Khamis, 20 Jun 2013

598. Angkatan tentera Quraisy dalam Perang Uhud.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.

Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Angkatan tentera Quraisy dalam Perang Uhud

SELEPAS ketua-ketua kaum Quraisy mengadakan mesyuarat, persiapan untuk memerangi Nabi Muhammad SAW dan tentera Muslimin telah dilakukan. Setiap keluarga mengutuskan anak-anak lelaki dan hamba-hamba yang masih kuat untuk menyertai peperangan tersebut.

Sebanyak 3,000 tentera dikumpulkan. Sebanyak 200 tentera berkuda dilengkapi dengan pakaian perang, senjata dan makanan serta minuman yang melimpah ruah. Seramai 700 orang pula memiliki senjata yang lengkap manakala selebihnya menaiki unta.

Angkatan tentera kaum Quraisy diketuai oleh Abu Sufyan. Barisan wanita yang terdiri daripada tujuh belas orang diketuai oleh Hindun binti Uthbah iaitu isteri Abu Sufyan.

Tentera Quraisy bersiap sedia dengan kelengkapan perang yang sudah mencukupi, ditambah dengan bilangan tentera lebih daripada tiga ribu orang. Lalu berangkatlah mereka menuju ke Madinah.

Dalam perjalanan itu mereka turut membawa tuhan mereka yang paling besar iaitu berhala Hubal, dengan diiringi perempuan-perempuan penyanyi dan penari.

Tidak ketinggalan juga peralatan-peralatan muzik seperti rebab, seruling dan alat-alat muzik lain yang boleh menghibur dan membangkitkan semangat para tentera dengan nyanyian dan syair-syair yang merangsang. Minuman keras yang banyak turut dibawa bersama.

Sementara kaum Quraisy sibuk bergegas-gegas untuk bertolak dari Mekah ke Madinah, bapa saudara Rasulullah, Abbas bin Abdul Muttalib secara diam-diam mengutus sepucuk surat kepada baginda untuk memberitahu tentang rencana perang kaum Quraisy yang telah mula berangkat ke Mekah dengan sebuah pasukan yang besar, kuat dan lengkap itu.

Setelah mengetahui rancangan orang-orang Quraisy itu, Rasulullah pun bersiap sedia dengan 1,000 tentera untuk berperang dengan mereka.

Walaupun jumlah tersebut terlalu sedikit untuk melawan tentera Quraisy, orang-orang Islam tetap bersemangat waja.

Sebelum peperangan bermula, orang-orang Yahudi telah membuat satu helah. Mereka menghantar Abdullah bin Ubay supaya menawarkan diri untuk membantu orang-orang Islam menentang orang-orang Musyrik. Bagaimanapun tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Rasulullah SAW.

Segala persiapan Nabi SAW adalah bertepatan dengan firman Allah yang maksud-Nya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya...(al-Anfal: 60)

Semangat tentera Islam

SELEPAS Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talin dan Abdullah bin Abi Rawahah gugur syahid, bendera Islam kini menunggu kemunculan ketua baru untuk menjulangnya sebagai tanda tentera Islam tetap bertahan dan sama sekali tidak akan menyerah kalah pada pihak musuh. 

Sedangkan Rasulullah SAW tidak menyebut siapa pengganti kepada ketiga-tiga ketua panglima tentera Islam yang telah gugur syahid itu. 

Ini menyebabkan tentera Islam sedikit kucar-kacir kerana tiada pemimpin mengambil alih bagi menerajui dan menentukan hala tuju perjuangan mereka.
Namun seorang sahabat yang dahulunya pernah berjuang di Perang Badar, Thabit bin Aqram terus bertindak mengambil bendera Islam lalu dijulang bendera tersebut tinggi ke udara. 

Melihatkan bendera Islam berkibar-kibar di udara, lalu seluruh tentera Islam segera berkumpul pada bendera tersebut bagi menantikan arahan daripada kepimpinan baru pasukan. 

Tsabit sama sekali tidak bermaksud untuk mengambilalih peranan ketua panglima tentera Islam, malah sambil mengibarkan bendera itu, beliau melaung-laungkan suaranya: "Wahai sekalian, orang Islam! Lantiklah seorang di kalangan kamu untuk menjadi ketua. Segeralah kamu lantik demi mempertahankan maruah dan agama Allah ini!" 

"Kamulah yang menjadi ketua kami, wahai Tsabit," seru seorang anggota tentera Islam. 

"Aku tidak layak untuk mengepalai barisan tentera ini," balas Tsabit. 
Namun apabila melihat seorang sahabat (yang dahulunya adalah musuh ketat Islam), Khalid bin Al-Walid adalah antara anggota tentera Islam yang mula-mula sampai dan menghampirinya, Tsabit terus menyerahkan bendera Islam itu kepada Khalid. 

Alangkah terkejutnya Khalid dengan tindakan Tsabit itu. 

"Wahai Tsabit, bukankah kamu lebih tua? Malah kamu sebelum ini merupakan Ahli Badar (anggota tentera Badar), tentulah kamu yang lebih layak untuk menjadi ketua berbanding aku," soal Khalid. 

Lalu Tsabit pun menjawab: "Ambillah wahai Khalid akan bendera ini. Aku tidak mengambil bendera ini melainkan untuk diserahkan kepada kamu. 

Sekarang bukan masanya untuk bertolak-tolakan. Suasana kini semakin genting dan memerlukan seorang pakar perang dan kamu adalah orangnya." 

Disebabkan Khalid masih baru memeluk Islam dan bimbang ada tentera Islam yang tidak bersetuju dengan pelantikannya sebagai ketua, lalu Tsabit pun dengan lantangnya berkata; "Wahai saudara-saudaraku, tetapkanlah di hati kamu bahawa Khalid bin Al-Walid adalah yang paling layak memegang dan mempertahankan bendera Islam ini. Dialah yang paling tepat sebagai panglima perang kita!" 

Seketika itu juga seluruh tentera Islam serentak menyatakan setuju dan sokongan mereka terhadap Khalid sebagai ketua baru mereka. 

Mendengarkan harapan yang sungguh tinggi daripada Tsabit dan sokongan tidak berbelah bahagi, Khalid menganggukkan kepalanya dan terus mengibarkan bendera Islam. 

Khalid bangkit bagaikan seekor singa. Beliau segera 'mengaum', memanggil semua anggota tentera Islam untuk berkumpul bagi mendengarkan arahannya.
Khalid Al-Walid adalah seorang lagi pahlawan yang paling hebat dalam sejarah Islam sehingga beliau digelar Saifullah al-Maslul(pedang Allah yang terhunus atau pedang Allah) walaupun pada asalnya beliau seorang yang sangat kuat memusuhi Islam. 

Gelaran itu bertepatan dengan satu riwayat di mana dikatakan sebanyak sembilan bilah pedang Khalid patah kerana kehebatan beliau bertempur di medan Muktah. 

Sebagai seorang yang pernah mengucar-ngacirkan pertahanan tentera Islam yang hampir-hampir menang semasa Perang Uhud, Khalid memang pakar strategik peperangan. 

Bahkan, pada zaman jahiliahnya dahulu, Khalid terkenal sebagai seorang ahli gusti yang sangat digeruni kawan dan lawan, tetapi kali ini sebagai ketua panglima perang, beliau perlu mengaturkan satu strategi perang yang baru untuk mengalahkan tentera bersekutu Byzantine atau Rom itu.
Sumber: 
Zulfarizan Zakaria "FABI AYYI AALA IRABBIKUMA TUKAZZHIBAN" = Nikmat Tuhan Manakah Yang Engkau Hendak Dustakan?........muhasabah buat diri kite ni belake kerana Allah S.W.T..... 

Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T.. 

Tiada ulasan: