Isnin, 6 Mei 2013

473. BN tambah kerusi Parlimen WP.

Sumber: Nasional
 
Rozman (tengah) meraikan kejayaan bersama Pemangku Ketua UMNO, Datuk Yunus Kurus (kiri) dan Naib Ketua Bahagian, Datuk Bashir Alias (kanan) selepas menewaskan calon PKR dan PAS pada PRU-13 di Dewan Kolej Matrikulasi Labuan. - Foto Azri Onn.

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) menambah satu lagi kerusi di Wilayah Persekutuan dengan merampas Parlimen Titiwangsa daripada PAS, selain berjaya mempertahankan tiga kerusi sedia ada, setakat jam 1.35 pagi tadi.

Calon baru BN di Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani, mencatat kemenangan dengan majoriti 866 undi apabila mendapat 23,034 undi berbanding calon PAS, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (22,168 undi), manakala 311 undi rosak.

Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abd Halim Ismail di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kampung Pandan di sini, tepat jam 10.30 malam tadi.

Johari ketika ditemui pemberita, mengakui amat menghargai sokongan pengundi dan berjanji akan bekerja keras dengan perancangan rapi untuk memastikan Aku Janji BN dilaksanakan dengan jayanya di Parlimen itu.

Selain itu, BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya apabila penyandangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang meraih 9,943 undi, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dengan majoriti 5,541 undi.

BN juga mempertahankan kerusi Parlimen Setiawangsa melalui calon baru, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, yang mengalahkan Ibrahim Yaacob (PKR) dengan majoriti 1,390 undi, serta Parlimen Labuan apabila calonnya, Rosman Isli, menewaskan Hadnan Mohamad (PAS) dengan majoriti 6,625 undi.

Sementara itu, pertembungan panas di kerusi Parlimen Lembah Pantai yang menjadi antara tumpuan utama PRU-13 menyaksikan calon BN, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, kalah kepada penyandang, Nurul Izzah Anwar (PKR), tetapi dengan majoriti merosot kepada 1,847 undi berbanding 2,895 undi pada PRU 2008, manakala 519 undi rosak.

Satu lagi kerusi tumpuan, Parlimen Bandar Tun Razak dimenangi penyandangnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR), mengalahkan calon BN, Tan Kok Eng, dengan majoriti 11,832 undi.

Bagaimanapun seperti dijangka, Parlimen Kepong terus menjadi kerusi tradisi DAP yang dimenangi Dr Tan Seng Giaw dengan majoriti 40,307 mene-waskan calon BN, Datuk Chandrakumanan Arumugam.

DAP turut mempertahankan kerusi Parlimen Segambut, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras, manakala PKR pula mengekalkan mandat di Parlimen Wangsa Maju, namun sehingga jam 1.35 pagi tadi, kerusi Parlimen Batu yang menyaksikan persaingan lima penjuru masih belum ada keputusan.

Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 

Tiada ulasan: