Selasa, 23 April 2013

394. Sebagai Anak dan Anak Murid.


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.

Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Meja www.peceq.blogspot.com 
Kisah sedih yang aku jumpai hari ini: 

Jadi anak kena dengar kata emak dan bapa. Bila jadi murid kenalah dengar kata cikgu. Jadi semakin hari semakin bertambah tanggung-jawab seseorang, mengikut usia yang semakin mengurang sebelum mati. Terselamatlah kita dari menjadi individu tidak bertanggung-jawab.

Semasa jadi anak dengarlah teguran dan nasihat ibu dan bapa. In Syaa Allah hidup kita berkat di dunia dan akhirat. Untuk menambah jaya seseorang dalam kehidupannya, apabila menjadi seorang murid, kenalah dengar apa cikgu kata.

Bila mengelak saranan ibu, bapa dan guru, maka seseorang itu akan terperangkap dengan tipu daya jin laknatullah. Menipu ibu, bapa dan guru. Lebih rugi apabila seseorang itu terus tidak menjadi sedar dengan kesilapan dan kesalahan yang dilakukannya.
Beginilah selingkar kisah seorang bapa yang menjadi tonggang-langgang tidak karuan. Walau bagaimana pun bapa tersebut mengakui ada perkara silap dalam dirinya dan sentiasa memaafkan anak-anaknya dan mendoakan anak-anaknya mendapat hidayah ke jalan lurus yang Allah S.W.T., tentukan. Si bapa pun sering meminta maaf kepada anak-anaknya diatas sebarang kesilapan yang dilakukan.

Semasa sekolah tadika banyak hadiah diperolehi kerana masih kecil dan hidup kurang terpengaruh dengan anasir dunia luar yang melalaikan. Apabila usia menjejak ke sekolah rendah, pelajaran pun sudah tidak diindah, sedangkan itulah tanggung-jawab menjadi manusia. Hadiah pencapaian kecemerlangan pun semakin menjauh.

Menuding jari kepada orang lain bukanlah sesuatu yang terbaik. Akhirnya bapa mengalami gangguan dan tekanan hidup yang tidak berkesudahan sehingga kini masih mendapatkan rawatan perubatan.

Bila sudah ke sekolah menengah, sudah pandai buli adik di rumah. Maklumlah bapa tiada di rumah sama ada pergi bekerja atau pelbagai urusan kehidupan. Tidak cukup sikap buruk sedemikian rupa, adik-adik ditegah makan tengahari. Makan malam sahaja, yang penting yang tua dalam adik beradik dapat makan kenyang selepas balik sekolah. Kasihan adik-adik yang kecil dibuli. Jadi tidak bermakna adik balik rumah tengahari dari sekolah.

Sebagai dendam dan entah apa tipu muslihatnya, pakaian bapa yang menanggung dan diamanahkan Allah S.W.T., membesarkannya dan adik beradiknya, habis disorok dan diplastik hitamkan. Letak atas almari atau mana-mana sahaja, asalnya sentiasa tersorok.

Bukan ini caranya untuk menyelesaikan permasalahan hidup. Kecualilah kita jenis yang suka membuat onar. (Gambar sekadar hiasan).

Tidak cukup dengan tingkah laku sedemikian rupa, ruang fitnah terbuka luas. Apabila yang besar semakin berakal tetapi tidak cukup masak, pergi meminta barang-barang keperluan dari jiran tetangga, walau pun ditegah si adik-adik.

Pecahlah berita keluarganya anak kebuluran. Kejadian yang berlaku beberapa tahun, dianggapkan oleh tetangga yang mengambil kesempatan berbuat fitnah, sebagai perkara yang baru berlaku di tahun tersebut.

Maka tersibarlah berita fitnah tersebut seluas mana kawasan alam milik Allah S.W.T.. Datanglah lauk pauk, beras dan pelbagai, bagi menampung cerita tidak benar tersebut. Kononnya anak kebulur, kebelai. Sedangkan bapa tidak tahu menahu perbuatan anaknya meminta-minta dengan jiran tetangga keperluan harian., sementara bapanya sedang bekerja mencari nafkah untuk diri dan anak-anaknya. 

Pesan bapanya meminta memaklumkan kalau ada barang dapur yang kurang segeralah beritahu. Maklumlah anak sudah pandai memasak setelah Allah S.W.T., menjemput isteri dan ibu kepada anak-anak kembali ke Rahmatullah. Pesan tinggal pesan. Malu dan maruah terus tercalar dengan adanya jiran yang gemar menjaja aib orang lain. Untuk populariti diri agaknya.

Semakin hari usia menjejak ke sekolah menengah, sekolah pun semakin jauh dari rumah. Sudah pandai ponteng sekolah dan melanggar peraturan sekolah. Kena buang sekolah sebagai hukuman. Merayulah keluarga kepada jabatan pelajaran negeri, supaya anak dapat bersekolah lagi.



Bila sudah dapat bersekolah dan layak tinggal di asrama sekolah, habis peraturan asrama dan sekolah dilanggar. Kena gantung asrama. Tipu bapa di rumah, kata pengetua suruh rihat di rumah. Allah S.W.T., Maha Kaya, tidak lama mana penipuan datanglah surat dari pihak sekolah, menyatakan kesalahan itu ini.
Tidak cukup dengan surat amaran dari sekolah, datang bersama surat saman Polis menyatakan kesalahan jalan raya yang dilakukan setahun yang lalu.

Pantang bapa tiada di rumah, habis phone rumah digodamnya. Berhubung dengan kawan berjam-jam lamanya. Bila bil datang cukup bulan, nampaklah akibatnya. Ditegur tidak jalan juga, sampailah bulan-bulan berikutnya bil phone semakin meningkat. Terpaksalah potong line phone. Habis wang kerana bayaran bil phone, bil letrik dan bil air yang banyak dibazirkan. Dendam supaya teruk bapa membayar bil.

Seperti ada usaha untuk "membengkrapkan" bapanya. Kesusahan dan rayuan bapanya langsung tidak diperdulikan. Sudahlah bapa tiada sesama manusia tempat mengadu untuk menzahirkan keluh kesah hidupnya. Hanya Allah S.W.T., tempat bapa berdoa, berserah dan pasrah.

Tidak kelihatan difikirannya, pembaziran itu akan menutup ruang keselesaan hidup keluarga. Janji dendam tercapai, agaknya. Bila duit dan belanja untuk diri masing-masing tidak kecukupan, masing-masing menunjukkan tingkah laku memberontak. Burukkan bapa. Bapa tidak berupaya, diam sahajalah, kerana berita telah pun tersibar kerana mulut anak-anak yang tidak berpuas hati, kepada orang lain.

Sedangkan segala pesan, teguran, nasihat dan ajaran bapa terus diabaikan. Apa lagi kata nasihat dan pengajaran cikgu di sekolah. Keputusan peperiksaan umum keluar, keputusannya jauh dari cemerlang, kegagalan yang banyak. Itu pun tidak sedar lagi kesilapan, walau ditegur, dinasihat berulang-ulang. Rupa-rupanya kesalahan demi kesalahan yang serupa diulang-ulang sampai tidak jumpa noktah puas.

Sekejap hendak ke sekolah ini, sekejap hendak ke sekolah sana. Maka pandai diri sendirilah membuat keputusan dengan melanggar nasihat bapa. Jarak antara dua tempat belajar memakan masa berjam-jam. Boleh pula belajar seminggu di sana dan minggu depan ke tempat belajar yang satu lagi. Serampang dua mata yang langsung tidak munasabah.

Satu beg pakaian hilang semasa dalam perjalanan mengikut keputusan diri sendiri yang kononnya cukup dewasa. Habis sekali pakaian bapa yang dikebas turut hilang dicuri. Yang tinggal di asrama pun hilang barang keperluan. Itulah tidak mendengar nasihat bapa dan guru. Konon sudah pandai, sudah besar melangit.


Lebih malang lagi tiba-tiba datang polis ke rumah, aduan jiran kerana mendera anak. Anak menggadaikan barang bapa kepada anak jiran, kepada kawan-kawan, membuatkan hidup bapa terus tergugat. Bapa rasa tidak selamat tinggal di rumah sendiri kerana sikap anak sedemikian rupa kejahatannya.

Duit siling simpan dalam laci kereta pun kena kebas. Duit siling yang bapa simpan di rumah dan tersorok pun habis dilanun anak. Duit sedemikian itulah bapa jimat-jimatkan untuk keperluan anak-anak waktu mendatang.

Pakaian bapa hendak bekerja tidak tentu arah. Sarung kaki tinggal sebelah, pakaian yang selalu dipakai hilang satu persatu, walau pun di jemur di dalam kawasan rumah berpagar. Rupa-rupanya ada anak yang suka mencacatkan pakaian bapa, ada yang dikebas pakai tanpa memberi tahu.

Peralatan rumah kebanyakannya separuh baik. Hilang sempurnanya. Paling mengejutkan seminggu barang depan mata untuk keselesaan anak, masuk minggu ke dua sudah pun rosak. Langsung diluar pengetahuan bapa, tidak terfikir yang merosakkan untuk memberitahu dan memperakui kesalahannya.

Pinggan mangkuk kaca yang tersimpan baik sejak mereka belum lahir, habis berkecai. Menjaga keselamatan kemudahan barang dalam rumah bukan sikap anak-anak. Tidak kisah kalau jahanam pun, hinggakan tulisan dan arahan dimesen basuh pun habis dipadam, biar orang lain tidak tahu menggunakannya.

Meja untuk menggosok pakaian pun boleh dibuat tempat memanjat. Nama sudah besar panjang tapi itulah sikap anak-anak. Sudah jahanam terus sepi buat-buat tidak tahu. Bila ditanya mengaku pun tidak. Tutup rapat terus mulut. Banyak kerugian bapa tanggung. Bapa redha dan terus menasihati anak-anak ibarat mencurah air ke daun keladi. Kadang-kadang bapa terlepas juga perasaan amarahnya.

Bila kata nasihat tidak dapat masuk nyaman dalam diri, datang lagi polis mengatakan seorang anak lagi mengadu didera, sedangkan di rumah habis adik beradiknya diamok, lebam biji mata dan adik beradik yang lebih dewasa darinya pun habis dilempang terajangnya.

Bila sudah semakin membesar, salah tegur habis merajuk bawa diri, lari dari rumah. Habis tonggang-langgang barang rumah diperlakukan, sebagai protes sebelum lari dari rumah.

Dapat sambung pelajaran dan dapat pula elaun. Sanggup bohong bapa, elaun yang sudah beberapa kali diperolehi dan mungkin disalah pakai guna. Elaun belum dapat lagi, bapa beri lagi duit. Allah Maha Mengetahui rintihan bapa. Dapat panggilan dari pihak pusat pengajian, nyatakan anak ponteng. Dari situlah bapa dapat cerita dan kedudukan sebenar termasuklah bayaran elaun tersebut.

Bila perkara sedemikian rupa terjadi ada sahaja jawapannya, bila ditanya kepada yang empunya badan yang berbuat salah yang serupa dan acap kali dilakukan dari sekolah menengah sehingga berpeluang ke peringkat lebih tinggi. Dia lupa bapa jadi penjamin pengajiannya. Walau pun dia sudah besar panjang. Besar kepala dan panjang akal tipu daya agaknya. Nauzubillah Minzaliq.

Teguran untuk kebaikkan diri, dibalas tidak pulang-pulang menjengah bapanya dan adik-beradiknya. Handset ada pun sudah tidak ada waktu untuk menghubungi bapa. Tidak ada untung agaknya. Teguran itu pahit dan buat yang kurang berakal itu adalah pukulan yang memalukan. Kepada yang bijak akan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Untuk berjaya memang kena hormati ibu bapa dan guru. Memang sekarang antaranya sudah bekerja, tetapi memadaikah pendapatan yang diperolehi jika dibandingkan dengan anak yang dengar nasihat ibu bapa dan guru. Hidup biar dapat redha Allah S.W.T.. Baru mudah jumpa jalan taqwa kepada-Nya.
====================================
Nota berpaut: 
"Ana khairun minhu maknanya Aku lebih baik dari dia” pertama kali diucapkan oleh Iblis untuk menunjukkan ketakaburannya. Allah  SWT menyuruhnya untuk sujud kepada Adam AS tapi Iblis tidak mau. Ia beralasan...; 

“Aku lebih baik dari dia. Kau ciptakan aku dari api dan Kau ciptakan dia dari tanah.”

Takabur yang dilakukan oleh Iblis
pertama kali itu adalah takabur kerana nasab, takabur kerana keturunan. Menurut Al-Ghazali, di antara beberapa faktor yang menyebabkan orang menjadi takabur dan berfikir, “Aku lebih baik dari dia,” adalah nasab. 

Iblis adalah tokoh takabur kerana nasab yang paling awal. Kebanggaan atau kesombongan kerana nasab ini pernah menjadi satu sistem dalam masyarakat feudal. 

Feudalisme adalah sistem kemasyarakatan yang membahagi masyarakat berdasarkan keturunannya. Sebahagian masyarakat disebut berdarah biru dan sebagian lagi berdarah merah.

Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 
vmct7.

7tcmv.

Tiada ulasan: