Rabu, 24 Julai 2013

1085. Menderita.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  , الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ,  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ , إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ  , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ , غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.

Assalamualaikum w.b.t/السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
. 006. Nota Buat Pengunjung Blog..
Jujur - aku bukan pilih kasih dengan anak-anak. Tetapi bila ada seorang tu di rumah, peratus kerungsingan aku meningkat mendadak. Peratus kecurigaan aku pun melonjak tinggi. Peratus keresahan dan ketidakboleh percayaan juga menggusarkan jiwa. 
Apa tidaknya sekarang sudah jam 13.44 dari waktu Sahur masih lagi atas katil, enaknya tidur. Aku buatlah macam-macam cara, tegur nasihat, semua tak jalan. 


Ikhlas aku memang tak suka dia ada di rumah. Dia jenis tidak boleh dipercayai. Macam mana aku hendak percaya, kalau banyak masa habis di atas katil sahaja. Sepatutnya bila ada di rumah, bolehlah tengok-tengokkan keselamatan rumah. Beri tanggungjawab semua bertangguh. Akhirnya aku sendiri yang buat, apa yang aku suruh untuk dia laksanakan. Banyak kali aku lakukan hal sedemikian, dari sembunyi-sembunyi aku yang buat apa yang aku suruh dia buat, aku buat terang-terang depan mata dia. Semua tidak menyedarkan dia. 
Terus terang aku katakan, usaha aku menghargai dirinya hanyalah harapan dan cita-cita kosong. Terlalu benci aku dengan sikapnya. Suka tidur, suka mengutamakan kawan dan tidak boleh diharap. Tak payahlah cerita dengan dia tentang mengenang budi, menghargai dan dihargai. Tak masuk akal kamus hidupnya.


Masa senang dia tinggalkan aku, ikut kehendak diri serta utamakan kawan-kawan. Bila susah balik semula rumah menagih simpati bapak dia tanggung hidupnya. Banyak peluang aku berikan untuk dia. Sampaikan pelaburan sejumlah RM400.00 kepada sebuah institusi untuk dia sambung belajar, terbuang begitu sahaja. 

Tinggalkan rumah, selepas melakukan pembayaran tersebut. Ikut kehendak hati dan ikut kawan. Tak balik-balik tanpa khabar berita, hidup lagi atau sudah dot kah dia. Macam itu sekali dia mempersendakan kehidupan aku.


Aku jaga hati dia, walau dia melukakan hati aku dan membuat aku terbeban dengan perasaan hingga tidak tertanggung. Aku beri peluang dia, untuk belajar dan cemerlang masa depan dunia dan akhirat. Hantar Sekolah Agama hancur lebur Ustaz dan Ustazah pun habis dijadikan lawan. Untuk merelevankan tindakkannya, Ustaz dan Ustazah yang dipersalahkannya. 


Masih aku ingat, masa tadika dalam perjalanan pulang ke tempat emaknya bekerja, melalui sebuah sekolah menengah, boleh cat kereta cikgu sekolah tersebut. Kebetulan pekerja sekolah tinggalkan cat berhampiran semasa berehat seketika agaknya. Aku juga kena beli bahan penghilang cat dan bersihkan kereta cikgu itu semula. 

Masa sekolah rendah sebenarnya banyak yang menjadi rahsia. Sebab aku tidak pernah diberitahu tentang pelanggaran disiplin dan kebiadapannya di sekolah. 


Mempergunakan medan blog ini untuk meluahkan perasaan yang terbuku di dada. Sedih, kecewa, marah beransur-ansur menurun bila aku luahkan dengan cara begini. Tetapi apakah dia akan berubah menjadi lebih baik?. 


Jelas adanya dia di rumah aku sering sakit. Perasaan aku untuk bekerja dengan senang hati sering terganggu, tidak tenang, tidak senang, tidak gembira, bila memikirkan apa yang dia buat di rumah. Aku sudah sampai tahap merapu. Aku fikirkan lain dan yang keluar di mulut lain duduk perkaranya. Aku makan ubat penenang dan ubat tidur yang dibekalkan oleh hospital tempat aku menerima rawatan sejak 7 tahun yang lalu. 


Adanya dia di rumah tidak banyak membantu aku memulihkan diri sendiri. Aku berusaha, berdoa untuk melepaskan diri dari tekanan hidup. Aku pernah mencapai semula puncak kegembiraan hidup dalam masa 7 tahun tersebut. Tetapi segala-galanya musnah bila dia muncul semula di dalam rumah ini. Maklumlah dalam keadaan susah mana ada kawan boleh menerima dia. Apakah dia memang jenis "pengacau" yang berpura-pura bagus di depan mata?. Benar-benar satu gangguan emosi.

Saat aku jatuh, jelas tidak berupaya dan tidak punya apa-apa, hinggakan untuk ke tempat kerja pun aku tidak punya kenderaan. Sepatutnya ada, tetapi semuanya rosak gara-gara dia. Dua kaborator motosikal aku, dicabut dan diberi atau dijual dengan kawan aku tidak pasti. Hendak dapat semula kaborator tersebut, Allah S.W.T., sahaja yang tahu perasaan aku. 

Aku tidak sedar bahawa kaborator motosikal tersebut telah tiada, hinggalah kawan aku datang dan memberitahu aku. Aku tanya dia, mudah jawabnya "Tak tahu." Motosikal tersebut aku beli pun, dia belum lahir ke dunia lagi. Bila sudah besar dia menjadi pemusnah. Berminggu-minggu aku memikirkan dan berikhtiar mencari jawapan ke mana kaborator itu pergi. Aku tanya lagi dia ... itulah jawapannya "Tak tahu." 

Akhirnya Allah S.W.T., memakbulkan doa aku dan ikhtiar aku. Memang aku menghadapi masalah tidur kalau dia ada di rumah. Jam 3 pagi aku kejutkan dia. Aku hendak kaborator motor tersebut. 2 buah rumah dia gendang pagi-pagi buta, untuk mendapatkan kaborator tersebut. Aku nekad akan minta bantuan polis. 

Sekejapan aku dapat ke dua-dua kaborator dua buah motosikal aku. Dengan kata jaminan kaborator tersebut tidak diusik atau diubah suai. Aku tidak percaya itu. Akhirnya setelah bertahun aku memendam rasa, lebur RM400 lebih untuk harga kaborator baru. Kaborator asal motosikal tersebut sudah diubah suai dan rosak. Sebuah lagi motosikal yang dikacau ganggu dia, aku belum mampu untuk memperbaikinya lagi.


Hanya kerana sebuah beg yang harganya tidaklah lebih RM30, dua buah kereta permainan remote control dan sebuah basikal lumba digadaikan kepada anak tetangga aku. Aku tanya dia, selamba dia jawab tidak tahu. Akhirnya aku hilang sabar dan belasah dia, barulah dia mengaku. Aku dapat semula barang aku yang sudah tidak tentu arah rupa, dua remote control itu aku musnahkan depan dia. Hancur bekecai yang tidak sama dengan rasa kekecewaan aku kerana adanya petualang dan pengkhianat dalam rumah. 


Akhirnya apa yang aku dapat?. Bapak kepada anak yang empunya beg membuat aduan polis, aku mendera anak. Ketua Polis Balai datang membuat siasatan. Izin Allah S.W.T., aku terlepas dari keadaan tersebut. Beberapa hari kemudian satu lagi jiran yang kebetulan baru balik haji, jumpa aku menyebut perkara polis datang rumah aku dengan kata akhirnya yang aku ingat sampai sekarang "aku tahu tuu." Agaknya rasa seronok kalau apa-apa terjadi pada diri aku waktu itu. Anak aku peduli apa, janji dia puas hati dengan bermuka-mukanya. 

Aku pernah tinggal berhari-hari di hospital kerana sudah tidak tertahan lagi dengan tekanan perasaan. Aku tinggalkan kad bank kepada anak sulung aku. Dengan tujuan sebarang kemungkinan yang perlu. Maklumlah hospital waktu itu mana ada auto teller. Dia minta kad tersebut dari anak sulung aku, kononnya aku suruh dan dia keluarkan duit untuk kepentingan dia. Aku belum mati lagi dia sudah berkelaluan begini. Kalau aku mati apakah aku akan terseksa di alam barzah kerana mungkin anak-anak aku akan bergaduh kerana harta peninggalan aku. Nauzubillah.

Setelah aku pulang dari hospital, aku membuat pemereksaan rapi. Motosikal aku rosak, aku tanya siapa guna motosikal ini. Dia diam. Aku tanya siapa rosakkan, dia jawab entah. Sabar ajelah aku. Sabar menghadapi anak yang disuruh tidak menjadi, yang tak disuruh dijadi-jadi. Aku beri wang untuk dia betulkan semula bahagian yang rosak sahaja. Habis dia libatkan semua perkara yang tidak sepatutnya, yang tidak aku suruh. RM100 tidak mencukupi untuk memperbaiki motosikal tersebut, gara-gara tidak mendengar kata. 

Naik sekolah menengah, awal-awal dia beritahu, dia hendak sekolah menengah biasa. Tak hendak sekolah arab. Aku patuhi kehendaknya. Apa jadi ... waktu sekolah ponteng duduk dalam kebun sawit, merayau taman perumahan tempat kawan-kawan dia tinggal. 

Awal tahun ini ada emak budak menyebut hal dia melepak di taman perumahan emak budak itu tinggal "ponteng sekolah". Sudah bertahun perkara tersebut berlaku, orang masih menyebutnya lagi. 

Dalam pada itu, dia minta aku sekolahkan dia di sekolah arab yang asalnya dia tidak mahu. Aku ikutkan lagi. Tahu apa dia buat di sekolah arab tersebut?. Rosak reputasi abangnya yang sepatutnya layak untuk jadi ketua pengawas sekolah. 

Balik semula ke sekolah asal. Akhirnya kena buang sekolah. Dalam kesibukkan aku menguruskan kemasukkan abangnya ke sebuah maktab. Aku uruskan juga rayuan untuk dia bersekolah semula. 

Tingkatan empat dapat masuk sekolah yang ada asrama, tak lama belum pun 3 bulan bersekolah kantol pasal rokok. Punya handal hari ini tertangkap, esok buat lagi dan tertangkap. Akhirnya kena gantung asrama dua minggu. Aku kena hantar dia ke sekolah setiap pagi selama dua minggu dan kemudian aku terpaksa menempuh kesesakkan jalan raya, yang sepatutnya aku tidak perlu tempuh untuk ke tempat kerja.


Naik tingkatan lima hal serupa juga dilakukannya. Aku dapat surat dari pengetua lagi berserta satu surat saman polis untuk dia. Aku tak tahu nak kata, perasaan aku masa itu. Tidak lama kemudian dia balik. Dia kata pengetua suruh berehat dua minggu. Aku pun tunjukkan surat pengetua sekolah. Aku tidak mahu cakap banyak, hendak lihat apa gerak laku dia. Aku tunjukkan pula surat saman polis. Dalihnya hebat. 


Apa aku dapat?. RM600 lebur bayar saman tersebut. Waktu bulan Ramadhan beberapa tahun yang lalu. Puncanya cakap dengan aku hendak Solat Tarawih. Aku tertunggu-tunggu kepulangan dia sampaikan berkecai cave bernilai RM220.00 kononya dia berpergian ke Surau Solat Tarawih.


Rupa-rupanya ikut kawan ke sana ke mari. Tertangkap polis memandu motosikal kawannya tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempuh. Puas RM600 kalau buat beli daging dan keperluan juadah Aidil Fitri. Kawannya lepas tangan. Adalah bayar RM50, itu pun setelah beberapa kali aku desak dia minta. Senang lupa bapak, susah cari bapak. Bayar saman ye bapak. 

Akhirnya dia tak mahu masuk ke asrama semula. Dia kata dia nak elak kena perkara macam itu lagi. Tetapi apa jadi kepada aku di rumah?. Aku hendak tidur pun tidak senang. Aku tidur awal, kesempatan besar dia keluar rumah, dengan pintu utama tidak berkunci dan begitu juga pintu pagar. Akhirnya aku mengalami semula sakit tidak boleh tidur malam. Dia mana tahu. Tekanan perasaan yang aku hadapi, yang hampir pulih menjadi hancur semula.

Maka berulanglah dia dengan motosikal ke sekolah. Peluang berlegai dan berlagaklah dia. Dia tidak sedar setiap kemahuan aku penuhi bagi tujuan dia berubah sikap. Aku nasihati waspada selalu. Tunjukkan kawasan di mana ramai stunt man, jenis keluar simpang sesuka hati. Maghrib jangan keluar rumah.

Kalau tanya engkau bawa laju ke. Tak laju. Akhirnya nasihat dan tunjuk ajar tinggal jadi tahi. Motosikal tersebut menyondol kereta yang tiba-tiba keluar simpang (kawasan yang aku bagitahu stunt man ramai). Motosikal terpelanting ke tengah jalan dan hancur bekecai tanpa boleh guna lagi dilanggar lori. Dia terselamat dan dibawa ke hospital untuk rawatan semalaman. Aku dapat tuduhan dari dia, aku lebih sayangkan motosikal dari dia. Allah Maha Adil Lagi Maha Bijaksana.

Sebelum itu dia dengan abangnya pandai-pandai serahkan van aku kepada pihak bank. Siap carikan dan serahkan kunci van lagi pada pegawai bank tersebut, masa aku tak ada. Aku tak ada di rumah sebab berpergian bertujuan cari duit untuk bayar van tersebut.

Aku terlalu bingung masa itu dan anak aku buat tindakkan yang cukup menyedihkan. Van tu tinggal seribu lebih aja lagi dalam bank. Lepas itu kira habis bayar. Maklumlah masa tu waktu aku cukup susah. Siap dia pasangkan 4 tayar baru pada van tersebut (aku tidak pun menyuruhnya) sebelum serah kepada pihak bank. Asalnya memang aku tak pasangkan roda pun pada van tersebut. Cukup mencelakakan kesilapan aku tentang ini. Nauzubillah.

Sedihnya motosikal tersebut asalnya aku pinjam dengan kawan sebab aku tiada kenderaan untuk ke tempat kerja. Akhirnya aku beli secara berhutang. Masam-masam muka tuan punya motosikal tersebut sebab aku lambat bayar sebab pembayaran gaji aku waktu itu bermasalah. Dia mana tahu hal ini semua, pada dia segala-galanya percuma, walau pun usia hampir mencecah era 20an.

Anak aku mana faham orang bergaji, berduit atau tidak. Tak sudah-sudah beria-ia memberi aku masalah hidup yang baru, hari demi hari. Motosikal sudah berkecai, hutang tak habis lagi. Alhamdulillah selepas beberapa bulan kejadian motosikal itu hancur, barulah aku dapat membayar langsai hutang tersebut. Syukur aku kepada Allah S.W.T., selamat aku dari beban hutang.

Habis exam SPM petang tu terus tinggalkan rumah ikut kawan. Hendak merantau katanya. Walau pun hampa, aku lepaskan dia pergi dengan iringan doa keselamatan hidupnya. Khabar berita jangan haraplah, mahal hendak call bapak dia. Berbulan-bulan tak balik dekat keputusan SPM baru balik.

Kata-katanya manis-manis belaka, tapi penuh dengan sampah sarap yang langsung tidak boleh di recycle. Kemudian balik semula ke rumah dengan kononnya sudah ada sebuah motosikal. Beberapa hari kemudian aku laburkan dekat RM400.00 membaiki motosikal tersebut, untuk menjaga hati dia, menghargai dia menolong aku. Tak sampai satu jam di rumah. Dia kata dia hendak pergi rumah kawan, maklumlah motosikal pun dah elok rem depan belakang baru dan tayar baru, nanti malam balik. Tunggu punya tunggu dia kata esok pagi dia balik. Akhirnya tak balik-balik.

Tahu-tahu kena tangkap Polis sebab membawa motosikal curi di Kuala Lumpur. Sampai hari ini aku tidak dapat cerita sebenar darinya. Itu aku tanya dengan bapak engkau selalu bohong. Kenapa dengan polis engkau tak berbohong?. Selalu ingatkan dia dari kecil "Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri." "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua." Tak jalan kata nasihat tu semua bro... lunyai tak guna sesen pun ibarat pada dia. Orang besar kepala. Motosikal dia dulu yang aku perbaiki pun ghaib tanpa dapat gambaran dan cerita sebenar dari dia. Mudahnya perasaan dan akal dia. 

Kalau tidak ikutkan rayuan kakaknya dan pak cik serta mak ciknya. Lama dia ke dalam. Jaminan Mahkamah RM2000.00 dua tahun berkelakuan baik. Dengan aku sekali kena menghadap Hakim Mahkamah, Hakim minta aku cakap apa yang perlu aku cakap sebagai jaminan mahkamah. "Beri peluang dia untuk sedar diri, untuk masa depan dia." Berganang air mata aku dalam mahkamah waktu itu. Siap ada jaminan Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat lagi, sebab waktu itu dia masih lagi di bawah umur. Akhirnya sampai ke hari ini madu aku beri, herba racun yang aku dapat dari dia.

RM2000.00 aku terpaksa berhutang dengan adik aku, pak cik dia jugalah. Sampai hari ini tidak berbayar lagi. Sedih. Dia tetap tidak menunjukkan tanda-tanda berubah, untuk menjadi manusia yang dekat dengan Allah S.W.T.. Sekarang sudah 15.33 dia tidur lagi.

Lepas hukuman Jaminan Mahkamah tersebut duduklah rumah semula. Tak lama menjongkang motosikal aku, motosikal isteri aku keluarkan modal tolong aku. Belum sebulan dia di rumah, sebelumnya aku molekkan semula motosikal tersebut, sudah jadi tidak sempurna lagi.

Kawan-kawan aku, adik beradik aku ... ramai tolong aku waktu susah. Anak aku buat derk jerk. Langsung tiada kesedaran, untuk bekerjasama, menghargai, menyakini keadaan aku zaman sukar waktu itu. Sering aku jadi sedih tiba-tiba, rasa sayu tiba-tiba, rasa hening tiba-tiba ... seolah-olah hidup aku, pengorbanan aku, penghargaan aku, tidak pernah dihargai anak-anak.

Ini entah kali ke berapa tentu dia pandai kira, kena buang dari kolej. Langgar disiplin lagi. Masa dalam kolej tiap-tiap minggu aku beri dia duit. RM200, RM300 punah dalam seminggu. Alasan itu ini, beli itu ini. Sedar-sedar belum cukup sebulan dia dah baham RM950.00 duit aku. Enjoy.

Hasil penipuannya tak jadi, tak dapat apa sijil atau apa pun dalam kolej tersebut. Sudah dapat elaun RM500.00 sebulan, dia kata belum dapat lagi. Jadi tentu ada tujuannya. Boleh minta lagi duit aku. Masa sebelum masuk kolej tersebut cakap besar sebulan RM500.00 bapak tak payah susah-susah. Apa? jadi sasau aku dibuat oleh kerenah laknatullahnya.Tak puas hati, sakit hati, terlalu dalam dan sangat terkesan dalam hidup aku. Dia apa peduli, agaknya pegi mampos lah kau bapak. Nauzubillah.

Buat sementara adakah mungkin?. Kebahagian terdorong didarjah sifar persen. Aku redha Ya Allah. Aku tahu itu kehendakMu. Aku tega menghadapinya, harapan hambaMu ini perlindungi aku Ya Allah. Perteguhkan aku Ya Allah agar aku tidak melakukan yang bukan-bukan seumpama mencabut nyawa sendiri. Nauzubillah. Aku tidak mahu lakukan lagi bagaimana saat sehingga sebuah lori mengelakkan aku ketika aku mensasarkan motosikalku untuk bertembung dengan lori tersebut. Itu dulu. Saat aku terlalu rapuh.

Masa susah juga ada kawan aku rela hati hendak jaga dia sementara aku uruskan masalah kerja aku. Apa yang kawan aku dapat, dia jadi tokeh besar semasa dalam tanggongan kawan aku. Sampaikan kawan aku sebelum pergi kerja ternampak, sepatutnya dia menunggu bas untuk ke sekolah menghala ke utara, tetapi dia menunggu bas menghala ke selatan.

Ermmm ke mana tu agaknya. Tentu dia tahu jawapannya untuk merelevankan perbuatannya. Akhirnya kawan aku mengaku tidak sanggup lagi menjaga dia. Tak pasal-pasal gara-gara dia, kawan aku dengan isteri dia bergaduh. Dia mana pedulik lah kan. Manusia tiada akal tetapi penuh dengan perasaan tamak haloba mencari kepuasan hidup kononnya yang pastinya tidak berpenghujung.

Aku jengah dia lagi. Tak bangun-bangun lagi dia. Aku sekarang hanya mampu mengadu kepada Allah S.W.T.. kalau aku yang bertindak nanti aku berlaku zalim, jadi biarlah Allah S.W.T., yang uruskan hal dia, sebab aku dah buat macam-macam untuk kebaikkan dia, tetapi tak jalan. Allah Maha Mengetahui. Ampuni aku Ya Allah kerana kegagalan aku tentang dia. Dia yang tidak mengumpamakan diri dia anak kepada aku. Seolah-olah dia yang menanggung aku. Layaknya.

Jiran tidak bertegur sapa dengan aku gara-gara dia pun pernah terjadi. Dia dituduh oleh jiran mengajar anaknya hisap rokok. Aku pernah nasihat dan tegur dia tentang perkara ini. Nah!, perkara itu telah pun terjadi. Alhamdulillah hubungan aku pun sudah semakin ok dengan tetangga tersebut, sekarang.

Ya Allah apakah Engkau sedang memberi aku nikmat berhadapan dengan dia manusia yang tidak tahu malu?,, tidak bermaruah?, tidak tahu harga diri?, tidak ada akal?, tidak pernah rasa serik?, tiada berperasaan rasa bersalah, kekesalan?, penuh diri dengan perasaan dengki?, tamak haloba?, tidak berperasaan belas dan kasih sayang?. Apa sebenarnya yang dia mahu dariku Ya Allah?. Ikhtiar pelbagai itu juga dia. Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu kejadian dan malapetaka, musibah, kebingungan, manusia yang menjatuhkan martabat dirinya lebih teruk dari haiwan dan pelbagai.

Hari ini aku cukup penat. Penat hanya kerana berfikir. Letih badan dan rasa cukup mengantuk. Alhamdulillah Allah S.W.T.. berikan aku kekuatan dan kelegaan dari belenggu yang menghisap kebahagiaan yang sepatutnya aku nikmati.

Sebenarnya aku suka dia di rumah. Lagi gagah aku kalau dia buang habis-habisan sikap dan tingkalaku buruknya. Buat masa ini biarlah aku menderita, derita yang Allah S.W.T., kurniakan untuk aku bermuhasabah diri keranaNya, sebelum aku cekalkan hati untuk terus berjuang segala, mungkin di bumi Syam. Tetapi aku kena terus berjuang terlebih dahulu menghadapi keadaan isi rumah yang bercelaru manusianya hambaMu Ya Allah. Amin Ya Rob.

In Syaa Allah bermanfa'at.

Dinukilkan dengan kerjasama sahabat yang menceritakan pengalaman hidupnya.
Bantuan: Google Images.
Baca juga:
1084. Fobia.
1081. Bila nasi sudah jadi bubur, bubur ...... pula.
1079. Rintihan seorang abah
1063. Luahan hati seorang abah. Teman sahabat sejati admin.
Zulfarizan Zakaria "FABI AYYI AALA IRABBIKUMA TUKAZZHIBAN" = Nikmat Tuhan Manakah Yang Engkau Hendak Dustakan?........muhasabah buat diri kite ni belake kerana Allah S.W.T..... 

Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..

Tiada ulasan: