Jumaat, 29 Mac 2013

313. Budaya bodek di tempat kerja.

PECEQ - PANDAI BERFIKIR BIJAK MENAFSIR CERDIK MERUMUS. 

Budaya bodek di tempat kerja: Bos bukan robot
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 September 2012
Pengurus Akademi (Jabatan Sumber Manusia) Karangkraf, Nor Azam Aris
Pengurus Akademi (Jabatan Sumber Manusia) Karangkraf, Nor Azam Aris
“Seseorang ketua perlu memperjelaskan bidang tugasan kepada staf bawahan sehingga pekerja itu benar-benar memahami apa yang diharapkan oleh syarikat.

“Ada kalanya pekerja tidak tahu objektif tugasan sendiri hingga dia berasakan pencapaiannya sebelum ini sangat bagus. Hakikatnya, dia tidak tahu apa yang ketua inginkan daripadanya,” kata Pengurus Akademi (Jabatan Sumber Manusia) Karangkraf, Nor Azam Aris.

Beliau berkata, pandangan helikopter seorang ketua sememangnya berbeza dengan pandangan staf bawahan. Justeru, elakkan wujud kelemahan antara kedua-dua pihak supaya tidak timbul spekulasi seperti bodek akibat sikap berprasangka.

“Untuk mengelak bodek, ketua perlu lakukan penilaian prestasi secara sistematik berdasarkan bukti kecemerlangan tugasan pekerja.

“Manakala untuk skop harian, seseorang ketua perlu sentiasa berhubung dengan pekerja atau dalam erti kata lain menjadi jurupandu atau pemberi tunjuk ajar kepada staf bawahan dengan cara berteknik.

“Dengan ini, tidak akan ada peluang untuk mana-mana pekerja melakukan bodek atau ampu mengampu kerana pekerja telah mendapat gerak kerja yang sama,” ujarnya.

Nor Azam berkata, sudah adat setiap ketua sememangnya mengetahui kemampuan seseorang staf bawahan. Inilah yang perlu diyakini setiap pekerja.

“Oleh itu, pekerja perlu bersikap harmoni dan berpandangan baik kepada ketua. Ingat, ketua juga manusia biasa bukan robot.  Beli jiwanya dengan tunjukkan kemampuan, kebolehan dan kecemerlangan diri.

“Bayangkan, kalau kita negatif kepada bos, beliau juga mungkin fikir negatif terhadap kita.  Mungkin perkara kecil bagi kita, besar bagi bos. Besar bagi kita kecil bagi bos. Fahami, pandangan helikopter bos lagi besar berbanding anda yang hanya melihat di depan mata,” tegas Nor Azam.

Justeru, katanya, hubungan majikan dan pekerja perlu harmoni dengan landasan positif dan pekerja perlu selalu menghadap bos (mengenai tugasan).

“Sentiasa muhasabah dan perbaiki diri. Buat apa yang bos minta dan suka. Jika seseorang pekerja itu tidak melakukan tugasan dengan betul, sememangnya ketua boleh mengamuk,” kata Nor Azam.

SUMBER: sinar harian online.

 

Tiada ulasan: