بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.
Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Meja www.peceq.blogspot.sg
Salam All... hamba Allah S.W.T., Muslimin dan Muslimat pengunjung-pengunjung, semuga sama-sama diBerkati, diRahmati Allah S.W.T., sentiasa.
From: SoUr_Lem0n
DUSUN durian di lereng bukit berjarak dua kilometer dari Kampung Bukit Tunggal tidak pernah mungkir memberikan hasil kepada Haji Karim setiap tahun. Apabila tiba musimnya, merangkaklah lori kecil sarat dengan bakul berisi durian menuju pekan dan pasar malam.
Dengan kudrat yang tinggal separuh, tidak terdaya Haji Karim memungut buah bertaburan di dusun luas itu. Anak-anaknya pula terpaksa memberikan komitmen kepada kerjaya masing-masing di luar.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, kepada Jali dan Kadir disandarkan harapan untuk menolongnya.
Mereka akan berumah di dusun sehingga semua buah tidak berbaki lagi di dahan pokok. Haji Karim memang melengkapkan segala keperluan di pondok sederhana itu.
Untuk menghilangkan kebosanan, sebuah radio dan televisyen menggunakan bekalan generator disediakan.
Upah yang diterima juga lumayan kerana Haji Karim tidak berkira sangat. Jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh dua pemuda itu setiap kali diminta menunggu dusun.
“Kalaulah dusun ni aku yang punya, alangkah seronoknya. Tentu aku tak perlu gunakan motosikal buruk tu lagi. Paling tidak, aku boleh pakai Waja,” kata Kadir ketika membersihkan daun kering yang berselerak di halaman pondok.
“Sudahlah, tak payah berangan-angan. Cepat siapkan kerja kau,” selar Jali.
“Ah, berangan-angan pun, kerja aku masih selesai,” kata Kadir.
Telinga mereka menangkap bunyi motosikal dari jauh. Sedetik kemudian, kelihatan Haji Karim terhinggut-hinggut menghala ke arah mereka.
“Macam mana hari ni?” Haji Karim menyapa selepas memberi salam. Dia menolak tongkat motosikal dengan kaki kirinya.
“Nampaknya lebih sikit daripada biasa... pokok di sebalik bukit tu dah mula luruh,” jawab Jali.
“Tak apalah. Sudahkan kerja ni dulu, lepas tu kamu kutip yang di sana tu. Esok pagi, Mat Saman nak datang ambil buah. Hari ni aku tak dapat nak tolong sebab ada urusan di pekan. Aku datang nak hantar barang ni saja,” kata Haji Karim sambil mengeluarkan uncang plastik dari raga motosikalnya.
Mengisi perut
“Yang saya pesan ada beli, Tuan Haji?” Kadir menyoal sambil tersengih.
“Rokok? Ada dalam ni hah. Ikan dan sayur pun ada,” katanya sebelum berlalu tidak lama kemudian.
Mengikut giliran, hari itu sepatutnya Kadir memasak hidangan tengah hari. Dia memasak seadanya, cukup untuk mengisi perut di dalam dusun.
Selepas perut diisi, Kadir leka menikmati keenakan rokok di tepi pintu sambil matanya memandang ke televisyen. Tindakannya ditegur Jali.
“Weh, buah di sana tu bukan boleh datang bergolek kalau kau tunggu di tepi pintu tu,” sindir Jali. Dia melipat sejadah selepas selesai menunaikan solat Zohor.
“Langit gelap ni, Li. Nampak gaya boleh lencun kita nanti,” Kadir mendongak memandang langit seketika. Awam gelap berkumpul di atas sana. Perlahan-lahan, angin meniup menolak gumpalan itu ke arah bukit.
Tubuh Kadir dan Jali juga semakin kerap diterpa angin sederhana kencang. Itu memang petanda yang cukup baik betapa hujan akan mencurah tidak lama lagi.
Jali memang pekerja yang tekun. Amanah yang diberikan Haji Karim selalu diusahakannya sebaik mungkin. Dalam suasana yang semakin gelap dan berangin itu, dia menggalas bakul dan menuju ke bukit.
Dengan hati yang berat, Kadir mengikut. Semalas-malas dia tengah hari itu, Kadir mesti bersama Jali mengutip buah sebelum hujan. Namun, sebelum sempat tiba di bukit, hujah mencurah diikuti dengan kilat dan guruh sabung-menyabung.
“Jali, kita balik ke pondok dululah. Aku rasa tak sedap hati pulak,” kata Kadir yang berkerut dahinya. Setiap kali kilat menyambar, dia menutup telinga.
“Habis, buah-buah tu macam mana?”
“Nanti petang boleh lagi. Kalau tak pun, subuh esok masih sempat!”
Jali sependapat dengan Kadir. Dalam keadaan hujan lebat, angin kencang dan kilat bersilih ganti, dia tidak sanggup menapak ke bukit lagi. Situasi begitu memang bahaya. Mereka berpatah balik dan menuju pondok.
Hanya kira-kira lima belas meter dari kaki tangga di pondok, pandangan Jali tiba-tiba terlihat suatu kelibat di sebalik semak di kanannya. Dia berhenti melangkah dan membiarkan Kadir di depannya berjalan terbongkok-bongkok.
Dia cuba melihat dengan lebih teliti untuk memastikan apa sebenarnya yang ada di sebalik sana.
Sebelum sempat dia memanggil Kadir, temannya sudah semakin jauh.
Jali meneruskan langkah dengan payah. Titis air yang kasar menerpa hampir setiap sudut pandangannya. Walaupun begitu, dia masih yakin matanya tidak menipu sebentar tadi.
Hatinya masih tertanya-tanya, apa gerangan yang ada di sebalik semak sana. Mungkinkah ada orang ingin mencuri buah durian dalam hujan lebat begini?
Dia semakin hampir ke pondok. Di depan, Kadir sudah duduk di kaki tangga. Untuk memuaskan hatinya, dia menoleh sekali lagi ke arah semak tadi. Serentak dengan itu, kilat memancar.
Matanya melihat memang ada tubuh di sana, cuma ia lebih besar daripada manusia biasa.
Lembaga itu berjubah hijau dan ada senjata seperti senapang di tangannya. Ia disasarkan ke arah pondok mereka.
Dalam hujan lebat begitu, anehnya jubah lembaga itu tidak pula basah.
Dengan teragak-agak, Jali mempercepatkan langkah ke pondok. Selang beberapa saat kemudian, matanya disilaukan satu cahaya sangat terang. Seluruh pondok itu bagaikan disinari cahaya diikuti dentuman amat kuat. Dia terjelepuk, manakala Kadir yang ada di sisinya juga terlentang.
Dalam gementar berbaur panik, mata Jali sempat lagi mencari kelibat berjubah hijau tadi, tapi gagal. Pantas dia merangkak mendapatkan Kadir yang jelas menggeletar.
Pondok mereka pula berasap. Setompok api cuba memamah dinding, tetapi segera dipadamkan titis hujan yang masih belum reda. Tiang dan beberapa keping dinding pondok terkopak. Mata fikir Jali dan Kadir tumpul untuk memikirkan sesuatu.
Kadir yang masih gementar tidak mampu berkata-kata, melainkan menggeleng kepala apabila Jali bertanya apa yang dilihatnya sebentar tadi.
“Syukurlah kamu selamat,” kata Haji Karim yang datang menjelang senja. Ketika itu hujan sudah berhenti. Jali dan Kadir berlumba-lumba bercerita mengenai kejadian petang itu kepada Haji Karim.
“Kalau kamu berdua ada dalam rumah tadi, mungkin kamu terkena panahan petir,” sambung Haji Karim.
“Petir?” Tanya Jali.
“Ya, petir adalah bukti kekuasaan Allah. Mengikut kata ulama, petir berlaku ketika Allah ‘menembak’ iblis. Apa yang kamu nampak tadi, Jali, mungkin... ya, mungkin pemburuNya. Namun, ilmu kita sangat terhad, hanya Dia yang Maha Mengetahui,” kata Haji Karim tenang.
p/s: siapa² yang minat sangat kat cerita² misteri, bolehlah layari web mon kat sini banyak lagi koleksi mon. klik sini
Perhatian:
Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan
pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi
lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah
S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk
kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada
kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba
Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan