Pengertian Jinayat.
Jinayah menurut fuqaha’ ialah perbuatan atau perilaku
yang jahat yang dilakukan oleh seseorang untuk mencerobohi atau
mencabul kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain dengan
sengaja.
Penta’rifan tersebut adalah khusus pada
kesalahan-kesalahan bersabit dengan perlakuan seseorang membunuh atau
menghilangkan anggota tubuh badan seseorang yang lain atau mencederakan
atau melukakannya yang wajib di kenakan hukuman qisas atau diyat.
Kesalahan-kesalahan yang melibatkan harta benda, akal
fikiran dan sebagainya adalah termasuk dalam jinayah yang umum yang
tertakluk di bawahnya semua kesalahan yang wajib dikenakan hukuman
hudud, qisas, diyat atau ta’zir.
Faedah dan manafaat daripada Pengajaran Jinayat :-
1) Menjaga keselamatan nyawa daripada berlaku berbunuhan sesama sendiri dan sebagainya
2) Menjaga keamanan maruah di dalam masyarakat daripada segala fitrah tuduh-menuduh.
3) Menjaga keamanan maruah di dalam harta benda dan nyawa daripada kecurian, ragut dan lain-lain.
4) Berhubung dengan keamanan negara dan menyelenggarakan keselamatan diri.
5) Perkara yang berhubung di antara orang-orang Islam dengan orang-orang kafir di dalam negara Islam Pembunuhan
Bab 2 : Bentuk Hukuman Yang Dikenakan Ke Atas Penjenayah
Mengikut peruntukan hukum syara’ yang disebutkan di
dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith dan yang dikuatkuasakan dalam
undang-undang jinayah syar’iyyah, penjenayah-penjenayah yang didakwa di
bawah kes jinayah syar’iyyah apabila sabit kesalahannya di dalam
mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta’zir.
Hukuman-hukuman ini adalah tertakluk kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah-penjenayah tersebut.
1. Hukuman Hudud
Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan
dan ditetapkan Allah di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith. Hukuman hudud ini
adalah hak Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya
atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh
sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah
yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya adalah termasuk dalam
golongan orang yang zalim. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Baqarah, 2:229).
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:
a) Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara’.
b) Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat
tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan
keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang
saksi.
c) Minum arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.
d) Mencuri, iaitu memindahkan secara sembunyi harta
alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan
niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
e) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam,
sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i’tiqad
kepercayaan.
f) Merompak (hirabah), iiatu keluar seorang atau
sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau
menakutkan dengan cara kekerasan.
g) Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam
yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah yang menjalankan syari’at
Islam dan hukum-hukum Islam.
2. Hukuman Qisas
Hukuman qisas adalah sama seperti hukuman hudud juga,
iaitu hukuman yang telah ditentukan oleh Allah di dalam Al-Qur’an dan
Al-Hadith. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.
Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan
nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan
mencederakan.
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah:
a) Membunuh orang lain dengan sengaja.
b) Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
c) Melukakan orang lain dengan sengaja. Hukuman
membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas
si pembunuh dengan dibalas bunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu
menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara
orang-orang yang mati dibunuh.” (Surah Al-Baqarah, 2:178)
Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu
anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman
qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut
jenis anggota yang dicederakan dan dilukakan tadi.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam
kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas
dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas
dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga
hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak
membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang
tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka
itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Ma’idah: 45)
3. Hukuman Diyat
Hukuman diyat ialah harta yang wajib dibayar dan
diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai
gantirugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas
mangsanya. Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang
sehubungan dengan kesalahan qisas dan ia sebagai gantirugi di atas
kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan anggota badan atau
melukakannya.
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman diyat ialah:
a) Pembunuhan yang serupa sengaja.
b) Pembunuhan yang tersalah (tidak sengaja).
c) Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau waris orang yang dibunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian
keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang
yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti
nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa
itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu
keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu
sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya
azab siksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Al-Baqarah, 2:178)
4. Hukuman Ta’zir
Hukuman ta’zir ialah kesalahan-kesalahan yang
hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan
hukuman hudud atau qisas. Hukuman ta’zir adalah hukuman yang tidak
ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Qur’an dan
Al-Hadith.
Hukuman ta’zir adalah dera ke atas
penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan
hukumannya tidak dikenakan hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan
yang dilakukan itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya
dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.
Jenis, kadar dan bentuk hukuman ta’zir itu adalah
terserah kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang
patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman ta’zir
itu adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi
kembali kejahatan yang mereka lakukan tadi dan bukan untuk menyiksa
mereka.
Sumber:
Perhatian:
Pemaparan tajuk-tajuk, gambar-gambar dan segala bagai, adalah pandangan dan
pendapat peribadi yang lebih menjurus kepada sikap dan sifat untuk menjadi
lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup menurut perentah dan larangan Allah
S.W.T., antaranya bersikap dengan tiada prasangka, tidak bertujuan untuk
kebencian, tidak berkeperluan untuk bersubahat dengan perkara bohong dan tiada
kaitan dan berkepentingan dengan mana-mana individu. Jujur., aku hanyalah hamba
Allah S.W.T., yang hina dina. BERSANGKA BAIK KERANA ALLAH S.W.T..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan