PECEQ - PANDAI BERFIKIR BIJAK MENAFSIR CERDIK MERUMUS.
Wan Ahmad Dakwa Masa Kempen 21 Hari Membazir !
SHAH ALAM, 22 Mac - Tempoh berkempen terlalu lama membazir wang, masa dan tenaga semua pihak terlibat, malah ia juga boleh mengganggu kehidupan masyarakat, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar (foto).
Wan Ahmad menegaskan, alasan pembangkang mendakwa tempoh berkempen pada
masa sekarang tidak mencukupi tidak masuk akal kerana dengan kecanggihan
teknologi, mereka mampu menyebarkan latar belakang calon dengan mudah.
“Tak lojik kerana majoriti rakyat memilih parti walaupun ada
pengundi yang memilih calon.
“...jika calon baru yang bertanding sekalipun dengan teknologi media
hari ini dalam beberapa hari, gambar dan biodata calon boleh tersebar
luas dan rakyat mengetahui siapa calon itu.
“Tempoh kempen 21 hari pernah dilaksanakan dalam pilihan raya di negara
kita pada tahun 60an dan 70an semasa negara masih mundur, tiada segala
kemudahan infra moden, tiada kecanggihan teknologi media dan internet
seperti yang ada sekarang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut saranan pemimpin Pakatan Rakyat pada 14 Mac lalu yang mahu SPR menilai semula tempoh kempen agar dipanjangkan sehingga 21 hari. Perkara yang sama diulangi awal minggu ini.
Kali ini SPR akan memperuntukkan tempoh berkempen minimum 11 hari.
Katanya, tempoh yang lama tidak menjamin sesebuah parti itu akan menang
kerana pengundi pada masa ini membuat pilihan atas penilaian terhadap
isu yang dimain dan diperjuangkan mana-mana parti.
“Rakyat telah begitu kenal pemimpin, dasar dan perjuangan sesebuah
parti itu, maka tidak begitu perlu untuk kempen yang panjang,” ulasnya
sambil menyifatkan sejak 2009, semua parti politik telah memulakan
kempen tanpa henti-henti hingga saat ini menerusi pelbagai medium dan
cara.
Tambah beliau, tempoh kempen sedia ada tidak perlu dikaji semula demi
kehendak sekelompok kecil parti politik pembangkang, sekali gus tidak
membeban pasukan keselamatan untuk menjaga keselamatan sepanjang proses
berkempen.
“Jika tempoh kempen panjang dan terlalu lama, polis terpaksa bertugas
siang dan malam 24 jam untuk menjaga kententeraman awam, kuatkuasakan
undang-undang” katanya.
Sumber Artikel: pahangdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan