Rabu, 27 Mac 2013

282. Hari.

PECEQ - PANDAI BERFIKIR BIJAK MENAFSIR CERDIK MERUMUS.

Panas: Kerajaan Negeri Luluskan Kontrak Selenggara Jalan "Seluruh Pahang" Kepada Syarikat "Dua Hari" !!

KUANTAN, 18 Mac - Rakyat Pahang kini tertanya-tanya apakah benar ada penyelewengan kuasa dalam penganugerahan kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri selama tujuh tahun kepada sebuah syarikat "dua hari" yang cukup meragukan. Perkara ini dibongkarkan oleh PAS Pahang dalam beberapa siri ceramah mereka. Dalam satu ceramah umum di Sg.Isap Damai baru-baru ini Pesuruhjaya PAS Pahang Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, mendedahkan, berdasarkan surat daripada Pengarah JKR Pahang, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto) telah meluluskan kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri di seluruh negeri Pahang kepada Syarikat YP Maintenance Sdn. Bhd. Menurutnya, surat yang ditujukan kepada semua jurutera daerah itu, kontrak akan dilaksanakan bermula pada 1 hb April 2013 selama 7 tahun dan pembiayaannya adalah dari peruntukan Wang Amanah Penyelenggaraan Negeri. Jelas surat tersebut, jalan-jalan Negeri yang terlibat dengan kontrak ini adalah jalan-jalan di dalam kategori Jalan Raya Negeri di bawah JKR seperti yang disenaraikan dalam Malaysia Road Record Information System (MARRIS) tidak termasuk jalan-jalan di bawah kategori yang lain. Pendedahan ini telah dibuat oleh blog selamatkanpahang. Antara lain blog terbabit melaporkan penganugerahan kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri di seluruh negeri Pahang kepada hanya sebuah syarikat dijangka akan menjejaskan pekerja kuari Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor kelas F dan peluang kerja anak tempatan. Penswastaan kepada Syarikat YP Maintenance Sdn. Bhd. itu sudah tentu merugikan banyak pihak dalam jangka masa panjang kerana ia seperti monopoli. Kuari JKR bergantung kepada pengeluaran hasilnya yang dipasarkan kepada JKR-JKR daerah, jika kerja-kerja penyelenggaraan jalan diswastakan secara langsung akan menjejaskan pendapatan pekerja kerana syarikat kontraktor biasanya mempunyai kuari sendiri. Begitu juga dengan pekerja-pekerja unit jalan JKR daerah, mereka mempunyai kakitangan paling ramai dalam unit-unit JKR. Dengan cara penswastaan ini elaun lebih masa yang dinikmati sebelum ini mungkin tiada lagi. 


Sementara itu, menurut carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dua orang ahli lembaga pengarah syarikat dengan nombor pendaftaran 1033787 X tersebut ialah Johari Harun yang beralamat di Janda Baik dan Syufina Yaakob yang beralamat di Batu Caves. Syarikat tesebut baru didaftarkan pada 4 Februari 2013 dengan modal berbayar 100,000. Dengan penswastaan tersebut, kontraktor kelas F juga dijangka menghadapi kerumitan dan masa depan yang suram selepas ini kerana segala kerja-kerja undi dan sebut harga untuk kategori jalan raya negeri di bawah JKR dibatalkan. Sebelum ini kontraktor kelas F juga ramai yang terpaksa ‘gulung tikar’ apabila penyelengaraan jalan persekutuan diswastakan kepada syarikat Roadcare. Unit jalan JKR daerah-daerah sudah tentu akan dikecilkan saiznya kerana kerja-kerja sudah diswastakan. Secara tidak langsung kesan jangka panjangnya ialah tidak ada lagilah "peluang pekerjaan" kepada para penduduk tempatan.


Sila klik pada imej yang dipaparkan ini untuk membesarkan gambar diatas

[Nampak isu ini sesuatu yang agak panas menjelang pilihnaraya umum akan datang. Bagaimana JKR Pahang boleh tawarkan kontrak selama tujuh tahun kepada sebuah syarikat yang cukup meragukan kewujudannya. Jika benar dakwaan PAS, syarikat terbabit didaftarkan pada 4 Februari, maka mana mungkin Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang yang dipengerusikan oleh Menteri Besar boleh bersetuju meluluskan kontrak tersebut kepada syarikat terbabit pada 6 Februari. Malah lebih mengejutkan JKR Pahang hantar surat berkenaan pada tarikh 27 Februari 2013. Ini bermakna syarikat berkenaan seolah-olah mempunyai keistimewaan yang amat ketara. Tiada pengalaman tetapi begitu mudah diluluskan. Difahamkan YP Maintenance Sdn Bhd (YPM) adalah sebuah syarikat 100% bumiputera yang berdaftar dibawah CIDB (Gred G7) merupakan sebuah syarikat dibawah Yayasan Pahang (YP). Difahamkan Penegrusi Yayasan Pahang ialah Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob sendiri. Persoalannya, kenapa begitu cepat projek ini diluluskan kepada syarikat terbabit?. Siapakah Syufina Yaakob dan Johari Harun dari Janda Baik. Harus diingat, MB Pahang berasal dari Kg.Sum Sum, Janda Baik. Apakah ada unsur-usnur penyelewangan dan korupsi dalam penganugerahan projek kontroversi ini. Siasatan lanjut bakal menyusul !].

Sumber Artikel: pahangdaily

Tiada ulasan: