Khamis, 28 Mac 2013

293. Mat.

PECEQ - PANDAI BERFIKIR BIJAK MENAFSIR CERDIK MERUMUS.

Kisah kedegilan Mat Komando sebelum ajalnya

Pondok di mana Mat Komando ditembak mati oleh pihak berkuasa. Gambar sebelah adalah isteri dan anak Mat Komando.Pagi itu penduduk Kampung Hujung Keton di pedalaman Pendang, Kedah, gempar. Mereka terkejut bukan kerana kampung itu diceroboh kumpulan gajah liar.

Mulanya mereka sangka ia bunyi senapang patah penduduk kampung menembak musang yang mencuri ayam. Tidak mungkin pula tuan punya dusun menembak tupai seawal pukul 6.30 pagi. Tembakan itu berlarutan beberapa ketika sebelum terhenti.

Selepas itulah baru cerita sebenar muncul.

Berita Mat Komando mati ditembak oleh polis cepat tersebar ke Kampung Tok Sheikh dan Kampung Cina yang terletak tidak jauh dari situ. Ia kemudian menjadi buah mulut di Kubur Panjang, pekan Pendang dan akhirnya sampai ke Alor Setar dan Kuala Lumpur sebelum pukul 9 pagi.

Berita Mat Komando atau nama betulnya Ahmad Md. Arshad, 37, mati ditembak menjadi lebih sahih apabila pihak polis memaklumkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai sendiri akan mengadakan sidang media di Alor Setar pada pukul 11 pagi.

Nama Mat Komando mula popular apabila dia diburu polis kerana mengetuai kumpulan perompak 13 yang terlibat dalam 52 rompakan bersenjata di beberapa buah cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), bank-bank komersial lain dan para pemborong kelapa sawit.

Polis segera melancarkan operasi khas yang dinamakan “Ops Api Sawit” untuk memberkas anggota-anggota kumpulan perompak itu.

Pada awal Januari lalu, Mat Komando terlepas daripada kepungan polis ketika anggota kumpulan itu pulang daripada “bercuti” bersama keluarga dan teman di sebuah pusat peranginan di Tasik Pedu.

Abang ipar Mat Komando bagaimanapun mati ditembak di dalam operasi itu sementara dua lagi rakan mereka ditembak di Bukit Selambau pada hari yang sama.

Seorang rakannya bersama teman wanita diberkas ketika berada di dalam bilik hotel peranginan itu.

Mat Komando hilang dalam Hutan Simpan Pedu yang bersempadan dengan Thailand. Dia dikatakan sudah biasa dengan kawasan itu kerana pernah terlibat dalam operasi di situ semasa berkhidmat sebagai anggota komando tentera dahulu.

Operasi besar-besaran diperhebatkan dengan bantuan unit udara polis, anjing pengesan dan Pasukan Gerak Am (PGA) termasuk pasukan Senoi Praaq yang mahir dengan selok-belok hutan.

“Selagi ada air dan terdapat benda bergerak di dalam hutan, anggota komando boleh hidup,” kata seorang rakan Mat Komando yang pernah menjadi pegawai tentera di dalam unit komando.

Ketika operasi giat dijalankan di Hutan Simpan Pedu, seorang anggota kumpulan itu muncul di Pejabat Utusan Alor Setar untuk menafikan dia bukan lagi buruan polis walaupun gambarnya masih tertera di dalam carta kumpulan perompak 13.

Malangnya, lelaki berusia lewat 50-an itu ditangkap polis keesokannya setelah gambarnya terpampang di muka depan Utusan Malaysia. Dia kini menghadapi tuduhan memiliki dan mengedar harta curi Kumpulan 13 dan telah pun dihadapkan ke mahkamah di Selangor.

Operasi polis bagi mengesan Mat Komando di hutan Pedu pada awal tahun ini dihentikan selepas kira-kira 10 hari Mat Komando tidak dapat dikesan.

Polis pada mulanya begitu optimis penjenayah licik itu mampu ditumpaskan dalam masa beberapa hari sahaja!

Selepas operasi mengesannya diberhentikan, nama Mat Komando seakan-akan lenyap sehinggalah dia muncul semula enam bulan kemudian di Gemas Negeri Sembilan pada 28 Julai lalu apabila sekali lagi dia bolos daripada kepungan polis.

Benarkah Mat Komando mempunyai ilmu batin hingga kerap dapat terlepas daripada kepungan polis? Inilah yang kerap ditanya orang.

Mat Komando, anak kedua daripada lapan beradik dari Kampung Selengkoh, Yan ini bukanlah anggota komando yang cukup terlatih dan berpengalaman luas kerana kerjayanya di dalam perkhidmatan tentera hanya selama dua tahun.

Walaupun begitu, pengalaman dalam bidang ketenteraan telah digunakan dalam “kerjaya” terbarunya itu sebelum dia menemui ajal pada pagi Khamis lalu.

Selepas berhenti daripada perkhidmatan tentera, Mat Komando bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur. Tugas barunya itu pun tidak bertahan lama dan selepas itu dia sering bertukar kerja lain seperti menjadi pemandu teksi dan pemandu bas.

Penglibatannya dalam kegiatan jenayah dikatakan bermula semasa dia bekerja sebagai pemandu lori.

Mat Komando dikatakan bukan seorang yang bersifat bengis, keras hati walaupun terlibat dalam kegiatan jenayah.

Ramai rakannya juga tidak percaya dia terlibat dalam perbuatan itu kerana dia jarang bercakap tentang apa yang dilakukannya dan tidak menunjukkan reaksi keras jika tidak menyetujui sesuatu perkara.

“Kadang-kadang dia menjadi pendiam,” kata seorang saudara terdekatnya ketika ditemui pemberita Mingguan Malaysia di Baling.

Satu sifat yang terdapat pada diri Mat Komando ialah dia sering membantu orang lain dan kerap membawa balik buah tangan untuk saudara-maranya walaupun nilainya tidak seberapa.

Dia pernah membawa pulang wang sebanyak RM20,000 untuk keluarganya dengan memberitahu ia adalah hasil menang loteri. “Kami semua tidak percaya kerana dia bukanlah kaki judi,” katanya.

Wang itu digunakan untuk menambah ruang rumah dan membeli motosikal.

Sebelum dia menjadi buruan polis, Mat Komando sempat menyiapkan rumah baru itu untuk kediaman isterinya dan seorang anak tunggal berusia 10 tahun yang cacat pendengaran.

Menurut saudaranya lagi, walaupun Mat Komando mempunyai wang yang banyak, dia tidak menunjuk-nunjuk, tidak berlagak ataupun memperlihatkan kemewahan hidup seperti orang lain.

Dia berpakaian biasa, malah kadangkala baju yang dipakainya agak lusuh.

Seperkara yang menarik, dia kerap melawat saudara-maranya setiap kali balik ke kampung atau menziarah anggota keluarga yang sakit.

Setelah tiga orang rakan termasuk abang iparnya ditembak mati dan beberapa orang suruhannya ditangkap, Mat Komando mulai bimbang. Dia berasa dirinya keseorangan.

Rakan sepelariannya, Shukri Husain yang terlepas daripada buruan polis ketika bersembunyi di sebuah rumah di Gemas, Negeri Sembilan juga akhirnya menjadi musuh.

Menurut pihak polis, Mat Komando dikatakan cuba membunuh Shukri di sebuah kampung di Baling baru-baru ini. Shukri yang dibelasah dengan teruk sempat menyelamatkan diri tetapi akhirnya ditahan oleh polis.

Pemberita dan jurugambar Mingguan Malaysia bersama jurugambar akhbar The Star juga pernah dikejar dengan parang oleh seorang lelaki tua yang berada di sebuah pondok ketika mereka membuat susulan mengenai kejadian itu.

Lelaki itu kemudian ditahan kerana disyaki melindungi Mat Komando. Gerakan memburu Mat Komando diperhebatkan semula di sekitar daerah Kuala Muda, Baling, Sik dan Pendang kerana dia disyaki berlegar di tiga atau empat daerah itu.

Dia dikatakan ingin balik ke rumah isterinya di Baling untuk melihat dan merenung buat kali terakhir anak tunggalnya yang cacat.

Walaupun Mat Komando dikehendaki polis, dia amat sayang kepada anak lelakinya itu.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Mat Komando akhirnya rebah setelah dua butir peluru polis menembusi kepala dan rusuk kirinya pada subuh hening Khamis lalu.

Sebelum itu, dia dikatakan pernah berpesan kepada isterinya Faridah Md. Piah supaya menyiapkan kain putih untuknya kerana dia tidak akan menyerah diri sama sekali.

Mat Komando mati pada pagi Khamis lalu kerana prinsipnya itu.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan: