Norzila Abdul Aziz (kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Nor Aini Abdul Wahab menunjukkan wang polimer yang sesuai untuk edaran semula di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 2 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan pengeluaran wang polimer bernilai RM1 dan RM5 secara berperingkat bermula pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Penolong Gabenor BNM, Norzila Abdul Aziz berkata, sebaliknya bank pusat itu akan mengitar semula wang polimer denominasi RM1 dan RM5 untuk edaran sempena Aidilfitri akan datang bagi menggalakkan kelestarian sumber negara dan alam sekitar.
"Pada setiap musim perayaan, 500 juta keping wang baharu perlu dicetak, jadi bagi mengurangkan pencetakan ini BNM mengambil inisiatif untuk mengitar semula edaran.
"Ini adalah perlu bagi mengelakkan lebih banyak pembaziran sumber tenaga yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain," katanya semasa sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Amalan Hijau Penggunaan Wang Polimer Sesuai Untuk Edaran Semula di sini, hari ini.
Norzila berkata, pada Aidilfitri kali ini, BNM akan mencetak hanya 70 peratus denominasi RM1 manakala selebihnya adalah wang yang dikitar semula.
"Manakala, bagi wang kertas RM5, BNM akan mengitar semula 60 peratus wang kertas (polimer) RM5 dan mencetak hanya 40 peratus wang kertas (polimer) baharu.
Katanya, setiap tahun BNM mengeluarkan lebih kurang 750 juta keping wang denominasi RM1 dan RM5 bagi memenuhi permintaan bermusim untuk Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.
"Bagaimanapun, lebih kurang 70 peratus daripada wang yang dikeluarkan itu tidak diperlukan untuk urus niaga pembayaran biasa.
"Wang tersebut akan dipulangkan sebagai deposit sejurus selepas musim perayaan dan menyebabkan lebihan pengumpulan tersebut di BNM," katanya.
Tambahnya lagi, Persatuan Bank-bank dalam Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia akan membantu aktiviti kitar semula wang kertas dan polimer yang sesuai untuk edaran semula dengan mengeluarkannya melalui cawangan bank dan mesin wang automatik.
"Orang ramai tidak perlu ragu-ragu menggunakan wang polimer tersebut kerana hanya wang kertas polimer yang berkualiti tinggi sahaja yang akan dikitar semula," katanya.
Wang polimer diperkenalkan pada 2004 untuk RM5 bagi meningkatkan ketahanan wang kertas dan mengurangkan pembaziran dan kemudian penggunaan diperluas merangkumi RM1 pada 2012.
Wang polimer dapat bertahan dua hingga tiga kali lebih lama berbanding wang kertas.
Sumber:
Perhatian: Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan