang mengusap tangannya. Mungkin ada sesuatu yang sedang berlegar di kepalanya sehinggakan wajah itu tidak menyedari dia menjadi tamu mata kecil. Sehinggakan suasana persekitaran tidak diendahkan.

“Abang, kalau orang lain pinang ayang, camne?” Sepasang mata bundar dapat menangkap riak terkejut pada wajah milik mata kecil yang cuba disembunyikan. Mata kecil itu bertentang dengan mata bundar.

Faiz hanya tersenyum melihat Nita keresahan menanti jawapan. Sengaja dia membiarkan Nita bergelut dengan kebarangkalian jawapan. “Ayang berhak untuk menentukan kebahagiaan ayang. Terima atau tidak, keputusan tetap di tangan ayang, walau apa jalan yang abang lakukan. Apa jua keputusan ayang, abang terima dengan redha.”

Seraut wajah tidak berpuas hati terbentang di depan mata Faiz. Nita kecewa dengan jawapan yang diberikan tidak menepati spesifikasi. Secetek inikah kasih sayang Faiz. “Kalau ayang kahwin bukan dengan abang?”

“Abang akan doakan ayang bahagia sekeluarga hingga ke akhir hayat.” Senyuman masih lagi terukir di bibir Faiz walaupun matanya menangkap sirna kehampaan pada wajah Nita. “Setidak-tidaknya abang dah bebas dari seksa.”
“Seksa?” Nita terkedu apabila cuping telinga di sebalik tudung pink itu menangkap kata yang aneh di dalam frasa tersebut. Masakan selama ini aku menyeksanya. Adakah aku tidak membalas kasih sayang yang infiniti nilainya dari dia. Mungkin semua yang dilakukan belum mencukupi lagi. Atau mungkin penantian selama tiga tahun tidak lagi dihargai.

Senyuman di bibir masih lagi mekar tanpa menghiraukan wajah Nita sedang keliru “Ya la. Seksa menangung rindu. Biar orang tu ganti menanggung seksa tu nanti.” Spontan tangannya mencubit pipi chubby yang selalu menjadi sasaran.

“Sakitlah.” Tangan lembut Nita mengusap pipi yang kemerahan akibat dicubit. “Tak sayang pada ayang lagi la tu, sampai nak bagi ayang pada orang lain.”

Faiz tersengih, gembira melihat Nita tidak lagi bermuram. “Ok, tadi abang jawab main-main. Ni abang serius. Abang sayangkan ayang dan sayang ini tidak pudar selamanya. Abang mohon ayang supaya tolak semua pinangan selain abang.”

Bibir bergincu nipis itu mengukir senyuman manis. Bahagia rasanya mendengar kata-kata bagaikan janji itu. “Ayang dah tak perlu tanya pasal tu. Sampai bilapun jawapan tetap sama. Jangan terima pinangan orang lain.”

BUNYI ketukan dan pintu terkuak itu menghapuskan semua fantasi yang mengimbas kembali memori silam. Matanya mengekor gerak langkah Puan Zaini yang menghampirinya perlahan. Dia dapat merasai rambutnya dibelai perlahan. Sungguh mendamaikan ketika itu membuatkan dia terlupa masalah yang sedang dihadapi.

“Mama dah setuju untuk terima rombongan meminang tu.” Kata itu ditutur dengan berhati-hati. Bimbang puterinya yang keras kepala itu memberontak. “Ayah dan mama dah berbincang dan kami sepakat dengan keputusan itu. Tunggu kamu berikan jawapan lambat sangat.”

Terjegil mata Nita mendengar butir kata itu. “Mama...”

Mama menarik tangan kanan Nita dengan lembut lalu disarungkan cincin emas belah rotan pada jari manis. “Ni cincin bertanya, diorang yang bagi mak pun tak tahu masa merisik ada cincinnya. Mungkin adat negeri diorang kot.” Manik-manik kecil yang dibendung sebentar tadi menitis membasahi cincin belah rotan yang sedang ditatapnya. Nita memaut tubuh mama yang turut duduk di katil. Manik-manik yang sudahpun berjuraian kini menghujani bahu mama.

Dalam esakan itu terdengar bicara halus dari bibir Nita. “Mama... Faiz...”

“Dengar sayang, mama tak mahu lihat anak mama menjadi bahan ejekan dan fitnah orang. Mama tahu berat untuk kamu menerima keputusan kami. Tapi ini untuk masa depan kamu. Kami takkan salahkan kamu jika apa-apa yang buruk berlaku kemudian nanti.” Mama mengusap lembut belakang puteri yang berusia akhir dua puluhan itu.

Nita berusaha untuk meredakan tangisannya. Pilu di hatinya membuatkan tangisan itu tidak dapat di berhentikan secara tiba-tiba. “Ok mama, Nita terima keputusan itu. Tapi, bersyarat.” Suara serak menggetarkan gegendang telinga setelah tangisan reda. Mama memeluk tubuh puteri yang menjadi harapan keluarga itu. Pelukan amat erat tanda kasih sayang yang tak akan putus.

HALUAN langkah kaki menuju ke tempat letak kenderaan. Letih badannya tidak tertanggung lagi. Letih menatap monitor belum lagi berkurangan. Kesibukannya pada minggu ini tidak seperti yang sebelumnya. Sehinggakan dia lupa pada ibunya, adik-adik dan yang paling utama pada Nita, kekasih yang setia menantinya untuk sekian lama.

Dengan cermat topi keledar dipakai dan enjin motosikal dihidupkan. Dia lebih senang menunggang motosikal dari memandu kereta. Keadaan lalu-lintas di Pasir Gudang yang sesak setiap kali waktu puncak menjadi sebab utama. Antara sebab sampingan, ekonomi, bermotosikal lebih ekonomi berbanding memandu kereta. Dia tidak canggung walaupun dia di antara orang atasan yang perlu memberi arahan. Padanya lebih senang untuk berurusan dengan orang bawahan jika turut sama bermotosikal seperti mereka.

Badannya yang sasa itu direbahkan ke sofa dengan kasar. Terasa hilang sedikit letih pada ketika rebahannya disambut lembut oleh sofa empuk. Butang kemeja berwarna hijau tanpa corak dibuka satu persatu supaya kulit dadanya dapat menikmati kenyamanan udara yang keluar dari pendingin hawa. Nokia 6610 dikeluarkan dari saku seluar.

’25 missed call’ angka yang terpamer di skrin tersebut mengejutkan Faiz. Bertambah huru-hara hatinya bila melihat kesemuanya dari nombor yang sama. Lantas dia mendail semula nombor tersebut. Dia faham benar dengan pendirian pemanggil, tidak akan menghubungi jika tidak penting. Pasti ada sesuatu yang penting jika angka yang terpamer melebihi dua. Telefon bimbit itu dilepaskan lalu terdampar di sisi dadanya setelah panggilan itu ditinggalkan sepi.

Dia masih lagi berbaring di sofa sambil merenung siling. Sedang mindanya bergelut dengan kemungkinan yang terjadi. Dicubanya sekali lagi, namun masih lagi hampa kerana tiada jawapan dari pihak kedua. Mungkin merajuk sebab tak angkat call dia tadi. Atau hanphone berbunyi di atas sedang dia tengah sibuk di bawah. Gegaran telefon bimbit ditangan membuatkan dia terkejut. Pantas dia menjawab panggilan yang dinantikan itu.

“Assalammualaikum.” Suara lunak yang didambakan menerjah lembut gegendang telinga bagaikan irama asli yang mendamaikan.

“Waalaikumussalam.” Mahu saja dia meneruskan kata-kata berbentuk soalan, tapi akalnya cukup prihatin untuk membiarkan pemanggil menceritakan hal sebenar.

“Faiz, kita ada hal nak bincang dengan awak.” Kata gantinama yang cukup janggal untuk diterima oleh saraf pendengarannya.

Namun diketepikan rasa sangsi yang mula wujud di pangkal hati. “Apa yang kita perlu bincangkan sayang?”

“Kita nak awak terima apa yang akan awak dengar dengan hati yang terbuka. Kita tamatkan hubungan kita setakat ni.” Suara gugup itu agak gementar untuk menyatakan apa yang perlu diberitahu.

“What?” Terlongo mendengar kata-kata luar jangkaan. Akalnya cuba mencari punca frasa itu wujud tanpa di duga. Gagal juga walau sudah dicuba untuk mengimbas kembali sesuatu yang menjadi punca untuk dirinya dibenci. “But why?”

“Cukuplah sekadar awak tahu kita tak layak untuk awak.”

“Ayang, abang minta maaf. Abang benar-benar sibuk dan takde masa untuk ayang. Berikan abang masa untuk abang...”

“Stop it Faiz! Please don’t call me ayang anymore. I unable to be your ayang.” Getaran suara itu mematikan suara pujukan lembut. Unsur ketegasan yang sebati di dalam kata-kata itu membuatkan Faiz hilang akal untuk memujuk.

Puas difikirkan apa kesalahan yang telah dilakukan sehingga gadis itu begitu bengis dan tegas mengungkapkan pendiriannya. Diteliti satu persatu tingkahlaku serta tutur kata yang diimbas dari memori. Mencari kemungkinan yang ada untuk mewujudkan alasan untuk berpisah. Akhirnya terlena kepenatan serta minda yang sudahpun letih memikirkan masalah yang baru terbeban.

KEBAYA sutera yang membaluti tubuh kerdil Suzi diperkemaskan lagi. Suzi berpuas hati dengan hasil tangannya. Sutera China berwarna biru muda menjadi pilihan untuk majlis pertunangangan nanti. Dia cukup berhati mengawal emosi dan riak muka bagi melindungi rasa hatinya yang sebenar. Baginya masalah itu masalahnya tidak perlu diwar-warkan kepada orang lain.

Seakan cemburu melihat rakan sekolejnya gembira ditunangkan dengan pemuda yang memang teman istimewa. Mungkin dia tidak beruntung kerana teman istimewa belum dapat melamarnya lagi. Kadangkala dia berasa beruntung kerana dilamar oleh orang lain. Kira famous jugakla aku ni. Bukanla anak dara tak laku.

“Oh anak dara tak laku.” Sentuhan keras dibahu membuatkannya terperanjat. Langsung terkeluar apa yang difikirkannya. “Kau ni, terperanjat aku la. Nak apa?”

“Sape anak dara tak laku? Kau ke?” Suzi mengekek kecil melihat Nita yang sedang mengusap bahu.

“Wei, tolong sikit ya. Aku nak bertunang Ahad ni. Itu maksudnya aku bukanlah anak dara tak laku.” Berkelip-kelip mata di sebalik cermin. Suzi memperbetulkan sermin matanya yang melorot jatuh.

“Wah, Tahniah. Faiz tak pernah cerita pun. Dua tiga hari lepas aku call dia, dia takde cakap pun nak pinang kau. Cuma dia kata dua tiga tahun lagi dia nak bernikah dengan kau.”

Muka yang indah dihiasi dengan senyuman berubah. Nita tunduk kemuraman. Suzi terpinga-pinga. Salah susun kata ke, takkan dia marah aku call Faiz. Senyuman di bibir Suzi turut surut. “Nita, sorry. I didn’t mean to hurt you. Ok, dari hari ni aku takkan call Faiz lagi.”

Nita menggeleng. Sesuatu yang cuba dirahsiakan kini terluah juga. Gatal mulut nak bangkang, terima padahnya. “Nope, kau tak salah. Aku bertunang dengan orang lain.”

“Hah, kenapa?”

“Parent aku setuju untuk terima pinangan tu. Aku terpaksa menurut. Maruah keluarga, harus dijaga.”

“Habis Faiz macamana? Dia dah tau ke?”

“Kitorang dah break-off.” Kata-kata tenang itu mewujudkan rasa kagum di hati Suzi. Sebegitu tenang Nita menangani masalahnya. Kagum melihat Nita berjaya melakonkan watak selamba pada awal pertemuan tadi. “Suzi, tolong aku.”

“Yes. What ever you want, just give an order.”

“Tolong rahsiakan dari Faiz.”

KETULAN batu yang diambil di pinggir kaki dicampakkan ke tasik. Matanya meliar melihat persekitaran tasik. Sesekali matanya tertancap pada kincir angin yang terletak di atas bumbung Muzium Layang-layang. Sekali lagi batu dikutip dan dicampakkan ke tasik. Hadirnya di situ tanpa tujuan lain hanya untuk menenangkan fikiran.

“Hai tak puas lagi nak cipta tension island tu ke?” Suara garau menghentikan lakunya. Dipusingkan kepala untuk melihat insan yang bersuara dari belakang. Memang insan itu dikenali dan rapat dengannya. Dia akan berasa tenang dan bahagia berada di samping lelaki itu.

“Kau ni, nak tegur biar berdepan. Nasib baik aku tak terperanjat, kalau tak mau aku terjun tasik tadi.” Mendongak kepala menatap wajah pemuda yang berdiri di sebelahnya.

Faiz mencangkung bersebelahan dengan Linda. Menatap muka bersih Linda membuatkannya teringat kepada Nita. “Angah, aku ada cerita sedih, nak dengar.” Memang mereka sudah lama berkawan, gelaran itu sudah sebati dalam perbualan mereka.

“Cerita pasal kau ke orang lain?” Faiz langsung tidak marah walaupun dia layak untuk dipanggil abang. Baginya panggilan itu hanya menjarakkan hubungan mereka lantaran umur yang agak jauh berbeza.

“Pasal aku la. Dengar tau.” Matanya meninjau tempat yang selesa untuk melabuhkan punggung. Penat bertinggung ni, mau tercabut kepala lutut. Faiz mula menceritakan segala yang terpikul dibahunya pada Linda. Dia mahu ada seseorang mendengar rintihannya dan yang akan membantu mencari penyelesaian.

Linda yang tekun mendengar kisah tersebut turut bersimpati dengan Faiz. Mujur dia adalah pendengar yang baik yang akan menilai dan membantu setiap yang menceritakan masalah padanya. Faiz banyak membantu ketika dia mula membina semangat dulu. Pada ketika dia hampir saja mengorbankan nyawa sendiri Faiz datang memberikan semangat.

Baginya Faiz adalah seorang abang yang hebat. Dia tahu Faiz tabah dan boleh menerima perpisahan itu. Dia tahu Faiz hanya mahukan jawapan yang sepatutnya diberikan oleh Nita. Dia mengagumi Faiz kerana kesetiaan seorang lelaki kepada kekasihnya. Walaupun berjauhan, Faiz tetap merindui Nita.

“Aku rasa, mungkin sebab dia kena kahwin paksa.” Terpacul jawapan yang tidak diduga itu setelah lama mereka tidak bersuara.

“Hish, aku kenal mak dia macamana. Aku dengan mak dia gini hah.” Faiz mengaitkan jari telunjuk menandakan dia rapat benar dengan Puan Zaini.

“Jadi kau nak tau la jawapan sebenarnya?”

“Yup.”

“Kita tunggu selepas ini.”

“Hotak kau, aku serius kau memain yer.” Segumpal tangan sasa itu mengenai bahu Linda, hampir terjatuh dibuatnya.

“Wei apa ni, betul la, aku serius jugak la. Mana aku tau jawapan sebenar, kau kena la jumpa dia pastu tanya dia.”

“Jumpa dia?” Linda mengangguk.

“Tanya dia?” Linda mengangguk lagi.

“Dia kat KL, aku kena pegi KL la?” Sekali lagi soalan itu dijawab dengan anggukan.

DERETAN pengunjung panggung wayang yang sedang beratur untuk membeli tiket itu sungguh panjang. Filem panas baru keluar, mana tak orang berebut nak tengok. Nak nak kaki wayang memang balun punya. Poster yang tercetak muka Afdlin, Awie, AC dan Hans tergantung megah di sekitar panggung. Hari pertama Baik Punya Cilok ditayangkan dah begini ramai. Agak-agak berapa diorang dapat nanti ya.

Titisan manik air di sekeliling gelas yang berisi minuman ringan melorot jatuh membasahi meja. Minuman sudah hampir separuh, insan yang dinanti masih lagi belum menampakkan bayang. Mata melilau kiri dan kanan mencari susuk tubuh yang amat dirindui. Sesekali dia menjeling ke arah Linda yang duduk berhampiran dengannya.

Jongketan kening dari Linda yang seolah-olah bertanya itu dibalas dengan mengangkat bahu. Dia memberikan isyarat untuk beredar, Linda mengangguk tanda akur. Satu sentuhan lembut mengusap bahunya ketika dia mula mengorak langkah.

“Assalammualaikum.” Mata bundar yang dirinduinya kini sedang menatap tenang wajahnya.

“Waalaikumussalam.” Faiz duduk kembali di tempatnya setelah Nita duduk berhadapan dengannya. “Nita nak makan apa?”

Nita menggeleng kepala. “Takpe, kita dah makan sebelum keluar tadi.”

Senyuman mula mekar di bibir Faiz. Rindu yang selama ini terpendam di dada hampir terubat. “Kita datang bukan nak tengok awak senyum. Ada apa awak suruh kita datang ni?”

Mata kecil itu merenung gadis yang mengenakan blaus berwarna pink dipadankan dengan tudung yang sedikit cair bersama seluar hitam. Satu keanehan dapat dirasakan pada kelakuan yang ditontoninya. Cara layanan yang agak kasar membuatkan hatinya sedikit terguris. Namun dibiarkan semua itu dan masih lagi mengukir senyuman.

“Awak, kita tak boleh lama ni, kita datang dengan mak kita nun.” Faiz turut berpaling ke arah hala kepala Nita berpaling. Dikejauhan, berhampiran dengan pintu masuk Mc Donalds berdiri satu tubuh. Puan Zaini kelihatan bersahaja dan melambai ke arah Faiz yang sedang menatap tubuhnya.

“Nita, kita cuma nak tahu mengapa awak nak putuskan hubungan ni.”

“Bukankah kita dah berikan jawapannya? Kita tak sepadan. Kita tak layak untuk awak dan awak tak layak untuk kita. Itu saja.” Kata-kata itu sedikit sebanyak mencarik luka di hati Faiz. Terkedu melihat Nita tega berlalu pergi untuk mendapatkan mama yang sudah lama menanti.

Langkah laju Nita bersama Puan Zaini diekor dengan mata dari jauh. Dia mengharapkan Nita berpaling ke arahnya seperti selalu supaya dia dapat mengejar kembali. Harapan tinggal hampa, Nita terus melangkah tanpa berpaling. Tegas sungguh pendirian kali ini. Takpelah dah tak suka, kena cari ganti gamaknya.

Entah bila Linda mendapatkannya, sedar-sedar lengannya ditarik lembut. Dia hanya menuruti dengan hati yang sarat dengan kelukaan. Hati yang luka itu akhirnya pulih sedikit apabila teringat kata-kata Rosyam Noor ketika melakonkan watak TJ dalam cerita Palyboy Pencen, ‘if you love somebody, set them free’. Biarkan dia bebas. Kalau dah jodoh tak ke mana.

Mungkin bukan jodoh, tapi kenapa namanya masih bersinar di dalam hati ini. Sedangkan doa yang diamalkan meminta nama itu dipadamkan jika bukan jodoh yang terbaik. Mungkin perpisahan ini hanya seketika. Kalau seketika ada chance lagi la. Cuma kena cari ayat elok-elok untuk memujuk.

DERINGAN telefon yang membingitkan terhenti apabila Aiman yang berumur dua tahun lebih mengangkat gagangnya. Aiman berbicara beberapa ketika dengan pemanggil. “Mak lang tepon. Orang laki nak akap.” Gagang dihulur kepada Nana.

“Hello.”

“Nana. Aku ni. Kau sihat?”

“Oh, Abang Faiz. Sihat. Abang Faiz camne?”

“Demam, sakit, semualah.”

Timbul rasa aneh di hati Nana. Suara macam tak sakit, mesti ada apa-apa. “Kenapa?”

“Ala pasal akak kau la. Dia mintak putus. Aku tak puas hati. Kau tau tak sebab apa?”

Serba salah dibuatnya. “Dia dah nak kahwin.” Nana teragak-agak untuk menjawab. Dia terpaksa menjawab supaya Faiz faham dan berhenti memujuk kakaknya.

Kemungkinan jawapan yang selalu bermain di kepala akhirnya bergetar jua di gegendang telinga. Jawapan yang cuba untuk ditidakkan. Jawapan yang cukup perit untuk diterima. Dah nak kahwin. Tidak. Semoga kau berbahagia Nita.

KURANG 24 jam lagi dia akan bertunang. Hatinya resah memikirkan kekasih yang masih lagi disayangi. Dia terpaksa menipu supaya insan menjarakkan hubungan kasih antara mereka. Dicuba berkali-kali untuk melelapkan mata. Resah di hati menggagalkan setiap percubaan.

Dia mengalah, dia tahu dia perlu berterus terang. Dicapai telefon bimbit di atas meja solek lalu mendail nombor yang sudahpun dipadam di dalam phonebook. Tidak lama panggilannya dijawab. “Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam. Awak nak apa lagi?” Suara tenang yang kedengaran seolah tidak mahu diganggu. “Tak cukup lagi awak nak lukakan hati saya?”

“Kita cuma tanya satu soalan saja.” Diatasi kegugupan supaya kekuatan hadir dalam diri bagi mengatasi ketakutan yang akan mengundang kekalutan. “Awak masih sayangkan kita lagi?”

“Maaf Cik Nita, saya rasa awak salah orang. Saya tak pernah nak menyayangi awak. Selama ini saya cuma main-main aje dengan awak.” Hampir meraung Nita mendengar jawapan yang diluahkan. Ditabahkan hatinya agar dia tenang menghadapi dugaan itu. “Oh ya, tahniah, awak jaga la tunang awak baik-baik. Jangan kacau saya lagi, nanti tunang awak marah.”

“Faiz, I still loving you and I’ll love you till the end of time.”

Tutur kata yang jujur itu membuatkan Faiz terharu, namun ia tidak berguna Nita akan bertunang pada hari esok. “Ha elok la, cintakan saya, sayangkan saya, kahwin dengan orang lain. Dah la, saya bukan lagi insan yang menyayangi awak. Awak perlu tumpahkan segala rasa sayang awak pada suami awak kelak. Jangan awak hirau pasal saya lagi. Ok?”

Air mata berderai, itulah satu-satunya jalan untuknya melepaskan tekanan emosi. Tidak terfikir bagaimanakah untuk tidak menghiraukan insan yang disayangi, bagamanakah untuk tidak ambil peduli pada insan yang dikasihi. Perlahan hatinya dipujuk, butir bicara Faiz ada benarnya, tidak patut dia meluahkan rasa cinta pada bukan tunangnya.


SUDAH seminggu cincin emas bermata berlian itu tersarung di jari manisnya. Selama itulah dia masih lagi tidak bertemu dengan tunangnya dan cuma ada tempoh seminggu untuk dia bergelar isteri. Kadang-kadang dia berasa takut, seolah dia belum bersedia untuk menjalani hidup berkeluarga. Tersenyum sendiri bila menggambarkan kehidupan bahagia yang akan ditempuhi bersama suami.

Memang dia mengimpikan kebahagian bersama suami dan anak-anak. Dalam sudut hati ada juga tertanya, bagaimana rupa bakal suaminya. Teringat kembali pada syarat yang dikenakan pada mama. Untuk kebaikannya juga, dia takut berubah hati bila mengetahui siapa tunangnya.

Kalut juga semasa menanti majlis pertunangan. Masakan tidak tempoh 3 hari yang diberikan tidak cukup untuk membeli barang keperluan. Keprihatinan pihak lelaki cukup membuatkannya terharu, segala barang hantaran yang sudah siap dihantar pada pagi majlis. Dia turut diberikan sepersalinan lengkap bersama jurusolek.

KEPALANYA seakan ditimpa segunung batu, begitu berat untuk diangkat. Dia tunduk semasa pintu dikuak oleh wakil perempuan dari pihak lelaki. Satu tangan yang menyamankan menyentuh dagu lalu mengangkat kepalanya beralih dari posisi tunduk. Senyuman manis Puan Rahama disambut dengan senyuman bagi mengindahkan wajahnya.

Puan Rahama mencapai jari manis gadis yang sedang mengenakan baju kurung pesak berwarna cream. Cincin berlian bermata satu diambil dari kotak baldu lalu disarungkan pada jari tersebut. Tangannya yang dihulur disambut lembut oleh bakal menantunya dan menerima kucupan.

Dingin terasa dahi dan kedua pipi Nita akibat dikucup oleh bakal mertua. “Nita, tahniah. Semoga Nita serasi dan bahagia bersama anak mak.”

DIRABA dahinya kedingian masih lagi terasa. Dia berasa serasi dengan bakal mertua yang prihatin itu. Dalam kegembiraan yang dirasai hatinya turut berasa sedih. Dia harus memadamkan rasa cintanya terhadap Faiz. Dia tidak boleh berbohong pada hatinya. Andai dapat menjerit, dia akan menjerit ‘Faiz, Nita sayangkan Faiz.’

Dia tidak berdaya untuk merubah kata hitam ayahnya. Sekali-kali dia cuba untuk tidak derhaka kepada kedua orang tuanya. Jika dia menolak, pasti akan memalukan keluarganya. Pasti mama dan ayah tidak suka pada anak yang memalukan keluarga.

Akan dipastikan harapan mama dan ayah dipenuhi. Harapan melihat puteri sulung keluarga itu bahagia bersama suami dan anak-anak akan dilaksanakan. Hanya tinggal seminggu saja lagi. Ya, semnggu saja lagi, selamat tinggal Faiz.

KERIUHAN suara orang bertandang sudah menjadi rempah yang mehingarkan majlis perkahwinan. Nita duduk berteleku di birai katil bersama Suzi yang setia menamani dan mendamaikan gelora hatinya. Sesekala air mata yang mahu menampakkan rupa dilap dengan tisu yang sentiasa berada di tangannya. Suzi cuba memujuk Nita supaya menghiaskan wajah dengan senyuman.

Di celah keriuhan itu terdengar suara yang menyatakan pengantin lelaki sudah tiba. Nita sebolehnya cuba untul memaniskan rupa. Rasa rindu terhadap Faiz menggagalkan setiap percubaan yang dibuat. Dia menarik nafas sedalam mungkin. “Selamat tinggal Faiz, akan ku kenang dirimu selamanya.” Tutur yang dibicarakan dalam keadaan berbisik.

Jurunikah beredar dari bilik setelah mendapatkan tandatangan dari pengantin perempuan. Kini upacara akad nikah akan dilangsungkan. “Mohd Faizudin bin Muhammad.” Tersentak Nita mendengar nama yang disebut oleh jurunikah.

“Saya.” Suzi yang berada berhampiran dengan Nita turut terkejut bila mendengar suara yang dikenalinya.

“Aku nikahkan akan dikau, Zahnita bt Zainuddin dengan maskahwinnya 80 ringgit tunai.”

“Aku terima nikah, Zahnita bt Zainuddin dengan maskahwinnya 80 ringgit tunai.”

Disentuh lembut tangan isteri yang sedang tunduk. Tangan yang dihulur disambut oleh kelembutan tangan wanita yang sah menjadi miliknya. Lalu tangan itu dikucup tanda hormat dan patuh. “Surprise!”

Luahan kata dari suara milik insan yang sememangnya didambakan menjadi suami itu merungkaikan segala kekusutan yang wujud pada waktu dia terkejut tadi. Nita bangun dengan tiba-tiba dan memeluk erat suaminya. “Abang jahat tau buat ayang camni.”

Faiz terperanjat dengan tingkah-laku isterinya. Lalu cuba diungkaikan pelukan erat itu kerana perasaan malu mula menyelubungi. Malu kerana ditonton oleh semua yang hadir. “Abang cuma nak tengok rupa orang yang kena kahwin paksa. Dah la, nanti kita sambung, malula orang tengok.”

BERTERABUR tawa mereka menonton rakaman majlis perkahwinan mereka. Nita berasa bahagia di samping suami yang peyayang dan amat memahami. Dia selesa bersandar di dada suaminya yang sasa. Kehangatan dakapan suaminya membuatkan dia berasa dirinya dilindungi.

“Best juga tengok rupa orang kena kahwin paksa ya. Tak tahan tengok ayang menangis sambil pegang tisu. Sayang juga ayang pada abang yer.”

“Jahat tau, tak aci la semua pakat dengan abang nak kenakan ayang.” Nita menjeling wajah selamba Faiz.

“Sebenarnya kan, abang pun tak tau yang mak datang pinang ayang. Mak rahsiakan aje. Sampai seminggu sebelum nikah baru mak bagi tau.” Senyuman yang terukir menceriakan lagi wajah Faiz. “Kira abang pun dah kena tipu ngan mak, mama dan ayah.”

Nita menyertai tawa Faiz. “Masa abang bagitau ayang yang abang tak sayangkan ayang tu macam nak gugur jantung tau.Sekarang ni sayang ke tak?”

“Sayangla. Tambah-tambah dah ade ni.” Faiz mengusap lembut perut isterinya yang memboyot. Senyuman bahagia terukir di bibir kedua mereka. Nita turut membelai perut yang semakin membesar. Jauh di sudut hati dia bersyukur, berkat bersabar dan patuh pada ibu bapa kini dia bahagia bersama insan yang memang dinantikan untuk mendirikan keluarga bahagia bersama.

Kredit:

karya : Faiez Arieff (http://www.geocities.com/akula2121/KeranaAkuMenyayangimu.doc)
by: akula2121.
From: SoUr_Lem0n

Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..


Tiada ulasan: